Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Awasi golongan dakwa mahir
- Kehadiran Siti Nurhaliza menambah kemeriahan
- Isteri harap suami hilang memancing pulang
Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT Oleh ALI MAHMOOD BENTONG 7 Ogos - Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya berwaspada dengan golongan yang mendakwa mahir dalam bidang keagamaan sedangkan ajaran yang dibawa itu bertentangan dengan agama Islam. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sikap golongan itu boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam dengan ajaran yang salah dan fahaman bertentangan dengan al-Quran serta hadis. Menurut beliau, jika umat Islam di negara ini berpegang teguh dengan al-Quran dan hadis, mereka tidak akan sesat kerana ajaran selain kedua-dua sumber tersebut merupakan ajaran yang salah. "Saya ingin mengingatkan umat Islam supaya tidak mudah terpengaruh atau terpedaya dengan mereka yang menyebarkan ajaran yang salah dan boleh menyebabkan perpecahan ummah," katanya di sini baru-baru ini. Menurut beliau, keamanan serta perpaduan yang terjalin di kalangan rakyat perlu dijaga setiap masa supaya negara terus kekal aman dan berjaya dalam semua bidang. Katanya, berbeza di negara bergolak, kehidupan masyarakatnya tidak menentu apabila anak-anak kecil menjadi yatim piatu akibat ibu bapa mereka maut dalam peperangan. "Oleh itu, kita harus bersyukur dengan nikmat pembangunan dan kesejahteraan hidup tanpa menghadapi sebarang gangguan yang berlaku di beberapa negara yang sedang bergolak. "Peliharalah keamanan yang ada pada hari ini. Kalau negara kita huru-hara, tidak aman dan hari-hari berperang serta berlaku rusuhan seperti di negara berkenaan, rakyat akan menderita serta sukar meneruskan hidup," ujarnya. |
Kehadiran Siti Nurhaliza menambah kemeriahan Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT Siti Nurhaliza Taruddin bergambar bersama anak-anak yatim daerah Temerloh selepas majlis berbuka puasa Bikerz bersama anak-anak yatim 2013 di padang awam Kubang Gajah, baru-baru ini. TEMERLOH 7 Ogos - Setiap kali kedatangan bulan Ramadan, golongan anak yatim diberi perhatian utama serta menerima pelbagai undangan majlis berbuka puasa, selain keperluan hari raya yang disumbangkan oleh agensi kerajaan dan syarikat korporat. Justeru, sebanyak 200 pemilik motosikal berkuasa tinggi tidak ketinggalan memeriahkan bulan Ramadan itu dengan meraikan 360 anak-anak yatim dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di Dataran Kubang Gajah di sini baru-baru ini. Pengerusi Sekretariat perhimpunan, Shamsuri Zainuddin berkata, perhimpunan itu merupakan aktiviti tahunan yang diadakan pada bulan Ramadan setiap tahun. Tambahnya, kesemua peserta terbabit berhimpun bagi mengukuhkan semangat ukhuwah dan persaudaraan sejagat dalam kalangan umat Islam di negeri ini. Perhimpunan tersebut diserikan dengan kehadiran penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa. Inilah peluang kepada anak-anak yatim yang didatangkan dari beberapa daerah di Pahang untuk beramah mesra serta melihat lebih dekat penyanyi tersebut," katanya di sini baru-baru ini. Program tersebut turut dimeriahkan dengan penyertaan 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Singapura yang diketuai Presiden Bikerz Singapura, Jamaluddin Ahmad. Shamsuri berkata, program seperti ini telah diadakan sebanyak 13 kali termasuk pada bulan-bulan biasa di beberapa daerah lain seperti Jerantut, Maran, Bera, Rompin dan lain-lain. Selain bertemu dengan rakan-rakan yang mempunyai minat sama terhadap motosikal, kami juga berpeluang memberi sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dan merupakan satu amal jariah ahli kelab ini," katanya. Sementara itu, kalangan anak-anak yatim yang ditemui gembira apabila mereka bukan sahaja dijemput berbuka puasa tetapi juga dapat bertemu dengan Siti Nurhaliza. Seorang anak yatim, Nurul Hidayah Mohd. Shah, 14, dari Felda Rentam, Bera tidak menyangka dapat berjumpa dan bersalaman dengan penyanyi pujaan itu. Datuk Siti tidak sombong dan mesra ketika melayan peminat walaupun ketika itu sibuk untuk berbuka puasa," katanya. Bagi Nur Azriani Abdul Rafar, 17, dari Felda Jengka 23, Kuala Krau tidak melepaskan peluang bergambar dengan Datuk Siti kerana pertama kali bertemu dengan penyanyi itu. Rakannya, Norfaizah Mat Zain, 17, dari Felda Jengka 17, Maran, menyifatkan kedatangan penyanyi tersebut sedikit-sebanyak dapat mengurangkan kesedihan dirinya dan rakan-rakan lain kerana menyambut bulan Ramadan tanpa insan tersayang di sisi. |
Isteri harap suami hilang memancing pulang Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT Fairuz Abd. Rahim, 42, bersama anak-anaknya, Imran Ramadan, 1, dan Muhd Irfan, 14, melihat batang pancing milik suaminya,Rahmat Chik, 51. ketika ditemui dirumahnya di Bukit Setongkol disini hari ini. KUANTAN 7 Ogos - Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini buat keluarga Fairuz Abd. Rahim, 42, agak suram dan pilu apabila suaminya masih belum dijumpai selepas hilang bersama tiga rakan yang lain selepas keluar memancing Februari lalu. Katanya, bagi sambutan tahun ini, dia hanya membuat persiapan secara ringkas berikutan mereka sekeluarga dalam keadaan bersedih dengan ketiadaan suaminya, Rahmat Chik, 51. "Baju Melayu untuk anak-anak pakai saja tahun lepas punya. Adalah beli sedikit kemeja-T untuk pakaian mereka, itu saja. Bukan tidak mahu membuat persiapan, tapi susah nak jelaskan. Tahun lepas suami yang buat semua persiapan sebab saya bersalin bulan Ramadan tahun lalu. "Sepatutnya, tahun ini kami bercadang beraya di Seberang Takir, Terengganu iaitu rumah keluarga suami, tapi sudah jadi begini, rasanya kami beraya di sini dan di rumah keluarga saya di Pekan saja," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini. Kata Fairuz, dia berharap sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini akan diberikan sebarang petunjuk tentang kes berkenaan. "Tiga anak saya, Muhd. Idlan, 17, Muhd. Irfan, 14, dan paling bongsu Imran Ramadan, 1, memahami situasi dihadapi dan tidak banyak kerenah," katanya. Katanya, set memancing suaminya yang berada di sudut khas di ruang tamu rumah tidak pernah diubah kerana itulah menjadi tempat yang boleh menyegarkan ingatan dia dan anak-anak. "Semua joran milik suami, set memancing yang dia letak di situ, saya tidak alih sejak hari dia hilang sampai sekarang. "Sebelum puasa, saya ada bermimpi suami balik dan bawa kami keluar membeli barangan keperluan dapur. Saya masih berharap bukan sekadar mimpi dan suami dapat kembali bersama dengan kami lagi," katanya. Dalam kejadian 20 Februari lalu, empat pemancing termasuk Rahmat, dilaporkan hilang selepas keluar memancing dari Jeti Sungai Kuantan, menggunakan bot gentian kaca, kira-kira jam 5 petang. Tiga lagi rakan yang hilang ialah Abdul Karim Zakaria, 41; Baheruzaman Yusof, 40, dan Mohd. Azyyat Rahmat Yaakob, 40. Operasi mencari dan menyelamat kumpulan pemancing itu yang dilakukan selama tiga minggu dengan kerjasama polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat gagal mengesan sebarang petunjuk. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |