{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Suspek ada lebih 10 rekod jenayah

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

AZMAN Ayob menunjukkan kapak dan jaket SRS iaitu antara barangan yang dicuri dari stor simpanan barang SRS, pada sidang akhbar di IPD Muar, Johor, semalam.

MUAR 16 Ogos - Salah seorang daripada dua suspek yang ditahan kerana terbabit dalam kejadian pecah rumah di Taman Mawar, Jalan Abdul Rahman di sini, Rabu lalu didapati mempunyai lebih 10 rekod kesalahan lampau.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek berusia 46 tahun itu telah melakukan pelbagai kegiatan jenayah sejak 1983 antaranya tiga kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi.

"Tiga rekod lagi adalah di bawah Seksyen 454 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi. Selain itu, suspek juga memiliki tiga rekod kerana kesalahan dadah serta satu rekod di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, suspek dan rakannya yang berusia 50 tahun ditangkap semasa memecah masuk rumah ketika penghuninya pulang berhari raya di kampung.

Kejadian itu disedari jiran mangsa yang curiga dengan gerak-geri mereka yang datang ke situ dengan menaiki sebuah kereta lalu menghubungi polis.

Kedua-duanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap kemudian diberkas masing-masing di dalam kereta dan rumah sebelum sempat melarikan barangan berharga.

Azman seterusnya berkata, rakan suspek yang berusia 50 tahun pula memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta, polis merampas serangkai kunci kereta, sebatang kayu cota, playar, kuku kambing dan sebuah beg sandang.

"Susulan itu polis menyerbu rumah mereka di Alai, Melaka dan merampas 18 barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah iaitu sebuah komputer riba, sembilan utas jam tangan pelbagai jenama, satu sistem kedudukan global (GPS), sebuah beg yang mengandungi lesen memandu dan sebuah komputer tablet berjenama Samsung," ujar beliau.

Tambah Azman, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis syabu direman sehingga Ahad ini dan dengan penangkapan mereka, polis percaya telah dapat menyelesaikan lapan kes pecah rumah di daerah ini dan Melaka Tengah sepanjang tahun lalu.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis turut menyiasat jika mereka terlibat dalam jenayah lain," katanya.

UMNO Sekijang bakal saksi persaingan sengit

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Baharum Mohamed (enam dari kiri) bersama tetamu yang hadir sewaktu Majlis Rumah Terbuka anjuran UMNO Sekijang di Bukit Siput, Segamat, malam kelmarin.

SEGAMAT 16 Ogos - Pemilihan UMNO Bahagian Sekijang kali ini dijangka sengit kerana beberapa pemimpin bahagian itu menawarkan diri untuk merebut jawatan penting terutamanya jawatan Ketua UMNO Bahagian.

Ketuanya, Datuk Baharum Mohamed berkata, beliau bersedia untuk dicabar dan dalam masa sama mempertahankan jawatannya di dalam UMNO jika mendapat sokongan daripada akar umbi di Sekijang.

"Saya telah mendapat sokongan daripada mereka yang berkepentingan di dalam UMNO sendiri yang meminta agar mengekalkan jawatan. Pada pemilihan kali ini saya akan kekal bertanding di atas tiket jawatan yang sama.

"Walaupun ramai yang menginginkan kerusi panas ini, merupakan suatu perkara yang normal. Walaupun saya bukan lagi Ahli Parlimen, namun saya tetap bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika ditemui semasa sambutan Rumah Terbuka anjuran UMNO Sekijang di Bukit Siput di sini kelmarin.

Baharum percaya masih ada yang memberi sokongan kepadanya dalam perjuangan parti membela nasib bangsa.

Menurutnya, pemilihan dan pertandingan dalam mana-mana parti politik tidak dapat lari daripada krisis dalaman antara ahlinya, namun perkara sedemikian tidak berlaku dalam UMNO dan hanya dapat disaksikan dalam kalangan pakatan pembangkang.

"Hal ini (krisis) bagi saya tidak menjadi masalah kerana di mana sahaja pun kita pergi, pasti kita akan menghadapi masalah yang sama dan saya ambil perkara ini dari sudut positif," katanya.

"Menang kalah terpulang kepada sokongan orang ramai dan saya tidak mendabik dada sekiranya diberi peluang sekali lagi menerajui UMNO Sekijang. Penambahbaikan dan pembaharuan merupakan perkara konsisten yang berterusan telah saya lakukan pada musim lalu dan kami mengungguli kategori 'Juara Rakyat' dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini," katanya lagi.

Justeru, Baharum mengharapkan persaingan yang bakal berlaku akan berlangsung secara sihat dan keputusan pemilihan kelak harus diterima dengan lapang dada untuk meneruskan perjuangan parti dalam membela nasib rakyat.

OKU diminta perbaharui kad sebelum 1 Oktober

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

SEBAHAGIAN daripada wakil kerajaan dan NGO mendengar taklimat sewaktu program Siri Jelajah Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya Bersama Komuniti Tempatan di Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 16 Ogos - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta orang kurang upaya (OKU) atau penjaga mereka memperbaharui kad OKU masing-masing supaya memudahkan kerajaan merancang program berkaitan keperluan golongan itu selain mengelak masalah untuk menerima bantuan kelak.

Pengarah JKM negeri, Khadijah Abdullah berkata, pendaftaran kad baharu tersebut perlu dibuat sebelum atau selewat-lewatnya 31 September ini di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) masing-masing.

Beliau berkata, setakat ini seramai 35,000 OKU berdaftar di negeri ini yang telah memperbaharui kad mereka manakala kira-kira 11,000 lagi masih belum berbuat demikian.

"Pasukan khas yang ditubuhkan untuk mengumpulkan data mengenai OKU sedang giat menjalankan tugas mereka menyalurkan maklumat tentang kad baharu ini.

"Jadi, saya mohon agar semua OKU mahupun penjaga dapat memberi kerjasama kepada kami bagi mengumpul data dan mengemas kini supaya bantuan dan aktiviti untuk mereka dapat dirancang baik di peringkat Pusat mahupun negeri," katanya selepas program Siri Jelajah Majlis Kebangsaan Bagi OKU Bersama Komuniti di sini baru-baru ini.

Program dialog tersebut dihadiri kira-kira 50 wakil jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Pemulihan Kawasan Johor (JARO) dan beberapa pertubuhan lain.

Khadijah berkata, bagi OKU terlantar atau mereka yang mempunyai kesukaran untuk membuat pendaftaran tersebut, penjaga boleh merujuk kepada pemimpin masyarakat dan kemudian membawa perkara tersebut ke pengetahuan JKM bagi membolehkan pegawai berkunjung ke rumah mereka.

"Selain penjaga OKU, pemimpin setempat boleh memainkan peranan membantu pendaftaran, sekali gus mendapatkan elaun dan pelbagai diskaun yang ditawarkan kepada mereka," katanya.

"Pendaftaran tersebut penting kerana menerusi data yang diperoleh, JKM boleh mengenal pasti bilangan dan taburan OKU mengikut kategori ketidakupayaan, merancang program pemulihan, latihan dan pendidikan serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang sesuai," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat