Utusan Online - Jenayah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Jenayah |
7 rumah setinggan terbakar di Sentul Pasar Posted: 08 Aug 2013 08:45 PM PDT KUALA LUMPUR 9 Ogos - Sekurang-kurangnya tujuh rumah setinggan di Kampung Chubadak, Sentul Pasar di sini musnah dalam satu kebakaran malam tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Zahari Mohamad berkata, kedudukan rumah yang sesak dan terletak berdekatan antara satu sama lain menyebabkan banyak rumah musnah kerana api marak dengan pantas. "Kami masih belum boleh nyatakan jumlah sebenar rumah yang terbakar kerana kami sedang mengumpul pemilik rumah berkenaan kerana kebanyakannya bercuti raya di kampung masing-masing. "Yang menjadi masalah utama adalah sumber air yang agak jauh, kita terpaksa menggunakan 'tanker' untuk mengangkut air ke mari," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi. Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam, dan anggota serta jentera bomba tiba 14 minit kemudian serta dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 40 minit. "Kami telah menghantar lima jentera iaitu Balai Bomba Sentul, Balai Bomba Hang Tuah, Balai Bomba Setiawangsa, Balai Bomba Gombak Selatan dan Balai Bomba Sri Hartamas," katanya. Katanya, semua mangsa yang terlibat selamat dan tiada kecederaan dilapor berlaku dalam kejadian. "Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA |
Bouncer pusat hiburan cedera ditembak di Pulau Pinang Posted: 08 Aug 2013 08:42 PM PDT GEORGE TOWN 9 Ogos - Seorang 'bouncer' di sebuah pusat hiburan di Jalan Keramat di sini, cedera di paha selepas terkena tembakan dalam kejadian awal hari ini. Chong Peng Meng, 43, dari Flat Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim bersama rakannya ditembak seorang suspek bertopi keledar sejurus tiba di tempat letak kereta pusat hiburan itu pada pukul 12.50 pagi. "Suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa yang sedang turun dari keretanya jenis BMW dan satu das tembakan mengenai paha sebelah kiri mangsa," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi Bernama di sini. Kong Meng berkata, mangsa yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dilapor dalam keadaan stabil manakala rakannya tidak cedera. Siasatan awal polis di tempat kejadian menemukan tujuh kelongsong peluru jenis 9mm dan mendapati satu das tembakan mengenai kereta jenis Perodua Myvi milik orang awam, katanya. Katanya, polis percaya kejadian ada kaitan dengan pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap. Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Tan, 43, berkata, suspek yang berkulit cerah telah mengacukan pistol ke arah tempat duduk pemandu ketika mangsa sedang keluar dari kereta itu. "Suspek yang bertopi keledar hitam telah melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal yang tidak diketahui nombor plat dan jenisnya," katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |