Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT Oleh KAMARUDIN HAMZAH Mohd. Iskandar Jaafar (kiri) bersama penduduk meninjau laluan Felda Selasih ke Alor Sedang berhampiran Kampung Anak Ikan yang sering berlaku kemalangan, di Besut, semalam. BESUT 28 Julai - Laluan dari Simpang Felda Selasih ke Kampung Alor Sedang sepanjang kira-kira 4 kilometer yang sering berlaku kemalangan maut perlu dinaik taraf termasuk melebar jalan dan menggantikan jambatan sempit. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, di laluan berisiko terutama di Kampung Ikan yang sudah meragut lima nyawa sepanjang minggu lalu menuntut perhatian cukup serius. Menurutnya, terdapat tiga buah jambatan sempit di laluan itu yang perlu diperbesarkan atau digantikan kerana tidak lagi sesuai untuk menampung peningkatan aliran kenderaan. Di kawasan itu pula terdapat sekolah menengah dan rendah, dua buah masjid dan satu kawasan perumahan awam yang menjadikan laluan itu sibuk terutama pada waktu puncak," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan jalan di laluan itu hari ini. Beliau berkata, keadaan jalan sekarang didapati masih sempit dan perlu dilebarkan serta dibina pembahagi jalan untuk mengasingkan laluan supaya menjadi lebih selamat. Pada waktu puncak jalan terutama di kawasan sekolah menengah dan rendah akan menjadi sibuk dengan ibu bapa mengambil anak masing-masing selain umat Islam yang ke masjid untuk menunaikan solat zuhur. Mohd. Iskandar berkata, keadaan jalan yang lurus bermula dari simpang masuk ke Felda Selasih ke Alor Sedang (sempadan daerah Besut dan Setiu) menjadikannya lokasi yang sesuai untuk pemandu memecut dan memotong kenderaan lain. Tidak hairanlah kawasan Kampung Anak Ikan di laluan ini sering berlaku kemalangan sama ada melibatkan penduduk setempat dan juga orang luar serta kalangan pelajar," ujarnya. Selain itu, tambah beliau, kurangnya papan tanda amaran dipasang di sepanjang laluan itu bagi mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan berhemah ketika membawa kenderaan masing-masing. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Anak Ikan, Mohd. Lembek berkata, terdapat beberapa kes di mana penduduk kampung yang terlibat dalam kemalangan semasa datang atau pulang dari sebuah surau yang dibina berhampiran jalan di laluan tersebut. Beberapa penduduk mengalami kecederaan patah kaki dan tangan serta mengalami kecacatan kekal kerana terlibat dalam kemalangan ketika melalui jalan tersebut yang sentiasa sibuk dengan kenderaan lalu lalang. JKKK berharap kerajaan dan pihak berkenaan dapat mengkaji bagaimana cara yang sesuai untuk mengelakkan berlaku lebih banyak kemalangan serta mendidik pengguna supaya memandu dengan penuh berhati-hati ketika melalui laluan," jelasnya. Pengerusi JKKK Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kampung Anak Ikan, Muhamad Salleh pula berkata, penghuni PAKR itu bimbang setiap kali mereka keluar dan balik dari menghantar anak-anak ke sekolah. Katanya, setakat ini tidak kurang daripada lima penghuni PAKR itu yang mengalami kecacatan pada tangan dan kaki serta bahagian lain kerana terlibat dalam kemalangan di laluan itu walaupun tidak serius. |
SK Othman Talib 1 sumbang baju raya Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT Zulhadi Mahamad (kanan) memakaikan baju raya kepada pelajar yatim di Pasar raya Mydin, Kubang Kerian, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 28 Julai - Persiapan menyambut Aidilfitri bagi 33 anak yatim dan miskin dari Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1 (SKOT1), Tendong, Pasir Mas kali ini lebih meriah berbanding tahun lalu. Pada tahun ini, mereka diberi peluang untuk memilih baju raya sendiri di Pasar raya Mydin Kubang Kerian dekat sini hari ini. Kesemua kos perbelanjaan itu disediakan oleh pihak sekolah berkenaan bersempena program Ihya Ramadan dan majlis tersebut merupakan kali pertama dianjurkan oleh pihak pengurusan sekolah. Guru Besar SKOT1, Zulhadi Mahamad memberitahu, sumbangan itu berbeza dengan tahun lalu kerana kesemua anak yatim hanya mendapatkan sumbangan seperti hamper namun kali ini mereka mendapat baju raya. "Sumbangan ini diperoleh daripada tabung Ramadan yang diwujudkan oleh pihak sekolah hasil sumbangan guru, kakitangan sekolah, murid serta ibu bapa. "Kali ini pihak sekolah telah memilih seramai 33 orang yang amat memerlukan bantuan iaitu 16 perempuan dan 17 lelaki, kebanyakan mereka tidak dapat membeli baju raya kerana tidak mampu," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Sementara itu seorang anak yatim, Tengku Nur Ain Najwa Tengku Razliza, 7, berkata, dia berasa gembira dan teruja kerana diberi peluang untuk memilih baju kurung sendiri. "Saya begitu seronok kerana di pasar raya ini banyak pilihan dan kalau hendak beli sendiri mungkin tidak berpeluang seperti hari ini. Saya amat berterima kasih kepada pihak sekolah," katanya dari Kampung Tendong, Pasir Mas. |
Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT Rumah kedai Ab. Rashid Awang yang rosak bumbung akibat dilanda ribut di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan, kelmarin. GUA MUSANG 28 Julai - Sebuah keluarga terpaksa berbuka puasa dalam hujan lebat dan basah kuyup apabila bumbung rumah mereka di Kampung Batu Papan, Jalan Pulai Lama dekat sini diterbangkan ribut petang semalam. Kejadian tersebut berlaku ketika peniaga kedai makan, Ab. Rashid Awang, 43, dan keluarganya sedang bersiap sedia untuk berbuka puasa kira-kira pukul 6.30 petang. Mangsa, Ab. Rashid berkata, dia bersama isteri, Suria Yusoff, 33, dan dua orang anak sedang menyiapkan juadah untuk berbuka sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan diikuti bumbung rumah tercabut. "Kami bernasib baik juga kerana bumbung rumah yang tercabut melayang jatuh ke kawasan lapang depan rumah berhampiran kereta kami," katanya di sini hari ini. Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa buah rumah di kawasan tersebut turut rosak akibat kejadian ribut itu selain papan iklan besar di tepi jalan serta kabel pencawang elektrik terbakar akibat dipanah petir. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang dilaporkan ekoran kejadian itu. Rashid berkata, beberapa minit selepas kejadian itu, mereka dikejutkan sekali lagi dengan bunyi dentuman kedua apabila kepingan atap di bahagian bilik pula tercabut dan melayang. Tambahnya Rashid, dia tidak mampu membaiki kerosakan dalam masa terdekat ini kerana pada bulan Ramadan dia tidak menjalankan perniagaan serta tiada punca pendapatan. "Buat masa sekarang saya dan keluarga terpaksa tidur di ruang berniaga dengan berselindung di bawah beberapa atap zink yang koyak. "Saya juga merayu kepada kerajaan supaya dapat membantu membaiki bumbung rumah ini yang dua kali telah dilanda ribut dan sekarang kami sekeluarga terpaksa berteduh di bawah bumbung yang bila-bila masa pula akan tercabut," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |