Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN Salleh Yusup (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus ketika melawat Jalan Sibu yang telah siap sambil diperhatikan oleh Tan Keng Chok (tiga dari kanan) dan P. Gunaseelan (kanan) di Taman Wahyu, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/FATHEEN ELLYN EZREEN ROSLI KUALA LUMPUR 23 Julai - Penduduk Taman Wahyu menerima hadiah Aidilfitri lebih awal dan boleh menarik nafas lega apabila projek naik taraf Jalan Sibu di Taman Wahyu, di sini disiapkan sepenuhnya pada 15 Julai lalu. Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup berkata, dengan siapnya projek itu sekali gus menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh penduduk mengenai keadaan jalan, perparitan dan alam sekitar di kawasan tersebut. "Sebelum ini, kerap berlaku banjir di Jalan Sibu disebabkan sistem perparitan sedia ada tidak memuaskan dan sekarang jalan ini telah diperbaiki menjadi cantik. "Sudah menjadi tanggungjawab pihak DBKL dalam memastikan keselesaan pengguna dan penduduk. Sehubungan itu, saya meminta mereka menjaga jalan ini dengan sebaik mungkin," katanya selepas sesi lawatan sempena penyiapan kerja menaik taraf jalan tersebut di sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL, Tan Keng Chok dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, P. Gunaseelan. Menurut Salleh, kerja-kerja tersebut telah dimulakan pada 18 Mac lalu dengan kos sebanyak RM1.08 juta. "Jalan sepanjang 690 meter ini juga boleh digunakan sebagai jalan pintas oleh pengguna berikutan kesesakan di jalan utama," jelasnya. Katanya, pihaknya bercadang untuk menyambungkan jalan tersebut ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wahyu dalam masa terdekat. "Ini bagi memudahkan penduduk terbabit menggunakan jalan ini untuk berulang-alik dari tempat kerja ke rumah," ujarnya. Sebelum ini penduduk membuat aduan kepada DBKL mengenai masalah yang timbul di kawasan jalan tersebut dibina bahu jalan berdebu dan berlopak akibat dijadikan tempat letak lori serta laluan kenderaan berat. Selain itu, bahu jalan diselaputi belukar dan menjadi tempat pembuangan sampah secara haram, sekali gus menjadi tempat pembiakan hidupan liar. Bangkai lori turut dibiarkan tersadai di bahu jalan, bengkel kenderaan menceroboh rezab jalan dan penduduk juga mendakwa kawasan itu sebelum ini tidak selamat buat pengguna jalan raya, terutamanya pejalan kaki. |
Jentera BN Cheras diminta dekati kaum Cina Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT Tengku Adnan Tengku Mansor beramah mesra dengan tetamu pada majlis berbuka puasa di Surau As-Sodiqin di Taman Kobena, Kuala Lumpur kelmarin. KUALA LUMPUR 23 Julai - Masyarakat Cina di Parlimen Cheras mampu kembali kepada Barisan Nasional (BN) jika golongan tersebut diberi penjelasan mengenai usaha kerajaan yang selama ini memperjuangkan kebajikan semua pihak. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, walaupun kawasan tersebut tidak pernah dipegang oleh BN namun tidak mustahil mampu dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. "Jentera BN perlu giatkan lagi usaha untuk mendekati golongan tersebut dalam usaha mengenal pasti masalah dan keperluan mereka," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di surau As-Sodiqin, Taman Kobena, di sini semalam. Jelasnya, kekalahan BN di kawasan majoriti masyarakat Cina bukan penghalang bagi mereka untuk lebih mendekati golongan tersebut. Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menasihatkan ahli UMNO supaya bermuzakarah bagi mengelak perebutan jawatan sepanjang pemilihan di peringkat cawangan yang sedang berlangsung sejak Isnin lepas hingga 30 Ogos ini. "Mereka perlu berpegang kepada Fasal 3 perlembagaan parti, yang antara lain menegaskan bahawa UMNO merupakan sebuah parti politik yang menegakkan, mempertahankan dan mengembangkan agama Islam. "Jadi dalam Islam duduk muzakarah dan berbincanglah siapa nak jadi ketua dan sebagainya," katanya. Dalam majlis tersebut, Tengku Adnan turut menyampaikan sumbangan baju raya kepada 200 penduduk di Parlimen Cheras. |
Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN KUALA LUMPUR 23 Julai - Kereta dan motosikal yang ditahan di pusat penahanan kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan masing-masing dikenakan caj sebanyak RM100 dan RM50 sehari mulai 1 Ogos depan bagi mendisiplinkan pemilik kenderaan di ibu negara. Selain caj penahanan, kenderaan yang didapati salah di bawah Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan (Fi bagi pengapitan, pengalihan dan penahanan kenderaan motor) 2012, Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu juga akan dikenakan caj bagi tindakan pengapitan (clamp) dan pengalihan yang baharu. Caj semasa yang dikenakan untuk sebuah kereta yang ditunda ialah sebanyak RM50, notis kompaun sebanyak RM100 dan RM150 mengikut kategori. Bayaran menyimpan di pusat tahanan kenderaan pula ialah sebanyak RM5 sehari. Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr. Ismail Stapa berkata, bagi kenderaan jenis motosikal termasuk beroda tiga, caj bagi pengapitan adalah RM20, pengalihan RM30 dan penahanan sehari sebanyak RM50. "Caj untuk kereta bagi pengapitan adalah RM50, pengalihan dan penahanan sehari sebanyak RM100," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini. Menurut Ismail, bas dan lori yang berat tanpa muatan tidak lebih 3,000 kilogram pula akan dikenakan caj pengapitan sebanyak RM100, pengalihan RM300 dan penahanan RM200 sehari. Katanya lagi, kenderaan berat seperti lori tangki, treler dan kenderaan lain yang berat tanpa muatan lebih daripada 3,000 kilogram pula akan dikenakan caj pengapitan sebanyak RM150, pengalihan RM400 dan penahanan RM300 sehari. Ismail yang dihubungi kemudian berkata, caj baharu itu adalah diselaraskan dengan tindakan kompaun yang dikenakan oleh agensi penguat kuasa lain, termasuk polis. "Caj baharu ini juga diperkenalkan bagi menyedarkan orang ramai agar lebih berdisiplin (apabila meletakkan kenderaan). Bila caj murah, orang buat tak kisah," katanya, merujuk kepada masalah halangan yang berlaku di jalan-jalan raya sekitar ibu negara akibat pemandu meletakkan kenderaan secara sesuka hati. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |