Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Johor sedia import ayam
- Masyarakat diingat jaga sensitiviti kaum, agama
- LPP peruntuk RM150,000 naik taraf Pasar Peladang Pontian
Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT Oleh ZULHISHAM ISAHAK ISMAIL Mohamad (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sempena Ramadan di Felcra Bukit Kepong, Pagoh, kelmarin. PAGOH 14 Julai - Kerajaan negeri sedia mengimport ayam jika harganya terus meningkat di negeri ini melebihi paras ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, keputusan itu sebagai salah satu langkah untuk tidak membebankan pengguna jika harga ayam terus meningkat. "Kita membenarkan import ayam untuk memenuhi keperluan pada musim perayaan ini jika para peniaga terus menaikkan harga melebihi harga siling," katanya mengulas langkah kerajaan negeri jika harga ayam terus meningkat di Johor. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang kepada 124 penerima sempena Ramadan di Felcra Bukit Kepong, dekat sini semalam. Harga ayam daging di negeri ini melambung sehingga RM8.50 sekilogram (kg) sejak dua minggu lalu walaupun kerajaan menetapkannya pada kadar RM6.80 sekg. Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, selain itu, pihaknya juga ada menemui Pengerusi Persatuan Ternakan Unggas Johor, Tan Tuan Cheng kelmarin bagi menyelesaikan masalah tersebut. Beliau berkata, persatuan berkenaan memberikan jaminan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menangani kenaikan harga ayam sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri bulan depan. Dalam pertemuan itu, pihaknya diberitahu penternak menghadapi masalah tumbesaran ternakan masing-masing berpunca daripada mutu makanan, katanya. Kebiasaannya mereka boleh menjual hasil ternakan apabila mencapai berat tertentu dalam tempoh 45 hari, tetapi kali ini memerlukan tempoh lebih lama untuk sesuai dijual. "Ini menyebabkan mereka mengalami kerugian pada musim ini. Namun, mereka tidak menaikkan harga jualan ladang," katanya. |
Masyarakat diingat jaga sensitiviti kaum, agama Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT TEE Siew Kiong (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan moreh kepada salah seorang wakil bagi masjid dan surau kawasan DUN Pulai Sebatang di Surau Parit Baru, Ayer Baloi, Pontian, malam kelmarin. PONTIAN 14 Julai - Masyarakat pelbagai kaum di negara ini diingatkan supaya sentiasa menjaga sensitiviti dan pegangan kaum lain bagi mengekalkan perpaduan, kesejahteraan dan keamanan negara. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong berkata, tindakan sesetengah pihak yang cuba menimbulkan suasana hubungan tidak baik antara kaum amat dikesali kerana boleh mencetuskan kemarahan dan menyinggung perasaan orang lain. "Semua pihak sewajarnya dapat memahami sensitiviti sesuatu agama supaya tidak timbul perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat disebabkan perbuatan yang tidak seharusnya dilakukan," katanya selepas majlis penyampaian keperluan bagi berbuka puasa di Surau Parit Baru, Ayer Baloi, di sini malam tadi. Dalam majlis tersebut, sebanyak 26 masjid dan 36 surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang menerima sumbangan seperti susu, gula, biskut, buah kurma, kopi dan teh. Yang turut hadir Penghulu Mukim Ayer Baloi, Zaini Suhaimi dan Penghulu Mukim Api-Api, Mohd. Razali Dahlan. Siew Kiong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan negeri berkata demikian sebagai mengulas tindakan pasangan Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, yang mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar hidangan yang menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini. Dalam laman Facebook pasangan itu, mereka mempersenda kedatangan Ramadan apabila memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh (sup tulang babi). Siew Kiong berharap isu itu menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mempersendakan agama lain demi menjaga keharmonian antara kaum di negara ini. Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, tradisi penyampaian sumbangan bagi keperluan masjid dan surau telah memasuki tahun ke-10 sejak menjadi ADUN pada 1994. Menurutnya, sumbangan itu merupakan tanda ingatan kepada jawatankuasa masjid dan surau yang turut memainkan peranan penting dalam institusi pembangunan di DUN Pulai Sebatang. |
LPP peruntuk RM150,000 naik taraf Pasar Peladang Pontian Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT MUJI Salimon memotong riben sebagai simbolik perasmian van bergerak usahawan tani Pertubuhan Peladang Kawasan Pontian Timur di Pekan Nanas, Pontian, baru-baru ini. PONTIAN 14 Julai - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Johor memperuntukkan RM150,000 bagi menaik taraf Pasar Peladang Pontian yang dijangka siap tahun ini dengan tumpuan utama bagi aspek penjualan hasil pertanian serta barang basah kepada orang ramai. Pengarahnya, Shammodin Abdul Halim berkata, Pasar Peladang Pontian merupakan usahasama antara empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang dibuka lebih 10 tahun lalu dengan melibatkan 17 peniaga dengan pelbagai jualan basah dan kering. "Kami menyasarkan peningkatan jumlah pengunjung selepas kerja naik taraf dilakukan termasuk pengunjung luar. Dengan kedudukannya yang strategik di tengah bandar Pontian Kecil, kami yakin Pasar Peladang Pontian dapat menjadi tempat tumpuan seperti pasar-pasar peladang lain di negeri ini. "Saya berharap Pasar Peladang yang diwujudkan bagi membantu petani dan peladang ini dapat memasarkan hasil tanpa melalui orang tengah, sekali gus memenuhi objektif penubuhannya meningkatkan sosioekonomi mereka," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 PPK Pontian Timur di Pekan Nenas, di sini baru-baru ini. Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon dan turut dihadiri Pengerusi PPK Pontian Timur, Selamat Othman. Muji turut melancarkan van bergerak untuk digunakan menjual kuih-muih yang dihasilkan oleh usahawan tani PPK sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. Pada majlis itu, lima ahli PPK Pontian Timur turut menerima Anugerah Usahawan Tani Cemerlang ekoran menunjukkan pencapaian yang baik dalam bidang masing-masing. Sementara itu, Selamat berkata, keuntungan yang dicatatkan PPK Pontian Timur pada tahun lalu adalah sebanyak RM275,000 dan pihaknya menyasarkan pendapatan lebih tinggi tahun ini termasuk peningkatan hasil dari Pusat Pengumpulan dan Timbang Kelapa Sawit di Batu 29, Pekan Nanas di sini. "Dengan adanya pusat tersebut, ahli-ahli PPK Pontian tidak perlu lagi menghantar hasil mereka ke tempat lain mahupun ke PPK Pontian Selatan yang kedudukannya jauh dari tempat mereka," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |