Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- DBKL akan teruskan projek Jalan Alor
- Pemandu tamak terperangkap
- Ops Aidilfitri: SPAD keluar 458 notis
DBKL akan teruskan projek Jalan Alor Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT Oleh SITI AINIZA KAMSARI Ahmad Phesal Talib (berdiri tiga dari kiri), melayan tetamu dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DBKL di Stadium Titiwangsa, semalam. - Utusan/JEFFRI IRAN KUALA LUMPUR 22 Ogos - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan tetap meneruskan projek menaik taraf Jalan Alor di Bukit Bintang walaupun ada pihak yang meminta supaya projek tersebut dihentikan. Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak malah akan tetap meneruskan projek tersebut yang disifatkan sebagai sangat telus dan memberikan faedah kepada pelbagai pihak. Kita jangan jadikan projek Jalan Alor itu sebagai satu isu yang sengaja diperbesar-besarkan dan dibayangi oleh pemikiran politik yang sempit. Jika benar pun Jalan Alor itu adalah dalam kawasan pembangkang adakah kita hendak membiarkan lokasi tersebut bakal memburukkan nama negara apabila pelancong akan mendapati keadaannya indah khabar dari rupa sekiranya Jalan Alor sebenarnya kotor dan tidak selesa sebagai medan selera terkemuka di ibu negara," katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Jamuan Rumah Terbuka DBKL 2013 di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 500 orang termasuk kakitangan DBKL. Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang terus menyatakan bantahan terhadap keputusan kerajaan untuk menjadikan Jalan Alor sebagai hab makanan Cina bertaraf antarabangsa. Tidak timbul isu semata-mata kononnya kita hendak mempromosikan makanan Cina kerana di Jalan Alor itu terdapat pelbagai juadah kaum lain, malah bersifat agak antarabangsa bagi memudahkan para pelancong mempunyai pelbagai pilihan untuk menikmati hidangan," katanya. |
Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN KUALA LUMPUR 22 Ogos - Pelbagai alasan digunakan oleh pemandu teksi 'cekik darah' untuk mewajarkan tindakan mereka mengenakan tambang mahal tanpa menggunakan meter. Semuanya gara-gara mahukan pulangan lumayan dengan jalan mudah sehinggakan sudah tertangkap oleh agensi penguat kuasa sekali pun tidak membuatkan mereka serik, walaupun untuk seketika. Satu kes agak unik itu disaksikan penulis yang turut terlibat menyamar bersama anggota penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memerangkap seorang pemandu teksi yang melakukan dua kesalahan dalam masa selang beberapa jam semalam. Dalam fasa pertama operasi pada pukul 3 petang hingga 8 malam, pemandu berkenaan diberikan notis kesalahan kerana membawa penumpang tanpa menggunakan meter. Dalam fasa kedua operasi dari pukul 8 malam hingga 11 malam yang disertai penulis, lelaki berkenaan sekali lagi melakukan kesalahan yang sama. Ketika penyamaran itu penulis berpura-pura bertanyakan harga tambang dari Jalan Sultan ke KL Sentral dan dengan selamba pemandu berkenaan menjawab RM20. Anggota SPAD yang bersama penulis mempersoalkan harga tambang yang begitu tinggi untuk perjalanan kira-kira 10 minit namun ada sahaja alasan yang diberikannya. Menurut pemandu teksi berkenaan, yang jelas merah matanya, kini tidak ramai yang mahu menggunakan teksi dan lebih suka menaiki bas, oleh itu dia terpaksa mengenakan harga yang tinggi kepada penumpang. Tambahnya, dia terpaksa menjaga ayahnya yang sakit di rumah yang memerlukan dia membiayai segala kos perubatan. "Sekarang orang lagi suka naik bas, naik tren, kalau saya guna meter harga tambang terlalu rendah. Mana boleh cari makan. "Nak ambil penumpang pun bukan boleh sesuka hati, ada tempat-tempat tertentu macam KLCC saya tak boleh pergi sebab nak masuk sana kena masuk persatuan mereka dahulu. Leceh," katanya. Mendengar pelbagai alasan yang diberi pemandu teksi berkenaan, pegawai SPAD segera memperkenalkan diri dan mengarahkan pemandu berkenaan supaya bergerak ke pusat operasi di tempat letak kereta Muzium Negara. Pemandu itu kemudiannya ditahan manakala teksinya disita kerana melakukan dua kesalahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana tidak menggunakan meter yang boleh dikenakan kompaun atau denda sehingga RM500,000. Pemandu itu seterusnya diserahkan kepada AADK yang kemudiannya mendapati ujian air kencing pemandu tersebut positif dadah syabu. Operasi yang diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad itu turut mengeluarkan notis kesalahan ke atas 29 pemandu teksi. |
Ops Aidilfitri: SPAD keluar 458 notis Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT Che Hasni Che Ahmad KUALA LUMPUR 22 Ogos - Sebanyak 458 kesalahan dikenal pasti dalam Operasi Aidilfitri yang dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Ogos lalu. Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, jumlah itu diperoleh hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 9,998 kenderaan di ibu negara. "Sebanyak 120 kesalahan melibatkan bas termasuk kesalahan jadual tambang perjalanan (7), operasi luar kawasan (21), menurunkan penumpang (62) dan tiada kawalan tiket bas (30). "Bagi kenderaan pelancongan pula sebanyak 27 kesalahan dikesan iaitu tiada lesen pengendali dan senarai penumpang. "Sebanyak sembilan kesalahan pula melibatkan ulat tiket dan teksi 75," katanya ketika dihubungi hari ini. Sementara itu, katanya, jumlah kesalahan bagi semua jenis kenderaan bagi tahun ini sehingga 11 Ogos lalu adalah sebanyak 3,816. "Sebanyak 1,105 kesalahan melibatkan teksi yang mana 1,701 daripadanya kesalahan langgar syarat lesen," ujar beliau. Katanya lagi, SPAD juga mengeluarkan notis sebanyak 1,377 melibatkan lori, 1,187 daripadanya kerana membawa muatan berlebihan. Bagi bas ekspres pula, katanya, sebanyak 637 notis dikeluarkan termasuk 597 daripadanya atas kesalahan melanggar syarat lesen. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |