Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Keselamatan jadi agenda utama
- PPD Kota Bharu dominasi Karnival Bahasa
- Bomba Kelantan tingkat operasi keselamatan di premis bazar Ramadan
Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN Johari Basri (dua dari kiri) meletakkan tangan di atas plak sebagai simbolik perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah Peringkat Kelantan, kelmarin. Turut kelihatan, Lok Yim Pheng (dua dari kanan) dan Ramli Harun (kiri). KOTA BHARU 5 Julai - Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang bernaung di bawah Kementerian Sumber Manusia mengadakan Kempen Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah Peringkat Kelantan membabitkan semua sekolah dan kolej vokasional seluruh negeri hari ini. Program yang mendapat kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan dan Jabatan Pendidikan negeri itu bertujuan menerapkan amalan keselamatan diri pada guru sebagai pekerja dan pelajar yang akan berkecimpung dalam dunia pekerjaan pada masa akan datang. Program tersebut dirasmikan Ketua Pengarah JKKP, Datuk Ir. Dr. Johari Basri di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini. Yang turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng dan Pengarah Kolej tersebut, Ramli Harun. Program itu disertai sebanyak 400 peserta terdiri daripada guru, kakitangan sekolah dan pelajar beberapa buah kolej vokasional. Johari berkata, kempen itu adalah kesinambungan daripada Program Sekolah Selamat yang dimulakan pada 1991 oleh Kementerian Pelajaran (kini Kementerian Pendidikan). Menurut Johari, Kolej Vokasional Pengkalan Chepa dipilih sebagai sekolah perintis di Kelantan yang akan mengamalkan sepenuhnya ciri keselamatan di tempat kerja kepada semua guru dan pelajarnya sepanjang sesi persekolahan. Beliau berkata, melalui kempen tersebut semua ciri keselamatan yang perlu akan diterapkan dalam aktiviti sekolah termasuk pengajaran dan pembelajaran agar menjadi amalan biasa sepanjang masa selepas ini. "Semua pihak harus memainkan peranan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan di sekolah dijadikan amalan. Ini kerana sekolah merupakan tempat kerja yang melibatkan majikan dan pekerja iaitu guru, pentadbir dan kakitangan sokongan manakala pelajar dan pelawat diklasifikasikan sebagai selain orang yang bekerja. "Program kesedaran di sekolah ini dapat menerapkan kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan dengan mengamalkan budaya kerja selamat dan sihat semasa di sekolah dengan cara mengintergrasikannya dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan," katanya. |
PPD Kota Bharu dominasi Karnival Bahasa Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT pakuruzi Yusof (dua dari kiri) bersama para pemenang Karnival Bahasa Melayu peringkat negeri Kelantan di SMK Dato' Ismail, Pasir Puteh, kelmarin. PASIR PUTEH 5 Julai - Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu mendominasi pertandingan Karnival Bahasa Melayu Peringkat Negeri yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Hashim di sini semalam. Dengan kemenangan tersebut, PPD Kota Bharu akan mewakili Kelantan ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur dijadual tidak lama lagi. Pada pertandingan tersebut, PPD Kota Bharu diwakili oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 2, SK Dato' Hashim dan Maktab Sultan Ismail (SIC), telah merangkul empat kejuaraan utama dalam kategori sayembara pidato diraja peringkat menengah dan rendah serta bercerita peringkat SK. SK Zainab 2 mendominasi pertandingan bercerita bagi tahap 1 dan 2 melalui Tengku Adena Ariqa Tengku Kamaruddin, 9, dan Julia Shahira Mat Jais, 11. SK Dato' Hashim yang diwakili Ahmad Faiiz Yazid, 11, pula memenangi sayembara pidato diraja peringkat rendah, manakala peringkat menengah dimenangi oleh Omar Shaharudin, 16, dari SIC. Satu lagi kategori yang dipertandingkan pada karnival tahunan itu ialah pidato prauniversiti yang dimenangi pelajar mewakili PPD Kuala Krai, Che Mohd Aseri Che Khalid, 18. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Penolong Pegawai PPD Pasir Puteh (Kokurikulum), Pakuruzi Yusof. Fakuruzi ketika ditemui berkata, penyertaan murid dan pelajar yang mewakili semua PPD dalam pelbagai acara yang dipertandingkan amat memberangsangkan dan membolehkan Jabatan Pendidikan negeri membuat pemilihan yang tepat berasaskan bakat dan keupayaan untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan. "Ini membuktikan tanggungjawab guru di peringkat sekolah yang berjaya mendidik dan mencungkil bakat pelajar menerusi aktiviti pembelajaran di bilik darjah dan kegiatan kokurikulum berasaskan akademik. "Kualiti dan persembahan yang ditunjukkan sepanjang pertandingan berlangsung turut membuktikan berlakunya penguasaan kemahiran berbahasa dan menggunakan laras bahasa yang betul. "Sayembara dan pertandingan seumpama ini perlu dikembangkan secara berterusan di peringkat sekolah dalam melahirkan pasukan pelapis yang berkaliber mewakili negeri Kelantan," katanya. Pakuruzi berkata, penganjuran di peringkat sekolah dan PPD akan memupuk minat pelajar mendalami pengetahuan Bahasa Melayu yang masih perlu diterokai skop genrenya yang terlalu luas dan kreatif. Beliau berkata, walaupun Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa ibunda, namun ramai pelajar yang masih tidak mendapat pendedahan sepenuhnya untuk menerokai pelbagai genre dalam bahasa tersebut. |
Bomba Kelantan tingkat operasi keselamatan di premis bazar Ramadan Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT KOTA BHARU 5 Julai - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri akan meningkatkan operasi keselamatan di premis perniagaan bazar Ramadan seluruh negeri sepanjang bulan puasa ini. Pengarahnya, Azmi Osman berkata, sasaran utama operasi tersebut adalah di kawasan tumpuan ramai pengunjung yang boleh menyebabkan berlakunya kesesakan. Katanya, pelbagai aktiviti berkaitan telah disusun termasuk kempen cegah kebakaran bagi memastikan mereka terlibat sentiasa mematuhi aspek keselamatan ketika menjalani aktiviti harian mereka. "Melalui operasi itu kita akan dedahkan maklumat-maklumat berkesan tentang konsep keselamatan yang harus dititikberatkan oleh para peniaga terutamanya aspek mencegah kebakaran selain kaedah yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran. "Tumpuan utama kita di bazar-bazar besar ini adalah kerana itu lokasi tumpuan orang ramai yang menyebabkan seringkali berlaku kesesakan. Soal keselamatan di tempat yang berkeadaan begitu sangat penting," katanya. Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Majlis Penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan Operasi Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri 2013 hari ini. Yang turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Latihan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Sham Tawa, dan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Ir. Mohd. Zaki Mohd. Zain yang merasmikan majlis berkenaan. Kira-kira 90 anggota dari 15 balai bomba di seluruh negeri menyertai pertandingan membabitkan beberapa kategori termasuk kawad kaki, naik turun tangga, penghantaran jauh dan operasi keselamatan jalan raya. Azmi berkata, program tersebut merupakan acara tahunan bertujuan meningkatkan daya tahan mental dan fizikal anggota agar setiap tugas dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. "Peredaran zaman telah meletakkan bidang tugas bomba lebih mencabar sekali gus ia menuntut kekuatan stamina anggota yang lebih mantap dan seimbang," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |