{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Pemotoran

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Pemotoran


Jelmaan model sedan Concept G4

Posted:

Jelmaan model sedan Concept G4

Jelmaan model sedan Concept G4

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

NISSAN ALMERA merupakan salah satu contoh terbaik bagaimana pengguna di Malaysia sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap kereta jenama Jepun, tetapi ditawarkan pada harga boleh dikategorikan sebagai mampu milik. Dalam kes di Malaysia, harga itu berkisar antara RM60,000 hingga RM70,000 seunit.

Formula itu nyata berjaya apabila ia mendapat sambutan hangat daripada pembeli. Hasilnya, kelibat Almera memang mudah dilihat di atas jalan raya.

Satu lagi jenama Jepun, Mitsubishi, dilihat mahu berkongsi kek pasaran tersebut. Sebelum ini, ia tampil dengan model kompak Mirage. Sedia maklum bahawa kekuatan Mirage terletak pada enjin 1.2 liter yang menjimatkan minyak, reka bentuk kompak dan kualiti pengendalian bagus.

Namun, kereta kompak mungkin bukan untuk semua orang. Pengguna Malaysia sebenarnya lebih gemar kepada sedan. Alasannya, ada tambahan ruang kargo untuk meletak barang jika pulang ke kampung atau pergi bercuti. Sedan juga dianggap lebih sesuai terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga.


DI Malaysia, Attrage terpaksa bersaing dengan sedan lain berkapasiti enjin lebih besar seperti Nissan Almera, Toyota Vios dan Honda City.


Sedar tentang keperluan itu, Mitsubishi membangunkan Attrage yang dibina berasaskan kepada model Mirage. Harus tahu bahawa Attrage bukan sekadar sebuah Mirage yang dipanjangkan dan ditambah dengan but, ia sebenarnya lebih daripada itu.

Attrage membuat debut sewaktu Pameran Motor Bangkok pada Mac lalu dalam bentuk sedan Concept G4. Rakyat Malaysia juga berpeluang melihatnya secara dekat apabila pengedar kenderaan Mitsubishi di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengambil inisiatif untuk mempamerkannya di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur pada Julai lalu.

Boleh dikatakan bahawa penampilan Attrage tidak banyak berbeza dengan Concept G4. Sedan itu nampak moden dengan gril radiator krom bersama logo tiga bentuk berlian di atasnya.

Bagi mengetahui sendiri kualiti pemanduan Attrage, sekumpulan wartawan dibawa oleh pihak MMM ke Thailand. Lebih tepat lagi, ke Litar Bonanza International Speedway yang terletak di Khao Yai, Thailand.

Biarpun tempoh ujian dan jarak litarnya singkat, pandu uji tersebut sedikit sebanyak dapat memberikan impresi pertama bagaimana Attrage beraksi ketika memecut dan mengambil selekoh di atas litar terbabit.

Pengendalian responsif

Lebih menarik lagi, Mitsubishi turut menyediakan beberapa buah model pesaingnya yang dijual di pasaran Thailand seperti Honda Brio Amaze, Nissan Almera dan Toyota Vios untuk dipandu uji. Jadi, dapatlah kami merasai perbezaan karakter pemanduan setiap kereta tersebut.


ENJIN 1.2 liter ini menawarkan kuasa yang secukupnya.


Saya mulakan sesi pandu uji dengan Attrage bertransmisi automatik (CVT). Sebagai mana yang dinyatakan tadi, jarak litar itu agak pendek, tetapi penganjur cuba untuk memanfaatkan setiap incinya dengan membuat beberapa seksyen melibatkan ujian slalom, menukar laluan, membrek, mengambil selekoh dan mendaki bukit.

Ujian slalom dilepasi dengan cemerlang apabila Attrage mampu mengikut maklum balas stereng dengan baik. Memang betul, sterengnya terasa ringan. Tetapi tidaklah sampai anda hilang rasa yakin ketika mengendalikannya. Olengan tubuhnya juga minimum dan terkawal. Jadi, orang yang duduk di kerusi belakang tidak boleh merungut.

Jelas sekali gabungan suspensi topang MacPherson pada roda hadapan dan torsion beam di belakang yang dipasang pada kerangka tegar, dibina menggunakan besi regangan tinggi Attrage dapat berkolaborasi dengan cukup baik.

Sebagai sebuah kereta eco, Attrage hanya mempunyai berat di antara 885 hingga 930 kilogram, paling ringan dalam kelasnya. Ia digerakkan oleh enjin tiga silinder yang sama seperti Mirage iaitu 1.2 liter MIVEC yang dipadankan sama ada dengan kotak gear manual lima kelajuan atau transmisi automatik CVT INVECS-III.


SEDAN ini dijangka memasuki pasaran Malaysia dalam tempoh beberapa bulan lagi.


Kombinasi semua elemen itu membolehkan Attrage memperoleh bacaan penggunaan bahan api mencecah 22 kilometer untuk setiap liter berdasarkan kepada ujian Kitaran Pemanduan Eropah yang Baru (New European Driving Cycle).

Dengan ouput kuasa 78PS dan tork puncak 100Nm, enjin itu masih boleh menggerakkan Attrage secara sewajarnya. Biarpun sesekali, apabila pedal minyak ditekan keras, bunyi enjin dapat didengar dengan jelas dari dalam kabin. Jadi, kalau memandu sedan ini, releks sahaja. Tidak perlu terlalu gelojoh.

Anda akan menghargai kotak gear CVT dengan membiarkan jentera memperoleh momentum kelajuannya sendiri, tidak perlu diperah berlebihan. Dengan cara itu, pemandu akan dapat merasai kelancarannya.

Lagipun, harus ingat bahawa ini ialah kereta bandar yang sifatnya lebih enak dipandu dalam persekitaran urban dengan jarak tidak terlalu jauh. Bukannya memecut di atas litar dan 'menguji' setiap selekoh yang ada.

Varian Attrage

Seperti diduga, ia memerlukan sedikit usaha untuk mendaki. Namun, tidak perlu bimbang, Attrage tidaklah semput walaupun ia mengambil sedikit masa untuk melunaskan tugas tersebut.

Bertukar kepada varian manual, kuasa enjinnya terasa lebih hidup. Penukaran gear dapat dibuat dengan lancar dan kuasa boleh diesktrak secara lebih pantas. Aspek lain, ia tidak jauh berbeza dengan varian automatik. Selain daripada kekurangan jumlah aksesori yang boleh dilihat dengan ketara.

Menyentuh tentang aspek dalaman Attrage, ia berbeza berdasarkan variannya. Versi paling mewah hadir dengan tempat duduk bersalut kulit, pendingin hawa automatik, kemasan krom pada butang kawalan audio, kamera pandang belakang serta paparan skrin sentuh bersaiz 6.5 inci lengkap dengan navigasi, pemain DVD, MP3, Bluetooth dan USB.

Ia juga dilengkapi cermin sisi boleh lipat, kemasan dalaman berwarna hitam, paparan multi-info dan sistem kemasukan tanpa kunci untuk kebanyakan variannya. Dari segi sistem keselamatan pula, Attrage dipasang dengan beg udara, serta sistem brek ABS bersama EBD sebagai ciri standard.

Pendek kata, Attrage masih sebuah sedan segmen B yang seronok dan mudah dipandu. Cuma, mungkin ada yang skeptikal dengan enjin 1.2 liter itu. Tetapi, saya cadangkan supaya pandu uji dahulu dan buatlah penilaian yang adil. Enjin tersebut tidak direka untuk membolehkan anda meninggalkan semua orang di lampu isyarat.

Sebaliknya, enjin MIVEC yang dipadankan dengan kotak gear automatik CVT atau manual, ruang kabin luas dan kualiti pengendalian bagus sememangnya boleh menjadikan Attrage sebagai sebuah sedan bandar yang ideal untuk semua.

Saya membangkitkan isu kapasiti enjin kerana berbeza dengan pasaran Thailand, Attrage terpaksa bersaing secara berdepan dengan Nissan Almera yang menggunakan enjin 1.5 liter. Secara tidak langsung, sedan itu juga perlu mengekang asakan daripada Toyota Vios dan Honda City yang dipasang dengan enjin berkapasiti sama.

Attrage dihasilkan di kilang Mitsubishi di Kawasan Perindustrian Laem Chabang di wilayah Chonburi, Thailand. Dari segi versi yang akan dibawa ke pasaran Malaysia, tidak mustahil MMM akan mengikut formula Mirage seperti varian GL M/T, GL CVT dan GS CVT. Varian-varian itu dibezakan oleh pilihan transmisi dan aksesori yang ada padanya.

Dibina untuk kepuasan

Posted:

Dibina untuk kepuasan

Dibina untuk kepuasan

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my


PROFIL tayar lebar pada kedua-dua roda membolehkan anda mengambil selekoh dengan mudah.


MAJORITI generasi muda masa kini mempunyai perspektif berbeza terhadap motosikal. Apa yang pasti, ia bukan sekadar satu bentuk sistem pengangkutan.

Motosikal sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup. Rata-rata pemilik muda mahu keseronokan daripada jentera mereka.

Daripada aktiviti kembara sehingga aksi lagak ngeri, masing-masing ada minat dan kecenderungan tersendiri.

Trend itu menjadi antara penyumbang kepada pertumbuhan segmen motard di Malaysia sejak beberapa tahun lalu. Kelibat jentera motard semakin nyata di jalan raya bandar.

Motard diklasifikasikan sebagai sebuah jentera off-road tetapi dilengkapi tayar untuk kegunaan atas jalan raya biasa. Perubahan lain melibatkan penggunaan saiz rim yang sama pada kedua-dua roda.

Itu perbezaan utama jika dibandingkan dengan motosikal off-road. Kolum ini kali ini mengetengahkan sebuah jentera motard keluaran Kawasaki Malaysia yang memasuki pasaran tempatan sejak awal tahun 2011.

Produk yang dimaksudkan ialah D-Tracker X. Ia merupakan produk pemasangan tempatan daripada kilang Kawasaki Malaysia yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Jentera itu ialah model generasi kedua yang sudah melepasi fasa naik taraf, melibatkan peralihan sistem penyampaian bahan api dan perubahan reka bentuk minimum.

D-Tracker X memperoleh kuasa daripada rangkaian kuasa enjin silinder tunggal DOHC dan sistem transmisi manual enam kelajuan. Kepanasan enjin dikawal dengan adanya sistem penyejukan cecair.


LAMPU hadapan menawarkan prestasi cemerlang sewaktu tunggangan malam.


Keseronokan di selekoh

Jika anda inginkan kelajuan, ini bukan jentera yang dicari. Kelajuan tertinggi yang sempat dicapai hanya sekitar 140 kilometer sejam (kmj).

Pada kelajuan itu, kestabilan jentera yang agak berusia itu sedikit terjejas apabila roda belakang mula membuang ketika menyusuri Lebuhraya Sungai Besi.

Ia mungkin terjadi disebabkan talaan penyerap hentak belakang yang tidak serasi dengan berat badan saya.

Turut menyumbang pada situasi itu adalah jenis tayar yang digunakan. D-Tracker dipasang rim berukuran 17 inci.

Semua kesan hentakan berjaya diserap dengan cemerlang oleh fork hadapan dan suspensi tunggal belakang. Pelana jentera itu didapati sedikit keras, namun tidak membuatkan punggung terasa kebas.

Ujian di Genting Highlands berjaya menzahirkan keseronokan tunggangan sebenar Kawasaki D-Tracker X.

Jentera itu mudah mengharungi setiap selekoh sewaktu mendaki biarpun kelajuan tunggangan mula melepasi paras 100kmj.

Tayar lebar pada kedua-dua roda membolehkan motosikal melayan selekoh tajam tanpa rasa gusar. Brek cakera pada kedua-dua roda tidak menghampakan apabila brek mengejut diperlukan.

Untuk merasai kuasa tarikan, anda perlu pantas bermain klac dan menukar gear. Ini antara keseronokan jentera kelas 250cc di laluan berselekoh.


GENERASI kedua D-Tracker dipasangdi kilang Kawasaki Malaysia yang terletak di Shah Alam, Selangor.


Di Lebuh Raya Karak, D-Tracker agak stabil pada kadar kelajuan 130 hingga 140kmj. Cuma kesan angin menjejaskan prestasinya.

Berhubung soal penggunaan bahan api, satu tangki penuh membolehkan saya mencapai jarak tunggangan sejauh 186km sebelum meter memaparkan tanda peringatan. Catatan itu termasuk ujian naik turun Genting Highlands.

Satu kekurangan model ini adalah petunjuk status bahan api. Ia masih tiada meter minyak. Biarpun begitu, paparan isyarat bekalan tangki semakin rendah tetap disediakan pada panel meter.

Kawasaki D-Tracker X dijual pada harga asas RM23,799 seunit (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Jaminan diberikan adalah selama satu tahun atau jarak perbatuan 10,000km (mana-mana tiba dahulu).

Beraya di Kuala Lumpur dengan Jazz Hybrid

Posted:

Beraya di Kuala Lumpur dengan Jazz Hybrid

Beraya di Kuala Lumpur dengan Jazz Hybrid

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN



KALI ini, suasana Hari Raya Aidilfitri saya sedikit berbeza. Selepas hampir lapan tahun berkhidmat di akhbar Kosmo! Inilah kali pertama saya terpaksa bertugas dan menyambut hari raya di Kuala Lumpur.

Biarpun agak sedih pada awalnya, perasaan itu pantas hilang memandangkan ramai juga rakan yang tidak pulang ke kampung, selain ada dalam kalangan mereka yang memang orang Kuala Lumpur dan Selangor. Jadi, walaupun tidak berpeluang pulang beraya ke kampung di Kuantan, Pahang, saya masih ada lokasi untuk berhari raya.

Cuti Aidilfitri (sehari sahaja) dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengunjungi beberapa buah rumah rakan di sekitar Lembah Klang. Lebih menarik lagi, tahun ini saya ditemani oleh Honda Jazz Hybrid CKD. Saya kata menarik kerana jentera hibrid itu memang ideal untuk warga bandar.

Jimat Minyak

Kenapa? Alasannya mudah. Jazz Hybrid CKD menawarkan penjimatan bahan api yang sangat memuaskan. Selepas puas meronda selama lebih seminggu, saya langsung tidak perlu mengisi minyak. Malah, ketika kereta itu dipulangkan, meter bacaan menunjukkan perjalanan yang boleh diharungi masih berbaki lebih 90 kilometer. Bagus bukan?

Jazz Hybrid CKD dilengkapi enjin 1.3L i-VTEC yang dipadankan bersama sistem hibrid Integrated Motor Assist (IMA). Walaupun cuma berkapasiti 1.3 liter, anda tidak akan rasa ia seperti kehilangan kuasa. Terima kasih kepada kuasa tork yang boleh diperoleh ketika rpm rendah. Ini membuatkan perjalanan di bandar tidak menjemukan.


RUANG kabin Honda Jazz Hybrid mengetengahkan rekaan moden dan kemas.


Penjimatan minyak bukanlah satu-satunya faktor yang membuatkan jentera itu menyerlah. Sejak sekian lama, Jazz dikenali dengan rekaan tempat duduknya yang pintar. Dikenali sebagai Ultra Seat, ia boleh dilipat dalam beberapa konfigurasi untuk kegunaan pemandu.

Apabila kerusi dilipat rata, ruang kargonya meningkat kepada 831 liter. Jadi, kalau setakat hendak membawa buluh lemang atau hamper hari raya memang tidak ada masalah.

Bagi membezakannya dengan versi petrol, penampilan jentera kompak itu diserlahkan menerusi beberapa komponen. Antaranya ialah gril krom dengan reflektor berwarna biru, kemasan belakang krom, lampu belakang LED berwarna biru dan rim aloi bersaiz 15 inci. Pendek kata Jazz Hybrid CKD terus menekankan aspek reka bentuk yang bersih dan maju sebuah Jazz.

Sebagaimana yang anda tahu, Honda Jazz Hybrid merupakan model hibrid pertama yang dipasang dalam negara. Ia dibina di atas platform Jazz Hybrid (CBU) yang membuat debut di Malaysia pada Mac 2012. Ia dihasilkan di kilang milik Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB) di Pegoh, Melaka. Proses pengeluarannya mengikut piawaian antarabangsa Honda. Jadi, tidak perlu risau dengan kualitinya.

Masuk ke dalam kabin, anda akan berasa Jazz Hybrid CKD seperti begitu luas, walaupun kalau dilihat dari luar ia nampak kompak. Terima kasih kepada rekaan dalaman yang pintar dan cermin utama bersaiz besar.


VERSI hibrid dibezakan dengan lampu belakang LEB dalam perumah berwarna biru.


Papan pemuka ringkas dengan butang kawalan audio dan sistem pendingin hawa automatik. Anda tidak boleh mengawal audio pada stereng. Pelik juga, kerana model lain yang lebih murah pun ada ciri tersebut.

Pengalaman pemanduan ditingkatkan menerusi Multi Information Display (MID) yang memudahkan maklumat diakses. Penunjuk Bantuan Pengecasan (Charge Assist Indicator) dan ECO Assist System yang menarik pula memberi peringatan mengenai gaya pemanduan secara interaktif dan menyeronokkan.

Lampu latar latar akan berubah warna daripada hijau menjadi hijau biru dan biru mengikut gaya pemanduan anda. Warna hijau menandakan anda memandu dengan menjimatkan, begitulah sebaliknya.

Menyentuh mengenai ciri-ciri keselamatan, Jazz Hybrid CKD dilengkapi dua beg udara SRS di bahagian hadapan, Vehicle Stability Assist (VSA), Anti-lock Braking System (ABS), Immobilizer System dan alat pengesan ketika mengundur pada empat penjuru.

Memandangkan ada yang sudah berminat, harga Jazz Hybrid CKD adalah RM94,800 seunit (di atas jalan termasuk insurans).

Sekali lagi, saya ingin katakan bahawa jentera itu wajar dipertimbangkan kerana penjimatan yang mampu ditawarkannya. Apatah lagi ketika poket yang kian kempis selepas berhabis untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat