{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Alternatif atasi masalah kekurangan bekalan ayam

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

RAUB 16 Ogos - Kerajaan perlu mengeluarkan permit mengimport ayam lebih awal pada musim perayaan sebagai alternatif bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan itu setiap kali menjelang Ramadan dan hari raya.

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, langkah berkenaan secara tidak langsung mengekang kenaikan harga ayam membabitkan orang tengah seperti pembekal dan pemborong.

Menurutnya, sekiranya permit tersebut dikeluarkan awal, tidak akan berlaku kenaikan harga ayam, sebaliknya boleh distabilkan pada musim perayaan.

"Sepanjang bulan Ramadan pihak yang mendapat permit import boleh membawa masuk sejuta ekor ayam sehari bagi menampung permintaan dan tidak akan menjejaskan penternak terutama secara kecil-kecilan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Aidilfitri di Felda Lembah Klau di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan seorang pengguna dari Bentong, Nordin Musa yang meminta supaya kerajaan mengimport bagi mengatasi masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan ayam menjelang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.

Dalam perkembangan sama, Shahiruddin turut mencadangkan sektor ternakan ayam turut disertai oleh agensi berkemampuan seperti Tabung Haji dan Felda supaya boleh diusahakan dalam skala besar.

"Pembabitan agensi terbabit boleh memecah monopoli pihak tertentu yang selama ini mengaut keuntungan secara melampau apabila mereka yang menjadi penentu pasaran harga ayam.

"Jika cadangan itu direalisasikan harga ayam akan menjadi stabil sekali gus mengurangkan kebergantungan ayam import sekiranya berlaku kenaikan harga dan kekurangan bekalan tersebut di pasaran," katanya.

Jangan malu daftar anak OKU dengan JKM

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Ahmad Nazlan Idris menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan OKU, warga emas dan anak-anak yatim di Kampung Batu Balai, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. - utusan/haris fadilah ahmad

JERANTUT 16 Ogos - Ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) tidak perlu malu untuk mendaftarkan mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, kebajikan golongan itu akan dibela dan jaminan mereka tidak akan disisih daripada bantuan kerajaan sekurang-kurangnya meringankan beban ibu bapa dan ahli keluarga terbabit.

Menurutnya, ibu bapa perlu memanfaatkan agensi asuhan seperti Pusat Dalam Komuniti (PDK) dan kelas pendidikan khas berdekatan tempat masing-masing supaya anak mereka mendapat pendidikan sewajarnya khususnya mempelajari hidup berdikari.

"Sepanjang saya turun padang ke kampung dan pedalaman di daerah ini didapati terdapat ibu bapa belum mendaftar anak OKU mereka dengan JKM kerana enggan berbuat demikian.

"Saya mendapati masih ada ibu bapa yang tidak tahu langsung cara untuk mendaftar anak istimewa mereka dengan JKM," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk termasuk OKU dan anak yatim di Kampung Batu Balai di sini kelmarin.

Nazlan berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu bertindak aktif membantu ibu bapa berkenaan mendaftarkan golongan OKU itu kepada JKM.

"Saya berharap ibu bapa menghantar anak istimewa tersebut menerima pendidikan khas di sekolah berdekatan untuk menggilap bakat dan kebolehan masing-masing termasuk akademik," katanya.

Menurutnya, golongan itu wajar diberi pendedahan berkaitan kemahiran psikomotor, perkembangan bahasa, sosial, pengurusan diri, menulis, membaca, melukis dan mengasah kreativiti selain terlibat dalam kursus vokasional serta kegiatan sukan.

"Pihak swasta dan orang perseorangan dialu-alukan tampil menyumbangkan dana kewangan atau keperluan tertentu dalam membantu anak OKU di kelas PDK yang terletak di bandar dan tanah rancangan Felda d sini," ujar beliau lagi.

Katanya, Pejabat Parlimen Jerantut akan bekerjasama dengan JKM untuk memantau pengurusan beberapa PDK di daerah ini dalam memberi bantuan prasarana yang membolehkan anak istimewa itu mampu belajar dengan selesa.

Mohd. Sharkar tumpu UMNO peringkat negeri

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

KUANTAN 16 Ogos - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin tidak akan menawarkan diri bertanding mana-mana jawatan tertinggi parti pada pemilihan yang dijadualkan hujung tahun ini.

Ketua UMNO Bahagian Temerloh itu berkata, beliau ingin memberikan tumpuan ke arah membantu Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob membangunkan negeri serta memulihkan parti supaya terus diterima rakyat.

"UMNO negeri akan menyelesaikan semua mesyuarat bahagian dan cawangan terlebih dulu sebelum mencadangkan nama yang sesuai untuk diberi laluan bertanding pada pemilihan akhir tahun ini.

"Secara rasminya, boleh saya umumkan keputusan untuk tidak bertanding mana-mana jawatan sama ada Ahli Majlis Tertinggi atau apa-apa jawatan lain di peringkat Pusat. Bagaimanapun, bagi pemilihan peringkat UMNO Bahagian Temerloh, saya akan bertanding untuk mengekalkan jawatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-83 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Mohd. Sharkar berkata, banyak tugas yang perlu diselesaikan di peringkat UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri bagi memastikan kerajaan memperoleh kemenangan lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya rasa ada baiknya beri laluan kepada rakan-rakan lain yang berminat untuk bertanding pada pemilihan peringkat Pusat. Biarlah saya beri tumpuan membantu Menteri Besar memperkuatkan BN negeri.

"Kita telah kehilangan 13 kerusi kepada pembangkang pada pilihan raya umum lalu dan inisiatif memperkuatkan serta memperkasakan jentera parti perlu dilakukan bermula daripada sekarang.

"Saya yakin kita boleh merampas kembali kerusi itu daripada pembangkang jika kita mula bekerja keras dan memperkemaskan segala perancangan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat