{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Bekalan ayam cukup seminggu lagi

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 19 Julai - Kerajaan negeri memberi jaminan masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan ayam sempena sambutan Aidilfitri akan selesai dalam tempoh kurang tujuh hari selepas bekalan ayam di ladang yang mencapai usia matang 35 minggu dipasarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, jaminan itu diberikan selepas kerajaan mengadakan perbincangan dengan penternak ayam bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah kekurangan bekalan ayam.

Menurutnya, berikutan pengeluaran bekalan ayam dalam skala besar dari ladang termasuk milik Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), cadangan untuk mengimport ayam dari luar negara mungkin tidak diperlukan lagi.

"Isu kenaikan harga berikutan bekalan ayam yang tidak mencukupi sebenarnya tidak begitu meruncing tetapi ekoran pembelian dalam kuantiti yang banyak oleh peniaga di bazar Ramadan telah menimbulkan ruang untuk pihak lain mengambil kesempatan.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan penternak ayam, kerajaan jamin masalah kekurangan bekalan ayam akan selesai dalam tempoh kurang tujuh hari dan harganya juga akan kembali stabil serta mengikut harga syiling yang ditetapkan kerajaan," katanya selepas berbuka puasa bersama Pergerakan Pemuda UMNO negeri, di sini semalam.

Ismail memberitahu, kekurangan bekalan ayam di negeri ini sukar ditampung sebelum ini kerana ternakan di ladang belum mencapai usia matang iaitu 35 minggu untuk dipasarkan.

Namun ayam di kebanyakan ladang kini hampir mencapai usia matang dan akan dipasarkan segera untuk menampung permintaan pada sambutan Adilfitiri tahun ini.

"Dengan keadaan ini, bermakna negeri ini tidak perlu bergantung kepada ayam import seperti yang dicadangkan dan jika perlu ia mungkin dalam kuantiti kecil sahaja.

"Bagaimanapun, keputusan untuk mengimport ayam akan dibuat selepas kerajaan memantau bekalan yang bakal dikeluarkan dari ladang-ladang yang ada di seluruh negeri terlebih dahulu," katanya.

Kilang lepas sisa ke sungai berdepan tindakan tegas

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

Ayob Rahmat (berbaju Melayu) bersama Lau Chin Hoon (tengah) melepaskan peserta Program Kembara Indah Ramadan sambil diperhatikan Anuar Abdul Manap (dua dari kiri) di Segamat, semalam.

SEGAMAT 19 Julai - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha kilang yang melepaskan sisa ke sungai yang dikenal pasti menjadi punca utama berlakunya pencemaran beberapa sungai di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayob Rahmat berkata, walaupun tahap pencemaran sungai di negeri ini masih terkawal, namun usaha mengesan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit akan terus dipergiatkan.

"Memang terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar hasil usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak secara berterusan termasuk di peringkat sekolah selama ini.

"Namun, masih terdapat pihak yang mementingkan keuntungan sehingga mengabaikan tanggungjawab menjaga alam sekitar termasuk mencemar sungai," katanya ditemui semasa menyertai Program Indah Ramadan anjuran Belia 4B Parlimen Sekijang hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pemanis, Lau Chin Hoon.

Beliau berkata, selain aktiviti kilang, pembangunan tidak terancang di hulu sungai juga antara punca yang boleh menyebabkan ekosistem punca air itu terganggu, sekali gus mengancam hidupan sungai yang menjadi punca pendapatan golongan nelayan.

Menurutnya, kesan kegagalan mengurus sungai sebagai punca air bersih serta sumber makanan amat besar dan semua pihak mesti memainkan peranan jika tidak mahu kehilangan sungai yang menjadi nadi kepada kehidupan masyarakat selama ini.

Justeru, beliau meminta semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta meningkatkan penglibatan dalam membantu kerajaan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

"Kesan pencemaran alam bukan sahaja menyusahkan kita dari segi keselesaan menjalani kehidupan tetapi turut memberi kesan buruk kepada ekonomi seperti ketika jerebu melanda negeri ini baru-baru ini.

"Kejadian jerebu yang melanda itu diharap memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya kita mengurus alam ini dengan baik, bukan sekadar mementingkan keuntungan jangka pendek," katanya.

Belia diminta lengkapkan diri jadi pemimpin masa depan

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

SEGAMAT 19 Julai - Golongan belia diminta melengkapkan diri dengan segala pengetahuan untuk menjadi pemimpin pelapis yang bakal mengambil alih kepimpinan sedia ada bagi meneraju negara pada masa akan datang.

Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Anuar Abdul Manap berkata, sekiranya tiada sebarang usaha dilakukan oleh golongan tersebut untuk mengambil peranan serta tanggungjawab sebagai pemimpin pada masa akan datang, negara akan ketandusan barisan kepimpinan berwibawa yang dapat memainkan peranan di peringkat global.

"Selain itu, barisan kepimpinan sedia ada di semua peringkat juga mestilah memainkan peranan dengan memandu arah dan membimbing serta memberikan peluang kepada golongan tersebut menonjolkan kebolehan mereka.

"Sebenarnya, di peringkat persatuan belia, usaha melahirkan barisan kepimpinan yang berkebolehan sudah lama dilakukan, hanya kebanyakan mereka masih belum berkesempatan diuji di gelanggang sebenar," katanya ketika ditemui semasa menyertai Program Kembara Indah Ramadan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemimpin sedia ada dan masyarakat diharap tidak menghukum golongan tersebut yang berhasrat menonjolkan kebolehan mereka sebagai seorang gila kuasa atau cuba melakukan rampasan kuasa, sebaliknya membimbing mereka menjadi pemimpin sejati.

Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang turut menasihatkan golongan belia yang berhasrat menjadi pemimpin supaya tidak 'gelojoh', sebaliknya harus belajar untuk memiliki ciri-ciri kepimpinan yang berjaya serta menilai kemampuan diri.

Menurutnya, keghairahan untuk menjadi pemimpin dalam kalangan anak muda boleh membuatkan mereka hilang pertimbangan dan terlupa cara untuk menghormati golongan yang lebih berpengalaman dan sikap tersebut harus dielakkan.

"Sebenarnya kerjasama antara kedua-dua golongan ini harus dipupuk dengan baik bagi melahirkan suasana harmoni supaya memberikan ruang kepada proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar dan teratur.

"Jika tidak, semuanya menjadi bercelaru dan rugi terutama negara yang mungkin akan kehilangan seorang pemimpin yang mampu mengangkat martabat bangsa dan negara di mata dunia," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat