Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Batik beri Amri, Rebecca peluang kedua Posted: 15 Aug 2013 08:44 PM PDT Oleh MELATI MOHD ARIFF Pasangan suami-isteri Amri Yusoff dan Rebecca Crown menunjukkan antara produk batik ekslusif keluaran syarikat mereka, Coast Handmade Sdn. Bhd. yang boleh dijadikan cenderahati. APABILA pegawai dagang Rebecca Crown hilang pekerjaan sebagai arkitek dengan firma Malaysia yang berpejabat di Kuala Lumpur sewaktu krisis kewangan 1998, dia tidak kembali ke tanah airnya. Kampung halamannya terletak lebih 6,000 kilometer nun di Sydney, Australia. Sebaliknya, dia mengemas beg untuk ke negeri pantai timur, Kelantan. Rebecca yang berminat dalam bidang tekstil dan fabrik mahu belajar mengenai batik dan dia tidak keseorangan. Rebecca berjaya memujuk mantan rakan sejawatnya, yang kini suaminya, Amri Yusoff untuk menemaninya. "Saya diberhentikan kerja terlebih dahulu dan Amri mengalami nasib yang sama kira-kira enam bulan kemudian. Saya beritahu Amri yang saya berminat dalam batik lagi pun semasa saya datang ke Malaysia saya meminati tekstil dan fabrik. "Saya minta Amri bawa saya ke kampungnya di Kelantan untuk lihat sama ada kami boleh buat perniagaan batik," Rebecca memberitahu penulis dalam wawancara di kediaman pasangan itu di Ampang, Selangor baru-baru ini. Amri yang turut sama ketika diwawancara mengakui meskipun dia dilahir dan dibesarkan di Kota Baharu, Kelantan, dia tidak pernah meminati batik dan tidak tahu menahu langsung mengenai industri itu. Kedua-duanya, bagaimanapun yakin batik membuka peluang keemasan untuk mereka memulakan kehidupan baru setelah hilang pekerjaan. Berkat usaha gigih serta penat-lelah, produk batik pasangan ini yang dipasarkan di bawah jenama Coast Handmade semakin terserlah keunggulannya. Idea segar Meskipun tidak ada pengalaman dalam perniagaan batik, kedua-dua Amri dan Rebecca mahu menghasilkan produk khusus untuk kegunaan rumah. Mereka juga mahu reka bentuk batik yang segar serta moden selari dengan sasaran gaya hidup di Australia. Bermula secara sederhana, menggunakan khidmat pengeluar batik di Kelantan dengan Amri sebagai pereka bentuk utama, pasangan ini mula menghasilkan perhiasan rumah serta sarung untuk jualan di Sydney di bawah jenama Coast Living. Ditanya mengenai pilihan nama label, Rebecca dengan pantas menjawab, "Amri berasal dari pantai timur dan saya sendiri datang dari Sydney yang terletak di pantai timur Australia. "Kami fikir perkataan Coast sesuai dengan kami dan mencerminkan gaya santai rakyat Australia di mana kami mahu menjual produk batik kami," jelas Rebecca. Bukan mudah Menurut pasangan itu, produk batik mereka mendapat sambutan yang baik di Australia cuma yang mencabar ialah dari segi pengeluaran. Amri menjelaskan apa yang mereka mahu pembuat batik lakukan untuk mereka sememangnya sukar. "Kami tidak sedar pada masa itu, tetapi untuk pembuat batik menghasilkan saban kali warna yang sama adalah perubahan besar daripada apa yang mereka biasa lakukan, memandangkan pengkhususan mereka ialah batik eksklusif, di mana setiap helai batik adalah berbeza," katanya. Mendengar kenyataan ini, Rebecca menambah: "Satu sahaja cara untuk memastikan produk yang dihasilkan menepati jangkaan pasaran ialah dengan berada di bengkel. "Secara logistiknya bererti Amri perlu berada di Kelantan dan saya pula di Sydney untuk menjual produk kami." Di sebalik masalah yang dihadapi, bisnes batik pasangan ini bertahan selama tiga tahun sebelum diberhentikan. "Saya fikir pembuat batik yang membuat batik kami menarik nafas lega kerana kami membuat keputusan untuk tidak meneruskan bisnes ini," kata Rebecca. Bagaimanapun Amri berkata, secara jujurnya kesediaan pembuat batik untuk memenuhi keperluan mereka sepanjang bisnes batik ini berjalan memberikan banyak pengajaran untuk kami. "Dalam banyak hal, kami merasa kejayaan kami hari ini adalah berdasarkan apa yang kami pelajari di kampung," Amri mencelah. Pertandingan batik Kembali kepada dunia korporat di Kuala Lumpur, Amri dan Rebecca mendirikan rumah tangga pada 2002 dan menimang cahaya mata pertama pada 2005. Pasangan ini kini mempunyai tiga orang anak, Mikhail berumur lapan tahun, Aden (empat tahun) dan Isabella (dua tahun). Meskipun sibuk dengan pekerjaan serta keluarga, pasangan ini masih menaruh minat terhadap batik dan meluangkan masa untuk menghadiri majlis yang ada kaitan dengan batik. Antaranya Piala Sri Endon, pertandingan reka bentuk batik mengambil sempena nama Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, isteri mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. "Kami mengikuti pertandingan ini selama beberapa tahun dan saya beritahu Amri, saya pasti dia boleh menang jika dia menyertainya," kata Rebecca. Pada 2007 Amri menyertai pertandingan itu di bawah kategori hiasan dalaman rumah. "Banyak yang perlu dilakukan. Kami diberi sebuah bilik hotel di Berjaya Times Square Hotel dan perlu menghiasnya dengan reka bentuk asli batik kami," kata Amri. Segala kerja keras berbaloi apabila Amri mendapat tempat kedua. "Saya mengharapkan menang tempat pertama tetapi pertandingan begitu sengit sekali. Saya menerima banyak pujian dan yang paling penting daripada Zuraidah Abdul Razak, Pengurus Besar Karyaneka pada masa itu yang bertanyakan sama ada saya berminat untuk menghasilkan beberapa produk batik untuk rangkaian kedai Karyaneka," kata Amri. Peluang kedua Memenangi tempat kedua dalam pertandingan Piala Sri Endon serta sokongan Zuraidah memberikan keyakinan kepada Amri untuk menceburi semula perniagaan batik. Pada awalnya Amri menjalankan perniagaan batik ini bersendirian dan Karyaneka adalah pelanggan pertamanya. "Saya begitu teruja bila menerima cek pertama bernilai RM1,000. Bila kita hasilkan sesuatu dengan tangan dan orang bayar untuk kerja tangan kita, rasa kepuasannya begitu menakjubkan," tambahnya. Pasangan itu menjelaskan untuk cubaan kedua mereka dalam bisnes batik, mereka mengekalkan cita rasa selari dengan jenama awal Coastal Living tetapi kali ini fokus kepada produk cenderahati untuk pasaran Malaysia. Menurut Rebecca, menjelang 2007, Malaysia adalah sebuah negara yang berbeza berbanding dengan apa yang dilihatnya pada lewat 90-an. Pada pandangannya, kuasa belanja rakyat Malaysia telah meningkat dalam tempoh itu. Perkembangan itu menyebabkan timbul keinginan untuk rakyat negara ini membeli produk yang lebih sofistikated dan bertaraf antarabangsa berbanding sebelumnya. "Secara keseluruhannya suasana di Malaysia lebih bertenaga. Fenomena ini beserta dengan fokus kerajaan Malaysia untuk menarik pelancong antarabangsa menyakinkan kami ada potensi untuk cenderahati batik, buatan tangan yang mempunyai reka bentuk menarik. "Inilah kisah permulaan Coast Handamade," kata Rebecca. |
Posted: 15 Aug 2013 08:44 PM PDT Mohd. Fadzil Mohd. Halime (kanan) bersama rakan kongsinya, Hasnuddin Ahmad. TIDAK hanya setakat itu, limpahan kicap cair dan juga pes cili menjadikan sajian nasi ayam bertambah enak apabila terasa kepedasan dan kemasinannya seimbang. Hari ini kita boleh melihat di merata-rata tempat terdapatnya restoran yang menjual nasi ayam tidak kira nasi ayam biasa mahupun nasi ayam Hainan. Jika kedua-dua sajian nasi ayam ini dapat dilihat perbezaan daripada cara masakan ayamnya iaitu goreng dan kukus, yang terbaharu kini berada di pasaran ialah nasi ayam bakar. Yang membezakan hanyalah cara masakan ayamnya dan ia juga dilihat satu hidangan sihat apabila ia dimasak secara bakar. Namun begitu, nasi yang disajikan masih lagi rasanya sama seperti nasi-nasi ayam lain yang dijual. Menurut pemilik Restoran Rawang Nasi Ayam Bakar, Mohd. Fadzil Mohd. Halime, 45, idea untuk menghasilkan nasi ayam di mana ayamnya dibakar tercetus apabila terfikir bagaimana hendak menyajikan satu hidangan sihat kepada masyarakat. Ini kerana menurutnya lagi, dengan keadaan sekeliling yang dilihat semakin tidak sihat, dia sebagai seorang pengusaha makanan ingin tampil sesuatu yang mampu memberi kebaikan kepada pelanggannya. Berbicara lanjut mengenai nasi ayam yang dijual di restorannya, ulas Mohd. Fadzil, kedainya hanya menyajikan ayam segar setiap hari untuk dinikmati para pelanggannya. Selain ingin menjaga kualiti, pihaknya juga percaya makanan yang dihasilkan daripada bahan-bahan segar rasanya sangat enak. Kami di sini sememangnya menyajikan sajian segar di mana ayam-ayam untuk nasi ayam ini dibeli setiap hari untuk menjamin kesegarannya. Ini secara tidak langsung nasi ayam di sini berkualiti dan pada masa yang sama kami turut menjaga setiap pelanggan yang hadir untuk menikmati hidangan di sini," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 12G, Jalan Pahat 15/J, Kompleks Otomobil, Seksyen 15, Shah Alam. Dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 12 tengah malam, Mohd. Fadzil menyatakan pihaknya membakar ayam dengan menggunakan periuk khas yang bernama Apollo. Dengan periuk ini, ia mampu mengekalkan bau aroma ayam tersebut selain ayam tersebut akan dimasak sekata. Bukan itu sahaja malah Mohd. Fadzil turut memberitahu keenakan pes cili yang disajikan di restorannya turut menggamit kehadiran pelanggan untuk menikmati nasi ayam bakar di situ. Dihasilkan daripada resipi ibunya sendiri secara tidak langsung menjadikan gabungan ayam bakar dan juga pes cili tersebut satu hidangan yang lazat. Pada masa yang sama keenakan rasa nasi itu sendiri, ayam serta pes cili yang dihidangkan bersama turut memainkan peranan penting dalam menentukan hidangan tersebut sedap ataupun tidak. Nasi ayam yang disediakan di restoran ini juga lembut dan keenakannya ditambah pula dengan keranggupan timun jepun yang dihidangkan bersama ayam bakar. Turut disajikan bersama semangkuk sup, Rawang Nasi Ayam Bakar juga boleh dinikmati bersama hidangan sampingan lain seperti kerabu mangga, taugeh celur, dan tauhu Jepun. Hanya RM5.50 bagi sepinggan nasi ayam, ia dilihat satu harga yang amat berbaloi dan hidangan ini juga boleh didapati dalam bentuk set. Untuk sepanjang bulan Ramadan ini, Restoran Rawang Nasi Ayam Bakar akan dibuka setiap hari tetapi hanya memulakan operasi pada pukul 5 petang hingga 12 tengah malam. Jelas Mohd. Fadzil, pihaknya menyediakan hidangan dalam bentuk set yang berharga RM10, terdiri daripada nasi ayam, air (bandung cincau, sirap limau atau air panas), kuih-muih, dan bubur. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |