{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Dua mati akibat kencing tikus

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 24 Ogos - Sebanyak dua kematian daripada 147 kes jangkitan penyakit kencing tikus atau leptospirosis dilaporkan telah berlaku di negeri ini sejak awal tahun ini hingga semalam.

Pengarah Kesihatan Pahang, Dr. Norhizan Ismail berkata, jumlah kematian itu meningkat berbanding tahun lalu iaitu hanya seorang sahaja daripada 105 kes jangkitan.

"Untuk tahun ini, Jerantut merupakan daerah mencatatkan kes tertinggi iaitu 26 kes diikuti Maran (22), Temerloh (20), Kuantan (16), Lipis (15), Pekan (14), Raub (13), Bentong (7), Rompin dan Cameron Highlands masing-masing lima kes dan Bera (4).

"Bagi tempoh sama tahun lalu pula, Kuantan merupakan daerah tertinggi dengan 25 kes, diikuti Jerantut (22), Lipis (13), Pekan (11), Rompin (8), Maran (7), Raub (6), Bentong dan Cameron Highlands masing-masing lima dan Temerloh (3)," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua kematian itu membabitkan penduduk di daerah Bentong dan Kuantan manakala kematian yang berlaku tahun lalu pula adalah di Rompin.

Dalam pada itu kata beliau, jangkitan penyakit tersebut boleh berlaku sekiranya seseorang terdedah kepada air, makanan atau tanah lembap yang dicemari kencing tikus.

"Bakteria leptospira ini lebih mudah memasuki tubuh manusia melalui mata, mulut dan luka yang berada di kulit.

"Setiap masyarakat bertanggungjawab untuk bersama-sama memusnahkan tikus bagi mengelakkan jangkitan ini," katanya.

Selain itu katanya, orang ramai juga perlu mengelakkan aktiviti rekreasi air semasa dan selepas hujan ataupun pada musim banjir.

Beliau menasihati orang ramai segera mendapatkan rawatan jika mempunyai tanda-tanda penyakit leptospirosis dan memaklumkan tentang aktiviti rekreasi seperti berkhemah, berenang, berkayak dan sebagainya atau pekerjaan berisiko kepada jangkitan.

MTNR rai pelancong muda berusia 4 bulan

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

Yusof Essam (didukung seorang kakitangan MTNR) dalam majlis menyambut kehadiran Yusof dan keluarganya di Mutiara Taman Negara Resort, Kuala Tahan, Jerantut baru-baru ini.

JERANTUT 24 Ogos - Mutiara Taman Negara Resort (MTNR) meraikan seorang pelancong muda, Yusof Essam, berusia empat bulan dari Jordan semasa berkunjung bersama keluarganya di Taman Negara Kuala Tahan di sini kelmarin.

Sebanyak 10 kakitangan MTNR meraikan bayi berkenaan dengan menyediakan acara memotong kek sambil diiringi nyanyian lagu tradisional Pahang ketika menyambut kehadiran Yusof dan keluarganya di jeti taman negara tersebut.

Yang turut hadir dalam memeriahkan acara ringkas itu ialah Pengurus MTNR, V. Nathan dan Pengurus Pelancongan Resort berkenaan, Sabri Abdullah.

Menurut Sabri, sambutan ringkas tetapi penuh makna itu diadakan setelah meneliti maklumat latar belakang pelawat dari Jordan yang disertai sebanyak sembilan ahli keluarga tersebut sebagai pengisian kepada kegiatan promosi pelancongan.

"Dalam rekod kehadiran keluarga ini menunjukkan Yusof merupakan pelancong termuda iaitu berusia empat bulan dan ini menarik perhatian kami di bahagian pengurusan hospitaliti untuk memilihnya," katanya kepada pemberita.

Menurut Sabri, apa yang lebih menarik, keluarga dari Jordan itu yang pertama kali menjejakkan kaki ke Taman Negara mengadakan eksplorasi hutan belantara, gua dan menaiki bot penambang bersama bayi berkenaan.

Dalam pada itu, Nathan berkata, pihaknya berharap sambutan seumpama itu dapat meninggalkan kenangan manis kepada pelancong yang menginap di resort tersebut.

"Kegiatan ini antara elemen yang boleh membantu kita mempromosikan pusat pelancongan taman negara khususnya pembangunan hospitaliti di resort kami," ujarnya.

Kekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat

Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT

KUALA LIPIS 24 Ogos - Keamanan dan kestabilan politik yang dipertahankan sejak sekian lama perlu dikekalkan supaya rakyat dapat menjalani kehidupan dengan selesa dan tenteram.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu boleh dilihat dengan sambutan perayaan yang diadakan setiap tahun dan membolehkan rakyat mengadakan rumah terbuka tanpa sebarang gangguan.

Menurutnya, keamanan yang dikecapi selama ini hasil daripada kebijaksanaan dan integriti pemimpin Barisan Nasional (BN) dulu dan kini dalam memacu ke arah kesejahteraan rakyat.

"Suasana itu boleh dilihat dengan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri yang disambut dengan ceria dan turut dikongsi masyarakat pelbagai kaum.

"Penganjuran seumpama itu menterjemahkan nilai perpaduan dan kesatuan dalam kalangan semua kaum untuk menghormati elemen dalam perayaan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dan UMNO Bahagian Cameron Highlands di Sungai Koyan di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel.

Sebanyak 4,000 penduduk Jelai dan Cameron Highlands termasuk Orang Asli hadir memeriahkan sambutan itu.

Wan Rosdy berkata, keamanan dan perpaduan wajar dikekalkan sepanjang masa untuk membolehkan sambutan perayaan semua kaum dilaksanakan lebih selesa dan meriah.

Tambahnya, amalan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri membuktikan ajaran Islam itu indah dan menghormati tetamu apabila pengunjung turut bergembira sambil menikmati juadah disediakan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat