Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Rumah kos rendah di bandar
- 14,000 ekor lembu import untuk Aidilfitri
- Program 'Mesej Daripada Perdana Menteri' sempena Aidilfitri dilancar
Posted: 03 Aug 2013 10:22 AM PDT Oleh MD. AZRIN ROSLY ABDUL Rahman Dahlan (dua, kiri) dan isteri, Datin Norazlina Awang Had (kiri) beramah mesra dengan kanak-kanak semasa menyampaikan sumbangan pada program Ramadan Bersama Gelandangan anjuran Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda UMNO di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, malam kelmarin. - BERNAMA KUALA LUMPUR 3 Ogos - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperbanyak pembinaan rumah kos rendah terutama di kawasan bandar. Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mempercepat pembinaan rumah itu untuk manfaat masyarakat bandar terutama golongan berpendapatan sederhana. "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah mengarahkan kementerian ini bergabung dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dalam merealisasikan pembinaan rumah kos rendah ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada lebih 400 gelandangan di sekitar Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dalam program Ramadan Bersama Gelandangan anjuran Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda UMNO malam tadi. Yang turut hadir, Pengerusi SHEB Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol; Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Rahman Hamid dan Pengasas Persatuan Perlindungan Sinar Salam (Teratak Arfidah), Arfidah Abdul Latif. Sementara itu pada majlis meraikan wira-wira kota anjuran SHEB Pemuda UMNO, hari ini, beliau berkata, pihaknya merancang membina sebuah rumah transit bagi menempatkan golongan gelandangan khususnya di ibu kota. Menurut beliau, usaha itu bagi mengelak pelbagai masalah dari segi kesihatan, sosial, jenayah dan kebersihan melibatkan golongan tersebut. Menurut beliau, rumah itu akan dibina berkonsepkan sebuah dewan besar yang boleh menempatkan sebanyak 400 hingga 500 gelandangan setiap malam. "Kita akan sediakan tilam supaya mereka selesa untuk tidur, sekurang-kurangnya mereka mempunyai tempat bersih, tidak terlibat dengan jenayah seperti mencuri, dadah dan sebagainya," katanya. |
14,000 ekor lembu import untuk Aidilfitri Posted: 03 Aug 2013 10:22 AM PDT ABD. Aziz Jamaluddin (kiri) melihat lembu-lembu yang baharu tiba dari Australia untuk bekalan hari raya di pusat penyembelihan di South Point Pelabuhan Utara, Klang, semalam. PELABUHAN KLANG 3 Ogos - Sebanyak 14,000 ekor lembu telah dibawa masuk dari Australia dan Thailand untuk menampung keperluan sepanjang Ramadan dan semasa sambutan Aidilfitri di seluruh negara sejak awal Julai lalu. Jumlah itu termasuk sebanyak 2,500 ekor lembu yang baru tiba dari Australia melalui Pelabuhan Utara malam tadi Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin berkata, kesemua lembu tersebut dapat menghasilkan 7,000 metrik tan daging, sekali gus menampung keperluan daging lembu dan membantu mengimbangi harga syiling bahan makanan mentah itu di pasaran yang kini ditetapkan RM24 sekilogram. "Awalnya kita telah membawa masuk kira-kira 7,000 ekor lembu dari Thailand tetapi tidak cukup untuk bekalan Ramadan dan Aidilfitri. "Jadi 7,000 ekor lembu lagi dibawa masuk dari Australia melalui Syarikat Ternakan Kamran Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat di Malaysia yang mendapat kebenaran kerajaan Australia untuk membawa keluar lembu dari negara itu ke sini,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memeriksa 2,500 lembu yang baru tiba dari Australia untuk diagihkan di Lembah Klang, Kelantan, Pulau Pinang dan negeri-negeri berdekatan di South Point, Pelabuhan Utara di sini hari ini. Menurutnya, kelebihan lembu Australia itu ialah saiznya besar dan menghasilkan 170 hingga 240 kilogram daging malah harganya lebih murah berbanding daging lembu tempatan. Kesemua lembu yang tiba pukul 12 tengah malam tadi itu boleh menghasilkan 1,500 metrik tan daging untuk keperluan Aidilfitri. Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Northport (M) Bhd. Mohd. Azmi Mohd. Anis berkata, pihaknya telah memberikan kerjasama dengan mengatur semula jadual masuk kapal-kapal di Pelabuhan Utara untuk memberi laluan kepada kapal yang membawa lembu-lembu ini. "Kita terpaksa menangguhkan jadual masuk kapal-kapal lain dan memberi keutamaan kepada kapal yang membawa lembu-lembu ini bagi memastikan bekalan daging sempat tiba di pasaran menjelang Aidilfitri yang tinggal beberapa hari lagi," katanya. Bagi Pengarah Ternakan Samran Sdn. Bhd., Raghu Loganathan Pillay pula, pihaknya mengambil masa tujuh hari untuk membawa lembu-lembu dari Australia ke negara ini. "Untuk keperluan Ramadan dan Aidilfitri ini, kita telah membawa 7,000 ekor lembu dengan tiga kali pelayaran melalui Johor dan Pelabuhan Klang," katanya. |
Program 'Mesej Daripada Perdana Menteri' sempena Aidilfitri dilancar Posted: 03 Aug 2013 10:22 AM PDT ZURAIDI Ishak (kanan) bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wangsa Perdana, Datuk Dr. Mohd Shafei Abdulllah melihat kad raya 'Mesej Daripada Perdana Menteri' sempena Aidilfitri di kompleks beli-belah KL Festival City, Kuala Lumpur semalam. SETIAUSAHA Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr. Zuraidi Ishak melancarkan program khas 'Mesej Daripada Perdana Menteri' bagi tahun kelima sempena Aidilfitri di kompleks beli-belah KL Festival City, Kuala Lumpur semalam. Program berkonsepkan komunikasi dan perhubungan awam itu merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyampaikan pesanan khas kepada rakyat sempena musim perayaan. Penyampaian mesej menggunakan medium alternatif bercorak rakaman video dan kad ucapan perayaan secara peribadi kepada umum itu merupakan sebahagian usaha Najib mendekati rakyat. Program itu juga membolehkan Najib memberi nasihat kepada pengguna jalan raya supaya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga ketika dalam perjalanan pulang ke kampung. Program anjuran Yayasan Wangsa Perdana itu turut mendapat kerjasama rakan-rakan korporat antaranya Bank Rakyat, Felcra Berhad, Huawei Technologies (M) Sdn. Bhd. dan Koperasi Sejati Berhad. Dalam majlis itu juga, kira-kira 50 warga emas dan golongan asnaf menerima duit raya yang disumbangkan Yayasan Wangsa Perdana. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |