Utusan Online - Agrobiz
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Agrobiz |
Anggur pemangkin pelancongan Perlis Posted: 07 Jul 2013 11:54 PM PDT BERADA di ladang anggur dan memetik sendiri buahnya bagaikan berada di negara beriklim subtropika atau sederhana sejuk merupakan pengalaman yang sungguh menyeronokkan. Anda mahukan pengalaman mengujakan itu? Taman Anggur Perlis merupakan destinasi yang tepat untuk dikunjungi bersama-sama keluarga. Taman yang berlatar belakangkan banjaran Nakawan itu terletak di Pusat Pertanian Bukit Bintang II, iaitu kira-kira 10 kilometer dari bandar Kangar. Taman itu merupakan lawatan sambil belajar yang sesuai untuk di kunjungi bersama ahli keluarga. Dibangunkan pada tahun 2005 secara perladangan berskala besar dengan keluasan 0.4 hektar (ha), pada mulanya dan sehingga tahun 2012 Taman Anggur Perlis telah mencapai keluasan kira-kira 10 hektar. Pada mulanya, anggur ditanam di Pusat Pertanian Bukit Temiang sebagai plot kajian antara Jabatan Pertanian melalui Projek Pertanian Bersepadu (IADP) Negeri Perlis dengan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1987. Antara jenis yang telah dikenalpasti sesuai ditanam di Perlis adalah IAC, black queen, black opal, dan new white malaga. Di Malaysia, Perlis merupakan antara negeri yang terkehadapan dalam penanaman anggur kerana keadaan cuaca yang sesuai dengan sifat semulajadi pokok anggur iaitu memerlukan musim kemarau yang panjang antara tiga hingga empat bulan untuk menggalakkannya berbunga dan berbuah. Taman Anggur Perlis mula di buka kepada pengunjung pada Julai 2011. Sehingga Disember tahun lalu telah menerima 35,000 pengunjung dari dalam dan luar negara seperti kedutaan Bangladesh dan Indonesia. Taman itu telah berjaya menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Perlis yang mana Jabatan Pertanian telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menyelia dan menguruskannya. Sebaik melangkah ke taman itu, pengunjung akan diberikan penerangan oleh pegawai bertugas mengenai kaedah penanaman anggur, penjagaan, jenis-jenis anggur yang ditanam sehingga proses penuaian dilaksanakan. Pelbagai maklumat menarik berkenaan anggur seperti khasiat dan jenis anggur yang ditanam turut disediakan untuk rujukan pengunjung. Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri peringkat pengeluaran buah anggur. Dari peringkat pembungaan, peringkat matang, hingga tempoh penuaian iaitu selepas 120 hari dari tempoh berbunga. Bagi mereka yang ingin mencuba menanam sendiri anggur di laman rumah sebagai landskap kediaman, boleh mendapatkan anak pokok anggur dengan harga RM15 bagi setiap pokok. Di samping itu, pengunjung juga dapat bergambar bersama-sama keluarga seolah-olah berada di negara Eropah tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk ke sana. Taman Anggur Perlis merupakan destinasi pelancongan bersama keluarga yang menarik kerana berhampiran dengan pusat-pusat rekreasi lain seperti Taman Ular, Taman Herba dan kawasan reksreasi Bukit Ayer. Taman anggur berkenaan dibuka pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali pada hari Isnin. Pengunjung dikenakan bayaran serendah RM1 bagi kanak-kanak dan RM3 bagi orang dewasa. Pengunjung juga boleh membeli buah anggur segar yang di jual dengan harga RM20 sekilogram. Bagi yang berminat ke Taman Anggur Perlis ini boleh berhubung terus dengan Jabatan Pertanian Negeri Perlis menerusi talian 04-9770433. |
Posted: 07 Jul 2013 11:54 PM PDT Oleh NOOR DIANA AZIS CMDv yang terletak di MARDI, Serdang berperanan sebagai pemangkin program pembaikbakaan tanaman dan ternakan di negara ini. PEMBANGUNAN dan pengenalan kepada jenis baru padi kini giat diperkenalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) kepada golongan pesawah tempatan. Hal ini berlaku tatkala negara dihujani cabaran ekoran permintaan terhadap makanan semakin tinggi berikutan jumlah penduduk kian meningkat. Pelbagai langkah telah diambil bagi memenuhi keperluan makanan penduduk. Tidak terkecuali bagi usahawan tani yang mahukan biji benih s tanaman rintang penyakit, berhasil tinggi serta terpelihara dari serangga perosak. Bagi meningkatkan keupayaan program pembaikbakaan tanaman dan ternakan di negara ini, Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) telah memperoleh teknologi berkaitan dari satu syarikat berkaitan penanda molekul luar. Melalui pembiayaan Biotechcorp, satu makmal yang dikenali sebagai Centre For Marker Discovery and Validation (CMDV) telah dibangunkan dan ditempatkan di MARDI. Makmal tersebut menjadi pemangkin dalam program pembaikbakaan tanaman dan ternakan . CMDV dibangunkan bagi manfaat agensi-agensi awam dan swasta yang terlibat dalam bidang berkaitan. Selain daripada penglibatan terus dalam program biak baka, makmal berkenaan juga disasarkan untuk menyediakan perkhidmatan lain termasuk pengenotipan dan cap jari DNA tanaman dan baka ternakan terpilih. Untuk mencapai matlamat penubuhannnya, CMDV dilengkapi dengan teknologi terkini pengenotipan penanda molekul. Teknologi tersebut meliputi Intermite Polymorphism (IMP), Single Sequence Repeat (SSR) dan Single Nucleotide Polymorphism (SNP). Selain itu, dengan bantuan peralatan robotik proses pengenotipan berskala besar mampu dilakukan oleh CMDV. CMDV turut disokong oleh tujuh saintis yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersendiri meliputi biologi molekul tumbuhan, biologi molekul haiwan, pembaikbakaan molekul tanaman dan ternakan dan ahli bioinformatik. Menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI, Dr. Habibuddin Hashim, CMDV mempunyai keupayaan menyediakan khidmat nasihat serta pengenotipan berskala besar yang mampu membantu aktiviti pembaikbakaan haiwan dan tanaman bagi memperkenalkan varieti terbaharu. "Pusat ini turut dimatlamatkan bagi mendorong kearah penggunaan teknologi penanda molekul dalam aktiviti pembaikbakaan dengan lebih murah dan cepat. "Selain itu kami turut berperanan melaksanakan penyelidikan berkaitan pencarian dan aplikasi penanda molekul tanaman dan ternakan utama negara," katanya ketika ditemui di CMDV Serdang baru-baru ini. Tambahnya, saintis yang bertugas di pusat tersebut turut ditugaskan menyediakan khidmat pengenotipan dan projek kerjasama dengan pelanggan dalaman mahupun luar MARDI. Mereka terdiri daripada pembiak baka yang mempunyai program pembaikbakaan tanaman atau ternakan yang aktif sama ada dari sektor awam dan swasta. Sebagai contoh, kini hampir 90 peratus dari jenis padi yang ditanam di negara ini terdiri daripada kumpulan berhasil tinggi yang dibangun dan diperkenalkan oleh institut tersebut. Justeru, sehingga kini lebih daripada 37 jenis padi telah diisytihar kepada petani untuk ditanam di sawah mereka termasuklah MR219, MR220CL1 dan MR220CL2. Jenis-jenis padi tersebut dibangunkan bagi meningkatkan keupayaan penghasilan di samping memaksimumkan pengeluaran dari penanaman dikeluasan tanah yang sama. "Jenis baru tanaman dibangunkan melalui program pembaikbakaan. Proses ini melibatkan kacukan antara dua induk berbeza sifat agronomi. "Benih yang diperolehi hasil kacukan akan disaring dan dinilai sehingga beberapa keturunan bagi mengenalpasti titisan baru yang lebih baik dari induknya. "Sekiranya bersesuaian, titisan baru ini akan diperkenalkan sebagai varieti baru," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |