Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Venue final Piala Malaysia berubah Posted: Venue final Piala Malaysia berubahOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk mengubah venue asal final Piala Malaysia dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Shah Alam. Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah semalam. Afandi memberitahu, keputusan itu dibuat selepas Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mendapat arahan daripada Kementerian Belia dan Sukan untuk menutup stadium tersebut. Ia bagi menukar rumput padang selain kerja-kerja pembaikan di stadium itu yang dijangka bermula pada penghujung Oktober ini "Selepas perbincangan dengan wakil PSM, FAM mengambil keputusan untuk mengubah venue asal perlawanan akhir Piala Malaysia dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Shah Alam. "PSM telah memaklumkan bahawa mereka telah mendapat arahan daripada KBS supaya Stadium Nasional ditutup serta-merta bagi kerja-kerja baik pulih padang. "PSM juga dalam proses melantik kontraktor dan kerja-kerja pembaikan dijangka bermula pada hujung Oktober atau awal September depan. "Berdasarkan tempoh tersebut, Stadium Nasional hanya akan kembali dibuka pada Jun tahun depan," kata Afandi pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Kosmo! sebelum ini melaporkan, imej Malaysia tercalar selepas kelab gergasi Sepanyol, Barcelona memohon untuk menukar venue dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Shah Alam dalam aksi persahabatan menentang Harimau Malaya pada 10 Ogos lalu. Barcelona membuat tindakan itu kerana tidak berpuas hati dengan kualiti padang di stadium yang bernilai RM800 juta itu. Selain final Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 3 November depan, penutup Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan dua lagi aksi kelayakan Piala Asia 2015 turut akan berlangsung di Stadium Shah Alam. Skuad Harimau Malaya dijadual menentang Bahrain dan Qatar, masing-masing pada 15 Oktober dan 19 November depan dalam kempen tersebut. Dalam perkembangan lain, Afandi mengumumkan peraturan baharu pada saingan Piala Malaysia kali ini berhubung penangguhan atau pembatalan sesuatu perlawanan. "Perlawanan yang ditangguh atau dibatalkan ekoran masalah cuaca atau bencana alam, ia akan diadakan semula pada keesokan harinya mengikut baki tempoh perlawanan yang ditangguhkan itu. "Jumlah jaringan (jika ada) serta barisan pemain yang sama juga akan dikekalkan. Jika ada pemain yang menerima kad, ia akan dibawa pada perlawanan yang disambung semula itu. "Berdasarkan peraturan sebelum ini, mana-mana perlawanan tertangguh akan dimainkan semula dalam tempoh sepenuh masa iaitu 90 minit. "Jika perlawanan itu tidak dapat diteruskan, ia akan diadakan semula pada keesokan hari atau tarikh lain," jelas Afandi lagi. | |
Posted: Dua tempat masih jadi rebutanOleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH REVINGTON (tengah) kini giat memperkemaskan skuad hoki negara sebagai persiapan menghadapi Piala Asia 2013 di Ipoh, Perak minggu depan. TIGA pemain akan mengharungi fasa terakhir sesi pemilihan bagi mengisi dua lagi kekosongan dalam skuad hoki negara menjelang kempen Piala Asia 2013 di Ipoh, Perak minggu depan. Ketua jurulatih negara, Paul Revington semalam mengumumkan pemain pertahanan, Azreen Rizal Nasir, Jivan Mohan (perancang) dan Muhammad Ramadan Rosli (penyerang) sebagai tiga pelatih yang bakal merebut dua slot terakhir itu daripada senarai penuh 18 pemain. Selepas mengendalikan kem latihan selama lima hari di Ipoh, Revington memutuskan untuk menamakan dua pemain terbabit sebaik sahaja selesai aksi pemanas badan pertama menentang India pada 21 Ogos ini. "Kami telah menjalani kem latihan di Ipoh di mana kesemua 23 pelatih telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan bekerja keras. "Kita akan beraksi di tempat sendiri, jadi kelebihan ini akan digunakan sepenuhnya dengan mengumumkan dua pemain terakhir dalam skuad Piala Asia selewat yang mungkin. "Nama kedua-dua pemain ini akan diumumkan selepas kami melengkapkan aksi menentang India," jelas Revington semalam. Dua minggu lalu, jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu telah mengumumkan 16 pemain yang mana kesemuanya beraksi pada saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru. Namun, beliau meninggalkan dua lagi tempat untuk direbut lapan pelatih lain yang mana salah satu daripada slot tersebut adalah tempat mendiang Chua Boon Huat yang meninggal dunia awal bulan ini. Piala Asia 2013 yang akan berlangsung pada 24 Ogos hingga 1 September depan bakal menawarkan satu slot ke Piala Dunia 2014 di Belanda kepada pasukan yang bergelar juara. Pada kempen kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Pakistan, Taiwan dan Jepun manakala Kumpulan B menampilkan pasukan Korea Selatan, India, Bangladesh dan Oman. "Sasaran kita tetap sama seperti mana-mana kejohanan sebelum ini iaitu muncul juara. "Cuma di Ipoh nanti, tugasannya lebih penting kerana seperti yang kita tahu Piala Asia turut menyediakan satu slot automatik ke Piala Dunia kepada pasukan juara. "Selepas kegagalan di Johor Bahru, saya rasa ini adalah peluang terakhir kita untuk melakukannya tanpa perlu bergantung kepada mana-mana keputusan kejohanan di peringkat benua lain," kata Revington lagi. | |
Pelajari pengalaman di Guangzhou Posted: Pelajari pengalaman di GuangzhouOleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei berharap dua lagi pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng dan Liew Daren menimba pengalaman berharga pada Kejohanan Badminton Dunia 2013 yang berakhir Ahad lalu. Kedua-dua pemain berusia 26 tahun itu mempamerkan aksi yang masih boleh dibanggakan apabila mara hingga ke pusingan ketiga. Begitupun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila masing-masing terpaksa berdepan dengan dua bintang handalan China, Lin Dan dan Chen Long dalam misi memburu tiket ke suku akhir. Tatkala Wei Feng terpaksa akur kepada Lin Dan dengan kekalahan 20-22, 10-22, langkah Daren pula disekat Cheng Long yang menang 21-18, 21-15 dalam satu lagi aksi pusingan ketiga. Bagaimanapun, Chong Wei berkata, pengalaman mereka beraksi kali pertama pada Kejohanan Dunia amat berguna kerana ia akan menjadi pengajaran yang mampu menjadikan Wei Feng dan Daren menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang. "Ini pertama kali mereka berdua beraksi pada Kejohanan Dunia. Jadi, mereka boleh menggunakan pengalaman ini untuk menjadikan permainan mereka lebih baik lagi. "Mungkin pada suatu hari nanti, mereka pula berpeluang meraih gelaran juara dunia," kata Chong Wei baru-baru ini. Chong Wei sekali lagi kempunan meraih gelaran juara dunia apabila tumbang di tangan Lin Dan pada aksi final di Gimnasium Tertutup Tianhe, Guangzhou Ahad lalu. Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus gagal meraih gelaran dunia biarpun kejohanan berprestij itu sudah memasuki edisi ke-20 sejak mula diperkenalkan pada 1977 di Malmo, Sweden. Berbeza pula dengan Indonesia dengan Thailand yang menunjukkan kebangkitan apabila berjaya menyekat dominasi China selepas merampas tiga daripada lima kejuaraan yang dipertandingkan pada edisi tahun ini. Indonesia mengungguli acara beregu lelaki dan beregu campuran menerusi gandingan Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan serta Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir. Thailand pula membuat kejutan menerusi acara perseorangan wanita apabila Ratchanok Intanon menumbangkan pemain No. 1 dunia dari China, Li Xuerui. Selain Lin Dan yang mengungguli acara perseorangan lelaki, China bernasib baik apabila meraih satu lagi kejuaraan menerusi beregu wanita, Yu Yang-Wang Xiaoli. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |