Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Personaliti tokoh Ikhwanul Muslimin Posted: Personaliti tokoh Ikhwanul MusliminOleh Khadijah Mohamad Nor DETIK pertama berlakunya rampasan kuasa oleh tentera Mesir yang menggulingkan Presiden Mohammed Morsi, hati Azzah Abdul Rahman, 34, sudah mula risau mengenangkan saudara-saudara daripada pertubuhan Ikhwanul Muslimin (IM) yang pernah ditemui bulan Oktober tahun lalu. Pemergian Azzah ke bumi para anbiya selama 13 hari pada 7 hingga 20 Oktober tahun lalu itu berpaksi pada dua tujuan. Pertama untuk membuat kajian sejarah hidup asy-Syahid Imam Hasan al-Banna dan pertubuhan IM. Kajian itu dilakukan bagi penghasilan novel Hasan al-Banna oleh penulis prolifik, Abdul Latip Talib (Pak Latip) yang telah pun diterbitkan tahun ini dan Travelog Menjejak Hasan al-Banna oleh Azzah sendiri yang masih dalam proses penulisan.
Kedua, Azzah mengadakan Bengkel Asas Penulisan anjuran Biro Media, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Mesir selama dua hari di Kaherah dan Pak Latip berkongsi kaedah penulisan novel sejarah dalam program tersebut. "Pengembaraan kami diuruskan oleh sekumpulan pelajar Malaysia di sana yang juga ahli ISMA Mesir iaitu Ahmad Fahmi Abdullah, Buraidah al-Aslami, Muawwidz al-Ansori, Muhammad Mustakim Abdul Rahim, Ahmad Munzir dan ramai lagi. "Sepanjang berada di Mesir, kami sempat melawat ke beberapa buah negeri lain yang mempunyai sejarah berkaitan Hasan al-Banna iaitu markas IM di Ismailiyyah, Damanhour dan Mahmudiyyah sebelum ke ibu pejabat di Muqattam, Kaherah," ujar Azzah kepada Kosmo!.
Menurut Konsultan Idea Nuun Creative Books itu, ada pertemuan yang terjadi tanpa disangka iaitu semasa mereka berada di Damanhour dan Mahmudiyyah. Ia seterusnya membawa kepada pertemuan mereka dengan dua orang tokoh IM di Muqattam iaitu Syeikh Talaat Syannawi, ahli Maktab Irsyad dan Syeikh Dr. Abdul Rashad Bayyoumi, Naib Mursyidul Am 1. Menurut Azzah, ketika berada di ibu pejabat IM, urusan mereka dibantu oleh salah seorang pegawai mereka iaitu Allahyarham Ustaz Islam Abbas yang telah terbunuh dalam krisis tersebut pada 18 Ogos lalu. Akhlak Muslim BANGUNAN markas IM di Damanhour kelihatan usang namun keadaan di dalamnya sentiasa kemas. "Saya masih ingat lagi saat pertama Buraidah bertanyakan namanya, beliau menjawab, 'Ana Abdul Faqir...' dan ia membuatkan kami menyangka itulah nama. Walhal, beliau sebenarnya mengatakan 'saya, hamba yang fakir...'. "Kami tertawa apabila mendapat tahu bahawa kami tersilap faham dan nama sebenar beliau ialah Ustaz Abbas. Apa yang boleh saya katakan, masya-Allah, tuturnya sangat lembut dan tingkahnya sangat sopan. "Setiap patah katanya penuh dengan syukur dan doa. Amat jarang dilihat di mana-mana lokasi di dunia, pegawai berbaju jaket eksekutif yang bersifat sepertinya. Namun, jika kamu mengenali IM, ini semua bukanlah suatu kehairanan bahkan sentiasa menjadi kekaguman. Mereka mempamerkan akhlak sebenar seorang Muslim dan mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya," jelas Azzah yang mengakui sebak dan sedih sewaktu mendapat berita kematian Ustaz Abbas. Tambahnya setiap kali melihat foto dan membaca berita terkini mengenai krisis di Mesir, beliau tidak tahu mahu berkata apa-apa. "Apa yang as-Sisi dan sekutunya lakukan itu terlampau kejam, malah melampaui kekejaman Zionis di Gaza dan Basyar al-Assad di Syria. Ada ketikanya saya berasa terlalu tertekan, sehingga tidak mahu baca apa-apa berita langsung. Hanya terus berdoa dan membaca qunut Nazilah untuk saudara-saudara seakidah di sana," luah Azzah yang juga penulis profesional di Malaysia. Azzah memberitahu, beliau telah bertemu dengan ramai tokoh dan ahli IM sepanjang berada di Mesir. Antaranya Ahli Parlimen Mahmudiiyah, Ustaz Tareq Salah dan Timbalan Ketua Umum Parti FJP, Ustaz Mahmoud Basbousi. "Melalui mereka, saya mengenali peribadi Hasan al-Banna dan perjuangan IM itu sendiri. Bagi saya, mereka sangat seimbang dalam aktiviti duniawi dan ukhrawi. Walaupun tidak berserban dan berjubah, tetapi dakwah mereka berlangsung di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Mereka mengamalkan dakwah dengan kata-kata (da'wah billisan) dan dakwah dengan perbuatan (da'wah bilhal). "Semasa kami di Ismailiyyah, Ustaz Medhat, antara penggerak IM di sana yang juga seorang akauntan menunjukkan kepada kami tapak rumah tempat Hasan al-Banna melangsungkan perkahwinan. Ketika itu, ada dua orang tempatan lalu dan berhenti melihat kami. "Dalam pada Ustaz Medhat menerangkan sejarah Hasan al-Banna kepada kami, beliau sempat berdakwah kepada dua orang tempatan itu. Malah, kami sentiasa dilayan dengan baik dan penuh santun walaupun tanpa temu janji dibuat terlebih dahulu," terang Azzah sekali gus menyangkal pandangan yang mengatakan IM adalah sebuah pertubuhan pengganas dan menganggapnya sebagai propaganda zionis serta rakan sekutu mereka. Dalam pada itu, situasi terbaharu di Mesir menyaksikan pihak berkuasa meneruskan operasi penahanan barisan pemimpin IM sebagai langkah untuk menghancurkan pertubuhan tersebut. Kelmarin, dua lagi pemimpin pergerakan Islam terbesar itu, Safwat Hegazy dan Mourad Ali ditahan. Sebelum ini, ketua IM, Mohammed Badie, 70, dan timbalannya, Khairat el-Shater telah ditahan berhampiran Dataran Rabaa al-Adawiya. Pertahankan Ikhwanul Muslimin Secara keseluruhan, ratusan pemimpin IM telah ditangkap sejak pihak tentera menggulingkan Presiden Morsi pada 3 Julai lalu. Sementara itu, lebih 2,000 rakyat Mesir terkorban selepas pihak berkuasa bertindak kejam dalam operasi menghalang bantahan yang dilakukan para penyokong Morsi dengan merobohkan khemah dan menembak mati mereka. Bagi pelajar al-Quran di Mesir, Haniff Abu Talib, beliau tidak bersetuju jika ada pihak yang mahu menguburkan pertubuhan IM kerana ia merupakan pertubuhan Islam yang perlu dipertahankan. "Mereka bukan pengganas, tetapi disebabkan media massa dan rancangan jahat Yahudi dan sekutu-sekutunya menyebabkan mereka dipandang sebagai pengganas. Jadi, rancangan untuk memusnahkan pertubuhan ini tidak harus dilakukan. "Rancangan itu bagi saya satu pemikiran yang kurang bijak kerana pemimpin yang bijak mestilah meletakkan Islam di tempat yang teratas. Ada segelintir orang berfikir jika yang memerintahnya adalah Islam, maka tidak majulah negara itu. Sedangkan Islam itu mengajak kita ke arah kemajuan dan kejayaan," ungkap Haniff sambil melahirkan harapan agar Mesir kembali aman. Beliau turut menceritakan bagaimana guru al-Qurannya, Syeikh Waeel Hagag ditembak beberapa jam selepas pulang bertalaqi di rumahnya. "Saya terperanjat apabila mendapat berita ini daripada isterinya. Semoga Allah memberi kesembuhan segera pada guru saya itu," kata Haniff yang masih dalam proses menunggu tiket untuk penerbangan pulang ke Malaysia. Sementara itu, susulan pembebasan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, 85, oleh Mahkamah Mesir semalam dijangka akan memburukkan lagi krisis politik di negara berkenaan. Ironinya, keputusan itu dibuat tujuh minggu selepas pihak tentera menggulingkan Morsi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |