Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT Oleh LUQMAN HAZIQ JOHOR BAHRU 13 Julai - Semua lapisan masyarakat diminta membersihkan kawasan persekitaran dan menguruskan pembuangan sampah dengan lebih baik bagi membanteras penularan demam denggi. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan kawasan semak dan longgokan sampah-sarap terutama barangan yang boleh menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. "Bilangan kes denggi yang semakin meningkat hampir sekali ganda pada tahun ini dengan jumlah kematian yang amat membimbangkan, seharusnya memberi kesedaran kepada semua tentang bahaya nyamuk aedes dan kesan persekitaran yang kotor. "Kerajaan negeri amat prihatin tentang keadaan ini dan menyeru masyarakat bersama-sama untuk mencegah dan menghalang penularan demam denggi yang banyak menyebabkan kematian itu," katanya dalam status terbaru di dalam laman sosial Facebooknya di sini hari ini. Menteri Besar berkata, tindakan pencegahan denggi oleh masyarakat dengan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu merupakan langkah paling efektif bagi menghindari denggi. Bagi bersama-sama kerajaan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani penularan demam denggi, masyarakat setempat turut digalak mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran premis dan kediaman masing-masing. Orang ramai juga dinasihat supaya memastikan pasu bunga dan tempat yang menakung air supaya sentiasa bersih dan bebas daripada jentik-jentik. |
Masalah terminal bas Kota Tinggi diatasi Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT ABD. Latif Bandi (tengah) membuat lawatan kerja ke premis perniagaan di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. KOTA TINGGI 13 Julai - Masalah kekurangan pengunjung di lot niaga tingkat atas Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang di sini, bakal diatasi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan menempatkan unit-unit kerajaan untuk beroperasi di aras berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi berkata, pihaknya simpati dan memahami masalah yang dihadapi para peniaga di situ sejak dua tahun lalu dan akan berusaha mengatasinya. "Kami akan merujuk perkara ini kepada pihak PBT supaya suasana di sekitar lot perniagaan terbabit dapat dinaik taraf serta diceriakan bagi menarik minat lebih ramai pengunjung ke situ," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke terminal tersebut baru-baru ini. Yang turut hadir Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd. Noorazam Osman; Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Hasrin Kamal Hashim dan Ketua Whip Ahli Majlis Mesyuarat MDKT, Sarjikon Mojri. Terdahulu, beliau bersama rombongan membuat lawatan di Pasar Awam Majlis Daerah Kota Tinggi dan meminta supaya PBT dapat memikirkan kaedah terbaik bagi mengatasi masalah yang dihadapi para peniaga di situ. Abd. Latif turut mencadangkan supaya PBT mewujudkan mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di situ yang menempatkan beberapa pejabat seperti unit cawangan pelesenan, cukai pejabat tanah dan perumahan. "Dengan adanya unit-unit ini, saya pasti pengunjung akan datang berurusan selain dapat memaju dan membantu peniaga supaya perniagaan mereka tidak terjejas. "Sehubungan itu diharap PBT dapat segera mengadakan mesyuarat dan seterusnya merangka kertas kerja permohonan RTC di kawasan Parlimen Kota Tinggi," katanya. |
Azan ketuk pintu hati dua mualaf Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT NURHIDAYAH Mohd. Yusof (kiri) dan Nurzulaikha Abdullah diraikan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama 540 Pelajar Tahfiz dan 60 Saudara Baru di Hotel Pelangi, Muar, Johor, malam kelmarin. MUAR 13 Julai - Keindahan laungan azan berjaya membuka hati seorang peniaga berketurunan India dari Jalan Salleh di sini untuk memeluk Islam dan seterusnya mendalami agama itu, termasuk menghayati keberkatan ibadah puasa. Nurhidayah Mohd. Yusof, 38, yang kini genap 10 tahun memeluk Islam mengakui amat menantikan kehadiran Ramadan kerana dapat memanfaat serta memperbanyakkan amalan selain mendekatkan diri dengan Allah SWT. "Saya tidak kekok ketika pertama kali berpuasa kerana ketika bersekolah saya mempunyai ramai kawan Melayu dan kadangkala berpuasa bersama mereka. "Jadi pendedahan ini memudahkan saya berpuasa apabila memeluk agama Islam," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama 540 Pelajar Tahfiz dan 60 Saudara Baru yang diraikan Hotel Pelangi di sini semalam. Menurutnya, keindahan Islam mendorongnya mengajak rakan-rakannya memeluk Islam, namun mereka belum menunjukkan minat dan tidak mematahkan semangatnya untuk terus menunjukkan jalan kebenaran. Nurhidayah berkata, hingga kini dia masih belajar mendalami ilmu Islam dengan mengikuti kelas Fardu Ain empat kali seminggu. Menceritakan getaran jiwanya setiap kali mendengar azan sebelum memeluk Islam, dia mendengarnya setiap hari kerana tinggal di kawasan komuniti Melayu dan keadaan itu membuatkan pintu hatinya terbuka memeluk Islam. "Saya dapat merasakan 'sesuatu' dalam hati setiap kali mendengar azan. Perasaan itu sukar digambarkan dengan kata-kata dan terlalu indah. Semakin kerap dengar azan, hati meronta-ronta mahu memeluk Islam, lalu mendorong pergi ke Pejabat Agama Islam daerah untuk mengucapkan dua kalimah syahadah," katanya. Nurzulaikha Abdullah, 44, yang memeluk Islam pada 2006 pula mengakui gembira apabila dua adik dan ibunya turut mengikut jejak langkahnya. Dia yang berasal dari Sarawak sebelum ini menganut agama Kristian mengakui kekosongan dalam jiwanya hilang sebaik sahaja selesai mengucapkan dua kalimah syahadah. "Setiap kali Ramadan saya penuhi undangan jemputan berbuka puasa bersama saudara baru anjuran pelbagai pihak," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |