{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


PRU pertama guna dakwat kekal

Posted:

PRU pertama guna dakwat kekal

PRU pertama guna dakwat kekal

PERTAMA kali Mohamed Hamidi Mohamed menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pengundi adalah semasa Pilihan Raya Umum Ketujuh (PRU-7) pada tahun 1986. Ketika itu, dia berumur 23 tahun dan baru beberapa tahun mencari rezeki di ibu kota. Pada hari pilihan raya tahun itu, dia ternyata bersemangat untuk keluar mengundi di kawasan tempat dia bermastautin iaitu Parlimen Batu.

Menurut Mohamed Hamidi, sebelum pilihan raya itu, kebanyakan parti politik bergerak secara berkumpulan dan mereka akan pergi dari rumah ke rumah untuk berkempen.

Tidak hanya tertumpu kepada manifesto yang dibawa oleh parti politik, mereka juga memberi sepotong kertas yang menunjukkan cara dan di mana lokasi pengundi boleh mengundi pada hari pilihan raya nanti.

"Selain meraih undi penduduk, mereka juga memberi informasi yang jelas mengenai proses pengundian yang dijalankan semasa pilihan raya. Ia ternyata membantu saya yang pertama kali mengundi terutama untuk memahami tatacara yang betul," ujar bapa kepada lima cahaya mata itu.

Baginya, suasana ketika menjelang pilihan raya tidak ubah seperti sebuah pesta. Kibaran bendera yang berwarna-warni menghiasi tepian jalan serta teriakan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen ketika menyampaikan ceramah merupakan perkara yang ditunggu-tunggu olehnya setiap kali pilihan raya.

Pada tahun ini, umur Mohamed Hamidi mencecah 50 tahun dan dia sekali lagi teruja untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemilih untuk kali ketujuh pada PRU-13 nanti. Baginya, setiap undi amat penting untuk menentukan siapa pemerintah yang bakal menerajui negara bagi lima tahun akan datang.

Selain itu, dia juga ingin merasai pengalaman kali pertama mengundi dengan menggunakan sistem dakwat kekal yang diperkenal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Februari tahun lalu pada PRU-13 nanti.

Tidak bercanggah hukum syarak

Walaupun ada suara-suara rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan sistem itu, Mohamed Hamidi ternyata positif dan menyambut baik saranan SPR itu. Jika sebelum ini orang menuduh wujudnya pengundi hantu dan sebagainya, SPR akhirnya menutup dakwaan berniat jahat itu dengan memperkenalkan dakwat kekal.

"Bagi saya, penggunaan dakwat kekal ini merupakan satu perubahan besar dalam sistem pilihan raya negara. Banyak negara menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya dan ia jelas menunjukkan bahawa sistem itu efektif.

"Apa yang merumitkan semasa hari pilihan raya nanti adalah pasti ada segelintir orang ramai masih ragu-ragu dengan penggunaan dakwat kekal. Selain itu, mungkin ada yang masih tidak mengetahui bahawa dakwat kekal akan digunakan semasa PRU-13 ini," ujar pesara swasta itu yang kini menetap di Presint 15, Putrajaya.


WAKIL parti politik perlu memainkan peranan menyebarkan informasi mengenai penggunaan dakwat kekal pada PRU-13.


Menurutnya lagi, sekiranya pemilih memahami proses pengundian dengan jelas, pasti tidak timbul isu kelambatan proses pengundian semasa pilihan raya nanti.

"Saya dapat jangkakan, sekiranya ada dalam kalangan pemilih yang tidak tahu mengenai penggunaan dakwat kekal, pasti pelbagai persoalan akan timbul terutamanya hal ehwal agama.

"Saya berharap pihak kerajaan dan SPR memperluaskan lagi iklan mengenai penggunaan dakwat kekal dalam media elektronik, media cetak dan media baharu agar tidak berlaku kekeliruan dalam kalangan pemilih pada PRU-13 nanti," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada Januari tahun lalu telah memutuskan bahawa penggunaan dakwat kekal oleh SPR sebagai harus dan kandungan sampel dakwat yang dikemukakan agensi itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Parti politik dan pengundi terutamanya yang beragama Islam tidak perlu khuatir mengenai kandungan dan penggunaan dakwat kekal.

Hakikatnya Malaysia bukanlah negara pertama yang menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya, tetapi sistem itu telah diguna pakai oleh 28 buah negara ketiga dunia antaranya, India dengan 750 juta pengundi, Pakistan (120 juta), Indonesia (130 juta) dan Mexico (60 juta).

Pengalaman pengundi Indonesia

Berkongsi pengalaman mengenai penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya, seorang rakyat Indonesia yang kini menetap di Malaysia, Andhy Putra, 29, memberitahu, penggunaan dakwat kekal di negaranya ternyata tidak menjejaskan proses pilihan raya.

Ceritanya, pada kali pertama mengundi, dia juga terkejut apabila pegawai pilihan raya menandakan dakwat hitam pada kuku jarinya setelah proses pengesahan kad pengenalan.

"Dakwat itu sebagai tanda daripada pihak Komisi Pemilihan Umum kepada setiap pengundi bahawa mereka tidak menipu setelah meminta cuti untuk mengundi.

"Selepas pilihan raya, dakwat itu tidak segera tertanggal. Ia mengambil masa hampir tiga minggu untuk hilang sepenuhnya daripada jari telunjuk saya," ujarnya yang kini bertugas dalam industri perbankan di Malaysia.

Menurut Andhy, ada juga warga emas yang enggan mengundi jika dakwat itu dicalit pada jari mereka kerana khuatir dakwat itu menyebabkan solat tidak sah.

"Pihak jawatan kuasa di pusat undi telah memberi penjelasan kepada mereka mengenai penggunaan dakwat itu dalam solat dan rasionalnya. Segalanya terserah kepada mereka sama ada mahu mengundi atau tidak," ujarnya

Akhbar Kosmo! bertarikh 13 April lalu melaporkan, SPR menegaskan dakwat kekal boleh bertahan selama tujuh hari dan bukan tiga hari seperti yang didakwa beberapa pemimpin parti pembangkang.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, pihaknya sudah melakukan ujian terhadap dakwat itu dan terbukti ia mampu bertahan dalam tempoh tujuh hari.

Tegas Wan Ahmad, SPR sangat serius dalam pemilihan dakwat yang akan digunakan bagi memastikan ia menepati matlamat ke arah menjamin pilihan raya yang bersih dan lancar.

Kemungkinan sabotaj


INDONESIA antara negara yang menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya mereka.


Walau bagaimanapun Timbalan Naib Canselor Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Shah Alam, Prof. Datuk Mohd. Zainul Fithri Othman, mengakui kurang bersetuju dengan tindakan SPR memperkenalkan dakwat kekal hanya semata-mata melayan kehendak dan dakwaan PRU tidak bersih oleh pihak tertentu.

Menurutnya, Malaysia sudah mempunyai sistem teknologi maklumat yang berteknologi tinggi setaraf dengan negara maju lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura.

"Penggunaan dakwat kekal di 28 buah negara lain itu kerana mereka tidak mempunyai sistem teknologi maklumat yang baik seperti sistem kad pengenalan yang tidak berpiawai. Kenapa kita harus mengikut cara mereka, sedangkan kita dikategorikan sebagai negara membangun.

"Pada pemerhatian saya, penggunaan dakwat kekal ini bukan dituntut oleh semua rakyat Malaysia. Hanya segelintir rakyat Malaysia yang tidak mempercayai ketelusan SPR sahaja yang mahukan penggunaan dakwat kekal ini," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Gombak Setia, Selangor baru-baru ini.

Malah, apa yang membimbang Mohd. Zainul Fitri, tidak mustahil pihak yang mendakwa kononnya SPR tidak telus itu mensabotaj keikhlasan organisasi berkenaan.

"Tidak mustahil ada pihak yang tidak bertanggungjawab akan mencalitkan dakwat terlebih dulu kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman. Ia merupakan satu usaha untuk mensabotaj penyokong calon yang mempunyai kebarangkalian untuk menang di kawasan tersebut," luah Mohd. Zainul Fithri.

Pelancongan tinju muay Thai

Posted:

Pelancongan tinju muay Thai

Pelancongan tinju muay Thai

SUASANA panas dalam sebuah kem latihan tinju muay Thai langsung tidak dihiraukan pelatih di situ. Sebaliknya, sekumpulan pelancong asing kelihatan tekun berlatih. Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Ada yang melakukan larian mengelilingi gelanggang, mempelajari teknik-teknik pukulan serta mengangkat beban untuk meregang dan membina otot. Namun, ada juga yang mengambil kesempatan merehatkan badan.

Masing-masing kelihatan bersemangat mengikuti sesi yang dikendalikan oleh pelatih tinju muay Thai di Phuket, sebuah pulau tropika yang terkenal di Thailand.

Aktiviti kecergasan ekstrem melalui tinju muay Thai itu semakin diminati pelancong asing yang berkunjung ke sana tanpa mengira jantina.

Dengan kebimbangan terhadap masalah berat badan yang meningkat di seluruh dunia, ramai warga asing lebih tertarik untuk bercuti ke Thailand.

Mereka bukan sahaja menghabiskan masa berjemur di tepi pantai, bahkan menjalani rejim latihan muay Thai dan seni pertahanan diri yang lain.

Ada antara mereka yang memilih latihan ekstrem dalam tempoh lama hingga sanggup berhenti kerja. Semua itu dilakukan semata-mata untuk mengatasi masalah obesiti yang dihadapi selain mengasah kemahiran mereka untuk menjadi petinju profesional.

Salah seorang daripadanya ialah Jordan Henderson, 26, yang meninggalkan gaya hidup tidak sihat di kota London seperti bekerja sepanjang hari, berparti pada sebelah malam dan bebas menikmati pelbagai makanan tanpa sebarang kawalan.

Keputusan berhijrah sementara ke Thailand diambil selepas doktor memberi amaran bahawa dia mungkin berhadapan masalah jantung yang teruk berikutan berat badannya mencecah hampir 184 kilogram.

Dalam tempoh sebulan menjalani latihan di kem muay Thai Phuket yang terletak di selatan Thailand dan di pesisir Laut Andaman, Jordan berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 20kg.

"Anda berada dalam suasana yang panas setiap masa dan dikelilingi orang yang melakukan aktiviti kecergasan.

"Perkara ini adalah mengenai mengeluarkan diri anda daripada kotak yang anda tinggal sebelum ini dan hanya fokus kepada satu perkara iaitu untuk berlatih serta menurunkan berat badan," ujar Jordan selepas menjalani latihan awal pagi.

Bagaimanapun, menurut anak muda itu lagi, hari-hari terawal berada di kem tersebut bukan mudah untuk dilalui.

"Ia sangat teruk. Cuaca panas, latihan berat, kesakitan yang dialami dan perubahan diet yang dramatik membuatkan anda sukar menerima keadaan tersebut.

"Daripada bebas menikmati apa sahaja yang saya mahukan seperti ayam panggang, kini saya perlu belajar memakan sayur kukus dan nasi beras perang. Akibatnya saya rasa seperti kebuluran selama seminggu," terangnya lagi.

Namun, meskipun berdepan rejim latihan yang melelahkan, Jordan tidak pernah mengaku kalah atau berkemas untuk meninggalkan tempat itu.

Kem latihan Tiger Muay Thai

Thailand yang merupakan rumah kepada perkembangan industri latihan muay Thai mengalu-alukan ribuan pelancong setiap tahun. Populariti sukan tersebut disebabkan oleh campuran seni mempertahankan diri (MMA-mixed martial art) yang menggabungkan teknik-teknik bergelut dan pukulan.

"MMA ialah satu sukan yang berkembang pantas di dunia dan muay Thai sebahagian daripadanya," kata Will Elliot, Pengarah Tiger Muay Thai, salah satu daripada puluhan kem latihan sukan tersebut di Phuket.

"Sudah tentu ia satu tindakan yang ekstrem untuk mengembara jauh merentasi dunia demi mempelajari seni ini. Apatah lagi anda perlu berpanas dan melakukan ratusan tumbukan dan tendangan sehari."

Kem Tiger Muay Thai yang menerima kunjungan ratusan tetamu setiap bulan mengenakan bayaran kira-kira AS$100 (RM350) seminggu bagi latihan berkumpulan.

Termasuk dalam acara sukan kebangsaan Thailand, muay Thai turut dikenali sebagai Seni Lapan Anggota kerana ia menggabungkan tumbukan, tendangan serta serangan siku dan lutut.

Sesiapa yang terfikir untuk mempelajarinya perlu bersedia mental dan fizikal.

"Ia satu latihan intensif fizikal. Pada akhir latihan, anda akan keletihan. Jadi, jika anda boleh mengekalkan rejim latihan itu dua kali sehari dengan kombinasi diet, kecergasan anda akan pantas meningkat," terang Will. - AFP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat