{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


10 tahun dihantui banjir kilat

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIn
kota@utusangroup.com.my

Ketua kampung, Hassan Abdul Rahman (kanan) dan penduduk Abdul Samad Ibrahim menunjukkan perangkap sampah yang tersumbat apabila hujan sehingga menyebabkan Kampung Pasir, Hulu Klang, Selangor dilanda banjir kilat pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Setiap kali hujan, hati mereka mula gelisah.

Mereka bimbang rumah yang terletak di kawasan rendah itu akan dilanda banjir. Dan, jika itu berlaku, maka mereka terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk membersihkan rumah dan perabot seperti yang terpaksa mereka lakukan sejak lebih sepuluh tahun lalu.

Bencana banjir kilat yang melanda Kampung Pasir di Hulu Klang, dekat sini itu kali terakhir dialami penduduk pada Jumaat lepas, yang sekali gus merencatkan kemeriahan suasana menyambut Aidilfitri di penempatan itu.

Penduduk berkata, mereka terpaksa menanggung kerugian besar setiap kali banjir kilat berlaku kerana barangan mereka, terutama perabot dirosakkan air yang membawa lumpur.

Ketika wartawan Utusan Malaysia ke kampung itu hari ini, kesan banjir pada Jumaat lalu masih dapat dilihat. Di kebanyakan rumah, barangan seperti permaidani masih terjemur di luar untuk dikeringkan selepas dibasuh.

Mereka yang ditemui mendakwa, banjir yang kerap mereka hadapi disebabkan kampung itu tidak memiliki sistem perparitan dan saliran sempurna.

Akhir-akhir ini keadaan semakin teruk, kata mereka, yang mendakwa ia mungkin berpunca daripada aktiviti pembangunan perumahan di kawasan berhampiran di kedudukan lebih tinggi daripada kampung mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat sebuah kolam takungan yang mempunyai perangkap sampah dari kawasan perumahan berdekatan, tetapi penduduk mendakwa tidak membantu melancarkan aliran air apabila hujan lebat.

Penduduk memberitahu, jika hujan, perangkap tersebut akan dipenuhi sampah dan menghalang aliran air selain turut mengakibatkan tebing kolam takungan air itu runtuh.

Parit itu terletak di kawasan lebih tinggi daripada kampung itu menyebabkan air dari tebing yang runtuh itu terus menderu ke Kampung Pasir di bawahnya.

Penduduk juga berkata, banjir juga berlaku disebabkan oleh pembinaan sebuah kondominium yang terbengkalai sejak sepuluh tahun lalu tidak menyediakan sistem perparitan yang sempurna.

Mereka mendakwa, projek pembangunan kondominium berkenaan tidak mengikut spesifikasi asas yang ditetapkan menyebabkan masalah banjir kilat bertambah buruk.

Kondominium setinggi 12 tingkat tersebut juga dakwa mereka telah diambil alih oleh beberapa pemaju akibat daripada masalah dalaman projek berkenaan.

Tetapi yang terpaksa menanggung akibat daripada projek terbengkalai tersebut adalah penduduk Kampung Pasir terutamanya yang tinggal di sepanjang Jalan Hj. Mokhtar.

3 pihak biayai pembaikan cerun

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kerajaan Pusat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan I&P Sdn. Bhd. akan membiayai kos pembaikan cerun Bukit Setiawangsa dan bayaran mengambil semula tanah yang terlibat dengan kerja-kerja itu.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, kos membabitkan dua perkara tersebut masih di peringkat kajian oleh pihak yang terlibat.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan bahawa kerja-kerja mengkaji kecuraman cerun mengikut Garis Panduan 2010 telah selesai dilaksanakan oleh perunding yang dilantik oleh I&P selaku syarikat pemaju perumahan di atas Bukit Setiawangsa.

"Satu pertemuan antara penduduk dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib kini sedang diatur bagi membolehkan segala maklumat mengenai keselamatan kawasan itu diterangkan.

"Beliau kini berada di luar negara dan saya akan menggesa perjumpaan itu dipercepatkan kerana kita tidak mahu penduduk tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya di puncak bukit tersebut," katanya ketika ditemui.

Minggu lalu, bekas Ahli Parlimen kawasan itu yang juga mangsa kejadian tembok runtuh pada Disember lalu, Tan Sri Zulhasnan Rafique memaklumkan, kecuraman cerun bukit itu akan dikurangkan daripada 70 darjah kepada 39 darjah.

Malah, kerajaan turut memutuskan untuk mengambil semula tanah yang menempatkan banglo Zulhasnan; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan bekas tapak rumah seorang ahli perniagaan Arab yang terlibat dengan kerja pembaikan cerun itu.

Jeti pendaratan ikan haram diroboh

Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT

Jeti pendaratan ikan di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, yang dikenakan tindakan roboh pada Jumaat lalu.

SABAK BERNAM 27 Ogos - Keingkaran dan kedegilan seorang pemilik sebuah jeti pendaratan ikan di Bagan Nakhoda Omar di sini yang enggan mengosongkan premis yang dibina tanpa kebenaran mengundang padah apabila pihak berkuasa bertindak merobohkan jeti tersebut baru-baru ini.

Penolong Pegawai Penguat Kuasa Kanan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Dzulkefly Idrus berkata, operasi meroboh yang dijalankan pada Jumaat lalu itu melibatkan 60 pegawai LUAS, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Jabatan Kerja Raya serta dipantau oleh polis.

Menurut beliau, pengusaha jeti berkenaan telah diberikan notis sebanyak tiga kali sejak 2011 supaya mengosongkan premis haram tersebut namun arahan itu tidak dipedulikan dan perniagaannya diteruskan.

Beliau berkata, tindakan pengusaha terbabit memaksa Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan agar jeti yang didirikan di atas tanah rezab Melayu milik kerajaan negeri itu dirobohkan.

"Sebelum itu, LUAS bersama Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) pernah menjalankan operasi bersepadu memotong bekalan elektrik dan air di premis berkenaan pada Mei 2012.

"Bagaimanapun tindakan itu tidak memberi sebarang kesan apabila pengusaha terbabit tetap menjalankan operasi dan akhirnya tindakan yang lebih tegas terpaksa diambil dengan meroboh struktur jeti ini pada Jumaat lalu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, sebelum membina premis itu, pemilik jeti berkenaan pernah meminta kebenaran untuk mendirikan jeti di kawasan itu tetapi tidak diluluskan kerana melibatkan tanah rezab Melayu.

"Pengusaha terbabit telah bertindak mendirikan jeti tersebut tanpa kebenaran dan tidak bimbang tindakan penguatkuasaan kerajaan negeri yang bakal dihadapi.

"Kami menyeru mana-mana pihak supaya mendapatkan kelulusan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum mendirikan premis perniagaan di kawasan tertentu bagi mengelakkan tindakan undang-undang dan mengalami sebarang kerugian," katanya.

Tambah beliau, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kerana menceroboh tanah kerajaan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat