Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Posted: Pilihan wanita bersaiz besarOleh HAFIZ AHMAD SEBELUM ini, fesyen wanita bertubuh besar kurang diberi perhatian menyebabkan golongan ini sukar mencari busana yang bersesuaian. Namun demikian, perkembangan dunia fesyen masa kini telah membuka ruang kepada wanita-wanita tersebut untuk kelihatan anggun dan menawan, setara dengan gaya moden dan elegan. "Tidak dinafikan, dahulu saya sukar mencari baju-baju yang bersesuaian dengan bentuk tubuh. Tidak banyak jenama yang menjual baju-baju bersaiz besar, terutamanya yang cocok dengan kebanyakan tubuh wanita Asia," kongsi Ayesha Frances Adam, 28, ketika ditemui baru-baru ini. Tambah ibu kepada seorang anak itu, kebanyakan busana-busana bersaiz besar tidak menepati cita rasanya yang menggemari gaya minimalis tanpa mengabaikan keselesaan. Namun, kekangan tersebut semakin dapat diatasi dengan kepelbagaian rekaan bagi wanita bertubuh besar yang ditawarkan di pasaran, terutamanya di butik-butik secara talian dan beberapa jenama luar negara yang kini tersedia di Malaysia. Jenama antarabangsa seperti H&M dan Topshop misalnya, menawarkan pilihan rekaan bersaiz sehingga XXL. Begitu juga dengan butik secara talian seperti Surisara. Perkembangan positif itu turut disambut gembira oleh Syahira Shaharudin, 25, kerana semakin banyak fesyen yang sesuai digayakan oleh wanita bertubuh besar. "Ia membuka ruang kepada wanita seperti saya bergaya dengan pelbagai fesyen terkini. Tawaran yang pelbagai ini membolehkan semakin ramai wanita sepertinya bergaya dan tidak terikat kepada fesyen tertentu sahaja," ujar pelajar bidang komunikasi massa di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya kepada Stailo. Baginya, wanita bertubuh besar tidak perlu takut untuk berfesyen, sebaliknya harus berani memilih gaya yang bersesuaian dengan bentuk badan. "Tetapi, ia mestilah berlandaskan asas fesyen yang betul dan tidak terlalu berlebihan. Jadikan paparan fesyen di majalah atau selebriti kegemaran sebagai panduan.
"Saya meminati fesyen yang dibawakan oleh Dina Tokio yang mempunyai susuk tubuh kecil dan ramping. Bagi menyesuaikan gayanya dengan personaliti saya, beberapa penambahan dilakukan agar gaya tersebut tidak kelihatan canggung ketika dipakai," kongsinya. Sebagai contoh, ujar Syahira, tidak ramai wanita bertubuh besar yang berani memakai seluar legging. Namun, gaya tersebut boleh dijayakan dengan pilihan seluar berwarna gelap yang dipadankan dengan baju berona ceria sebagai pusat tumpuan. "Fesyen hari ini sangat versatil. Setiap wanita perlu memperbanyakkan ilmu melalui pembacaan dan peka dengan peredaran fesyen terkini," kata gadis yang juga merupakan seorang jurugaya sambilan. Mengulas mengenai fesyen wanita bertubuh besar, pereka fesyen, Syomir Izwa menasihati golongan ini agar sentiasa berpegang kepada prinsip asas fesyen. Ini termasuk mengenali kelebihan dan kelemahan bentuk tubuh. "Setiap wanita mempunyai bentuk badan yang tersendiri. Mereka perlu memberi penekanan bahagian mana yang ingin diserlahkan. "Sebagai contoh, jika wanita berkenaan mempunyai bahagian dada yang besar, alihkan tumpuan ke bahagian lain dengan memilih aksesori atau warna yang sesuai," katanya. Beliau menambah, aksesori, seperti rantai labuh atau blazer, boleh menjadi penyelamat kepada fesyen wanita bertubuh besar. "Rantai dipakai tidak melepasi pinggang, sementara pilih blazer atau kardigan yang mempunyai rekaan mengikut tubuh. Ini dapat memberi visual bahagian dada yang lebih kecil," jelasnya ketika dihubungi Stailo baru-baru ini. Pemilihan fabrik juga memainkan peranan penting kepada gaya keseluruhan seseorang wanita. "Elakkan memakai fabrik yang terlalu berkilat seperti satin atau baldu kerana ia menampakkan kelemahan bentuk tubuh. Langkah terbaik adalah memilih fabrik daripada jenis sifon kerana ia lebih ringan dan beralun. "Selain itu, corak-corak melintang membuatkan tubuh kelihatan lebar, maka pilih fabrik bercorak menegak atau simetri bagi mewujudkan ilusi langsing kepada tubuh," jelasnya.
Kebanyakan wanita gemar menambah batu-batu jemeki atau manik bagi menaikkan seri busana mereka. Menurut Syomir, penataan taburan batu-batu tersebut perlu diletak pada bahagian-bahagian tertentu sahaja. "Jika seseorang wanita mempunyai bahagian pinggul dan pinggang yang lebar, tumpukan jahitan hiasan ini pada bahagian dada tetapi dalam kuantiti yang tidak berlebihan," nasihatnya yang juga telah mengeluarkan koleksi istimewa hari lebaran bersama Surisara. Syomir menambah, pilihan warna dapat memberi efek langsing kepada tubuh seseorang tetapi ia perlu bijak digayakan bersama aksesori. "Selebriti antarabangsa seperti Oprah Winfrey dan Queen Latifah pernah memakai busana serba putih tetapi mereka menambah pilihan subang, kasut dan penataan rambut yang menutupi bahagian-bahagian yang lemah," ujar beliau. | ||
Posted: Penampilan ceria bak tulipINSPIRASI warna bunga tulip menghiasi indah baju Melayu rekaan Shawn Sinar Sutera. WARNA-WARNI bunga tulip yang sinonim dengan Belanda pasti menarik para pelancong untuk menjejakkan kaki ke negara tersebut. Keindahan topografi negara di bawah paras laut itu mendorong butik Shawn Sinar Sutera mengadakan sesi fotografi bagi koleksi baju Melayu mereka di negara yang sering menjadi tumpuan ramai sempena kehadiran bulan Syawal. Aidilfitri yang disambut selama sebulan masih berlangsung dengan meriah. Begitu juga soal pemilihan pakaian yang menyaksikan baju Melayu kekal menjadi pilihan jejaka untuk digayakan tatkala berkunjung ke rumah-rumah terbuka. Rekaan Shawn Sinar Sutera kali ini tampil menawan dengan potongan baju Melayu klasik dengan warna-warna ceria. Inspirasi daripada rona bunga tulip menjadikan koleksi musim Syawal ini menyerlahkan keceriaan si pemakai dan pastinya si teruna kelihatan lebih bergaya pada Aidilfitri. Himpunan warna-warna yang menarik memberikan pilihan pelbagai kepada kaum Adam. Penggunaan fabrik daripada satin duchess dengan celupan palet terang memberikan keyakinan kepada jejaka ketika melangkah.
Usah gentar menggayakan fabrik rona terang. Jika inginkan penampilan yang menyerlah, baju Melayu merah biji saga pasti menjadi pilihan tepat. Lebih menarik jika dipadankan dengan samping berwarna kuning lemak ketam. Gaya maskulin si pemakai juga terserlah dengan pilihan warna biru gemawan yang boleh dipadankan bersama samping rona kontra. Bagi gaya sederhana, pilihan warna-warna pastel seperti kuning cair dan ungu menjadikan penampilan ringkas seadanya. Sempena Syawal ini, butik Shawn Sinar Sutera menjanjikan tawaran harga berpatutan kepada para pelanggan. Harga mampu milik membolehkan anda memiliki beberapa pasang baju Melayu untuk digayakan. | ||
Posted: Ceria rona neonSEPATU tapak rata berwarna-warni sesuai untuk gaya ringkas dan kasual. MUSIM panas merupakan waktu paling menyeronokkan untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan. Ia juga tempoh percutian paling sempurna untuk bergaya sakan dengan fesyen-fesyen terbaharu. Tidak ketinggalan sepatu jenama Princess yang menawarkan koleksi musim panas baharu yang ceria dalam warna-warna neon. Ia menjadikan si pemakai kelihatan lebih muda dan dinamik secara semulajadi. Ketua Pegawai Eksekutif Pusat bagi Beg Tangan dan Kasut Princess, Alan Lok memberitahu, koleksi baharu jenama itu dicipta bagi memberi penghormatan kepada fesyen era 1980-an. "Trend warna neon yang popular pada zaman itu kini kembali menguasai almari pakaian wanita moden hari ini. Diilhamkan daripada warna-warna terang dekad tersebut, koleksi terkini Princess disesuaikan untuk kegunaan waktu bekerja dan beriadah. "Rona neon kuning dan merah jambu adalah warna utama bagi koleksi kali ini dan boleh didapati dalam pelbagai gaya," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. Sepatu dengan pelbagai cetakan dapat diperoleh dalam rekaan peep-toe, baji, chunky dan sandal sarung yang bergaya dan dalam pelbagai warna bertenaga seperti kuning, biru, merah jambu, biru elektrik, emas, dan merah. Terdapat lima kategori sepatu di bawah Princess. Ia terdiri daripada Fashions, Pumps, De Confort, Deluxe dan Viani. Bagi koleksi baharu ini, sepatu Fashions dapat dilihat menerusi kasut tapak tebal (platform) dan chunky klasik rona kuning, biru elektrik dan perak. Rekaan De Confort, Deluxe dan Viani pula terserlah pada rekaan sepatu jenis sarung dan bertapak rata (flat) berwarna-warni. Paling penting, koleksi baharu itu mengekalkan stail signatur Princess iaitu berani, klasik dan stailo. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |