Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 22 Aug 2013 11:24 PM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL Tiga pemenang Anugerah Life At Work Award (dari kiri) Pengarah Eksekutif Kumpulan Sumber Manusia dan Urusan Syarikat Nestle, Zainun Nur Abd Rauf; Ketua Kumpulan Sumber Korporat CIMB, Hamidah Naziadin dan Pengarah Sumber Manusia Malaysia Brunei IBM, Kenneth Ho. Ungkapan, 'di sebalik kejayaan seorang lelaki ada wanita di belakangnya', mungkin sudah terlalu lama dan kerap didengari. Namun, jarang sekali kita dengar kata-kata, 'di sebalik kejayaan seorang wanita itu terdapat seorang lelaki (suami) yang menyokongnya'. Itulah hakikatnya, lelaki atau suami adalah pendorong utama seorang wanita atau isteri berjaya dalam menentukan hala tuju karier masing-masing terutama selepas berumahtangga. Tanpa pengorbanan suami, sikap tolak ansur, sokongan moral dan motivasi, sukar seorang wanita berjaya menuju puncak dalam kehidupan sekali gus karier masing-masing. Wanita bekerjaya seringkali berhadapan dilema dalam menyeimbangkan tuntutan keluarga, diri dan kerjaya (work and life balance). Seringkali juga itu menjadi alasan begitu ramai tenaga kerja wanita mengambil keputusan meninggalkan kerjaya demi menguruskan rumah tangga. Menerusi tinjauan, wanita Malaysia menjadikan punca utama berhenti kerja kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga Walau pelbagai alasan lain menyumbang kepada perkara tersebut hakikatnya, dua perkara ini iaitu kerjaya dan kehidupan sebenarnya boleh dikecapi wanita asalkan ada sokongan penuh dari pasangan hidup masing-masing. Persoalannya, adakah matlamat seorang wanita berjaya itu boleh ditentukan dengan kurangnya rasa bersalah mereka? Bagaimanakah seorang wanita atau lelaki boleh menjadi penentu pasangannya serta menjadi aspirasi untuk mereka berjaya? Ini menjadi salah satu topik yang dibincangkan dalam sesi dialog di Sidang Kemuncak Wanita 2013 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Rohani Abdul Karim; Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Azizah Mohd. Dun dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur. Memasuki tahun ke-11, Sidang Kemuncak Wanita adalah satu medan khusus untuk mengetengahkan isu-isu dan membincangkan isu berkaitan wanita di tempat kerja. Membawa tema Forging Your Own Path, sidang kemuncak kali ini mengkhususkan pada 'seruan' kepada wanita bagi menentukan hala tuju karier masing-masing mengikut cara kepimpinan yang telah ditetapkan. Tumpuan acara sudah tentunya pada sesi perbincangan yang telah dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Johan Mahmood Merican. Antara ahli panel yang terlibat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ECM Libra, Azlin Arshad; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Airin Zainul; Presiden Kechara Soup Kitchen, Datuk Ruby Khong; pemilik pusat membeli belah Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin; Penyunting Eksekutif di Astro Awani, Kamarul Bahrin Haron, dan Presiden IPG Mediabrands Asia World Markets, Prashant Kumar. Ahli panel turut berkongsi pengalaman dan pandangan masing-masing dalam sesi perbincangan bertajuk; The Perfect Partner To Complement Your Career (Pasangan paling baik untuk melengkapkan karier anda). Bagi Ruby, yang aktif menerusi kerja amalnya di Kechara Soup Kitchen, sokongan suami amat penting dalam menentukan kejayaan seorang isteri. Tambahnya, itu menjadikan kehidupan seorang wanita itu lebih bermakna, lebih gembira apatah lagi apabila seorang isteri itu juga mendapat keyakinan diri hasil motivasi dan dorongan yang diberikan oleh si suami. "Suami bukan sahaja memberikan perlindungan dari segi fizikal malah turut berkongsi cerita peribadi, menyebabkan isteri rasa selesa dan tidak berasa beban dipikul seorang diri," jelas beliau yang mengakui sokongan dan motivasi daripada suami adalah penentu kejayaan seorang wanita. Ruby turut berkongsi pengalaman dirinya sendiri di mana ketika anak-anaknya masih kecil, suaminya kerap melakukan pengorbanan dengan memberikan masa yang lebih untuk menjaga anak-anak dan langsung tidak mengganggu kerjaya Ruby di pejabat. "Pernah satu hari saya ke tempat tuisyen anak dan terkejut kerana anak saya tidak berada di situ. Rupanya semua anak saya berada di pejabat suami dan menurut suami, kelas tuisyen anak dibatalkan lalu dia membawa semua anak saya ke pejabat dan menjaganya di sana. Itu salah satu pengorbanannya yang saya tidak boleh lupakan," cerita Ruby. Bagi Azlin pula, bukan mudah bagi seorang wanita mencapai kejayaan tertinggi dalam karier tanpa pengorbanan. Ibu kepada tiga cahaya mata berusia 15, 13 dan 11 tahun ini mengakui pernah berhadapan dengan tekanan yang hebat apabila terpaksa pulang ke rumah sekitar jam 12 malam semata-mata memenuhi tuntutan kerja yang banyak. "Istilah work life balance, bukanlah sesuatu yang seorang isteri boleh penuhinya setiap hari. Walau apa pun cabaran, setiap wanita berusaha melakukan yang terbaik untuk keluarga mereka dengan sokongan suami," jelasnya yang pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat kewangan terkemuka. Sementara itu, Ameer Ali berkata, kebersamaan suami isteri itu adalah punca utama kejayaan. Beliau turut berkongsi kisah ayahnya yang satu ketika dulu hanya menjual bedak air yang disediakan oleh ibunya. "Kaum lelaki memang banyak berkorban kerana di penghujungnya kami mahukan kejayaan yang sama di pihak suami dan juga isteri. "Sikap tolak ansur, kasih sayang, cinta dan sikap lelaki yang bersemangat dan bercita-cita membantu kejayaan pasangan sekali gus pembangunan komuniti," ujar beliau. Sesi tersebut juga disertai peserta sidang apabila mereka boleh mengundi siapakah antara lelaki dan wanita yang layak dijadikan pasangan menentukan kejayaan dan keputusan undian berpihak kepada wanita sebanyak 60 peratus. Mengakui segelintir lelaki memang tidak bertanggung jawab, Kamarul Bahrin, sempat mengambil kesempatan memohon maaf atas sikap dengkel suami yang gagal menjalankan tugas sebagai pelindung isteri. "Ya, memang baru-baru ini ada kes suami yang memukul isteri dan macam-macam lagi kes keganasan suami terhadap isteri, tapi saya sebagai suami di sini dengan sepenuh hati mahu memohon maaf bagi pihak mereka," katanya. Walaupun begitu, Kamarul Bahrin berkata ada juga lelaki yang sanggup berkorban berhenti kerja duduk di rumah dan menjadi suri rumah semata-mata memberi laluan kepada si isteri untuk berjaya. "Dunia sudah berubah, apa pun penentu kemakmuran dan keamanan bermula dengan kegembiraan di rumah dan pasangan yang paling tepat untuk melengkap kejayaan seorang lelaki pastilah seorang wanita," katanya. |
Posted: 22 Aug 2013 11:24 PM PDT UNTUK sesetengah orang buah avokado mungkin asing bagi mereka. Walaupun saya biasa dengan buah ini tetapi bagi saya buah ini bukan menjadi kegemaran saya untuk menikmatinya atau pilihan untuk saya ceritakan dalam artikel, sehinggalah apabila saya melihat seorang rakan kerja mengunyah buah avokado dengan susu pekat manis. Saya begitu teruja melihat dia hanya makan begitu sahaja. Tidak perlu dicampurkan dengan bahan lain untuk menikmatinya. Sedap katanya: "Kena enjoy makan buah ni sebab harganya RM4.80 sebiji." Terlopong saya sekejap. Begitu asyik dan berselera dia makan buah avokado itu sampai ulang makan dua kali. Terus timbul minat saya untuk merasanya dengan cara begitu dan ternyata sungguh enak. Keenakan dan khasiat buah ini telah lama saya tahu dan banyak sekali makanan yang dibuat dengan buah ini. Bukan setakat dibuat salad atau pencicah tetapi avokado juga turut dijadikan minuman. Minuman jus avokado yang dikenali sebagai 'alpukat' menjadi kegilaan pada peminat jus. Jus ini sungguh mudah dibuat iaitu cuma dikisarkan buah ini bersama air sejuk dan air gula. Anda juga boleh mencampurkan dengan susu cair atau yogurt dan ais. Akhir sekali siramkan dengan coklat masakan yang telah dicairkan. Minuman ini memang berkhasiat dan yang penting ia mengenyangkan. Minuman ini sungguh popular di Indonesia dan setiap kali ada teman yang melancong ke sana pasti mereka akan cerita kesedapan jus ini pada saya. Berpunca daripada kejadian melihat teman makan avokado saya terus mengkaji keistimewaan buah ini dan ternyata banyak sekali khasiat buah avokado. Berdasarkan bacaan saya di Internet saya baru mendapat tahu bahawa buah ini juga dipanggil buah pear buaya kerana kulitnya menyerupai kulit buaya. Kelakar pula rasanya sehingga buah ini digelar begitu. Tak mengapalah. Buah avokado ini sebenarnya berasal dari Mexico. Jika dahulu buah ini susah sangat untuk dijumpai di negara kita tetapi sekarang ia memang sungguh mudah dibeli di pasar raya. Namun jika membeli buah avokado pastikan memilih buah yang telah masak. Buah masak lembik apabila dipicit. Barulah enak jika anda menggunakan buah yang telah masak untuk membuat juadah makanan ataupun jus. Antara khasiat buah ini ia boleh mengekalkan jantung yang sihat kerana ia mengandungi vitamin B6 dan asid folik yang dapat membantu mengekalkan tahap homosistein. Tahap homosistein yang tinggi boleh mengakibatkan risiko penyakit jantung. Mengandungi tinggi lemak mono tidak tepu yang baik juga untuk jantung. Avokado juga kaya dengan sebatian beta-sitosterol yang berkesan untuk menurunkan kandungan kolesterol dalam darah. Kandungan potasium yang tinggi dalam avokado dapat mengawal tekanan darah tinggi. Avokado boleh mencegah kanser contohnya asid oleik dalam buah ini dapat mencegah kanser payu dara. Selain itu buah ini mengandungi tinggi antioksida yang dapat melambatkan penuaan. Kepada mereka yang obses menjaga kecantikan, buah ini sangat sesuai untuk menjadikan kulit anda halus mulus dan rambut lebat. Amalkan makan selalu dan sapukan saja avokado yang dilenyek pada rambut. Biarkan selama sejam dan bilas. Buah ini mudah menjadi lebam, sebaiknya ia terus dimakan selepas dipotong atau perahkan dengan jus lemon untuk mengelakkannya menjadi lebam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |