Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Giliran Zolkples ‘hentam’ Butler Posted: Giliran Zolkples 'hentam' ButlerOleh SHANIKA ABDULLATIB
"SIAPA Peter (James) Butler? Setakat yang saya kenal, beliau suka mencetuskan masalah dan saya sendiri tidak tahu sejauh mana kebolehan beliau." Demikian tegas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong ketika mengulas mengenai kenyataan bekas jurulatih Kelantan, Terengganu dan T-Team itu yang mempertikai pelantikan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara baru-baru ini. "New Director or Youth Development! Don't know him, however give him a chance - obviously cheap option but what do you expect here #belucky." Itu antara kata-kata Butler yang mempertikai pelantikan Teong Kim dalam laman sosial Twitter miliknya baru-baru ini, "Segalanya sudah jelas. Pemilihan Teong Kim dilakukan menerusi proses terperinci, malah melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. "Pandangan saya terhadap Butler sangat mudah. Seandainya dia seorang yang bagus, sudah pasti dia berada dalam senarai yang harus dipertimbangkan. "Sebaliknya nama beliau tidak pernah disebut sebagai calon layak melatih mana-mana program di bawah kendalian MSN," kata Zolkples di Bukit Jalil semalam. Dengan beberapa kontroversi yang dicetuskan Butler sebelum ini, Zolkples menganggap pengendali kelahiran Halifax, England itu sebagai pencetus masalah (trouble maker). "Tengok saja sejarah dia yang bukan saja di sini tetapi di negara luar seperti Thailand dan Indonesia yang dikhabarkan penuh dengan masalah. "Ada saja kontroversi yang tercetus setiap kali beliau mengendalikan pasukan atau kelab bola sepak. "Jangan lupa juga bagaimana dia memporak-perandakan dan menghentam pengurusan Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT). "Tapi kalau dah syok sendiri, kita pun tak boleh buat apa," katanya. Zolkples turut memberi amaran jika Butler terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan mencemarkan imej negara, jurulatih berusia 47 tahun itu akan berdepan tindakan undang-undang. "Pihak berwajib harus lihat adakah perlu beliau terus berada di negara kita," katanya. Kosmo! sebelum ini pernah melaporkan kenyataan Butler menerusi laman Twitter miliknya sehingga mencetuskan kemarahan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh. | |
Elak fokus Harimau Muda terjejas Posted: Elak fokus Harimau Muda terjejasOleh HAFIZ ABBAS SKUAD Harimau Muda bergambar kenangan pada majlis pelancaran rasmi Pesta Bola Merdeka 2013 di Kuantan, Pahang semalam. PENGENDALI Harimau Muda A, Ong Kim Swee ada sebab dan alasan tersendiri meminta pasukan negeri atau kelab supaya tidak mengganggu barisan pemainnya dengan menawarkan kontrak sebelum Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini. Menurut Kim Swee, ia bagi mengelakkan konsentrasi para pemainnya terjejas akibat terlalu memikirkan hal itu sehingga melebihi perjuangan buat negara. "Ia satu perkara biasa jika ada pemain ditawarkan kontrak dan mendapat ganjaran yang lebih baik. "Setakat ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah berbincang mengenai isu ini dan (akan) menyelesaikan kontrak pemain skuad Harimau Muda A, B dan C. "Lagipun pemain daripada skuad Harimau Muda mendapat kelonggaran dan boleh didaftarkan bila-bila masa," kata Kim Swee. Kim Swee berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Pesta Bola Merdeka ke-41 di Kuantan, Pahang semalam yang dirasmikan Timbalan Presiden FAM, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Pada kejohanan yang julung kali diadakan di luar Kuala Lumpur itu, Malaysia akan diwakili Harimau Muda A dan bakal beraksi bersama tiga lagi skuad Bawah 23 tahun - Singapura, Thailand dan Myanmar. Ditanya kemasukan tujuh pemain bagi memperkuatkan skuad Harimau Muda A menghadapi Pesta Bola Merdeka kali ini, Kim Swee melahirkan rasa gembira dengan situasi terkini itu. Pada masa sama, beliau mengharapkan kesemua pemain terbabit cergas sepenuhnya memandangkan mereka juga pertama kali dapat disatukan dalam satu pasukan. Tujuh pemain terbabit ialah Fadhli (Harimau Muda A), Wan Zack Haikal Wan Noor (Ryukyu FC), K. Reuben (Angkatan Tentera Malaysia), Mohamad Nazmi Faiz Mansor (Selangor PKNS), Mohd. Zubir Azmi, Nik Shahrul Azim Abd. Halim (Kelantan) dan Junior Eldstal (Sarawak). Sebelum ini, Kim Swee berdepan dengan masalah kecederaan melibatkan enam pemain iaitu Gray Steven Robbat, Izzaq Faris Ramlan, Fandi, Amer Saidin, Syahid Zainon dan Nurridzuan Abu Hassan yang tidak dapat beraksi pada Pesta Bola Merdeka kali ini. "Walaupun pemain terbabit mengalami kecederaan panjang tetapi mereka masih berada pada landasan baik dan dijangka boleh pulih sebelum Sukan SEA di Myanmar nanti," jelas Kim Swee. Ditanya mengenai peluang skuad kendaliannya memburu kejuaraan pada Pesta Bola Merdeka kali ini, Kim Swee menjelaskan, ketiga-tiga lawan mereka masih dianggap pencabar kuat. "Ini dapat dilihat dengan persediaan baik oleh Singapura, Thailand dan Myanmar yang menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk menghadapi Sukan SEA nanti,"katanya. Kali terakhir Pesta Bola Merdeka diadakan ialah pada 2008 dan Vietnam muncul juara menewaskan Malaysia yang ketika itu dibimbing B. Sathianathan menerusi sepakan penalti 6-5. | |
PSM hukum tujuh pemain skuad Elit Posted: PSM hukum tujuh pemain skuad ElitOleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengambil tindakan terhadap tujuh pemain skuad Elit A ekoran masalah disiplin. Hasil mesyuarat khas Jawatankuasa Pembangunan Skuad Elit yang berlangsung selama lima jam bermula 9 malam hingga 2 pagi di Kompleks Majlis Sukan Negara, Keramat, Kuala Lumpur semalam, seorang pemain digugurkan daripada skuad kebangsaan manakala dua lagi pemain digantung. Pemain apit kanan, Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar, 19, (gambar) menerima hukuman paling berat apabila disingkirkan daripada skuad kebangsaan. Pemain apit kiri, Mohd. Syafiq Abdul Rahman dan tekong, Muhd. Zulkifli Abd. Razak pula digantung daripada mengikuti latihan skuad kebangsaan sehingga satu keputusan dikeluarkan daripada Jawatankuasa Tatatertib PSM. Empat lagi pemain - Muhammad Syahmi Husin (tekong), Mohd. Hanafiah Dolah (apit kanan), Izurin Refin (tekong) dan Mohd. Muqlis Borhan (apit kiri) dilepaskan, namun masing-masing menerima surat amaran bersyarat. Jawatankuasa Pembangunan Skuad Elit yang dipengerusikan Penolong Setiausaha 1 PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanuddin berkata, tindakan itu dikenakan disebabkan masalah disiplin dan 'lari' lebih awal ketika beraksi dalam Liga Thailand. "Pada malam ini (awal pagi semalam), kami hanya ada satu agenda yang dibincangkan iaitu berkenaan surat tunjuk sebab yang diberikan (kepada pemain-pemain terbabit). "Berdasarkan kepada keputusan mesyuarat, seorang digugurkan dan dua lagi pemain digantung daripada skuad Elit. "Kes ketiga-tiga pemain itu dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib atas kesilapan berat yang dilakukan, namun empat lagi pemain diberikan surat amaran bersyarat," kata Tengku Adnan. Turut hadir pada mesyuarat semalam ialah Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail dan Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Arshad Yahaya. Biarpun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai kesalahan yang dilakukan kesemua pemain terbabit, Ahmad menegaskan, tindakan itu disebabkan oleh masalah disiplin. "Bagi kes Khairol Zaman, dia digugurkan daripada skuad Elit, kemudian dicadangkan kepada Jawatankuasa Tatatertib PSM agar dia digantung daripada terlibat dengan sepak takraw untuk satu tempoh tertentu. "Jika Jawatankuasa Tatatertib beri (hukum gantung) tiga bulan, maka tiga bulan (digantung), kalau 2 tahun hingga 5 tahun, maka dia akan digantung untuk tempoh tersebut," jelas Ahmad. Sebelum ini, seramai 13 pemain skuad Elit dihantar menyertai 3 kelab Thailand - Kalasin, Nakhon Pathom dan Chonburi pada 27 April lalu, namun ada dalam kalangan mereka pulang lebih awal sebelum liga itu berakhir Ahad lalu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |