Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Ekspedisi biodiesel lonjak nama UTM Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT Oleh AZIZI MAJID MAHASISWA UTM memberikan penerangan mengenai biodiesel kepada mahasiswa International Institue of Cambodia di Kemboja sempena Mekong Valley Biodiesel Expedition 2013, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 21 Ogos - Tiada siapa pernah menyangka ekspedisi biodiesel yang disertai 50 mahasiswa dan kakitangan dari kampus induk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai di sini sejak 2009 bakal melonjakkan nama universiti berkenaan. Kejayaan edisi pertama ekspedisi yang bertujuan untuk mempromosikan penggunaan biodiesel sebagai bahan bakar untuk kenderaan itu berjaya menjadikannya sebagai program tahunan UTM sehingga kini malah menjadi landasan terbaik untuk universiti itu memperkukuh kerjasama dengan 'rakan sejawatan' di negara-negara yang dilawati. Selepas Biodiesel Expedition 2009, ia diteruskan dengan Biodiesel Expedition Transborneo 2010, Biodiesel Expedition Singapore-Malaysia- Thailand Laos 2011, Transjava-Bali Biodiesel Expedition 2012 dan yang terbaharu, Mekong Valley Biodiesel Expedition 2013. Bermula daripada edisi kedua, program tersebut turut disertai oleh mahasiswa dan kakitangan dari Universitas Tanjung Pura, Indonesia (Untan). Menurut Timbalan Dekan (Pembangunan) Fakulti Kejuruteraan Kimia UTM, Prof. Madya Dr. Firdausi Razali yang menjadi tunjang belakang kepada ekspedisi biodiesel ini, penganjuran program berjaya mempromosi penggunaan biodiesel sebagai bahan bakar untuk kenderaan. "Tetapi apa yang tersirat daripadanya adalah lebih penting. Ini kerana program seumpama ini dapat meningkatkan 'soft skill' para peserta yang terlibat kerana mereka yang membuat segala perancangan, pengurusan, pembentangan kertas kerja, berurusan dengan pelbagai pihak dan sebagainya," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini. Firdausi berkata, ekspedisi tersebut juga mengajar para peserta untuk membuat sesuatu keputusan dengan bijak, pantas dan tepat selain bekerjasama dalam satu pasukan. Katanya, meskipun ekspedisi tersebut ada kalanya dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak yang beranggapan ia sebarang program makan angin, namun beliau tidak pernah sesekali melatah apatah lagi patah semangat. ''Orang luar mungkin hanya melihat 'produk akhir' iaitu mahasiswa berjalan ke luar negara dan aktiviti-aktiviti mereka dipaparkan di dada akhbar, tetapi mereka tidak tahu cabaran dan kesukaran yang dihadapi peserta untuk merealisasikan ekspedisi ini," katanya. Mengulas mengenai Mekong Valley Biodiesel Expedition 2013, beliau berkata, ia berjalan lancar meskipun menghadapi beberapa halangan termasuklah tayar bas tersangkut ketika dalam perjalanan ke Vientiane, Laos. Seramai 41 mahasiswa dan kakitangan daripada UTM dan Untan menyertai ekspedisi kali ini yang menjelajah sejauh 5,600 kilometer di lima negara iaitu Kemboja, Vietnam, China, Laos dan Thailand bermula 18 Julai hingga 2 Ogos lalu. Antara aktiviti yang diadakan adalah seminar dan kaji selidik bersama universiti-universiti tempatan selain mengadakan program khidmat masyarakat dengan memberi sumbangan dan berbuka puasa bersama komuniti Islam setempat di Vietnam dan Kemboja. Ditanya mengenai perancangan akan datang, Firdausi berkata, pihaknya optimis untuk menjelajahi lebih banyak negara pada masa akan datang berbanding beberapa negara di Asia Tenggara dan China ketika ini. |
Kerajaan perluas beri rebat air Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD NUSAJAYA 21 Ogos - Kerajaan negeri akan memperluaskan pemberian rebat air kepada golongan sasaran khususnya golongan miskin dan miskin tegar. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sejak diperkenalkan pada November 2010, sebanyak 825 akaun golongan itu menerima rebat yang bertujuan menjaga kebajikan mereka. "Ini merupakan salah tanggungjawab sosial kerajaan. Setakat ini kerajaan negeri memberikan rebat air kepada kumpulan sasar iaitu 20 meter padu untuk golongan miskin tegar, manakala golongan miskin menikmati 10 meter padu air percuma. "Oleh itu, kerajaan bercadang memperluaskan lagi penerima rebat ini dalam jangka masa terdekat dan kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk mendapatkan senarai mereka yang benar-benar layak," katanya menjawab soalan tambahan Mohammad Taslim (Pas-Maharani) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini. Beliau berharap pemberian rebat itu dapat membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berkenaan selain membangkitkan kesedaran terhadap penggunaan air dalam kalangan masyarakat. Terdahulu, semasa menjawab soalan Teoh Yap Kun (BN-Paloh), Hasni berkata, seramai 511,479 daripada 1.5 juta pengguna air di negeri itu dikenakan bil kurang RM20 sebulan sejak Syarikat Air Johor Holding Sdn. Bhd. (SAJH) memperkenalkan rebat tersebut. "Jumlah yang menerima bil air yang kurang daripada RM20 ini secara langsung juga menunjukkan rakyat di negeri ini begitu menghargai sumber air yang diperoleh," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |