Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Johor jamin lengkapi prasarana
- Bangkitkan semula semangat kesukarelawan
- MDL belanja RM5.7 juta laksanakan 38 projek untuk tingkat keselesaan rakyat
Johor jamin lengkapi prasarana Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT Oleh MUHAMMAD ZIKRI PONTIAN 1 Julai - Kerajaan negeri memberi jaminan akan menyediakan kemudahan prasarana dan utiliti lengkap bagi menarik lebih ramai pelabur membuka perniagaan dan perusahaan di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad (gambar) berkata, tumpuan bukan sahaja melibatkan kawasan perindustrian utama seperti Senai, Tampoi, Tebrau, Pasir Gudang dan Gelang Patah tetapi juga beberapa kawasan baharu yang diwujudkan sebagai peluang ekonomi kepada penduduk setempat. "Bukan sahaja soal kemampuan menyediakan kemudahan, tetapi juga kemampuan mengatasi masalah seperti gangguan bekalan elektrik, telekomunikasi mahupun bekalan air adalah penting. Contohnya, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi syarikat pembekal elektrik adalah menyelesaikan sebarang gangguan dalam tempoh kurang 10 minit. "Ini penting supaya tidak menjejaskan sektor utama seperti perindustrian, perkhidmatan, perhotelan dan sebagainya," katanya selepas majlis pecah tanah bangunan baharu Mctronic Industries Sdn. Bhd., di Parit Abdul Rahman, Benut dekat sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengarah Urusan Mctronic Indutries, Tan Meng Chai. Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, persaingan antara pelabur terutamanya dari negara-negara yang mampu menawarkan tenaga buruh yang murah membuatkan sektor perindustrian beralih kepada penggunaan teknologi bagi menggantikan tenaga manusia. Justeru, katanya, prasarana serta kemudahan utiliti yang mampu memenuhi kehendak pelabur menjadi faktor penentu bagi meyakinkan mereka bahawa Johor bersedia dengan permintaan masa kini. "Beberapa kekurangan hendaklah diatasi dengan segera supaya tidak melemahkan minat pelabur untuk menanam modal, sama ada bagi membuka industri baharu mahupun menambah pengeluaran. Kita meminta pembekal utiliti dapat memahami hasrat serta sama-sama membantu melalui kecekapan serta kemampuan yang ada pada mereka," katanya. Terdahulu, Hasni berkata, kelembapan ekonomi global tidak menghalang sesetengah syarikat untuk meneroka bidang baharu, sekali gus menunjukkan sektor pembuatan di negara akan terus berkembang dengan adanya permintaan yang tinggi dari negara-negara luar. Beliau turut menyatakan harapan agar masyarakat tempatan mengambil peluang yang ada dan tidak bergantung kepada tenaga kerja luar sedangkan boleh diisi oleh anak tempatan termasuk dalam sektor minyak dan gas di Pengerang yang menawarkan kira-kira 70,000 peluang pekerjaan. |
Bangkitkan semula semangat kesukarelawan Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT Norshida Ibrahim (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang peserta dalam Program 1Volunteer Rakan Muda peringkat daerah di Segamat, kelmarin. SEGAMAT 1 Julai - Masyarakat di daerah ini harus mencari jalan membangkitkan semula semangat kesukarelaan yang dilihat semakin luntur terutamanya dalam kalangan golongan belia. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, aktiviti kesukarelaan tidak harus dijadikan hanya sebagai mengisi masa lapang, sebaliknya bagi melahirkan golongan belia yang mempunyai hala tuju serta semangat tinggi, cergas dan agresif dalam pelbagai situasi yang mencabar. "Paling penting, anda tidak mengharapkan sebarang balasan. Apa yang akan anda peroleh ialah pencapaian peribadi dan kepuasan hati kerana telah dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat. "Saya percaya, sekiranya anda menyumbang sesuatu dan membantu orang lain, anda akan berasa sungguh gembira. Rasa yang begitu hebat itu tidak boleh anda dapat melalui kegiatan lain kecuali menerusi aktiviti kesukarelaan seperti ini," katanya semasa merasmikan Program 1Volunteer Rakan Muda peringkat daerah Segamat di Pusat Pertanian Jementah, di sini semalam. Beliau berkata, menerusi aktiviti seperti itu, semangat kesukarelaan mampu dibangkitkan, sekali gus menghindari golongan remaja dan belia terbabit dalam kegiatan melepak, kutu rayau, merempit dan penyalahgunaan dadah yang menjadi penyakit masyarakat kini. Menurutnya, pembangunan modal insan dengan nilai-nilai yang positif diyakini dapat melahirkan golongan pemimpin masa depan yang berkeperibadian unggul serta memiliki keutuhan budaya dan moral yang tinggi. "Dalam konteks ini, kita perlu terapkan dalam diri generasi muda dengan nilai-nilai positif dan membina kerana melalui program seperti ini barulah kita mampu untuk menggerakkan jentera muda sebagai pemangkin kepada perubahan sosial," katanya. Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Pertanian Daerah Segamat dan dihadiri 45 sukarelawan dari seluruh daerah dan penuntut Rakan Muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat. Sementara itu, salah seorang kesukarelaan UiTM Segamat, Mohamad Faiz Izhan Mohd. Fadzil, 20, mengakui aktiviti itu membolehkannya mempelajari pelbagai perkara baharu, khususnya berkaitan pertanian. Menurutnya, pendedahan terhadap cara membuat baja bokashi iaitu campuran najis ayam, sekam padi dan mikroorganisma efektif (EM) untuk dijadikan baja organik bagi menyuburkan tanaman merupakan ilmu baharu yang amat berguna kepadanya. Bagi penerima pingat perak Anugerah Remaja Perdana (ARP) Rakan Muda 2012, Nur Hayati Abu Bakar, 22, berkata, dia dapat menerapkan empat komponen kesukarelaan yang digariskan iaitu khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal dan penjelajahan lasak. "Program ini dapat memberi saya kemahiran yang diperlukan melalui tenaga pengajar berpengalaman seperti memproses sisa buangan menjadi barangan kitar semula dan bermanfaat. Saya sedang melengkapkan empat komponen tersebut untuk melayakkan saya memperoleh pingat emas ARP pada tahun ini," katanya. |
MDL belanja RM5.7 juta laksanakan 38 projek untuk tingkat keselesaan rakyat Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT LABIS 1 Julai - Majlis Daerah Labis (MDL) memperuntukkan RM5.7 juta bagi melaksanakan 38 projek bagi meningkatkan keselesaan rakyat sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini. Yang Dipertuanya, A. Rahim Nin berkata, kebanyakan projek tersebut telah siap dilaksanakan dan hanya beberapa yang masih dalam pelaksanaan, manakala kerja-kerja menaik taraf parit di kawasan industri serta memulihara bangunan warisan bakal dilakukan dalam masa terdekat. "Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 20 projek menurap semula jalan di sekitar Labis telah dilaksanakan melibatkan kos keseluruhan RM2.66 juta. "Diharapkan dengan kerja-kerja yang dilaksanakan itu dapat meningkatkan keselesaan dan kemudahan kepada penduduk setempat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MDL, di sini kelmarin. Menurutnya, antara projek lain yang dilaksanakan ialah menaik taraf parit, lampu awam, pasar awam, menaik taraf tapak pelupusan sisa pepejal dan memulihara bangunan warisan dengan mengecat semula bangunan lama di Labis. Beliau yang juga Pegawai Daerah Segamat berkata, projek yang dilaksanakan tersebut mengambil kira kepentingan semua golongan dan peringkat umur serta kaum termasuk peniaga dan orang awam sebagai pembayar cukai. "Ini akan menjadikan Labis sebuah bandar yang bukan sahaja selesa untuk didiami, tetapi juga serba indah dan bercahaya yang boleh menarik kunjungan lebih ramai orang luar yang dapat membantu menjana ekonomi penduduk setempat. "Pada masa depan, kami merancang melaksanakan pelbagai projek yang mampu menjadikan Labis bandar serba lengkap dan maju dari segenap aspek demi kemudahan penduduknya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |