{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Harian Metro: Hati

Posted by Tanpa Nama

Harian Metro: Hati


Elak tertekan

Posted: 14 Jul 2013 08:25 AM PDT

Boleh berpuasa atau tidak? Itu di antara persoalan klise bagi sebilangan pesakit diabetes menjelang Ramadan. Namun rata-rata mereka akan cuba berpuasa disebabkan kewajipan serta tanggung jawab sebagai umat Islam. Namun dari sudut kesihatan, adakah pesakit diabetes dibenarkan berpuasa? Ini kerana Islam memberi kelonggaran kepada golongan tertentu termasuk pesakit diabetes untuk berbuka sekiranya memudaratkan diri sendiri. Persoalannya, adakah mereka sedar dan cuba menguruskan pola pemakanan serta perubahan diet dengan sebaiknya?

Menurut kajian, setiap tahun dianggarkan 40 hingga 50 juta penghidap diabetes di seluruh dunia berpuasa dalam bulan Ramadan dengan kira-kira 79 peratus daripada mereka menghidap diabetes jenis 2. Walaupun berpuasa adalah rukun Islam yang diwajibkan ke atas umat Islam, bagi penghidap diabetes beragama Islam masalah ini boleh menimbulkan risiko kerumitan sekiranya paras gula tidak diurus dengan betul.

Walaupun ramai antara mereka yang mampu menguruskan paras glukosa darah dengan baik, ada yang tidak begitu maklum bagaimana berpuasa boleh menyebabkan penyakit sehingga memberi kesan kepada diri sendiri.

Menurut Pakar Runding Kanan Endokrinologi Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Wan Mohamad Bebakar, ibadat puasa membabitkan perubahan corak pengambilan makanan. Bagi penghidap diabetes, mereka menghadapi cabaran kerana gangguan metabolisme kronik menyebabkan muncul pelbagai risiko.

Foto

DATUK Dr Hisham (kiri) bersama Ham Taejin (kanan) ketika majlis pelancaran Peta Perbualan Diabetes, baru-baru ini.

Foto

AMBIL salad dan buah-buahan untuk mendapatkan kandungan serat.


Ini kerana apabila berpuasa, badan mula berada dalam keadaan kekurangan zat selama kira-kira lapan jam selepas sajian terakhir. Dalam tempoh ini, tubuh akan menggunakan sumber glukosa yang disimpan sebelum pemecahan lemak untuk menghasilkan tenaga. Untuk individu sihat, proses ini membabitkan keseimbangan antara tahap insulin dan hormon.


"Bagaimanapun dalam kalangan pesakit diabetes, rembesan insulin dipengaruhi oleh penggunaan ubat yang berfungsi meningkatkan atau menyokong pengeluaran insulin menyebabkan kesukaran mengekalkan tahap gula darah seterusnya risiko yang lain," ujarnya.

Antara kerumitan utama yang dikaitkan dengan puasa pesakit kencing manis ini ialah hipoglisemia atau tahap gula yang rendah. Ini berlaku apabila tahap gula darah kurang daripada 4mmol/L. Walaupun kelihatan ringan, keadaan ini jika tidak dirawat boleh menyebabkan kekeliruan, pitam dan secara beransur-ansur hipoglisemia sehingga kekejangan otot, koma dan paling serius kematian.

Satu lagi kerumitan ialah hiperglisemia iaitu tahap gula darah yang tinggi sehingga mencecah 7.8mmol/L ke atas selepas berbuka puasa untuk tempoh sekurang-kurangnya lapan jam.

"Keadaan ini sekiranya tidak diatasi segera boleh menyebabkan kerosakan saraf, salur darah dan organ badan. Malah ia menjadi lebih serius apabila berlaku ketoasidosis iaitu badan yang tidak boleh menggunakan gula (glukosa) sebagai sumber tenaga. Hasil sampingan daripada proses penguraian ini ialah penghasilan keton iaitu sejenis bahan beracun yang terkumpul di dalam badan," jelasnya.

Menyedari kepentingan komunikasi dan interaksi berkaitan pengurusan diabetes dengan betul ketika berpuasa, pesakit seharusnya bersedia lebih awal dengan mendapatkan maklumat lengkap dan jelas daripada doktor. Ini kerana semua kerumitan yang dialami sama ada ringan mahupun teruk boleh dielakkan sekiranya disiplin menerusi pengambilan makanan serta ubat-ubatan mengikut nasihat doktor.

Oleh kerana terdapat keperluan bagi pesakit mendapatkan sumber pendidikan bermaklumat terutama menggalakkan perbincangan mengenai usaha mengawal diabetes ketika Ramadan, Eli Lilly sebuah syarikat pengeluaran produk farmaseutikal melancarkan program Peta Perbualan Diabetes yang memberi tumpuan kepada pesakit menguruskan diabetes ketika berpuasa.

Program baru untuk Ramadan ini sudah dilancarkan di 16 negara termasuk Belanda, Switzerland, Indonesia, Pakistan, Mesir, Afrika Selatan, Afrika Sub-Sahara, Maghribi, Algeria, Lubnan dan Oman. Ia disediakan dalam tujuh bahasa iaitu Inggeris, Belanda, Perancis, Arab Klasik, Urdu, Indonesia dan Melayu pada 2013 oleh pakar endokrinologi beragama Islam seluruh dunia bagi menggalakkan pengurusan diabetes yang betul serta mewujudkan kesedaran mengenai cara umat Islam menunaikan kewajipan dan pada masa sama, mengekalkan tahap gula yang optimum dalam badan mereka.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, diabetes di Malaysia sangat membimbangkan kerana sudah mengatasi angka unjuran kelaziman diabetes oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Memandangkan kesedaran semakin meningkat, wujud keperluan untuk menghasilkan Peta Perbualan Diabetes ketika berpuasa bagi memastikan pesakit berpuasa secara selamat. Dalam pada itu, perbincangan membabitkan pesakit, penjaga dan profesional perlu diadakan agar wujud kefahaman mengenai rawatan dan pengurusan yang betul," katanya.

Menerusi program ini, pesakit diabetes akan memanfaatkan sumber inovatif untuk membantu mereka berdepan cabaran dalam kehidupan seharian. Peta Perbualan Diabetes boleh digunakan dalam kumpulan kecil antara tiga hingga 10 pesakit, visual menarik menggunakan soalan perangsang minda untuk menggalakkan perbualan antara penghidap diabetes dan profesional penjagaan kesihatan bagi mewujudkan suasana yang terlindung dan mesra.

Ini berbeza dengan cara tradisional iaitu pesakit hanya mendengar tanpa berpeluang bertanya atau berbincang antara mereka. Penggunaan aspek visual tertentu seperti kunci (membawa maksud insulin), membantu pesakit memahami diabetes dan mengurusnya dengan baik, tanpa rasa tertekan. Malah Peta Perbualan Diabetes menggalakkan proses perbualan dua hala mengenai penyakit dan memberi peluang kepada pesakit berinteraksi dengan orang lain yang mengalami penyakit sama. Manfaat besar diperoleh daripada perbualan dengan orang yang senasib kerana mereka sedar tidak keseorangan mengharungi pengalaman dan emosi ini.

Bagi Pengurus Besar Eli Lilly Malaysia & Singapura, Ham Taejin, pengurusan diabetes ketika Ramadan adalah sebahagian komitmen berterusan syarikat terbabit untuk menghulurkan maklumat pendidikan kepada penghidap diabetes beragama Islam supaya mereka mengambil langkah sewajarnya ketika berpuasa.

"Mereka perlu sedar rawatan perubatan hanya hanya membantu sehingga tahap tertentu saja. Pesakit perlu berhubung dengan profesional penjagaan kesihatan untuk mendapatkan kefahaman lanjut mengenai cara menguruskan penyakit.

"Menerusi Peta Perbualan Diabetes, kami mahu mewujudkan persekitaran positif. Pesakit diberi dorongan dan didikan melaksanakan perubahan supaya hidup selesa dan berpuasa dengan sempurna," katanya.

Tanda hipoglisemia

  • Sejuk atau kulit berpeluh
  • Pucat
  • Kesukaran menumpukan perhatian
  • Marah, ganas dan tingkah laku yang tidak sepatutnya
  • Longlai ketika berjalan
  • Keletihan
  • Gemuruh
  • Lapar yang melampau
  • Sakit kepala
  • Penglihatan kabur dan pening
  • Sakit perut dan loya
  • Pengsan dan tidak sedarkan diri

    Sekiranya anda mempunyai tanda ini, segera uji glukosa darah anda. Sekiranya glukosa darah kurang daripada 3.8mmol/L, segera lakukan langkah ini:

  • Berbuka puasa.
  • Minum 120 mililiter jus, ambil empat tablet glukosa atau minum separuh gelas air dengan satu sudu gula.
  • Tunggu 10 hingga 15 minit dan periksa glukosa darah semula.
  • Jika berterusan 3.8mmol/L, minum 120 mililiter jus, ambil empat tablet glukosa atau minum separuh gelas air bersama satu sudu gula.
  • Hubungi kakitangan kesihatan untuk nasihat selanjutnya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14
  • Bersederhana ketika jalani ibadah puasa

    Posted: 14 Jul 2013 08:15 AM PDT

    Berpuasa bukanlah satu ibadat yang mudah walaupun kebanyakan orang sudah dilatih sejak kecil, malah ada yang sudah memulakannya sebelum masuk sekolah lagi.

    Penceramah agama terkenal, Datuk Abu Hassan Din dalam program Mukaddimah terbitan TV9 pernah memberitahu, ibu bapa tidak sepatutnya mengumpan anak yang masih kecil dengan upah dalam usaha 'memaksa' mereka berpuasa kerana kita tidak tahu seksa yang ditanggung anak apabila dikerah untuk berlapar.

    Apa yang perlu diutamakan ialah mendidik mereka menunaikan solat sejak berumur tujuh tahun supaya ia menjadi ibadat yang mesra di hati sepanjang hayat. Ia juga dapat mengelakkan berlakunya keadaan di mana seseorang itu berpuasa tetapi tidak menunaikan solat.

    Dalam Islam, berpuasa bukan sekadar tidak menjamah makanan dan minuman, tetapi perlu menahan diri daripada melakukan segala perbuatan kurang elok yang boleh mengurangkan ibadat ini termasuk pemikiran, pertuturan, tingkah laku, pandangan dan pendengaran.


    Namun dalam berusaha untuk mencapai ibadat puasa yang baik, aspek fizikal tidak diketepikan. Rasa letih dan mengantuk adalah perkara biasa terutama pada minggu pertama. Namun ada beberapa kaedah untuk membantu kita terus bertenaga sepanjang hari berpuasa iaitu:

  • Bagi individu yang ada masalah kesihatan, sepatutnya berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat terutama kaedah dan jadual pengambilan ubat, juga aspek keselamatan (gejala yang mungkin dialami kerana berpuasa). Ini kerana bagi penyakit kencing manis contohnya, keadaan setiap pesakit berbeza dan pendekatan yang perlu diambil sekiranya berlaku satu-satu gejala juga tidak sama.
  • Walaupun anda cukup sihat, anda masih boleh mengalami masalah sekiranya tidak mengamalkan pemakanan yang betul. Antara masalah yang kerap dialami kebanyakan orang sepanjang Ramadan ialah kekurangan air, zat dan tidak cukup rehat.
  • Lewatkan bersahur. Ada orang suka bersahur pada jam 3 atau 4 pagi sedangkan imsak masih jauh. Bagi yang jarang bersahur, tahun ini cubalah sedaya upaya bangun awal untuk menjamah sedikit makanan, sekurang-kurangnya secawan minuman panas dan kurma.
  • Sahur adalah sunnah dan ia menjadi waktu makan yang amat penting untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Ambil sajian seimbang yang mengandungi karbohidrat, protein, sayur dan buah-buahan. Jika boleh, minum banyak air kosong ketika sahur.
  • Jika anda bekerja di luar, pada hari yang panas, cubalah berlindung di tempat teduh dan pakai pelindung kepala seperti topi atau payung.
  • Didiklah hati untuk bersederhana ketika berbuka. Mulakan berbuka dengan sajian yang ringan seperti kurma, susu, air atau jus buah. Selepas solat Maghrib, bolehlah disambung dengan makan makanan yang lebih berat.
  • Selepas solat Tarawih, cuba elakkan minum kopi, teh atau minuman berkarbonat. Jika teringin, ambillah sekadar satu cawan saja, tetapi pastikan ia tidak terlalu manis. Namun lebih baik jika minuman yang manis ini diganti dengan air suam.
  • Sajikan hidangan sihat untuk diri sendiri dan keluarga dengan menghidangkan buah-buahan atau kacang bagi menggantikan kuih-muih khususnya jika ada ahli keluarga yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi. Walaupun secara logiknya Ramadan adalah bulan yang paling sesuai untuk mengawal penyakit, ramai orang sukar melakukannya kerana terlebih makan.
  • Bagi individu yang ada masalah pedih ulu hati, elakkan makanan bergoreng, berlemak dan pedas terutama ketika berbuka.
  • Banyakkan minum air masak selepas berbuka. Cuba minum lapan gelas air sebelum tidur. Pada awalnya anda mungkin akan kerap terjaga pada waktu malam untuk ke bilik air, tetapi perkara ini ada hikmahnya kerana anda boleh bangun beribadat tanpa perlukan jam loceng.
  • Lakukan senaman ringan selama 15 hingga 20 minit setiap hari seperti berjalan, sama ada pada waktu pagi atau petang sebelum berbuka.
  • Cuba berhenti merokok. Ramadan adalah bulan terbaik untuk berhenti merokok dan meningkatkan tahap kesihatan.
  • Pada waktu rehat tengah hari, tidur sekejap (10 hingga 15 minit) untuk menghilangkan rasa mengantuk dan mengembalikan kecergasan supaya prestasi kerja tidak terjejas. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

    Leave a Reply

    Raja Alias

    Segamat

    Kuantan

    G. Musang

    Trolak

    J. Bahru

    Terengganu

    Mempaga

    A. Setar

    Jengka

    Sahabat