{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Amanah dengan tugas Pengerusi SPR

Posted:

Amanah dengan tugas Pengerusi SPR

Amanah dengan tugas Pengerusi SPR

WALAUPUN menghadapi banyak cabaran dan tohmahan daripada pelbagai pihak, Abdul Aziz tetap komited mengemudi bahtera SPR dengan cara tersendiri.


MEMEGANG jawatan yang boleh dianggap sebagai antara kerusi panas tanah air, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, 63, mengakui, banyak cabaran yang dihadapi sejak menggalas tanggungjawab tersebut bermula 31 Disember 2008.

Apatah lagi ketika itu, negara berdepan dengan tsunami politik yang hebat rentetan daripada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan gelombang baharu politik negara.

Ekoran PRU-12 yang sengit lima buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Kedah, Wilayah Persekutuan dan Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selain Kelantan yang sememangnya sudah berada di bawah pentadbiran Parti Islam Se Malaysia (Pas).

Bagaimanapun Abdul Aziz memberitahu, sudah menjadi amalannya apabila ditugaskan memegang apa-apa jawatan, ia akan dilaksanakan dengan amanah, penuh kesungguhan dan komitmen.

"Jujurnya saya tidak pernah terfikir langsung untuk menjawat jawatan ini. Tetapi, apabila dilantik berdasarkan perlembagaan dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Majlis Raja-Raja, saya menganggap ia satu cabaran besar untuk dilunaskan.

"Tambahan pula, saya difahamkan kebanyakan Pengerusi SPR sebelum ini tidak berdepan masalah yang begitu mencabar kerana senario politik negara ketika itu amat terkawal. Sebaliknya, apabila saya mengambil alih tugas daripada Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, suasana politik Malaysia amat berbeza," ujar Abdul Aziz ketika ditemui Kosmo! di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut beliau, perbezaan yang dimaksudkan adalah adanya pertembungan dua kumpulan besar politik antara pemimpin-pemimpin dan pengikut-pengikut Barisan Nasional (BN) selaku parti pemerintah dengan satu kumpulan lain iaitu Pakatan Rakyat (Pas, PKR dan DAP) yang bergabung secara pakatan.

"Dari segi undang-undang, tidak ada gabungan itu kerana pakatan tersebut tidak mempunyai satu simbol parti untuk melambangkan ketiga-tiganya. Justeru, SPR menganggap mereka sebagai tiga parti berbeza.

"Namun, tetap nampak persaingan hebat kerana rakyat jelata khasnya pengundi-pengundi telah mempunyai pendidikan tinggi, pengetahuan yang luas serta mempunyai perkongsian pengalaman dari negara-negara luar yang banyak kerana adanya media-media elektronik, media sosial dan blog-blog untuk mendapatkan pelbagai maklumat," jelas beliau lagi.

Sepanjang hampir lima tahun bergelar Pengerusi SPR, Abdul Aziz berkata, beliau membahagikan parti politik di negara ini kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama adalah parti politik yang tidak ambil kisah dan peduli kerana keadaannya yang tidak aktif. Jadi, apa sahaja yang dicadangkan dan diputuskan tidak mendapat respons daripada mereka.


BERSAMA timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (kanan) sebelum mempengerusikan mesyuarat bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian daftar pemilih bagi PRU-13.


Kumpulan kedua pula terdiri daripada parti-parti politik yang peramah dan mesra dengan SPR. Mereka suka berbincang, bertukar-tukar fikiran dan memberi pandangan serta kritikan membina kepada SPR dengan cara yang baik tanpa menghebah-hebahkan pada media.

"Mereka ini selalu datang berjumpa saya memberi cadangan serta teguran secara jujur.

"Kumpulan ketiga pula terdiri daripada parti politik yang selalu berada dalam keadaan tidak berpuas hati. Apa sahaja yang dilakukan SPR, akan dipandang negatif. Kalau kita buat A, mereka akan kata sepatutnya buat B, kemudian apabila kita buat B, mereka kata buat A bagus pula sekali gus menyebabkan SPR serba-salah.

"Kumpulan ini juga suka mengkritik, memperlekeh dan mencemarkan integriti SPR supaya kami dipandang sebagai satu badan yang prokerajaan, tidak berdikari dan tidak cekap meskipun berbagai-bagai perubahan telah dibuat berlandaskan undang-undang," tegas Abdul Aziz.

Persediaan SPR

Menjelang tarikh pengundian sempena PRU-13 yang akan diadakan pada 5 Mei ini, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri itu menjelaskan, SPR sudah mula membuat perancangan bagi menghadapi pilihan raya umum sejak tiga tahun lalu.

"Kami telah bekerja kuat dalam tempoh itu. Lebih-lebih lagi dengan tertubuhnya satu Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya oleh kerajaan bagi membincangkan, mengesyorkan cadangan-cadangan untuk memperbaiki proses dan sistem pilihan raya.

"Jawatankuasa ini terdiri daripada wakil pelbagai parti politik. Rentetan itu, banyak kertas kerja telah dihantar selain ramai kumpulan dan individu tertentu datang berjumpa mereka untuk memberi cadangan.

"Akhirnya, mereka telah mengemukakan 32 syor kepada SPR dalam aspek jangka pendek, pertengahan dan jangka panjang. Hasil kerjasama semua pihak, banyak syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa ini diterima oleh SPR dan akan dilaksanakan," kata beliau.

Secara keseluruhan terdapat 19 pembaharuan yang dilakukan SPR pada PRU-13 kali ini. Antaranya, penggunaan dakwat kekal, memperkenalkan undi awal kepada anggota tentera dan polis, memperluaskan undi pos kepada semua rakyat Malaysia di luar negara serta menjemput pemerhati antarabangsa dan dalam negeri.

Semua pembaharuan yang pertama kali diperkenalkan itu turut mengundang kerisauan pada Abdul Aziz sama ada ia boleh dilaksanakan dengan berkesan sebagaimana yang dirancang.


MENJELANG PRU-13, Abdul Aziz banyak ditemu bual pelbagai agensi termasuk rancangan Momentum oleh Radio IKIMfm.


Zaman kanak-kanak

Dilahirkan pada 21 Januari 1950, Abdul Aziz merupakan anak jati Kampung Teluk Baru, Sabak Bernam, Selangor. Beliau merupakan anak keenam daripada tujuh beradik yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan.

Ayahnya, Mohd. Yusof Awaluddin meninggal dunia sewaktu beliau baru berusia dua tahun manakala ibunya, Puteh Jaali ketika itu mengandungkan adik bongsunya.

Sejak itu, Abdul Aziz adik-beradik dipelihara dengan penuh kasih sayang oleh ibunya sambil dibantu oleh bapa saudara, Yaakub Awaluddin. Mereka sekeluarga hidup cara kampung hasil daripada kebun kelapa.

"Menurut arwah mak, arwah bapa saya seorang yang serba boleh. Arwah pandai menggunting rambut, bermain muzik, bertukang, membina rumah, membuat sampan, melukis serta pandai menangkap ikan dan udang.

"Dahulu mak pernah cerita, kalau nak makan udang, ayah akan pergi ke Sungai Bernam. Satu jam kemudian dia akan balik bawa udang untuk dinikmati sekeluarga. Begitulah mudahnya hidup di kampung zaman dahulu," ungkapnya sambil tersenyum.

Walaupun tidak mendapat kasih sayang ayah namun, Abdul Aziz bertuah kerana dipelihara dengan baik oleh ibu dan bapa saudaranya.

Malah, terdapat satu peristiwa yang sehingga kini masih diingati Abdul Aziz dan menjadi titik tolak kepada semangatnya untuk berjaya.

"Pada hari pertama untuk masuk darjah satu, saya dihantar oleh bapa saudara ke sekolah. Dalam perjalanan dari rumah, kami perlu melalui ladang getah dan ladang kelapa. Ketika itu, burung-burung berbunyi dan berkicau riang.

"Kemudian, bapa saudara saya berkata, 'Aziz, dengar tak burung tu cakap? Semua burung-burung tu suruh Aziz belajar sungguh-sungguh supaya jadi orang pandai.'

"Bapa saudara saya bukan orang terpelajar tetapi, dia pandai psikologi. Waktu itu, memang saya dengar burung itu bercakap betul-betul seperti yang dikatakan bapa saudara. Alhamdulillah, dalam keadaan serba kekurangan saya berjaya memperoleh keputusan pelajaran yang baik," tutur beliau.

Apa yang pasti, kedua-dua individu tersebut merupakan insan penting dalam mencorak kehidupan Abdul Aziz hingga mencapai ke tahap seperti sekarang.

"Mak saya orangnya sederhana. Dia selalu nasihatkan anak-anak agar tidak lupa sembahyang, jangan sombong, selalu menghormati orang lebih tua dan sentiasa menolong orang. Jika dengar ada orang susah, dia akan mula keluar dompet dan bersedekah. Mak saya sangat pemurah walaupun dia bukan orang senang.

"Bapa saudara saya pula sangat rajin bekerja. Bila ada masa tertentu, dia akan masuk hutan mencari rotan. Hasil jualan rotan kemudian dibuat modal beli kebun. Akhirnya dia jadi seorang yang kaya di kampung kami dan mempunyai banyak kebun kelapa.

"Sifatnya yang rajin bekerja, berjimat-cermat, hidup dengan sederhana dan ingat masa depan membuatkan saya mengagumi keperibadiannya," jelas Abdul Aziz.

Rangka orang purba ditemui

Posted:

Rangka orang purba ditemui

Rangka orang purba ditemui


CECILE menunjukkan rangka mayat yang dipercayai pahlawan Celtic.


DI sebuah padang berlumpur di Seine iaitu terletak di tenggara Paris, Perancis, ahli-ahli arkeologi telah menemui tanah perkuburan manusia Zaman Besi. Mereka percaya penemuan itu bakal membawa sinar dalam merungkai pemerintahan tamadun Gaul.

Sebelum ini, tapak berkenaan yang terletak di pinggir Troyes dibangunkan untuk projek perindustrian dan ketika itu pelbagai bahan bersejarah yang menakjubkan telah dijumpai.

Ia termasuk kubur lima pahlawan Celtic yang lengkap bersenjata dan perhiasan sekali gus membuktikan wujudnya anggota tentera elit pada zaman itu.

Ahli arkeologi, Emilie Millet mencangkung di atas kubur yang merupakan salah satu daripada 14 perkuburan yang ditemui di kawasan tersebut sejak beberapa minggu lalu. Ia ditemui selepas proses penggalian bermula sembilan tahun lalu di kawasan lapang berkeluasan 260 hektar.

Rangka pahlawan

Di bawah tapak kakinya terdapat rangka seorang pahlawan berjawatan tinggi lengkap dengan pedang besi sepanjang 70 sentimeter.

"Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini," ujarnya sambil menatap perisai logam yang mempunyai rangka kayu dan kulit yang telah reput.

Di sebelah rangka pahlawan itu ditemui beberapa rangka wanita yang memakai barang perhiasan seperti rantai leher berpintal logam dan kerongsang besar perak yang direka dengan batu karang berharga.

Dalam sebuah kubur lain ditemui rangka lelaki dan wanita yang hanya dipisahkan oleh lapisan tanah. Berdasarkan kedudukan rangka-rangka itu, dipercayai ia mempunyai hubungan rapat ketika hidup.

"Kawasan ini merupakan tanah perkuburan yang besar dan ia satu penemuan yang luar biasa," kata wakil Institut Penyelidikan Penyenggaraan Arkeologi Kebangsaan (Inrap), yang melakukan kerja-kerja menggali tapak sebelum jentolak dibenarkan masuk.

Berdasarkan barang-barang kemas yang ditemui, rangka-rangka itu dipercayai dikebumikan antara tahun 325 Sebelum Masihi (SM) dan 260 SM iaitu tempoh masa yang dikenali sebagai La Tene. Satu lagi petunjuk daripada analisis yang dikeluarkan oleh Scabbards ialah perubahan hiasan fesyen tentera. Reka bentuk pakaian tentera dalam tempoh masa itu biasanya mempunyai simbol dua ekor naga menghadap satu sama lain dengan badan bergulung.


SALAH satu kubur ditemui ialah kubur rangka lelaki dan wanita dalam kedudukan bertentangan.


Tamadun berkembang

La Tene mendapat nama melalui tapak arkeologi di Switzerland yang wujud antara abad ke-5 SM hingga abad pertama Selepas Masihi, menandakan tahun kegemilangan orang Celtic.

Pada zaman itu, tamadun orang Celtic berkembang daripada kawasan pusat mereka di tengah Eropah hingga sejauh utara Scotland dan pantai Atlantik Sepanyol.

Zaman kegemilangan kaum tersebut seiring dengan kebangkitan empayar Rom yang ketika itu sedang berperang meluaskan kawasan jajahan mereka.

Orang Celtic digambarkan sebagai orang berkulit pucat, memakai seluar dan berambut perang. Ketika berperang, mereka dikatakan memenggal kepala musuh manakala jasad ketua musuh mereka disimpan dalam minyak sedar.

Begitupun, imej kasar itu telah disangkal oleh kajian sejarah dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kaum tersebut dikatakan mempunyai tamadun yang kompleks selain memiliki kepakaran dalam bidang logam dan sistem perdagangan. Kekuasaan mereka menjangkaui seluruh Eropah dan menjana kekayaan yang besar.

Penemuan terbaharu di Bucheres itu menimbulkan beberapa persoalan kerana di kawasan berkenaan tidak dijumpai sebarang bukti yang menunjukkan ia pernah menjadi kawasan penempatan orang Celtic.

"Kubur-kubur itu ditemui pada kedalaman kira-kira dua meter di kawasan lapang yang tidak ditemui sebarang tanda menunjukkan ia kawasan tanah perkuburan. Jika dibandingkan dengan tamadun awal iaitu Zaman Gangsa boleh ditemui tanda-tanda peninggalan seperti barisan bonggol-bonggol di sekitar kawasan pengebumian. Ia boleh jelas kelihatan sejauh beberapa kilometer," kata Cecile Paresys yang merupakan ahli arkeologi dari Inrap.

Penggalian yang dilakukan oleh Inrap masih belum menemui sebarang bukti seperti tembikar atau makanan yang sering dimasukkan ke dalam kubur Era Besi untuk bekalan si mati di dunia roh.

Tiada mayat kanak-kanak ditemui seperti kebiasaan dalam kubur orang Celts. Perkara tersebut jelas mengelirukan dan sukar dijelaskan oleh ahli antropologi.

Bagaimanapun, kerja-kerja forensik yang dilakukan dijangka bakal merungkai petunjuk tentang cara kehidupan tamadun berkenaan. Dalam pada itu, rangka-rangka yang dijumpai sedang direkod sebelum dikeluarkan dari kubur untuk proses pemuliharaan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat