Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Posted: 09 Jul 2013 12:20 AM PDT Luka akibat hakisan asid perut penyebab kepada ulser perut. - Gambar hiasan Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi dan Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Raja Affendi Raja Ali, selaku pesakit, golongan ini haruslah bijak menimbang tara antara kewajipan berpuasa dan kewajipan menjaga kesihatan. Jelasnya, bagi membantu pesakit membuat keputusan, satu langkah yang boleh diambil adalah mendapatkan khidmat nasihat doktor sebelum bermulanya bulan Ramadan. Menurut Dr. Raja Affendi, gastrik dan ulser perut adalah dua penyakit yang berbeza. Gastrik atau istilah perubatannya bermaksud perut dan gastritis merupakan keradangan pada dinding perut manakala ulser pula adalah luka akibat hakisan asid perut. "Kedua-duanya boleh terjadi akibat jangkitan bakteria helicobacter pylori yang memerlukan penggunaan ubat penahan sakit tertentu (seperti ibuprofen, naproxen, aspirin dan lain-lain), pengambilan steroid yang berlebihan serta merokok. "Lazimnya, kedua-dua penyakit ini boleh menyebabkan perasaan sebu (dyspepsia) di hulu hati. "Individu berkenaan boleh didiagnos melalui endoskopi serta pengesanan jangkitan helicobacter pylori menggunakan sampel biopsi yang diambil pada dinding perut," kata Dr. Raja Affendi. Pengesanan jangkitan helicobacter pylori kata Dr. Raja Affendi, boleh juga dibuat melalui ujian darah, najis dan perhembusan nafas (urea breath test). Berbuka puasa dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi berkala. - Gambar hiasan Katanya, seandainya pesakit mampu berpuasa, langkah paling asas yang boleh diambil bagi mengurangkan komplikasi gastritis dan ulser adalah mengawal tabiat pemakanan sepanjang bulan Ramadan. " Rasulullah SAW menyarankan kita untuk melewatkan waktu bersahur dan mengawal pemakanan waktu berbuka puasa, "Seterusnya, elakkan daripada terus tidur selepas bersahur kerana ia boleh menyumbang kepada refluks asid," katanya. Ujar Dr. Raja Affendi, semasa berbuka puasa pula, pengambilan makanan secara berlebihan berisiko mendatangkan rasa sebu (dyspepsia) di hulu hati dan refluks asid yang boleh mendatangkan rasa masam di tekak serta mulut. Oleh itu katanya, bersederhana dalam berbuka puasa dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi berkala. "Misalnya berbuka puasa dahulu dengan buah kurma dan sedikit kuih sebelum solat Maghrib diikuti hidangan utama yang seimbang sebelum solat Tarawih. "Seeloknya kita berhenti makan tiga hingga empat jam sebelum tidur bagi merehatkan saluran pencernaan, jadi cubalah meminimakan tabiat makan ketika moreh selepas Tarawih," katanya. Dr. Raja Affendi memberitahu, makanan yang terlalu pedas, berempah dan berasid seperti air berkarbonat boleh menyebabkan keradangan pada dinding perut manakala minuman berkafein pula seperti kopi menyahhidratkan air melalui saluran kencing. Sehubungan dengan itu katanya, pengambilan makanan sebegini haruslah dikurangkan. Alternatif terbaik adalah dengan memakan makanan yang mempunyai kesemua nutrien yang diperlukan badan di samping banyak meminum air masak secara berkala. Jelasnya, pada umumnya, terdapat beberapa jenis ubat untuk mengawal gastritis dan ulser perut. Namun nasihatnya, doktor diperlukan sebelum mendapatkan ubat-ubat ini di farmasi kerana dosnya mungkin berbeza mengikut individu. |
Posted: 09 Jul 2013 12:20 AM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL Sasha Bashir (kanan) ketika melakukan gimik semburan menghapuskan nyamuk pada majlis sesi dialog pengalaman menghidap demam denggi anjuran SC Johnson, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. BAGI pengacara dan selebriti tempatan, Sasha Bashir, pengalaman menghidap demam denggi lima tahun lalu mengubah persepsinya tentang penyakit tersebut. Personaliti televisyen itu juga terlantar di hospital selama lima hari kerana penyakit yang mengancam nyawa itu. "Sebelum itu hanya demam biasa. Namun saya langsung tidak mengalami gejala demam denggi seperti loya, muntah atau sakit sendi. Saya mengesyaki ini hanya perkara biasa," ujarnya ketika berkongsi pengalaman menghidap demam denggi anjuran SC Johnson dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sempena Hari Denggi ASEAN, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Seterusnya Sasha memberitahu, dia berkunjung ke klinik mendapatkan ubat bagi melegakan demam, namun suhu badan tetap tidak surut. "Doktor ada mengingatkan saya, jika demam tidak baik dalam masa tiga hari, saya perlu datang semula ke klinik untuk pemeriksaan susulan. "Selepas itu, saya dapati suhu panas badan masih tidak turun. Wajah saya juga menjadi pucat. "Saya segera memberitahu suami dan dia terus menghantar ke klinik yang akhirnya menyuruh saya merujuk ke hospital kerana suhu badan yang panas," kata Sasha. Ketika di hospital, dia terus dimasukkan ke wad kecemasan selama setengah jam untuk membuat ujian darah. Setelah disahkan menghidap demam denggi, dia dimasukkan ke wad selama lima hari. Pada mulanya, Sasha mengakui agak keliru apabila disahkan menghidap demam denggi. Bagi Sasha, pengalaman menghidap denggi itu menyebabkan dia trauma apabila melihat nyamuk berterbangan. Selepas dua tahun, suaminya pula disahkan menghidap demam denggi. "Saya sangat takut ketika itu namun bersyukur kerana semuanya selamat. Sejak itu, kami begitu mementingkan kebersihan alam sekitar. "Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa saja dan tidak mengira tempat. Disebabkan itu, kami lebih peka dengan kebersihan tidak kira di mana," katanya.. Jelas Sasha, apabila berada di tempat letak kereta yang ada sampah atau air bertakung, dengan segera dia dan suami akan membersihkannya. Seorang lagi yang pernah menghidap demam denggi dan berkongsi pengalaman, Suzanne Selvarajah, menyatakan dia diserang virus berkenaan sebanyak dua kali. "Ketika itu pada tahun 2000, saya disahkan menghidap demam denggi dan dimasukkan ke wad selama empat hari dan mengambil ujian darah bagi menentukan tahap jangkitan. "Selepas empat hari, virus denggi dalam tubuh semakin pulih dan kehidupannya kembali seperti sedia kala,"katanya. Namun, katanya, kejadian sama berulang pada tahun 2008 dan dia mengalami gejala sama iaitu demam pada suhu tinggi melebihi 39 darjah celsius walaupun sudah mengambil ubat. "Sekali lagi saya dimasukkan ke wad. Tiga hari berada di situ saya dimasukkan plasma beku dan tidak lama selepas itu bintik merah muncul pada seluruh badan. "Ketika itu, doktor membawa saya ke bilik air dan menyiram air sejuk ke atas badan bagi mengurangkan rasa gatal selepas dimasukkan plasma. "Ini begitu menakutkan apabila suhu badan saya tidak menunjukkan sebarang penurunan. Akhirnya, saya terpaksa menggunakan ais untuk menyejukkan badan yang terlalu panas," katanya yang menetap di Kajang, Selangor, ketika itu. Mengakui dihantui rasa trauma, Suzanne berkata, dia tidak teragak-agak menggunakan penyembur serangga setiap kali berada di rumah pada waktu petang. "Mujur saya tidak mendapat sebarang komplikasi yang biasa dikaitkan dengan demam denggi sehingga mengakibatkan risiko kerosakan buah pinggang dan hati serta denyutan jantung berhenti. "Saya tidak boleh membayangkan sekiranya anak kecil terkena penyakit demam denggi ini, ia memang amat menyakitkan. " Saya kini memastikan memasang wap penghalau nyamuk 24 jam dan mengenakan semburan penghalau nyamuk pada tubuh saya dan anak ketika keluar rumah," katanya yang mengakui paranoid terhadap nyamuk. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |