Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Air 'tuak' popular di bulan puasa
- Ayam dijual di bawah harga siling
- Pas nafi balak punca sungai cetek, jejas padi
Air 'tuak' popular di bulan puasa Posted: 24 Jul 2013 11:34 AM PDT Oleh YATIMIN ABDULLAH Daud Yusoff melayan pelanggan yang singgah membeli air nira di rumahnya di Kampung Pulau Gajah Hilir, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, baru-baru ini. - utusan/yatimin abdullah KOTA BHARU 24 Julai - Nira kelapa atau lebih popular dengan panggilan 'tuak' dalam kalangan masyarakat negeri ini merupakan sejenis minuman yang dihasilkan daripada keratan mayang kelapa. Tuak kelapa merupakan sejenis minuman yang cukup popular dalam kalangan masyarakat negeri ini sebagai penghilang dahaga. Maka, tidak hairanlah minuman yang mempunyai rasa enak ini sering menjadi pilihan utama masyarakat Islam di negeri ini sebagai sajian ketika berbuka puasa. Setiap kali tibanya bulan Ramadan, minuman tradisi ini pasti mendapat permintaan tinggi daripada umat Islam untuk dijadikan minuman segar sewaktu berbuka puasa. Selain rasanya yang enak, minuman berkenaan dipercayai dapat menghilangkan keletihan dan menyejukkan badan bagi meredakan penyakit seperti demam panas. Pengusaha minuman berkenaan, Daud Yusoff, 58, atau lebih mesra dengan panggilan Pok Od berkata, kebiasaannya nira yang diambil daripada mayang kelapa akan dijadikan sebagai manisan atau gula nira kelapa. Menurutnya, situasi tersebut berubah setiap kali tibanya bulan Ramadan, apabila nira yang diperoleh diproses untuk dijadikan sebagai minuman kerana mendapat permintaan pada bulan puasa. Katanya, setiap hari dia mampu menghasilkan 10 liter minuman tersebut daripada 13 batang pokok kelapa yang dipajak daripada penduduk kampung. "Saya memungut nira daripada mayang kelapa ini dua kali sehari iaitu pada pagi dan petang dengan setiap tuaian menghasilkan kira-kira lima liter. "Bagaimanapun, cuaca turut memainkan peranan dalam jumlah pengeluaran nira. Jika cuaca hujan dan lembap, hasil nira meningkat, manakala hasil akan berkurangan apabila cuaca panas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Gajah Hilir, Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini. Tambahnya, permintaan yang tinggi sepanjang Ramadan menyebabkan dia memilih untuk memberikan tumpuan kepada penghasilan nira berbanding aktiviti membuat manisan. Pok Odd memberitahu, sepanjang Ramadan dia mampu memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan air nira yang diusahakannya itu. "Dulu saya bekerja sebagai tukang rumah, namun disebabkan pendapatan tidak menentu, saya mengambil keputusan dan cuba menghasilkan nira bagi digunakan membuat manisan. "Namun disebabkan permintaan tinggi pada bulan Ramadan, saya mengambil keputusan untuk menghasilkan minuman berkenaan (air nira) dengan lebih serius. "Alhamdulillah pendapatan yang saya peroleh mampu digunakan untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga," ujarnya. Tambah beliau, bagi menambah keenakan air nira yang dihasilkannya, dia menggunakan aroma kayu cengal yang diletakkan di dalam bekas plastik ketika proses tuaian dilakukan. Pok Odd berkata, air nira yang dihasilkannya dijual secara borong dan runcit yang dimasukkan ke dalam botol plastik mengikut kehendak pelanggan. Menurut Pok Odd lagi, meskipun usianya telah mencecah 58 tahun, namun dia tetap bersemangat meneruskan pekerjaan menghasilkan air nira bagi meraih rezeki untuk menyara keluarga. Sementara itu, seorang penggemar minuman berkenaan, Che Rosli Che Ali, 40, berkata, setiap kali tibanya bulan Ramadan, dia akan menjadikan air nira sebagai minuman utama ketika berbuka puasa. Che Rosli berpendapat, minuman berkenaan mampu membantu memulihkan kesihatan dalaman badan seperti sakit urat dan membekalkan tenaga setelah seharian berpuasa. Kata lelaki itu, dia menggemari minuman itu disebabkan aroma dan rasanya yang enak. "Air nira cukup lazat diminum ketika sejuk. Rasanya sedikit masam bercampur manis mampu memberikan kepuasan kepada para penggemarnya. "Tidak hairanlah minuman ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan para penggemarnya yang tahu akan keenakan rasa minuman ini," jelasnya. |
Ayam dijual di bawah harga siling Posted: 24 Jul 2013 11:34 AM PDT Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI KOTA BHARU 24 Julai - Tindakan pengguna yang kurang membeli ayam dikatakan punca kepada peniaga menjual ayam segar di bawah harga siling ditetapkan oleh kerajaan. Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah, Pasar Kok Lanas dan Ketereh mendapati, ayam segar dijual sekitar RM7 hingga RM7.50 sekilogram berbanding harga siling sebanyak RM7.70 sekilogram. Malah, beberapa peniaga yang ditemui turut bersetuju dengan penetapan harga siling ayam segar yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu sehingga ada yang menjual ayam segar di bawah RM7 sekilogram. Selain itu, beberapa barangan keperluan seperti cili merah, sayur, daging dan ikan masih dijual pada harga sama antara lain disebabkan permintaan bertambah mendorong peniaga mengekalkan harga. Seorang peniaga ayam, Muhamad Kelasah, 54, berkata, dia tidak akan menaikkan harga ayam di gerainya walaupun menjelang sambutan Aidilfitri. "Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menjual ayam melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan kerana akan membebankan pengguna," katanya ketika ditemui dekat sini hari ini. Seorang lagi peniaga ayam, Zulkifli Mat Tahir, 60, berkata dia bersetuju penetapan harga siling ayam sebanyak RM7.70 oleh kerajaan. "Langkah berkenaan dapat membantu menyelaraskan harga ayam, sekali gus mengatasi masalah kenaikan harga bahan makanan tersebut yang tidak pernah reda. "Namun, jika mereka (kerajaan) mahu menurunkan harga tersebut, itu lebih baik kepada pengguna. Malah kami (peniaga) juga mendapat faedah kerana pastinya pengguna mahu membeli barang tersebut dengan banyak," ujarnya. Peniaga ikan, Mohd. Rozaihan Husin, 33, berkata, kenaikan mendadak harga ayam menyebabkan pengguna beralih kepada ikan yang setakat ini tidak mengalami bekalan mengakibatkan harganya dapat dikekalkan. "Setakat ini bekalan barangan mentah masih lagi mencukupi dan pengguna tidak perlu risau akan bekalan barang tersebut," katanya. |
Pas nafi balak punca sungai cetek, jejas padi Posted: 24 Jul 2013 11:34 AM PDT KOTA BHARU 24 Julai - Kerajaan Pas Kelantan menafikan aktiviti pembalakan di Hulu Kelantan menyebabkan Sungai Kelantan cetek dan menjadi punca kepada pengurangan pengeluaran padi di negeri ini sehingga mendatangkan kerugian kepada petani. Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebaliknya percaya banyak faktor lain menjadi punca kepada perkara itu dan mahukan kajian dibuat untuk mencari punca utama kepada masalah tersebut. Beliau berkata, kerajaan Pas Kelantan juga telah menghentikan semua aktiviti pembalakan tanpa kebenaran terutama di kawasan hutan simpan dan tadahan hujan. "Saya rasa tidak adil kalau kita kata pembalakan, sebab pembalakan yang diluluskan adalah berasas iaitu sesuatu kawasan yang baik bukannya kawasan tadahan atau hutan simpan. "Kita perlu buat kajian kerana pengurangan hasil padi ini bukan sahaja bergantung kepada kualiti air tetapi mungkin musim pertanian dan faktor-faktor lain seperti penyakit," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa pengeluaran padi berkurang kerana paras air sungai cetek yang berpunca daripada pembalakan di hulu mengakibatkan mendapan lumpur di rumah pam milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA). Ismail Sabri berkata, bantuan berjuta ringgit yang disalurkan Kerajaan Pusat untuk membantu menyelesaikan masalah pengairan tidak akan berjaya sekiranya kerajaan negeri masih bersikap lepas tangan dalam menangani aktiviti tersebut. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, Mesyuarat Exco bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Kelantan (MPEK) yang berperanan memberi cadangan dan idea bagi membantu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri dari semasa ke semasa. Katanya, beliau akan mengetuai MPEK manakala ahli-ahlinya terdiri daripada golongan profesional dalam bidang ekonomi serta ahli-ahli korporat yang telah berjaya. "Antara dua pemimpin akademik yang disenaraikan adalah daripada Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya iaitu Prof. Dr. Mohd. Nazari Ismail dan Prof. Dr. Mohd. Said Zainol dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM). "Pemilihan ini berdasarkan kepada bidang masing-masing yang mengambil kira pelbagai aspek kerana harapan kerajaan dengan penubuhan ini dapat membantu memberi pandangan ketiga khususnya dalam bidang ekonomi," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |