{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Johor rangka pelan strategik - MB

Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT

NUSAJAYA 22 Ogos - Kerajaan negeri akan memperkenalkan pelan pertumbuhan strategik ekonomi berdasarkan kekuatan dan sumber yang terdapat di setiap daerah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, pelan tersebut dapat memperlihatkan usaha mewujudkan keseimbangan pembangunan di seluruh negeri, selain membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana daerah.

"Tujuh daerah dikenal pasti hala tujunya untuk dibangunkan iaitu Johor Bahru sebagai pusat perdagangan dan perkhidmatan bertaraf antarabangsa serta Muar akan dijadikan sebagai destinasi pelancongan warisan serta pertanian, selain perindustrian berasaskan kayu.

"Batu Pahat pula bakal dijadikan pusat perindustrian kluster tekstil dan pertanian; Kluang (industri pembuatan, perkayuan dan pertanian moden); Segamat (destinasi agro dan eko-pelancongan, tanaman dusun dan pertanian) manakala Kota Tinggi dan Mersing (lokasi pelancongan berasaskan pantai dan pulau)," katanya semasa menggulung perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memberitahu, kerajaan negeri juga sentiasa memantau prestasi dan perkembangan anak-anak syarikat milik kerajaan negeri bagi memastikan semuanya berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, beberapa anak syarikat termasuk Johor Corporation (JCorp) mengambil langkah proaktif memulihkan sektor perhotelannya termasuk membuat perubahan struktur pengurusan serta menubuhkan jawatankuasa pentadbiran khas bagi memperbaiki keadaan kewangan semasa.

"Pemantauan daripada jawatankuasa itu dibuat sejak awal tahun ini dan langkah-langkah yang diambil menampakkan pertumbuhan aliran tunai yang baik.

"Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan kadar penginapan pada bulan Jun lalu yang meningkat kepada 71 peratus berbanding 49 peratus pada Disember 2012," katanya.

Sidang DUN Johor kemudian ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Nafi laut Mersing dicemari sisa industri

Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT

NUSAJAYA 22 Ogos - Kerajaan negeri menafikan dakwaan sesetengah pihak pencemaran laut di sekitar kepulauan Mersing berpunca daripada pembuangan sisa industri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa menjalankan pengawasan kualiti air marin di enam stesen di sepanjang pantai Mersing.

Beliau berkata, pemantauan itu melibatkan kawasan Teluk Mahkota, Tanjung Leman, Pantai Sri Pantai, Teluk Gorek, Pantai Air Papan, Kuala Sungai Mersing dan Pulau Setindan.

"Jarak pulau di perairan Mersing dari tanah besar melebihi lima kilometer dan berdasarkan rekod JAS, terdapat 13 punca industri di daerah itu dengan tujuh daripadanya melepaskan sisa dan enam premis lagi tidak menghasilkan sisa.

"Premis berkenaan melepaskan sisa terawat ke dalam sungai dan tidak mengalir terus ke laut. Sehubungan itu, pelepasan sisa industri bukan punca yang menyebabkan pencemaran paras logam berat yang tinggi seperti didakwa sesetengah pihak," katanya semasa menggulung perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Ayub berkata, piawaian bagi kualiti air marin adalah dua mikrogram per liter sedangkan paras kualiti ar marin di stesen pantai Mersing itu hanya di bawah satu mikrogram.

"Jelas sekali kajian pihak berkenaan berkaitan pencemaran air laut sebagai dakwaan yang tidak berasas," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak menggalakkan pembinaan pusat pengumpulan hasil tani berbentuk kekal kerana dikhuatiri penggunaannya hanya bersifat sementara.

Beliau berkata, kebanyakan pusat pengumpulan sedia ada berbentuk sementara dan mudah alih seperti menggunakan kanopi supaya boleh dipindahkan ke kawasan lain sekiranya diperlukan.

"Penubuhan kemudahan itu bertujuan membangunkan rangkaian infrastruktur pasaran ke arah meningkatkan keberkesanan pengedaran bekalan makanan negara dalam pengurusan rantai bekalan makanan.

"Kita amat mengalu-alukan cadangan untuk mewujudkan pusat pengumpulan tanaman di Sagil, Ledang yang akan dilaksanakan sekiranya terdapat permohonan dan keperluan daripada para petani di kawasan itu serta lokasi yang sesuai untuk dibangunkan," katanya.

Yayasan Warisan Johor akan wujudkan program Satu Daerah Satu Muzium

Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT

NUSAJAYA 22 Ogos - Yayasan Warisan Johor (YWJ) akan mewujudkan program Satu Daerah Satu Muzium sebagai usaha memelihara budaya negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, menerusi program itu sebanyak tiga muzium baharu akan dibina merangkumi Memorial Dato' Usman Awang di Kota Tinggi, Muzium Pagoh dan Muzium Diraja Maharani dengan kos keseluruhan sebanyak RM23.3 juta.

Beliau berkata, pembinaan Memorial Dato' Usman Awang dijangka siap pada 2016 manakala dua lagi muzium itu masih di peringkat mendapatkan kelulusan serta pengumpulan maklumat.

Menurutnya, hingga kini YWJ memiliki empat buah muzium iaitu Muzium Tokoh dan Galeri Seni di Johor Bahru, Muzium Kota Tinggi serta Galeri Dato' Onn di Batu Pahat.

"YWJ secara aktif mula mengumpulkan senarai bangunan bersejarah di negeri ini dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan dan sejumlah 208 bangunan bersejarah direkodkan.

"Pihak yayasan amat menghargai sebarang cadangan untuk pemeliharaan, pemuliharaan dan pemugaran peninggalan kesan sejarah. Setiap cadangan yang diterima akan dimasukkan ke dalam perancangan projek bagi tahun 2014-2019," katanya semasa menggulung perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta di bawah Pelan Permulaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi melaksana projek Waterfront The Tebing Sungai Mall, Parcel 1 di Sungai Tanjung Emas, Muar.

Beliau berkata, projek tersebut dijadualkan bermula tahun depan dan meliputi kajian, reka bentuk terperinci, penstabilan tebing, pembinaan dan pengindahan tebing sungai.

"Kelulusan peruntukan ini diperoleh hasil kerja kuat dan permohonan yang dilakukan pemimpin Barisan Nasional (BN) tempatan," katanya.

Beliau menambah, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi kerja-kerja pengawalan hakisan di pantai Senggarang, Batu Pahat.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat