Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Johor DT mula alami transformasi Posted: Johor DT mula alami transformasiOleh TAUFIK SALIMIN
"SAYA akui kesilapan saya, saya juga sudah banyak belajar daripada kesilapan dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu tahun depan." Demikian reaksi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengulas mengenai prestasi Johor Darul Takzim (DT) yang gagal beraksi cemerlang meskipun dibarisi beberapa pemain bertaraf bintang. Kelmarin, Johor DT turut melakar keputusan menghampakan apabila tewas mengejut 0-2 di tangan Selangor PKNS pada aksi sulung Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Shah Alam. Bagaimanapun, Tunku Ismail tetap berkeyakinan bahawa Johor DT akan bangkit, sekali gus menjadi pasukan terbaik musim depan. "Bagi saingan Liga Malaysia musim depan, kami sudah bersedia untuk melakukan perubahan termasuk mencari pemain yang hatinya bermain untuk pasukan dan bukan hanya mengambil gaji tiap-tiap bulan. "Saya yakin pada 2014, Johor DT akan tampil dengan impak lebih besar berbanding 2013," titah baginda pada pada sidang akhbar selepas memperkenalkan jurulatih yang juga pengurus paJohor DT yang baharu, Cesar Ferrando Jiminez dan seorang pemain import baharu dari Sepanyol, Braulio Nobrega Rodriguez termasuk jurulatih taktikal, Andres Tevar. Tunku Ismail menegaskan, bagi mencapai status pasukan terbaik, banyak transformasi perlu diolah dan dilakukan oleh skuad Harimau Selatan. "Saya mahu ubah semua dan untuk mengubah semua, saya memerlukan seseorang yang profesional dan berpengalaman," katanya. Mengulas mengenai pengunduran Fandi Ahmad selaku pengurus Johor DT, Tunku Ismail sekali menegaskan, keputusan itu dicapai atas persetujuan bersama antara PBNJ dan legenda bola sepak Singapura itu. Menurut Tunku Ismail, Fandi telah berjaya membawa perubahan besar untuk kemajuan dan pembangunan bola sepak negeri Johor musim ini. "Kemajuan dan perubahan tersebut dapat dilihat dengan jelas apabila Johor DT berjaya menduduki tempat ketiga dalam Liga Super dan menjadi naib juara Piala FA. "Bagi saya, Fandi tidak gagal kerana berjaya membawa kemajuan, para pemain juga tidak gagal, apa yang sudah diberikan olehnya adalah sesuatu yang sangat dihargai," jelas Tunku Ismail. | |
Posted: Semangat juang tinggi PerakOleh NOR AZIRAN YUNUS RANGEL (kanan) bersaing dengan pemain pertahanan Sarawak, Roni Harun pada aksi di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin. TIADA apa yang mampu diungkap pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah selain memuji anak-anak buahnya selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Sarawak di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin. Selepas ketinggalan hasil jaringan perancang Sarawak, Joseph Kalang Tie, Perak bangkit dengan dua gol hasil sumbangan tonggak import, Paulo Rangel pada minit ke-65 dan 81. Bagi Azraai, barisan pemainnya telah menampilkan semangat juang tinggi sehingga membolehkan mereka meraih tiga mata berharga pada aksi pembukaan Kumpulan C kempen Piala Malaysia itu. Menurut Azraai, beliau amat berpuas hati dengan keputusan serta persembahan keseluruhan anak-anak buahnya yang diturunkan dalam perlawanan menentang juara Liga Premier itu. "Walaupun Sarawak bermula garang dan berjaya memperoleh satu gol pada separuh masa pertama tetapi semasa rehat, saya meminta para pemain mengekalkan fokus serta melancarkan lebih banyak serangan ke kubu lawan. "Kemenangan dalam aksi pertama di tempat sendiri sudah semestinya menggembirakan saya dan juga para penyokong setia Perak yang memenuhi stadium. "Saya anggap kemenangan itu satu permulaan yang baik dan kami mesti mengekalkan momentum ini pada perlawanan akan datang," kata Azraai ketika dihubungi Kosmo! semalam. Bagaimanapun, Perak perlu 'membayar harga yang mahal' di sebalik kemenangan bergaya mereka di hadapan penyokong sendiri itu. Ini kerana tonggak pertahanan, Mohd. Hishamuddin Shaari terpaksa dikejarkan ke hospital selepas bertembung dengan seorang pemain Sarawak sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan di hidung dan mulut. "Saya telah melawatnya (Hishamuddin) di hospital dan mendapati mukanya ada sedikit bengkak dan saya jangka dia tidak akan diturunkan dalam aksi kedua menentang Kedah Sabtu ini. "Pujian juga harus saya berikan kepada Muhd. Shahrom (Abdul Kalam) yang masuk menggantikan Hishamuddin kerana dia berjaya mengawal permainan dengan baik," tambah Azraai. Dalam pada itu, Azraai berkata, beliau mahu para pemainnya melupakan kemenangan ke atas Sarawak, sebaliknya memberi tumpuan menjelang aksi menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar Sabtu ini. Azraai mengakui Kedah bukan calang-calang pasukan, apatah lagi mereka mampu mengikat juara Liga Super, Lions XII 2-2 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin. | |
Posted: Negeri Sembilan merendah diriOleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
PENGENDALI sementara Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah tetap merendah diri selepas anak-anak buahnya mengejutkan Terengganu 2-0 pada aksi sulung Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin. Ridzuan menganggap skuad Hoben Jang Hoben yang dilabel sebagai pasukan underdog selepas menghuni tangga tercorot Liga Super musim ini bernasib baik meraih tiga mata berharga di gelanggang lawan. "Tidak ada aksi yang luar biasa. Semuanya biasa-biasa sahaja. Cuma aksi barisan hadapan kami agak menjadi malam tadi (kelmarin). "Penyerang (Fabio Leandro Barbosa) dan pemain tengah (S. Sivanesan) tidak mempersia-siakan peluang yang terhidang. "Abdul Halim (Zainal), Mohd. Nazrin (Mohd. Nawi) dan beberapa pemain lain turut bermain dengan baik sepanjang perlawanan itu," kata Ridzuan ketika dihubungi Kosmo! semalam. Pada aksi kelmarin, Leandro Barbosa meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-38 sebelum Sivanesan menambah gol kedua pada minit ke-53, kedua-duanya hasil lorongan pemain tengah, Eddy Helmi Abdul Manan. Skuad Penyu berpeluang untuk mengurangkan defisit jaringan apabila Abd. Manaf Mamat dikasari pemain pertahanan Negeri Sembilan, sekali gus dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-82. Bagaimanapun, penjaga gawang Negeri Sembilan, Badrulzaman Abdul Halim berjaya mengekang rembatan kencang Manaf. Ridzuan berkata, kemenangan itu sangat penting terutama dalam usaha Negeri Sembilan mencari momentum bagi mengharungi baki saingan peringkat kumpulan selepas ini. "Bukan kami sahaja yang melakukan kejutan malam tadi (kelmarin). Beberapa pasukan lain turut melakukan kejutan. Ini merupakan perlawanan pertama dan semua pasukan cuba untuk mencari keserasian. "Masih banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi dan kami tidak boleh terlalu gembira," jelas Ridzuan. Mengulas aksi kedua Kumpulan C menentang Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Sabtu ini, Ridzuan berkata, anak-anak buahnya sekali lagi turun selaku underdog kerana mereka tidak pernah menewaskan skuad kendalian Dollah Salleh itu sepanjang musim ini. "Pahang sudah pasti dilabel sebagai pasukan pilihan berdasarkan rekod pertemuan kami musim ini. Bagaimanapun, kami akan mencuba untuk melakukan satu lagi kejutan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |