Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Misi buru status juara bermula Posted: Misi buru status juara bermulaOleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
JAGUH No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Badminton Dunia 2013 yang akan membuka tirai hari ini. Ketiga-tiga pemain itu sudah pasti memiliki misi tersendiri untuk menjulang trofi kejuaraan buat kali pertama pada kejohanan edisi ke-20 di Guangzhou, China. Begitupun, apa yang menjadi persoalan ketika ini adakah mereka mampu menyerap setiap tekanan, baik di dalam mahupun di luar gelanggang. Ini kerana mereka bukan sahaja perlu berdepan dengan barisan pemain China yang dijangka 'bermaharajalela' di laman sendiri, malah Chong Wei, 30, Kien Keat, 27, dan Boon Heong, 25, perlu mengatasi sorakan padu daripada penyokong tempatan. Bagaimanapun, melihat kepada undian, jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock mengakui peluang Chong Wei, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2012 untuk memburu gelaran dunia kali pertama masih terbuka. "Atas kertas, peluangnya kali ini nampak lebih baik. Peluang untuk menang ada tetapi ia juga bergantung kepada prestasi Chong Wei pada hari perlawanan. "Bagi saya, pusingan pertama amat penting bagi semua pemain terbaik dunia kerana ia permulaan untuk mencari rentak permainan," kata Seu Bock. Chong Wei akan menghadapi Scott Evans dari Ireland pada aksi pertama kejohanan hari ini. Dia yang diramal mudah melepasi ujian pertama itu dijangka berdepan pemain Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka atau Misha Zilberman (Israel) pada pusingan kedua. Chong Wei juga diundi dalam kelompok dua pemain China, Wang Zhengming dan Du Pengyu dalam laluannya untuk mara ke separuh akhir. "Pemain-pemain China mempunyai kelebihan kerana kejohanan dunia berlangsung di sana. Kita memang tidak tahu keadaan mereka dan mereka juga melakukan persiapan yang baik. "Begitupun, kami juga akan menganalisis setiap pencabar sebelum perlawanan berlangsung. Kalau boleh kami mahu Chong Wei elak daripada perlawanan rubber set kerana dia sudah 30 tahun dan tahap fizikalnya sudah tidak seperti dulu. "Beraksi dengan pemain-pemain muda... mereka juga mampu melakukan kejutan jadi saya harap Chong Wei tidak akan melakukan kesilapan dan perlu sentiasa berwaspada," tambah Seu Bock. Dua lagi pemain perseorangan negara yang akan beraksi pada hari ini ialah Chong Wei Feng dan Liew Daren. Wei Feng akan bertemu Rajiv Ouseph dari England manakala Daren menentang Vladimir Malkov (Rusia). Dalam pada itu, Kien Keat-Boon Heong juga dilihat memiliki undian yang baik untuk melangkah ke final untuk kali kedua dalam karier mereka selepas edisi 2010 di Paris, Perancis. Begitupun, pasangan No. 2 dunia itu tidak boleh memandang rendah terhadap kemampuan beregu-beregu yang mempunyai azam yang sama untuk memburu gelaran dunia tahun ini. Selain memburu kejuaraan pertama, Kien Keat-Boon Heong yang mendapat bye pada pusingan pertama juga memiliki misi kedua - untuk meraih kembali kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Bekas beregu No. 1 dunia itu harus sekurang-kurangnya melangkah ke pentas final pada kejohanan kali ini atau mereka bakal berdepan dengan tindakan dipisahkan oleh BAM. Bagaimanapun, peminat sukan tanah air juga mengharapkan keputusan yang positif bakal dijelmakan oleh dua lagi beregu negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dan Goh V Shem-Lim Khim Wah walaupun mereka dijangka berentap sesama sendiri pada pusingan kedua. Thien How-Wee Kiong mendapat bye pada pusingan pertama, namun V Shem-Khim Wah harus menewaskan pasangan Scotland, Martin Campbell-Patrick Machugh sebelum berpeluang mara ke pusingan kedua. Malaysia turut menyandarkan harapan kepada gandingan, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari pada acara berprestij itu. Bagi kategori wanita, Malaysia tidak boleh terlalu memandang jauh bersandarkan kepada prestasi dan rekod pemain-pemain yang ada ketika ini. Dalam acara perseorangan, Malaysia menyandarkan harapan kepada wakil tunggal, Tee Jing Yi manakala bagi saingan beregu wanita, empat gandingan menjadi pertaruhan. Bagi acara beregu campuran, harapan sudah pasti dletakkan kepada gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang diharapkan mampu melakar kejutan di bumi Guangzhou. | |
Voeller ganti tempat Rajagobal? Posted: Voeller ganti tempat Rajagobal?Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE RUDI VOELLER SPEKULASI berhubung calon pengganti Datuk K. Rajagobal bertambah hangat apabila nama legenda Jerman, Rudi Voeller disebut-sebut sebagai prospek terkini pengendali Harimau Malaya. Difahamkan, bekas jurulatih Jerman berusia 53 tahun itu bakal memainkan peranan yang lebih besar buat Harimau Malaya bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Rusia jika benar beliau mengambil alih tempat Rajagobal yang kontraknya bakal tamat pada 31 Disember depan. Sumber memberitahu Kosmo!, Mueller juga dilihat calon sesuai membantu Harimau Malaya pada kempen Piala Asia di Australia pada 2015 jika skuad kendalian Rajagobal berjaya melepasi kempen kelayakan kali ini. Ketika diminta mengulas mengenai spekulasi tersebut, pengkritik bola sepak, Zakaria Ab. Rahim mengalu-alukan kehadiran Mueller bagi menerajui skuad kebangsaan selepas ini. Bagaimanapun, Zakaria berkata, sasaran dan hala tuju Harimau Malaya perlu diperhalusi jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat melantik Mueller sebagai jurulatih. "Tidak salah berbelanja lebih bagi mendapatkan Mueller sebagai jurulatih bagi memburu kejayaan yang lebih besar buat skuad Harimau Malaya. "Bagi saya, tiada gunanya melantik jurulatih berprofil tinggi seperti beliau sekiranya sekadar mahu merampas kembali trofi Piala Suzuki AFF... lebih baik lantik jurulatih tempatan," katanya kepada Kosmo! semalam. Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak menolak kemungkinan memburu khidmat jurulatih baharu selepas kontrak Rajagobal tamat pada 31 Disember depan. Pada masa sama, khidmat Rajagobal yang dilantik pada 20 April 2009 juga berkemungkinan disambung jika berjaya melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan FAM iaitu Harimau Malaya melepasi peringkat kelayakan kempen Piala Asia 2015. Antara calon-calon yang disebut-sebut menduduki 'kerusi panas' itu selepas ini termasuklah bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak, Robert Alberts; pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee dan juga bekas pengendali Harimau Malaya, B. Sathianathan. Mengulas lanjut, Zakaria juga menyarankan skuad Harimau Muda A atau Harimau Muda B menggalas cabaran negara pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 jika dikendalikan Mueller. "Persediaan mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia perlu bermula awal, jadi ada baiknya ia membabitkan skuad muda negara. "Selain itu, skuad negara juga wajar membuat persiapan di sana (Jerman) jika Mueller menjadi jurulatih sebagai pendedahan awal," katanya. Mueller yang pernah membimbing beberapa kelab terkemuka dunia seperti AS Roma dan Marseille ketika ini bertindak sebagai Pengarah Sukan kelab Jerman, Bayer Leverkusen sejak 2005. Beliau pernah membantu The Team mara ke final Piala Dunia 2002 sebelum meletak jawatan sebagai jurulatih ekoran kegagalan Jerman yang tersingkir awal pada kempen Euro 2004. | |
Posted: Semangat ATM berkobar-kobarOleh NOR AZIRAN YUNUS SELEPAS hanya mampu menduduki tangga keenam dalam saingan Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berazam menjulang Piala Malaysia musim ini. Semangat ATM untuk mengucup Piala Malaysia semakin berkobar-kobar selepas skuad The Gladiators itu terlepas peluang muncul juara apabila tewas 2-3 kepada Kelantan pada aksi final di Stadium Shah Alam musim lalu. Ibarat tampil dengan misi 'serampang dua mata', ATM kini mencongak peluang terbaik mereka untuk bergelar juara, sekali gus menebus dua kekecewaan tersebut. Menurut pengendali ATM, B. Sathianathan (gambar), sasaran memburu Piala Malaysia tidak mustahil untuk direalisasikan selepas anak-anak buahnya bebas daripada masalah kecederaan. "Selepas sekadar memenangi Piala Sumbangsih pada awal musim ini, kami kini tiada pilihan selain perlu memenangi Piala Malaysia sebagai hadiah kepada pihak pengurusan serta penyokong ATM. "Dalam saingan Liga Super, kami pada awalnya selesa berada dalam kelompok tiga teratas tetapi prestasi kami mula merudum pada penghujung musim. "Situasi itu berpunca daripada masalah kecederaan pemain-pemain utama dan ia sangat mengecewakan saya," kata Sathianathan ketika dihubungi Kosmo! semalam. Sathianathan berkata, beliau turut berpuas hati dengan pengundian Piala Malaysia kali ini apabila ATM diletakkan dalam Kumpulan A bersama naib juara Liga Super, Selangor selain Sime Darby serta Johor. Sebelum mencongak langkah lebih jauh, Sathianathan berkata, The Gladiators harus terlebih dahulu 'melangsaikan' aksi peringkat kumpulan sebelum menghidu slot suku akhir, separuh akhir mahupun final. "Jika diberi pilihan, sudah pasti saya memilih untuk menentang Kelantan pada aksi final sekali lagi. "Ini kerana musim lalu kami begitu hampir untuk mendakap Piala Malaysia tetapi dikecewakan dengan jaringan pada masa tambahan oleh (penyerang Kelantan) Indra (Putra Mahayuddin). "Sejak saya membimbing pasukan, setiap musim saya layak ke final (Piala Malaysia). Pada 2009 dan 2010, saya bersama Kelantan. "Namun, pada 2011 saya telah digantung dan tidak membimbing mana-mana pasukan sebelum saya membimbing Kelantan mara ke final musim lalu. "Jadi saya berharap tuah akan sekali lagi memihak kepada saya untuk beraksi pada final Piala Malaysia musim ini," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |