{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Pembekal puyuh di Pantai Timur

Posted: 27 Jul 2013 10:28 AM PDT

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

Penternakan burung puyuh yang diusahakan oleh anak syarikat Ketengah, Surada Jaya Sdn. Bhd. mampu mengeluarkan dua tan daging puyuh segar sebulan yang dipasarkan sekitar Terengganu.

KUALA TERENGGANU 27 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bakal menjadi pembekal burung puyuh terbesar di Pantai Timur dengan kewujudan pusat penetasan dan ternakan puyuh di Seri Bandi, Kemaman yang berkapasiti pengeluaran kira-kira 1.2 juta ekor setahun.

Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud berkata, pusat penetasan puyuh yang beroperasi pada Oktober 2010 dengan kos peruntukan sebanyak RM5 juta itu mensasarkan pengeluaran awal daripada 40,000 sehingga 60,000 ekor anak puyuh sebulan.

Katanya, kira-kira 80 peratus projek ternakan dan penetasan puyuh itu akan diusahakan oleh anak syarikat Ketengah, Surada Jaya Sdn. Bhd., manakala selebihnya diusahakan oleh penduduk kampung di wilayah Ketengah bagi memberi peluang pekerjaan kepada mereka.

"Tiada masalah dari segi pasaran kerana permintaan memang tidak mencukupi ketika ini dan kita juga akan bantu pasarkan hasil pengeluaran yang diusahakan penduduk kampung berkenaan.

"Apabila mencapai jumlah yang disasarkan, kita akan pasarkan anak burung puyuh ini ke luar negeri ini pula," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, melalui projek itu, Ketengah yakin dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain dapat memenuhi permintaan yang tidak mencukupi terhadap bekalan daging puyuh proses.

Ujarnya, pusat ternakan puyuh yang dibina di atas tanah seluas 2.269 hektar manakala pusat penetasan di atas tanah seluas 4.341 hektar kini diuruskan oleh anak syarikat Ketengah dengan diawasi seorang penolong pengurus, penyelia dan tiga orang pekerja.

Jelasnya, antara kemudahan yang terdapat di pusat penternakan dan penetasan itu ialah lima buah reban, sebuah rumah proses, dua rumah pekerja, tiga buah reban perindukan, dua buah reban baka serta sebuah bangunan penetasan.

"Ketika ini, syarikat tersebut mampu mengeluarkan dua tan daging puyuh segar sebulan yang dipasarkan sekitar negeri ini.

"Kita berharap, pengeluaran daging puyuh segar dapat ditingkatkan bagi memenuhi permintaan puyuh yang sangat tinggi di seluruh negara," katanya.

Maik keluar zakat RM149,000 kepada IDIP

Posted: 27 Jul 2013 10:28 AM PDT

TENGKU Muhammad Fa-iz Petra (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada salah seorang pelajar dalam majlis pengurniaan zakat kepada pelajar dan kakitangan Institut Dakwah Islamiah Perkim, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 27 Julai - Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mencemar duli berangkat ke majlis pengurniaan zakat kepada pelajar dan kakitangan Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Mengiringi baginda pada majlis tersebut, Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Kamaruddin Mohd. Zin; Pengerusi IDIP Malaysia, Datuk Dr. Ismail Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Zainuddin Awang; Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri dan tetamu kehormat lain.

Sementara itu, Kamaruddin ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan berkata, Maik mengagihkan sumbangan zakat berjumlah RM149,000 kepada IDIP.

Daripada jumlah tersebut, Kamaruddin memberitahu, sebanyak RM124,000 disalurkan kepada pihak pengurusan IDIP bagi menampung perbelanjaan menguruskan pusat itu termasuk sumbangan kepada guru-guru al-Quran.

Beliau berkata, sebanyak RM25,000 lagi telah disumbangkan kepada 125 pelajar yang masih menuntut di IDIP Kelantan.

"Sumbangan tersebut membuktikan kecaknaan Maik dalam usaha memperkasakan lagi perkembangan agama Islam di negeri ini, khususnya dalam kalangan saudara baharu," katanya.

Sementara itu, salah seorang pelajar, Mohd. Azmi Azhan, 24, yang juga merupakan seorang mualaf melahirkan rasa syukur dan gembira dengan sumbangan tersebut.

"Sumbangan ini memberikan motivasi kepada saya untuk terus mendalami ilmu agama dengan lebih sempurna dan baik," ujarnya.

Ramadan medium eratkan silaturahim

Posted: 27 Jul 2013 10:28 AM PDT

ZULKIFLI Ali (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam majlis berbuka puasa bersama penduduk sempena dengan Kembara Jalur Gemilang Ramadan/Syawal di Kampung Padang Pak Omar, dekat Pasir Puteh, semalam.

PASIR PUTEH 27 Julai - Rakyat diseru menjadikan bulan Ramadan sebagai medium untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifli Ali berkata, Ramadan mengajar umat Islam supaya bersabar dan mendisiplinkan diri dengan melupakan sengketa sesama ummah.

"Sudah masanya latar belakang politik yang menjadi pemisah sebelum ini dilupakan. Eloklah kita sama-sama bangkit demi kepentingan agama, masyarakat dan negara bagi memastikan perpaduan antara masyarakat terus utuh.

"Perpecahan yang berlaku sebelum ini merugikan kita semua. Jadi saya menyeru kita menggunakan kesempatan Ramadan ini untuk merapatkan tali persaudaraan sesama kita," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama penduduk sempena dengan Kembara Jalur Gemilang Ramadan/Syawal di Kampung Padang Pak Omar, dekat sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Ramly Yusoff.

Pada majlis tersebut, Zulkifli bersama Jabatan Penerangan turut menyampaikan bantuan kepada masyarakat setempat dan surau di kampung berkenaan.

Sementara itu Ramly memberitahu, program kembara merdeka itu bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik di kalangan masyarakat menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini.

Katanya, rombongan tersebut akan menjelajah ke seluruh negeri dalam usaha menyemarakkan semangat berkenaan.

"Kita mahu semangat kemerdekaan terus dirasai walaupun masyarakat di negara ini sibuk menjalani ibadah puasa dan bakal menyambut Aidilfitri pada awal Ogos nanti.

"Selain itu, program ini juga menjadi medium untuk merapatkan hubungan antara pihak jabatan dan masyarakat serta memberikan penerangan kepada rakyat berkaitan dengan dasar-dasar kerajaan," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat