Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Tanah MSN tempat buang sampah?
- Sokong wujudkan laluan pejalan kaki - Pelajar
- Persoal projek untuk satu kaum
Tanah MSN tempat buang sampah? Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD SEBUAH lori menambak tanah yang kemudiannya diratakan oleh sebuah jengkaut di atas sampah yang dibuang di tanah milik MSN di Taman Maluri, Kuala Lumpur baru-baru ini. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH KUALA LUMPUR 21 Ogos - Sebidang tanah seluas kira-kira satu hektar milik Majlis Sukan Negara (MSN) di Taman Maluri, Cheras di sini didakwa menjadi tempat pembuangan sampah dan sisa binaan sehingga mengganggu penduduk sekitar. Tanah lapang berdekatan Pusat Penjaja Taman Maluri dan Kolej Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) itu dikesan mula dijadikan sebagai lokasi pembuangan sampah sejak hampir tiga bulan lalu. Aktivis masyarakat, Datuk Omar Awang berkata, beliau mendapat maklumat kerja-kerja tersebut dilakukan secara haram tanpa kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Menurutnya, kerja-kerja membuang sampah dilakukan terlebih dahulu sebelum menimbun longgokan tersebut dengan tanah yang dikorek di kawasan sekitar. "Kini, lori-lori yang keluar masuk tanpa had termasuk pada hari minggu membawa pula sisa binaan konkrit sehingga mengotorkan kawasan sekitar kerana berhabuk. "Malah, gerai di Pusat Penjaja Taman Maluri juga dihurungi lalat ketika sampah-sarap dibuang sebelum ini. Siapa yang membenarkan lokasi itu menjadi tempat membuang sampah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Tanah lapang tersebut sebelum ini merupakan kawasan setinggan Sungai Kerayong dan pernah terlibat dengan kebakaran yang meranapkan sepuluh buah rumah pada Jun 2010. Kini, kawasan tersebut menjadi laluan pintas orang ramai untuk ke Taman Maluri atau Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Jaya. Bagaimanapun, Omar berkata, laluan terbabit tidak begitu selamat memandangkan masih dipenuhi semak samun selain terdapat air bertakung. "Mungkin tanah lapang tersebut dalam proses untuk dibangunkan tetapi kami mencadangkan agar diwujudkan sebatang laluan khas yang sempurna kepada pejalan kaki. "Malah, (jika dibina) sebatang jalan yang membolehkan bas mengangkut penumpang di laluan tersebut juga amat praktikal berbanding terpaksa menempuh kesesakan di Jalan 1/91 dan Jalan Pandan Indah ketika ini. "Pelajar kolej yang berjalan kaki pula memang menjadikan kawasan tersebut sebagai laluan pintas untuk mereka pulang ke rumah sewa di sekitar Pandan atau Ampang menaiki LRT," ujarnya. |
Sokong wujudkan laluan pejalan kaki - Pelajar Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT DUA orang pelajar melalui laluan di kawasan tanah lapang milik MSN yang dijadikan tempat pembuangan sampah di Taman Maluri, Kuala Lumpur baru-baru ini. KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pelajar-pelajar yang menjadikan tanah lapang berdekatan Pusat Penjaja Taman Maluri di Cheras sebagai jalan pintas menyokong sekiranya sebatang laluan yang selesa disediakan kepada orang ramai. Rata-rata mereka yang ditemui menyifatkan, langkah tersebut wajar dilaksanakan kerana dapat mengurangkan risiko kejadian jenayah dan perkara buruk yang lain. Syukri Helmi Zamri, 20, berkata, biarpun tidak menggunakan laluan tersebut, dia yakin rakan-rakannya yang berjalan kaki akan gembira sekiranya laluan tersebut diwujudkan. "Mereka memang berjalan kaki di kawasan lapang tersebut kerana dapat menjimatkan kos dan masa, sekiranya diwujudkan jalan yang sempurna mereka akan rasa selamat untuk berjalan kaki biarpun berseorangan," katanya kepada Utusan Malaysia. Orang ramai yang menggunakan laluan tersebut kini tidak selesa apabila tanah lapang milik Majlis Sukan Negara (MSN) itu nampaknya telah menjadi tempat pembuangan sampah haram. Tambah Syukri, laluan tersebut juga tidak dapat digunakan pada waktu hujan kerana menjadi becak sehingga mengotorkan pakaian. Seorang lagi pelajar, Norfazrina Idayu Harun, 21, berkata, dia tidak akan menggunakan laluan tersebut seorang diri kerana pernah mendengar kejadian ragut dan cabul berlaku di situ. "Saya bersyukur sekiranya jalan tersebut menjadi kenyataan kerana akan rasa lebih selamat dan selesa untuk berjalan kaki berulang-alik dari rumah ke kolej. "Kalau boleh percepatkan rancangan tersebut kerana memang wajar dilaksanakan demi keselamatan orang ramai," katanya. Rakannya, Mohd. Azrin Mohd. Amri, 20, pula berkata, ramai yang bergegas untuk ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) pada waktu petang selepas tamat kelas. "Kalau hari sudah lewat memang tidak akan lalu kerana jalan tersebut gelap, selain masih semak samun yang menakutkan orang ramai," katanya. |
Persoal projek untuk satu kaum Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH Mohd. Ridzuan Abdullah (tengah) bersama ahli jawatankuasanya dan Mohd. Ali Baharom (kiri) menunjukkan memorandum bantahan projek hab makanan Cina di Jalan Alor, Kuala Lumpur yang diserahkan kepada Perdana Menteri di Putrajaya semalam. - UTUSAN/HANAFAI KHAMSI PUTRAJAYA 21 Ogos - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) terus menyatakan bantahan terhadap keputusan kerajaan untuk menjadikan Jalan Alor di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sebagai hab makanan Cina bertaraf antarabangsa. Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, kerajaan seharusnya menjadikan kawasan tumpuan pelancong antarabangsa itu sebagai hab makanan pelbagai kaum dan bukannya menumpukan untuk satu kaum sahaja. Malah, katanya, dari sudut politik juga tidak memberi sebarang manfaat kepada kerajaan untuk membangunkan kawasan tersebut yang sejak sekian lama dikuasai oleh DAP. "Kami agak hairan kenapa kerajaan perlu membangunkan kawasan yang pengundinya secara terang-terangan tidak menyokong kerajaan. Adalah lebih baik sekiranya projek bernilai RM12 juta itu dibangunkan di tempat majoriti Melayu seperti di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit. "Kami bukan bangkang projek kerajaan ini tetapi mereka harus sedar pada pilihan raya lalu undi Melayu yang banyak memenangkan Barisan Nasional (BN), jadi seharusnya kerajaan melihat perkara ini dengan serius," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar memorandum bantahan kepada Pegawai Khas Perdana Menteri, Mohd. Saiful Azhar di hadapan pejabat Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. Yang hadir sama, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib sebelum ini berkata, satu projek bernilai RM12 juta akan dilaksanakan di Jalan Alor bagi menjadikan kawasan majoriti Cina itu sebagai 'syurga makan' bertaraf antarabangsa. Projek tersebut dijangka bermula November ini dan dijadual siap Ogos tahun depan, membabitkan antaranya penyusunan semula tempat makan dan pengindahan kawasan. Menurut Mohd. Ridzuan, pihaknya juga menerima banyak bantahan daripada peniaga kecil Melayu yang hairan dengan sikap kerajaan berikutan banyak membantu pengundi yang tidak menyokong BN dalam pilihan raya umum lalu. Pihaknya bimbang jika isu tersebut tidak diatasi segera akan menyebabkan peniaga kecil Melayu menolak BN pada pilihan raya akan datang. "Saya harap projek ini diberhentikan dengan kadar segera, kenapa perlu belanja sehingga RM12 juta, bangunkan sahaja kawasan Melayu dan perkenalkan hidangan Melayu bertaraf antarabangsa. "Ini negara Melayu dan Islam jadi kenapa perlu perkenalkan produk tidak halal antarabangsa, sepatutnya perkenalkan makanan halal antarabangsa," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |