Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Nyawa jadi taruhan?
- DBKL peruntuk RM31.5 juta baiki 90 lif berusia lebih 15 tahun
- JMB sentiasa beri kerjasama
Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT Wan Rozita Wan Sulong menunjukkan butang lif yang rosak akibat perbuatan vandalisme di PPR 102 Seri Pantai, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini. KUALA LUMPUR 19 Ogos - Dengan hanya satu sentuhan jari ke butang, pengguna lif sudah boleh berada di puncak tertinggi bangunan kerajaan, syarikat swasta, pasar raya terkemuka atau perumahan bertingkat. Ternyata, lif bukan calang-calang fungsinya kerana kemudahan tersebut boleh diibaratkan sebagai nadi kehidupan kepada orang ramai bagi menggantikan tangga. 'Pesawat pengangkat' itu merupakan kemudahan yang sentiasa membantu bukan sahaja orang normal tetapi orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu mengandung mahupun kanak-kanak. Namun jika sistem operasi lif, penyelenggaraan dan alat-alat keselamatan yang dipasang di situ gagal berfungsi, ia bertukar menjadi sebaliknya. Ibarat nyawa jadi taruhan begitulah kejadian seorang murid tahun lima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di ibu kota maut tersepit lif rosak pada 17 Julai lalu perlu dijadikan pengajaran. Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa Khairul Amir Azri Lani, 11 maut akibat tersepit dalam lif yang tiba-tiba rosak sewaktu pulang dari sekolah. Kelemahan pemantauan dan kegagalan kontraktor lif mematuhi skop kerja-kerja penyelenggaraanmengikut kontrak boleh menyumbang kepada kerosakan. Malah, kekerapan operasi lif yang tinggi dan membawa muatan berlebihan dalam satu-satu masa juga tidak menolak kemungkinan yang boleh membawa kepada kerosakan. Tetapi, satu perkara yang sering dikatakan mengganggu kelancaran operasi lif adalah perbuatan vandalisme. Kurangnya keprihatinan penghuni menjaga lif seperti hak mereka sendiri menyebabkan ramai yang tidak ambil kisah terhadap aspek penjagaan kemudahan itu. Difahamkan, kerosakan lif lebih banyak melibatkan pintu lif dan selebihnya kerosakan peralatan kerana dicuri atau dirosakkan. Tambahan pula, sikap pengguna yang membawa motosikal menaiki lif, lif dibakar, menjadi tempat pembuangan sampah, mencuri butang dan getah pintu serta kanak-kanak bermain 'buka tutup' pintu turut menyumbang kepada kerosakan. Bagaimanapun, sekiranya anda terperangkap dalam lif, jangan tekan loceng berkali-kali, jangan panik dan cuba mengetuk pintu berkali-kali kerana ruang udara di dalam lif kini membolehkan anda bernafas sehingga bantuan tiba. |
DBKL peruntuk RM31.5 juta baiki 90 lif berusia lebih 15 tahun Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT KUALA LUMPUR 19 Ogos - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melakukan kerja-kerja penggantian melibatkan 90 buah lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) kendaliannya. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, kerja-kerja yang akan bermula pada 2014 hingga 2019 itu akan dibuat selepas usia penggunaan sesebuah lif menjangkau 10 hingga lebih 15 tahun. "Sebanyak RM31.5 juta diperuntukan untuk mengganti lif-lif tersebut sebagai perancangan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan akhbar kepada Utusan Malaysia di sini. Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan akhbar ini mengenai masalah yang membelenggu perkhidmatan lif di PPR dan PA. Pada 17 Julai lalu, seorang murid tahun lima mati akibat tersepit dalam lif yang rosak sewaktu pulang dari sekolah di PPR Desa Tun Razak, Cheras. Tambah Ahmad Phesal, sebanyak 262 buah lif telah dibuat kerja-kerja penggantian setakat ini dan lif di PPR Desa Tun Razak telah dilakukan kerja-kerja tersebut pada 2010. "Kini, terdapat lapan syarikat penyelenggaraan bertanggungjawab sepenuhnya melakukan kerja-kerja baik pulih, servis, penggantian peralatan termasuk pemantauan operasi lif harian di kesemua 523 lif. "Skop kerja menservis termasuklah memeriksa, meminyak, mencuci, membaiki atau membetul semula, menyesuai semua atau mana-mana mekanisme lif yang dilakukan secara berkala pada setiap bulan dengan kos antara RM1,000 ke RM1,500," katanya. Menurutnya, pemeriksaan berkala setiap tiga bulan bersama-sama jurutera teknikal dan kontraktor bertauliah turut dilakukan. "Malah, selaras dengan Akta Kilang dan Jentera 1967, pemeriksaan tahunan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), DBKL dan orang yang bertauliah (dari syarikat lif) juga dipatuhi," katanya yang memberitahu pemeriksaan terakhir JKKP di PPR Desa Tun Razak dibuat pada 4 Julai. Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya mengenal pasti sebanyak 21 peratus aduan melibatkan kerosakan lif yang diterima sehingga Jun lalu adalah membabitkan perbuatan vandalisme. "Oleh itu, kita bercadang untuk mempertingkat penguatkuasaan seperti mengeluarkan notis kompaun kepada pesalah laku penggunaan lif bagi mengelak lif menjadi mangsa vandalisme. "Selaras dengan perjanjian penyewaan, DBKL akan mengambil tindakan penamatan perjanjian penyewaan, disamping menuntut kos ganti rugi daripada ketua penyewa seperti yang diambil terhadap penghuni PA Desa Rejang pada 23 Februari tahun lalu," tegasnya. Selain itu, ujar Ahmad Phesal, DBKL sedang mengkaji untuk menempatkan sebanyak 250 penguat kuasa atau melantik pengawal secara kontrak di seluruh kawasan perumahan di bawah pentadbiran agensi itu. "Kami juga akan meneliti sekiranya perlu untuk melantik lembaga pelawat seperti dilaksanakan di hospital selain penglibatan bersama persatuan penduduk dalam usaha memantau dan menjadi mata dan telinga kepada DBKL," katanya. |
Posted: 19 Aug 2013 11:14 AM PDT KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) sentiasa memberi kerjasama dengan penghuni dengan memaklumkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung kerosakan lif. Pengerusi JMB Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Mohd. Alizan Abidin berkata, langkah ini bagi memastikan sebarang kejadian tidak diingini berlaku melibatkan penghuni. "Kita tidak mahu kejadian sama di PPR Desa Tun Razak berulang di tempat lain, jadi setiap kerosakan lif kita akan maklumkan segera kerana lif masih berada di bawah tanggungjawab DBKL. "Malah, kami juga sering melaksanakan pemantauan bagi mengelak perbuatan vandalisme terhadap kemudahan itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Tambah Mohd. Alizan, pihaknya turut bercadang untuk memasang kamera litar tertutup bagi membendung perbuatan vandalisme itu. Sementara itu, Timbalan Pengerusi JMB Blok 102 PPR Seri Pantai, Wan Rozita Wan Sulong berkata, masalah kerosakan lif boleh dielakkan sekiranya semua pihak bekerjasama. "Sekiranya lif tidak menjadi sasaran vandalisme dan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut jadual, ia mampu mengurangkan risiko kejadian seupamanya" katanya. Tambah Wan Rozita, masalah lif rosak di PPR Seri Pantai sejak tiga tahun kebelakangan ini semakin berkurangan selepas kerja-kerja pemantuan dilaksanakan pihak JMB. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |