Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Pelajar UiTM pamer koleksi ulung Posted: Pelajar UiTM pamer koleksi ulungOleh HAFIZ AHMAD KOLEKSI berteraskan watak-watak dalam filem arahan pengarah prolifik, Tim Burton, menjadi inspirasi kepada pereka muda, Amirul Ashraf Safari, 25, sehingga idea kreatifnya itu diangkat sebagai pemenang utama Anugerah Rekaan Terbaik 2013. Anugerah itu diberikan bersempena dengan pertunjukan fesyen pelajar tahun akhir pengajian Ijazah Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diadakan di Black Box, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini. Mengklasifikasikan busananya sebagai rekaan berseni, Amirul Ashraf memaklumkan koleksi beliau merupakan persalinan yang praktikal. Bertemakan The Chronicle of Tim Burton, beliau menghasilkan busana menerusi penerapan watak-watak daripada filem seperti Alice In Wonderland, The Nightmare Before Christmas dan Edward Scissorshands. "Saya sangat meminati filem-filem Tim Burton sehingga tercipta koleksi ini. Tidak hanya berfantasi, malah saya turut bereksperimen melalui beberapa perincian dalam setiap busana," ujarnya ketika ditemui Kosmo! selepas pertunjukan fesyen itu. Ketelitian rekaan dapat dilihat menerusi jaket dan skirt daripada gabungan material polivinil klorida (PVC) dan organza dengan penataan tali-tali yang disambung tangan. "Kemasan tali-tali tersebut menjadikan koleksi ini menonjol berbanding koleksi-koleksi lain. Ia mengambil masa dan ketelitian yang tinggi bagi menghasilkan rekaan berkualiti dan tampak anggun ketika diperagakan," jelas anak muda yang berasal dari Klang, Selangor ini. Mengakui penganugerahan tersebut sebagai satu kejutan yang menggembirakan, Amirul Ashraf tidak menyangka ia mampu mengatasi rekaan-rekaan indah lain yang turut diperagakan pada hari itu. Melihatkan pentas peragaan, penulis dapat melihat sisi kematangan pereka melalui rekaan yang menonjolkan cita rasa fesyen yang baik. Mereka bijak menzahirkan inspirasi melalui pengamatan seni reka agung dunia atau keindahan alam semesta tanpa mengetepikan nilai keaslian diri mereka.
Fesyen Baroque Percubaan Hadijah Hamdan, 25, mengambil konsep kegemilangan fesyen era Baroque perlu diberi pujian kerana setiap rekaan nampak sofistikated dan membawa nafas segar kepada koleksinya. Kemasan pada cetakan amat dititikberatkan Hadijah yang memastikan setiap motif hiasan bersepuh emas saling bercantum mengikut bentuk asal. Kemasan pada rekaan telah meletakkan rekaan beliau ke tempat kedua pada pertunjukan fesyen yang diadili barisan penggiat fesyen seperti Rizman Nordin dan Bon Zainal. "Saya mendapat maklum balas positif terutamanya pada bahagian korset kerana cetakan yang teratur dan saling berkaitan dengan cetakan-cetakan lain," ujarnya yang akan menjadi pensyarah di sebuah institusi pengajian swasta tidak lama lagi. Inspirasi wanita Pearl Harbor Jika Hadijah berbangga dengan rekaan cetusan tahun 1500 hingga 1800 itu, pemenang tempat ketiga, Hana Fatimah Zulkufli, 22, mengambil era klasik 1940-an iaitu ketika Perang Dunia Kedua sebagai inpirasi rekaannya. "Lebih spesifik, saya mengambil idea fesyen Pearl Harbor kerana wanita pada waktu itu mempunyai cita rasa fesyen tersendiri yang menarik sungguhpun berhadapan dengan peperangan," ujar gadis yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini. Idea klasik itu diberi sentuhan moden beliau dengan menonjolkan rekaan yang minimalis dan ringkas. Aura kontemporari rekaan itu mengekalkan motif-motif signatur seperti potongan dan cetakan berkotak. Penggunaan fabrik-fabrik seperti kain kapas, krep dan PVC menampakkan ciri-ciri klasik dalam rekaannya. Sisi baharu adi wira Koleksi bertemakan Superhero Alter Ego menjadi sandaran kepada pereka muda kelahiran Johor, Suhairie Mohamed, 24. Menghidupkan watak-watak adiwira seperti Hulk, Thor, Wonder Woman dan Catwoman, gaya edgy melatari busana yang menggunakan dua tona warna utama iaitu hitam dan jingga.
Tidak hanya memfokuskan rekaan busana, Suhairie turut berinovasi melalui penggunaan aksesori bagi melengkapkan koleksinya. "Selain itu, saya menggemari busana lelaki yang diinspirasikan daripada watak Thor. "Saya cuba menerapkan penggunaan kilt yang menjadi tradisi masyarakat Scotland ke dalam rekaan saya," jelasnya. Palet warna dan motif Jika kebanyakan pelajar menggunakan warna-warna gelap bagi menampakkan sisi misteri, Wan Noor Bainun Wan Zaizodin, 24, menampilkan palet warna yang ceria bagi menampakkan keanggunan si pemakai. Mengambil inspirasi daripada dunia Bollywood yang penuh warna-warni, kain sutera satin dan kapas dijadikan material utama bagi menghasilkan busana kasual sedia untuk dipakai beliau. "Pereka dari India, Manish Arora, banyak mempengaruhi saya kerana rekaannya yang berani dengan potongan dan penekanan siluet pada busana," kongsi gadis berasal dari Kuching, Sarawak itu. Motif Inner City Patchwork pula menjadi pilihan Najwa Alias, 22, melalui rekaan yang menggunakan paten warna kaleidoskop. Ia boleh dilihat menerusi hiasan tiga dimensi pada bahagian dada. "Pada awalnya, saya ingin mereka menggunakan teknik cetakan tetapi pensyarah mengatakan ia sudah terlalu biasa. "Selepas membuat sedikit kajian, teknik cantuman kain ini nampak cantik dan moden," ujarnya yang mengagumi pereka terkemuka, Emilo Pucci. | ||
Posted: Gaya alternatif barang kemasLENGKAPKAN busana indah hari raya anda dengan aksesori Pandora. AKSESORI wanita tidak terhad kepada barang kemas bersalut emas, permata atau berlian kerana terdapat banyak pilihan lain yang boleh digayakan sempena musim perayaan ini. Antaranya jenama barang kemas, Pandora, yang memberikan gaya alternatif melalui batu-batuan charm yang boleh digabungkan mengikut pilihan dan personaliti si pemakai. Pengarah Urusan Pandora Malaysia, Datin Zarida Noordin berkata, setiap wanita mempunyai kisah kehidupan tersendiri dan personaliti yang berbeza. Ujar beliau, Pandora menawarkan satu cara unik yang membolehkan setiap wanita meraikan detik-detik bermakna dalam hidup mereka. "Barang kemas Pandora membolehkan anda menyerlakan personaliti diri melalui kombinasi charm yang dipilih. "Ia memberi satu dimensi baharu untuk merakamkan setiap detik yang tidak dapat dilupakan," katanya ketika melancarkan koleksi hari raya bertemakan Pengalaman Hari Raya Bersama Pandora di ibu kota baru-baru ini. Bersempena musim perayaan tahun ini, Pandora memperkenalkan lima set gelang tangan yang menceritakan pengalaman sepanjang menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri. Setiap set mempunyai maksud tersirat dan menggunakan charm yang bermutu tinggi. Koleksi istimewa ini dimulakan dengan tema Keindahan Ramadan yang menampilkan kombinasi charm berwarna hitam dan susunan 94 batu buatan tangan yang bercorak flora. "Warna hitam pada gelang ini melambangkan kawalan diri, disiplin, kebebasan dan semangat yang kuat sebagai refleksi bulan Ramadan," jelas Zarida. Dalam kesibukan melaksanakan persiapan hari raya ini, hiasi pergelangan tangan anda dengan gelang tangan yang menggabungkan charm bunga sakura, kek cawan dan gelas Murano berwarna merah jambu. "Set istimewa ini melambangkan rasa cinta dan kasih sayang terhadap keluarga yang menebal saban hari," tambahnya. Gelang tangan Lebaran Raya digayakan dengan kombinasi charm berwarna hijau yang melambangkan warna 'rasmi' hari raya. Jika anda inginkan suatu kelainan, pilih gelang tangan menggunakan charm dengan 94 batu zirkonia berwarna biru yang melambangkan ketenangan, keikhlasan dan rasa kemaafan pada pagi hari raya. Sambutan hari raya bersama keluarga merupakan satu detik paling berharga. Sebagai simbol penghargaan, Pandora menawarkan gelang tangan mewah gabungan charm dan gelang tangan emas 14 karat yang sesuai digayakan insan yang dikasihi. Jika inginkan gaya peribadi, pelanggan boleh memilih lebih 800 reka bentuk charm yang ditawarkan dari harga RM100 sebutir. | ||
Posted: Jelita merentasi usiaKEPERLUAN penjagaan kulit wajah adalah berbeza mengikut usia dan gaya hidup setiap individu. SYAWAL kali ini amat molek diraikan bersama nuansa emas bagi menyerlahkan kecantikan raut wajah anda, khususnya bagi wanita pertengahan usia. Jenama Safi kini bukan lagi sekadar label produk kecantikan, malah menggalas peranan sebagai teman baik kecantikan setiap wanita. Dalam usahanya mendidik wanita terhadap kepentingan memahami proses penuaan kulit dan menukar rejim penjagaan kulit wajah seawal tanda penuaan yang pertama, Safi dengan kerjasama Puspanita Jabatan Pendaftaran Negara telah menganjurkan majlis Syawal Emas Bersama Safi Rania Gold di Putrajaya baru-baru ini. "Wanita sering alpa tentang pentingnya memanjakan diri mereka. Penjagaan kulit wajah adalah cara mudah untuk memanjakan diri dan menyuntik seri keyakinan diri," kata Pengurus Kumpulan Produk Safi Wipro Unza (M) Sdn. Bhd., Mahsuri Sulaiman. Mahsuri menegaskan, ramai yang tidak tahu pada skala usia berapa mereka harus bertukar kepada rangkaian produk penjagaan kulit antipenuaan. "Keperluan kulit wajah kita berbeza mengikut usia dan gaya hidup. Satu produk yang sama tidak mungkin mampu menjadi solusi kepada keperluan kulit tertentu," ujarnya. Tambah beliau, Safi Rania Gold menggalakkan golongan wanita, khasnya mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an, mengambil inisiatif mengekalkan keremajaan kulit. Mahsuri berkata, majlis sebegini memberikan kami ruang untuk mengenali dengan lebih dekat pengguna-pengguna produk kami dan berkongsi dengan mereka kepelbagaian rangkaian produk kecantikan Safi dengan formulasi khusus untuk setiap peringkat usia. Penyelesaian masalah penuaan Majlis itu turut dihadiri pakar estetik terkemuka tempatan, Dr. Sutina Nordin, yang menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai proses penuaan yang merangkumi perubahan struktur kulit, faktor-faktor penyumbang dan penyelesaian kepada masalah tersebut. Sutina menjelaskan, keperluan dan kehendak kulit wajah adalah berbeza mengikut usia seseorang. Disebabkan itu, peningkatan rejim kecantikan individu merupakan salah satu cara melambatkan kesan-kesan penuaan. Aura glamor majlis ditambah dengan kemunculan istimewa duta Safi Rania Gold, Rozita Che Wan. Wanita ikon yang menggalas pelbagai peranan kehidupan iaitu sebagai ibu tunggal, pelakon dan usahawan, turut mengambil peluang berkongsi tip-tip kecantikan dan rahsia keyakinan diri beliau bersama para tetamu. Rozita menyentuh tentang kepentingan mengenal pasti keperluan kulit berdasarkan usia dan mencari rejim antipenuaan yang bersesuaian. "Rawatan awal dapat mengekalkan keremajaan kulit. Ini sekaligus mengurangkan kadar penuaan kulit wajah individu," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |