{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Pulut periuk kera juadah raya

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

Periuk kera yang baharu diambil dari hutan dan belum dibersihkan.

LABIS 13 Ogos - Masyarakat hari ini mungkin hanya mengetahui periuk kera merupakan tumbuhan meliar di hutan yang kini turut dikembangkan sebagai tanaman hiasan. Namun tidak ramai daripada kita yang merasai pulut periuk kera, juadah Aidilfitri yang menjadi kemestian di beberapa kawasan sekitar Johor dan Pahang.

Bagi pasangan Abdullah Kayan, 46, dan Norashikin Salimin, 41, pulut periuk kera menjadi sumber rezeki lumayan terutama setiap kali menjelang Syawal sebagai salah satu pilihan hidangan.

Menurut Abdullah, rasa pulut periuk kera tidak banyak beza dengan lemang kerana kedua-dua makanan tradisi masyarakat Melayu itu mempunyai banyak persamaan dengan pulut dan santan kelapa sebagai bahan utama.

Bezanya, lemang dimasak di dalam buluh dan dibakar berjam-jam lamanya sementara pulut periuk kera pula dikukus yang hanya memerlukan masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk dimasak.

"Ini membuka peluang kepada kepada kami membekalkan sama ada periuk kera mahu pun pulut periuk kera yang sudah siap dimasak kepada mana-mana pihak yang berminat menjadikannya sebagai hidangan. Biasanya tempahan diterima untuk majlis berbuka puasa di pertengahan Ramadan lagi.

"Tetapi paling banyak tempahan diterima adalah sehari sebelum sambutan hari raya kerana ramai yang mahu menghidangkan pulut periuk kera sebagai juadah istimewa pada pagi raya," katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui di rumahnya di Kampung Tenang, Labis, di sini baru-baru ini.

Menurut Abdullah, dia bersama isteri pernah bersengkang mata pada malam raya tahun lalu untuk menyiapkan 1,500 biji pulut periuk kera yang ditempah pelanggan yang dijual dengan harga RM1 sebiji.

Anggaran 10,000 periuk kera yang dibersihkan dijual setiap tahun pada harga 30 sen dengan sebahagian besar daripadanya adalah permintaan yang melonjak pada setiap kali Ramadan dan Syawal sejak 13 tahun perusahaan itu dimulakan mereka.

Malah, kata Abdullah, periuk kera kini semakin sukar diperolehi sehingga dia terpaksa mengupah Orang Asli untuk mendapatkan bekalan dari Hutan Bekok dengan upah RM50 sehari walhal ia tumbuhan yang melata di sekitar kampung berdekad lamanya.

Sementara itu, Norashikin yang mempelajari cara membuat pulut periuk kera daripada arwah neneknya berpendapat, kesukaran itulah yang membawa rahmat kerana memberi peluang perniagaan kepadanya dan suami.

Tentang cara membuat pulut periuk kera, beliau sendiri menunjukkan cara membersihkan periuk kera yang dijadikan acuan sebelum dikeringkan.

"Kemudian bolehlah masukkan beras pulut yang sudah siap dibasuh, diikuti santan kelapa yang sudah dibubuh garam secukup rasa sehingga tenggelam beras pulut tersebut.

"Selepas proses tersebut selesai, periuk kera yang telah diisi pulut dan santan perlu dikukus selama 15 hingga 20 minit dan selepas itu ia sedia untuk dihidangkan," katanya.

Syawal tidak lengkap tanpa pulut periuk kera

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

LABIS 13 Ogos - Masyarakat Melayu memang terkenal dengan kepelbagaian makanan tradisi yang unik dan enak terutama sebagai juadah istimewa yang dihidangkan di pagi raya seperti lemang, dodol, ketupat dan wajik namun ada juga yang tidak lupa menyertakan 'menu wajib' masing-masing seperti pulut periuk kera.

Bagi Sarimah Rahmat, 47, pulut periuk kera dengan rendang daging adalah satu kemestian kerana merupakan hidangan istimewa dan ketiadaannya membuatkan sarapan pagi bersama keluarga di pagi raya tidak lengkap.

"Sebenarnya sejak kecil lagi pulut periuk kera sudah dijadikan sebagai juadah istimewa di pagi raya keluarga saya dan apabila mempunyai keluarga sendiri saya meneruskan tradisi itu.

"Saya tidak pernah membeli pulut periuk yang sudah siap dimasak tetapi hanya membeli periuk kera yang belum dimasak kerana saya lebih suka memasak mengikut citarasa sendiri," katanya ketika ditemui semasa membeli periuk kera di rumah Abdullah Kayan.

Mardiah Ismail, 44, yang berasal dari Selangor pula mengakui tidak pernah menjamah pulut periuk kera sebelum ini dan mula menggemari keenakan rasanya walaupun pernah tersalah sangka tentang juadah tersebut.

Menurutnya, jika sebelum ini dia menyangka periuk kera itu yang dimakan, kali ini dia sendiri melihat dan belajar proses menyediakan pulut periuk kera sehingga keluarganya turut menjadikan hidangan tersebut menu pada hari biasa apabila berkesempatan mendapatkannya.

"Saya rasa dengan permintaan tinggi terhadap periuk kera terutama menjelang musim perayaan, adalah baik sekiranya penduduk di sini mengambil langkah untuk menanam spesies tumbuhan tersebut di kebun masing-masing," ujarnya.

Seorang lagi penggemar juadah tersebut, Zainuddin Kambali, 60, menyifatkan ia tidak jauh bezanya dengan lemang tetapi lebih lembut dan tidak mempunyai kerak kerana menggunakan proses memasak yang berbeza.

Kerap memasak sendiri pulut periuk kera untuk keluarga, dia lebih gemarkan juadah itu kerana proses penyediaan yang mudah malah lemang kini mudah didapati kerana semakin ramai yang menjualnya di tepi jalan.

"Bagi saya harga periuk kera 30 sen sebiji tidaklah begitu mahal berbanding kesukaran untuk memperolehinya yang terpaksa berdepan bahaya mengharungi paya berair di hutan tebal selain terpaksa berjalan kaki.

"Lebih senang membeli sahaja daripada terpaksa bersusah payah mencari di hutan jika mahu menggunakan setakat 100 atau 200 biji selain memberi peluang kepada mereka yang melakukan kerja mencari periuk kera menambah pendapatan pada musim raya," katanya.

Samun: Remaja 16 tahun, dua rakan diberkas

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada dua anggota polis trafik yang menolak pemberian rasuah selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 13 Ogos - Polis menumpaskan kumpulan penjenayah samun berkereta di bandar raya ini dan sekitar Nusajaya dengan tertangkapnya tiga pemuda termasuk seorang remaja berusia 16 tahun di Lebuh Raya Pesisir Pantai kelmarin.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa yang menaiki motosikal sedang melalui lebuh raya berkenaan dan dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Waja dinaiki ketiga-tiga penjenayah terbabit berhampiran Horizon Hills Golf & Country Club.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek kemudian turun dari kereta tersebut dan berpura-pura mahu membantu sebelum menyamun mangsa.

"Bagaimanapun mangsa bertindak pantas menghubungi polis dan akhirnya penjenayah yang cuba melarikan diri itu berjaya diberkas setelah kenderaan mereka dipintas kereta peronda polis tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan awal, polis menjumpai semula beg mangsa di bonet belakang kereta suspek serta beberapa lagi barangan. Dua suspek berusia lingkungan 20-an dan remaja terbabit tidak bersekolah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Menurut Mohd. Mokhtar, dengan penangkapan ketiga-tiga suspek, polis percaya menyelesaikan sekurang- kurangnya lima kes samun di sekitar bandar raya ini dan Nusajaya.

Katanya, suspek ditahan reman selama enam hari sehingga Sabtu ini dan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat