Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Mesir di ambang perang saudara Posted: 06 Jul 2013 10:32 AM PDT Ini bukan rampasan kuasa, rakyat melakukan revolusi, tentera hanya menyahutnya' Itulah antara kata-kata yang dipaparkan dalam sebuah portal berita di Mesir yang menyokong tindakan tentera melakukan rampasan kuasa sehingga memungkinkan Mohammed Mursi tidak sempat menyambut ulang tahun pertamanya sebagai Presiden Mesir. Rampasan kuasa oleh pihak tentera yang diketuai oleh Panglimanya yang juga Menteri Pertahanan Jeneral Abdel Fatah al-Sisi hakikatnya hanya meneruskan suasana tidak menentu terhadap kestabilan politik di negara yang terkenal dengan piramid itu. Ia memandangkan kejatuhan Mursi dikaitkan dengan peranan puak sekular dan liberal di Mesir yang tidak berpuas hati dengan corak pemerintahan Mursi yang dilihat lebih mengutamakan pergerakan Ikhwanul Muslimin. Namun begitu tindakan menghumban Mursi daripada tampuk kekuasaan bukanlah jalan penyelesaian terbaik, sebaliknya pemerhati politik antarabangsa melihat ia satu langkah yang akan mengundang kepada perang saudara di negara tersebut. Mengulas perkara ini, GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof.Dr. Azmi Hassan berkata, apabila tentera campur tangan ia tidak akan berakhir begitu sahaja dan dalam konteks Mesir, perang saudara boleh tercetus di negara itu antara puak Islam dan sekular. Walaupun tentera mengatakan ia bukan rampasan kuasa tetapi hakikatnya apa yang mereka lakukan itulah rampasan kuasa. Saya percaya tentera tidak akan mampu mengawal keadaan dan perang saudara akan meletus di Mesir," katanya dihubungi. Jika kita melihat kepada perkembangan yang berlaku di Mesir ketika ini adalah jelas perang saudara seolah-olah sudah berada di ambang pintu. Penyokong-penyokong Mursi khususnya daripada kelompok Ikhwanul Muslimin mula turun ke jalanan membantah apa yang berlaku kepada beliau sehingga tercetusnya pertempuran dengan pihak tentera. Tindakan Ikhwanul Muslimin dan penyokong Mursi daripada aliran Islam ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Ia memandangkan ketika demonstrasi demi demonstrasi dilakukan oleh penentang Mursi beberapa bulan selepas beliau menduduki kerusi Presiden, penyokong-penyokong parti Islam memberi amaran bahawa mereka rela mati mempertahankan Mursi jika beliau disingkirkan secara tidak demokratik. Tetapi ternyata amaran itu tidak menggentarkan pihak tentera yang sebelum ini cuba dikurangkan kuasanya oleh Mursi apabila menjadi Presiden. Atas alasan memenuhi tuntutan rakyat, tentera menjadikannya senjata bagi menyingkirkan Mursi. Sebenarnya, biar pun Mursi cuba mengawal tentera tetapi beliau gagal sebab itulah tentera berjaya melakukan rampasan kuasa dan apa yang menimbulkan persoalan berapa lama pemerintah sementara akan berkuasa. Ia memandangkan tentera tidak memberi tempoh bila pilihan raya akan diadakan," kata Dr.Azmi. Walaupun ketika ini Ketua Hakim Mesir, Adly Mansour dilantik sebagai Presiden sementara namun beliau boleh dianggap tidak mempunyai apa-apa kuasa kerana yang sebenarnya berkuasa adalah tentera. Sememangnya apa yang berlaku di Mesir harus menjadikan pengajaran betapa tindakan melakukan demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan bukanlah satu tindakan yang bijak sebaliknya ia akan menjadi satu proses yang boleh menghancurkan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa Mursi menduduki kerusi Presiden melalui pilihan raya yang diadakan di negara itu apabila beliau menewaskan Ahmed Shafiq, Perdana Menteri dalam pemerintahan Hosni Mubarak dengan memperolehi 52 peratus undi. Tetapi segala-galanya bermula melalui demonstrasi dan protes rakyat yang menjatuhkan kepimpinan Hosni Mubarak. Platform Kini demonstrasi juga dijadikan platform untuk menjatuhkan Mursi dan keadaan itu memberikan kesempatan terbaik kepada pihak tentera merampas kuasa. Bagaimanapun semua itu tidak akan menguntungkan Mesir, sebaliknya hanya akan menyebabkan negara itu terus berada dalam keadaan huru-hara dalam tempoh yang panjang. Seperti mana dijanjikan oleh pihak tentera, rakyat Mesir akan diberi peluang untuk memilih kerajaan baru, namun ia bukanlah satu jaminan bahawa pemerintah seterusnya tidak akan dijatuhkan lagi melalui rampasan tentera yang berpunca daripada demonstrasi jalanan. Bagi rakyat Mesir, biar pun sebahagian mereka menyokong kejatuhan Mursi namun sebahagian pula merasakan negara itu kini di ambang perang saudara. Ia memandangkan kelompok Ikhwanul Muslimin yang merupakan penyokong kuat Mursi tidak akan duduk diam. Bagi mereka, tindakan tentera melakukan rampasan kuasa dengan menyingkirkan Mursi yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi adalah satu pengkhianatan. Seorang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie ketika berucap di hadapan ribuan penyokong Mursi menyeru, gerakan Islam bersatu untuk membebaskan Mursi dan menamatkan pemerintahan tentera. Ikhwanul Muslimin bersama anda dan anda perlu bersama Ikhwanul Muslimin. Anda cukup mengenali kami, berjuta-juta antara kami akan terus berada di jalan raya dan dataran awam untuk melindungi Mursi. Kita akan memikul beliau di atas bahu kita, tegas Mohamad Badie. Seorang lagi penyokong kuat Mursi daripada Ikhwanul Muslimin, Manal Shoiub yang berucap di sebuah masjid di Kaherah menegaskan, Jika Jeneral El-Sissi mahu menghapuskan kami, kita tidak akan lari. Kami akan hadapi peluru dengan tubuh kami. Biar Panglima Angkatan Tentera menghormati Presidennya. Amaran itu menjadi kenyataan apabila penyokong Ikhwanul Muslimin bertempur dengan tentera yang menyaksikan berpuluh-puluh orang terbunuh. Tindak balas yang dilakukan oleh Ikhwanul Muslimin itu bukanlah satu perkara yang mengejutkan memandangkan selama 80 tahun pertubuhan itu bergerak di belakang tabir bagi meraih kuasa di Mesir dan sekarang apabila pemimpin yang mereka sokong disingkirkan tidak sampai setahun memerintah, maka ia sudah tentulah mewujudkan perasaan tidak puas hati yang cukup mendalam. Sebab itulah kebimbangan bahawa akan tercetus perang saudara di Mesir bukanlah tidak berasas apatah lagi dengan tindakan tentera yang melakukan rampasan kuasa. Pejuang-pejuang Islam yang turun ke jalanan selepas kejatuhan Mursi sudah bersumpah akan berjuang sehingga titisan darah terakhir sebagai membalas dendam terhadap tindakan tentera itu. Kemarahan membuak-buak itu didorong dengan pegangan bahawa Mursi menduduki jawatan Presiden melalui cara demokrasi, oleh itu hanya jalan demokrasi sahaja boleh menjatuhkan beliau. Walaupun sebahagian besar rakyat Mesir memahami bahawa Mursi mengambil alih memerintah negara itu dalam keadaan ekonomi yang merudum dan sudah tentulah memerlukan masa untuk memulihkannya namun mereka tidak dapat bersabar. Keadaan itu telah mengundang reaksi ulama terkemuka dunia, Yusuf Al-Qaradawi yang mempersoalkan tindakan rakyat Mesir dengan berkata, Bagaimana kita boleh bersabar dengan Mubarak selama 30 tahun tapi tidak boleh bersabar dengan Mursi selama setahun". Kesudahannya, bergeraklah tangan-tangan ghaib termasuk dari luar negara untuk memastikan Mursi tersingkir dari kerusi Presiden. Kini Mesir di ambang perang saudara, sesungguhnya rakyat Mesirlah yang bertanggungjawab menjemput petaka berkenaan sehingga memungkinkan bumi negara itu bersimbah darah.Inilah bahananya apabila mereka tidak memahami erti sebenar demokrasi. |
Posted: 06 Jul 2013 10:33 AM PDT AHMAD Shabery Cheek menunjukkan siaran sidang Dewan Rakyat yang boleh diikuti secara langsung melalui iPad. DATUK SERI AHMAD SHABERY CHEEK bukanlah orang asing dalam Kementerian Penerangan. Beliau pernah menduduki jawatan Menteri Penerangan pada Mac 2008 hingga 2009 sebelum dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Kini Ahmad Shabery bagaikan sireh pulang ke gagang apabila diberi tanggungjawab di kementerian yang sama biar pun nama berubah iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Salah satu perubahan yang mengejutkan banyak pihak dilakukan oleh beliau ketika menjadi Menteri Penerangan dahulu ialah menyiarkan siaran langsung sesi Dewan Rakyat selama 30 minit. Apabila kembali semula ke kementerian tersebut, Ahmad Shabery menambah masa siaran langsung sesi Dewan Rakyat melalui saluran TV1 kepada satu jam 30 minit dan juga memperkenalkan siaran langsung melalui Internet sehingga persidangan berakhir bermula 1 Julai lalu. Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, NORLIZA ABD. RAHMAN dan NIZAM YATIM serta jurugambar HANAFI KHAMIS di pejabatnya di Putrajaya, Rabu lalu, Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman menjelaskan, rasional di sebalik tindakan itu. Beliau juga mengupas usaha bagi mengikis tanggapan bahawa RTM sekadar menyiarkan wajah pemimpin-pemimpin kerajaan sahaja. MINGGUAN: Apakah tujuan menambah masa siaran televisyen dan menyiarkan sesi Dewan Rakyat menerusi Internet? AHMAD SHABERY: Ia bagi memenuhi kehendak orang ramai yang selama ini mahu ada ketelusan dari segi perbincangan di Parlimen. Ini bukan sahaja dari segi hendak melihat apa yang dibahaskan, dasar atau isu yang ditimbulkan, tetapi `drama yang berlaku dalam Parlimen. Tidak dinafikan dari semasa ke semasa `drama ini boleh tercetus, pada bila-bila masa dan `drama ini adalah realiti, bukan berdasarkan skrip yang diatur. Oleh itu sesuai dengan perkembangan penyiaran moden, orang ramai akan mendapat maklumat terkini tentang apa yang berlaku. Terkini itu maksudnya real-time (masa nyata). Apa yang berlaku sekarang, keluar sekarang. Sebab itu media sosial menjadi pilihan baharu kerana ia cepat mengeluarkan maklumat. Sekarang ini, bila RTM memperkenalkan siaran langsung, ia merupakan satu permulaan besar kepada kita dan bagi saya, satu pemodenan dalam RTM itu sendiri. Pemodenan bukan sekadar dari segi kelengkapan penyiaran, studio dan transmisi digital, saluran dengan gambar berkualiti tinggi (HD), sistem suara yang lebih baik dan terang yang menggunakan sistem Dolby dan bunyi sekeliling, malah yang paling penting ialah kandungannya. Sebagai media yang boleh menyampaikan maklumat, kandungan RTM itu mestilah bersifat masa nyata dan paling terkini. Bagi saya, salah satu daripada tumpuan rakyat sekarang ialah apa yang berlaku dalam Parlimen dan kita membantu mereka dengan menyalurkan secara langsung tanpa suntingan. Kalau masa itu mereka baling selipar atau kasut, kita tengoklah. Apa yang kita laksanakan ini juga bagi memenuhi permintaan yang mahukan RTM mesti bersikap lebih adil. Jika sebelum ini timbul isu orang kata RTM hanya digunakan untuk menyiarkan wajah pemimpin-pemimpin kerajaan sahaja, sekarang tidak lagi. Ini kerana kalau dalam waktu siaran langsung itu ahli Parlimen pembangkang yang banyak bertanya soalan, maka mereka akan dapat publisiti. Kadang-kadang mungkin dia dapat lebih banyak daripada pemimpin kerajaan kerana kita tidak lagi tentukan berapa minit untuk kerajaan dan berapa minit untuk pembangkang. Jadi segala yang dibangkitkan sebelum ini sudah tidak menjadi isu sama sekali lagi sekarang dan masa akan datang. Bagaimanapun, sehingga sekarang apabila diumumkan pembaharuan ini, saya tidak mendengar sepatah pun pujian daripada pembangkang, tetapi saya buat ini bukan kerana pembangkang. Kenapa tidak diadakan saluran khas televisyen untuk sidang Parlimen? AHMAD SHABERY: Kita menyiarkan melalui Internet kerana terdapat kekangan memandangkang kita hanya ada dua saluran televisyen. Untuk menambah lagi satu lagi saluran, ia melibatkan kos yang sangat tinggi kerana kita perlu ada spektrum atau frekuensi baharu. Sekarang ini, kita terpaksa berhati-hati ketika mengagihkan frekuensi kerana ia juga digunakan untuk jalur lebar 3G dan 4G, telefon bimbit, radio dan kegunaan polis, tentera serta bomba. Kita juga perlu memasang pemancar baharu dan kosnya mungkin antara RM200 juta hingga RM300 juta. Kos siaran melalui Internet pula tidaklah terlalu tinggi. Sebab lain kerana televisyen kita kini menggunakan sistem analog. Sistem ini sudah tidak dipakai lagi oleh banyak pihak dan akan digantikan dengan sistem digital yang lebih ekonomik. Oleh itu buat apa kita mahu tambah saluran transmisi analog ketika orang lain sudah hendak tutup sistem itu. Apatah lagi hendak cari alat ganti pun sudah tidak ada lagi sebab dunia sudah semua berhijrah kepada digital. Dalam Facebook saya, ada orang kecam kerana tidak mahu mengadakan satu saluran baharu. Saya jelaskan bahawa saluran baharu sudah tidak praktikal, sebab tambahan saluran berdasarkan kepada pemancar analog sudah tidak dipakai orang. Bagi saya, sekiranya masih ada orang yang ingin mengikuti perkembangan dalam Parlimen mereka boleh melayari di mana-mana sahaja melalui Internet. Kualiti gambarnya lebih baik kerana kita menggunakan kamera berkualiti dan berdefinisi tinggi. Bila bermulanya pembaharuan siaran ini? AHMAD SHABERY: Bermula pada 1 Julai selepas saya mendapat persetujuan daripada Kabinet. Ssebelum itu apabila saya menyemak rating pada hari pertama angkat sumpah, lebih daripada 1.8 juta orang menonton siaran langsung di televisyen. Sebab itu saya minta persetujuan daripada Kabinet supaya waktu soal jawab keseluruhan iaitu satu jam setengah disiarkan secara langsung melalui televisyen dan selebihnya waktu perbahasan disiarkan melalui siaran Internet. Ramai yang terkejut kerana orang yang pertama mendapat siaran secara langsung waktu perbahasan yang boleh ditonton serata dunia melalui Internet ialah Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Bagaimanapun, siaran melalui Internet ini ada kekangannya kerana jalur lebar yang kita ada hanya boleh menampung 30,000 orang dalam satu masa. Tetapi dalam masa yang sama kita sudah berbincang supaya digunakan platform tambahan. Platform rasminya adalah di bawah RTM mobile (m.rtm.gov.my) tetapi pada hari ini saya sudah mendapat platform baharu di bawah 1Malaysia TV. Kalau tengok RTM mobile , ia sebenarnya sudah ada lima saluran iaitu TV1, TV2, TVi, Muzik Aktif dan RTM Parlimen. Semuanya boleh diikuti melalui komputer, tablet atau telefon pintar asalkan mempunyai sambungan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) atau jalur lebar 3G. Ada cadangan untuk memperkembangkan saluran RTM Parlimen? AHMAD SHABERY: Ya, insya-Allah kita akan kembangkan, bukan sahaja untuk perbahasan dalam Dewan Rakyat sahaja tetapi juga di Dewan Negara. Ia juga akan melibatkan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan politik, misalnya Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut. Saya akan minta kebenaran daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kalau boleh kita nak letakkan kamera waktu mengira undi, supaya orang boleh mendapat keputusan lebih cepat melalui RTM Parlimen atau siaran televisyen secara langsung. Saya juga boleh berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri misalnya kalau mereka hendak menggunakan platform ini bagi menyiarkan sidang DUN. Macam mana boleh mendapat idea siaran langsung ini? AHMAD SHABERY: Ini bukan perkara baharu kerana siaran langsung Dewan Rakyat melalui RTM selama setengah jam telah saya perkenalkan semasa saya menjadi Menteri Penerangan (pada 2008). Waktu itu kawan-kawan saya mempersoalkan kerana hari pertama, waktu siaran ini dibuat , pembangkang telah menyalahgunakan kebebasan setengah jam itu dengan membangkitkan perkara-perkara yang tidak relevan. Mereka seperti orang kemaruk pada waktu itu kerana kali pertama mendapat siaran langsung. Saya ingat lagi Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang hanya membangkitkan perkara-perkara yang berkaitan soal aturan mesyuarat dan isu remeh temeh semasa sesi menjawab soalan yang pertama, sampai habis waktu setengah jam itu, sehinggakan orang mencemuh dengan menyatakan gelagat ahli Parlimen memalukan. Selepas setahun menjadi Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menggantikan saya telah menyatakan bahawa saluran berkenaan perlu diuruskan kembali, tetap setengah jam tetapi perlu ada rawatan. Sekarang, saya ingin memberi kesempatan sekali lagi kepada ahli Parlimen tanpa mengira kerajaan ataupun pembangkang. Satu peluang yang seluas-luasnya untuk mereka menggunakan saluran ini bagi membantu pembangunan negara. Datuk Seri tidak bimbang pihak pembangkang menyalahgunakan kemudahan ini sekali lagi? AHMAD SHABERY: Saya berpendapat akhirnya rakyat akan mampu menilai. Rakyat dapat melihat apa yang disampaikan oleh pihak kerajaan dan pembangkang serta bagaimana sikap ahli Parlimen apabila menjawab sesuatu isu yang ditimbulkan. Dalam politik, orang kata yang paling susah ialah untuk menjawab. Kalau dia tak buat, dia kena menjawab. Kalau dia ada menyalahgunakan kuasa, dia kena jawab. Kalau dia bercakap bohong pun akhirnya orang akan tanya dan dia kena jawab. Jadi isu yang paling penting dalam sistem berpolitik kita ialah bertanggungjawab. Nama pun tanggungjawab, maknanya boleh atau tidak dia menjawab apa yang ditimbulkan dalam institusi paling penting sekali iaitu Parlimen. Misalnya Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng membangkitkan soal Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) didakwa mempunyai akaun yang banyak termasuk dalam bank di Israel dan Singapura sampai berpuluh-puluh juta ringgit, ia menjadi tanggungjawab Ketua Pembangkang untuk menjawab, jangan kata bahawa kerajaan sahaja yang bertanggungjawab untuk menjawab. Anwar juga kena menjawab segala apa yang dibangkitkan oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bahawa dia mendapat bantuan daripada pihak luar termasuk Amerika Syarikat (AS), Filipina dan Turki. Kalau dia tak menjawab, rakyat sepatutnya boleh menilai. Jadi keterbukaan kita boleh menjadi perkara baik dan buruk kepada kedua-dua belah pihak. Saya pernah dengar bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, blog celaka. Sebab dia sendiri tak tahan dengan kritikan terhadapnya. Kenapakah kita tidak menyekat siaran melalui Internet seperti di China? AHMAD SHABERY: Jika sekatan dibuat, kita akan menangguhkan manfaat yang mungkin dapat diterima daripada teknologi maklumat. Misalnya, menerusi pemasaran melalui Internet berapa ramai orang yang dulunya berpendapatan RM400 sebulan kini memperolehi RM20,000 atau RM40,000 sebulan. Ini bermakna kita tidak boleh menyekat kemajuan. Kita tahu ada yang menyalahgunakan teknologi ini. Dulu kita syaratkan siapa yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) perlu berdaftar bagi memudahkan kita membuat pengesanan. Tetapi orang telah beralih kepada BlackBerry Messenger. Apabila ia juga perlu didaftarkan orang beralih kepada aplikasi lain yang lebih baharu. Ini bermakna menghalang orang berkomunikasi melalui media sosial ini macam menghalang orang pergi ke kedai kopi. Kerana orang suka berbual, hari-hari kita berucap, ini benda yang tak boleh kita nak sekat. Apa guna kita bina infrastruktur seperti jalur lebar dan talian telefon yang kerajaan sendiri membantu membangunkan, kalau kita menghalang penggunaan aplikasi terbabit. Cara terbaik mendidik rakyat untuk menggunakan aplikasi terbabit dengan bijak dan tahu menilai baik dan buruk. Apakah ketelusan yang akan ditunjukkan RTM ketika Pilihan Raya Kecil Kuala Besut? AHMAD SHABERY: Saya akan berbincang dengan SPR supaya dibenarkan kamera televisyen berada dalam bilik pengiraan dan bilik mengundi bagi membolehkan orang ramai melihat apa sebenarnya berlaku secara telus dan dalam masa nyata. Rakyat juga boleh tengok kertas undi dikira satu persatu. Mungkin zaman dulu, selalunya RTM kalau BN menang baru keluarkan cerita itu. Kalau kalah gulung wayar dan simpan kamera, tetapi akhirnya orang tahu juga kalau RTM balik awal, itu maknanya BN kalah. Jadi sekarang kita letak kamera, biar rakyat sama-sama menunggu keputusan dengan duduk depan televisyen atau melayari Internet. Orang kena belajar menerima keputusan, termasuk orang kerajaan juga. Kalau BN menang, menanglah. Kalau kalah, kalahlah. Hidup mesti diteruskan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |