Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Rayuan ibu gelandanganOleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
TATKALA takbir bergema pada pagi Syawal, perasaan sayu pasti mencengkam hati Hamidah Narai, 53. Sudah empat tahun dia tidak membuat persediaan menyambut Aidilfitri. Bagi Hamidah, hari kemenangan bagi semua umat Islam itu tidak membawa apa-apa makna kerana keluarga tersayang tiada lagi di sisinya. Aidilfitri tanpa keluarga merupakan pengalaman perit yang dilaluinya saban tahun. Dia juga menunggu kepulangan anak lelakinya yang sudah empat tahun menghilangkan diri. "Pada bulan Ramadan lalu, saya menjalani hidup sendirian. Berbuka puasa dan bersahur bersama rakan-rakan di jalanan dengan hasil sumbangan orang ramai yang bersimpati terhadap kami," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Hamidah merupakan salah seorang gelandangan yang tinggal di sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur sejak empat tahun lalu. Pada waktu siang, dia tinggal di rumah setinggan rakannya di Kampung Baru sebelum ke kawasan tersebut untuk tidur pada sebelah malam. "Saya sudah dua dekad bercerai. Kini, anak pula hilang tanpa khabar berita. Saya harap anak saya Mohd. Hanafi Samsuri, 26, datang menjenguk saya pada hari raya ini. "Anak saya meninggalkan saya sendirian selepas datuknya meninggal dunia empat tahun lalu. Saya juga mengetahui dia kini sedang bahagia bersama isteri dan anak-anaknya," ujarnya yang pernah ditipu sebanyak RM200 oleh seseorang untuk mencari anaknya itu di sekitar ibu kota. Hamidah yang tidak mempunyai masalah kesihatan, tidak mengharapkan wang ringgit daripada anaknya itu tetapi cukuplah sekadar dapat menatap wajahnya pada Hari Raya Aidilfitri ini. Kebanyakan golongan gelandangan mempunyai pekerjaan untuk menyara kehidupan mereka di Kuala Lumpur. Namun, pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk mereka dan keluarga di kampung. Justeru, tidur di jalanan ialah penyelesaian untuk mereka terus hidup di ibu kota. Bagi seorang lagi gelandangan yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Jo, dia akan pulang ke kampungnya di Klang, Selangor. SUMBANGAN yang sedikit memberi makna yang besar kepada mereka yang kurang bernasib baik. Simpan pendapatan Namun, pengawal keselamatan di syarikat swasta di ibu negara itu menyambut Aidilfitri secara sederhana seperti tahun-tahun terdahulu. "Keluarga tidak tahu mengenai kehidupan saya di ibu kota lebih-lebih lagi tempat tinggal. Saya juga akan menyimpan sebahagian pendapatan kira-kira enam bulan lalu bagi membeli sedikit kelengkapan untuk isteri dan dua anak di kampung. "Saya tidak pernah menyalahkan takdir. Walaupun saya hidup sebagai gelandangan, saya juga mempunyai perasaan untuk menyambut lebaran seperti orang lain," ujarnya. Jo juga bersimpati dengan rakan-rakan gelandangan lain kerana ada dalam kalangan mereka tidak mampu pulang menyambut hari raya di kampung. "Kebanyakan gelandangan merupakan perantau dari negeri lain. Memandangkan tidak cukup wang, mereka mengambil keputusan untuk menyambut lebaran di ibu kota bersama rakan-rakan lain. "Sekiranya ada yang tampil membantu kami seperti pada bulan Ramadan lalu, dapatlah mereka merasai sedikit kemeriahan berhari raya walaupun jauh daripada keluarga," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |