Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Bersalin dalam air pengalaman baru Posted: 21 Aug 2013 10:13 PM PDT Dr. Choong Kuo Hsiang (kiri) menerangkan mengenai kaedah bersalin di dalam air. walaupun kaedah ini masih baru dan kurang meluas digunakan di Malaysia, ia sebenarnya sudah lama diamalkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan diyakini selamat serta lebih mudah berbanding bersalin secara normal. Demikian pengalaman ibu kepada empat orang cahaya mata, Ar'nie Rozah Krogh, 45, apabila dia memilih kaedah bersalin dalam air untuk proses kelahiran anak keempatnya Ariena Ayla Krogh setahun lalu. Nyata, pilihan tersebut memberi pengalaman berbeza yang cukup memberi keselesaan padanya. Ini kerana ketika melahirkan tiga anaknya terdahulu, dia terpaksa menahan kesakitan berjam-jam malah makan hari, sehingga terpaksa mengambil suntikan ubat penahan sakit epidural. "Pilihan untuk menggunakan kaedah bersalin dalam air ternyata berbeza rasa dan kesannya pada tubuh berbanding bersalin secara normal. "Ketika bersalin secara normal saya terpaksa menahan kesakitan berjam-jam dalam bilik bersalin terutama ketika bersalin anak pertama hingga perlu disuntik dengan ubat tahan sakit epidural," ujar Ar'nie. Menurutnya, berlainan dengan kaedah bersalin dalam air yang ternyata mengurangkan rasa sakit akibat kontraksi yang berlaku, selain diyakini lebih selamat dan rasa tenang apabila berada dalam kolam yang mengandungi air suam. "Apabila mendapat berita saya mengandung anak keempat, saya ingin merasai pengalaman bersalin dalam air. Sebelum ini memang mengetahui kelebihan bersalin menggunakan kaedah ini kerana ia lebih tenang dan mudah. "Selepas membuat kajian dan carian maklumat melalui Internet dan bahan bacaan lain, akhirnya saya memilih Hospital Pantai Kuala Lumpur kerana waktu itu ia satu-satunya hospital di Malaysia yang menawarkan khidmat bersalin dalam air," katanya. Ujar isteri kepada Anders Krogh itu lagi, sebelum dibenarkan oleh doktor untuk bersalin dalam air, dia terpaksa ditahan di wad bersalin selama empat hari kerana mengalami kesakitan tetapi bukaan rahim tidak cukup untuk melahirkan bayi. "Tiada cara lain untuk mengurangkan kesakitan selain mengambil suntikan ubat penahan sakit epidural sebagaimana disarankan oleh doktor. "Walaupun mendapat suntikan tersebut dan doktor mengesyorkan bersalin normal kerana keadaan saya yang lemah, saya tetap ingin meneruskan proses bersalin dalam air. "Keajaiban berlaku apabila badan mencecah air dalam kolam, perasaan tenang dan rasa sakit berkurang. "Dalam proses menunggu saat genting tersebut, untuk menghilangkan kesakitan yang dialami, saya cuba berjalan-jalan di sekitar bilik tersebut dan adakalanya masih boleh ketawa bersama-sama suami sambil melakukan aktiviti lain seperti menari dan makan," ujarnya. Bagi Raja Zarith Sofia Raja Zulkifli, 28, pengalaman melahirkan bayi sulungnya, Kyla Natasha, secara dalam air adalah detik indah dalam hidup yang tidak akan dilupakan bersama-sama suami tercinta Ben Ibrahim, 35. Tambahnya, sejak disahkan mengandung, beliau sudah membuat kajian tentang kelebihan bersalin di dalam air yang banyak di aplikasi di luar negara. "Apabila mengetahui Hospital Pantai Kuala Lumpur ada menawarkan kaedah tersebut, tanpa berfikir panjang saya dan suami mengambil keputusan melahirkan bayi sulung menggunakan kaedah ini. "Memang tidak ada pengalaman bersalin sebelum ini, tetapi saya boleh rasai sendiri bersalin dalam air tidak terlalu sakit , mudah dan tenang. " Saya hanya perlu meneran sedikit sahaja sebelum dapat rasai kepala bayi keluar. Selain itu, suami yang sentiasa berada di sisi di saat-saat mencemaskan itu ditambah pula dengan rendaman badan di dalam kolam dengan air suam sangat membantu dan melancarkan proses bersalin," ujar ibu muda itu. Menenangkan Kaedah itu banyak memberikan kebaikan kepada si ibu, terutamanya sebagai satu kaedah penahan sakit semulajadi. Berada di dalam air dapat mengurangkan rasa sakit semasa kontraksi berlaku yang mana dapat memberi keselesaan serta meningkatkan tumpuan si ibu berbanding jika berada di luar air. Keadaan ibu yang tenang dan selesa akan membantu melancarkan proses bersalin serta dapat mengurangkan perlunya intervensi perubatan semasa kelahiran. Sementara itu, kebaikan untuk bayi pula, air yang bersuhu sederhana suam akan memudahkan proses perpindahannya dari dalam rahim ke dunia luar kerana suhu air menyerupai suasana dan persekitaran di dalam rahim. Pendedahan pertama bayi kepada cahaya, warna dan bunyi juga tidak berlaku secara mengejut kerana air akan melembutkan semua unsur-unsur ini. Kaedah bersalin dalam air menggunakan kolam plastik sudah memasuki lima tahun diaplikasikan di negara ini. Terbaru Hospital Pantai Kuala Lumpur memperkenalkan kolam jakuzi yang lebih selesa dan berkesan untuk melahirkan bayi secara semulajadi. Pakar Obstetrik dan Ginekologinya, Dr Choong Kuo Hsiang berkata, kaedah bersalin dalam air boleh digunakan untuk ibu yang tidak ada masalah kesihatan semasa hamil. "Jika mereka tidak selesa dengan tanda-tanda klinikal yang bahaya, kami akan membatalkan kaedah bersalin dalam air. "Begitu pun kaedah ini sebenarnya selamat, kurang menyakitkan dan memberi keselesaan kepada ibu ketika berada dalam kolam yang mengandungi air suam. "Semua ibu yang dipilih untuk melakukan kaedah berkenaan mestilah tiada masalah sepanjang tempoh kehamilan dan tiada berlaku sebarang komplikasi," kata Dr. Kuo Hsiang. Tambahnya, sudah tiba masanya para ibu berani melakukan kaedah bersalin dalam air kerana diyakini ia selamat untuk ibu dan bayi tersebut. "Semasa menanti saat kelahiran, mereka bebas melakukan aktiviti untuk mengurangkan kesakitan yang dialami. Ini termasuk bebas untuk bergerak di sekitar bilik bersalin, dan memilih posisi yang selesa untuk proses kelahiran. "Selain itu, suami juga dibenarkan menemani isteri dalam bilik tersebut sehingga tiba waktu untuk bersalin. Ruang ini turut dilengkapi dengan alunan muzik dan gambar pemandangan indah bagi mewujudkan suasana tenang dan selesa," ujar Dr. Kuo Hsiang. |
Posted: 21 Aug 2013 10:13 PM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL Zumba menggabungkan beberapa tarian termasuk senaman aerobik yang menyihatkan tubuh badan. Presiden Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan (PPKSSWP), Datuk Dr. Lam Peng Chong, berkata, senaman sangat penting untuk mengelakkan diri daripada menghidapi pelbagai jenis penyakit. Kata beliau lagi, walaupun usianya telah mencecah 83 tahun dia tidak lupa untuk melakukan senaman ringan setiap hari. "Pastikan diri berpeluh setiap hari, hanya senaman yang boleh membuatkan anda berpeluh dan tiada apa lagi aktiviti boleh menggantikannya," jelas beliau yang ditemui pada majlis pelancaran Zumbathon di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Senaman juga cukup penting kepada kanak-kanak spastik sebagai salah satu aktiviti yang amat baik untuk memulihkan fizikal kanak-kanak penghidap penyakit tersebut. Senaman berasaskan tarian zumba pula memang satu kaedah santai yang meriangkan. Sehubungan itu acara Amal Zumbathon bakal berlangsung pada 21 September ini untuk mengumpul dana bagi program pembangunan untuk kanak-kanak spastik. Menurut Dr. Peng Chong, projek tersebut telah bermula sejak dua tahun lalu dan kini masih kekurangan kira-kira RM5 juta untuk melengkapkan pembinaan bangunan kedua mereka. "Selain pembangunan untuk kanak-kanak spastik, kami juga akan menyediakan tempat untuk warga emas sehinggalah aktiviti buat kanak-kanak yang lebih muda. "Dana yang diperolehi ini juga akan memberi wajah baru kepada bangunan yang sudah berusia 53 tahun ini. Ia dijangka lengkap memenuhi keperluan kanak-kanak spastik menjelang tahun 2020," jelas beliau. Zumba merupakan tarian senaman yang diasaskan oleh seorang penari dan koreografer dari Columbia, Alberto Beto Perez pada tahun 1990. Zumba menggabungkan tarian, senaman aerobik dalam bentuk tarian hiphop, soca, samba, salsa, merengue, mambo dan juga tarian Bollywood serta gelek. Kini zumba telah dicuba oleh lebih 14 juta orang yang mengikuti kelas zumba yang telah dianjurkan pada 140,000 lokasi dari 150 buah negara di seluruh dunia. Senaman ini telah terbukti memberi kebaikan kepada kesihatan organ kardiovaskular, menurunkan berat badan, melegakan tekanan dan meningkatkan keyakinan diri. Selain itu senaman Zumba juga tidak membosankan dan ia dilakukan dalam suasana tertutup dan lebih selamat. Dengan bertemakan Live Learn Love, acara amal Zumbathon KL 2013 akan berlangsung di Dewan Wawasan Menara PGRM, bermula dari 6.00 petang hingga 9.30 malam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |