{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Politik

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Politik


DAP setuju pemilihan semula

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN
pengarang@utusan.com.my

KARPAL Singh keluar bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang selepas mengadakan mesyuarat tergempar parti itu dipercayai berhubung pemilihan jawatankuasa CEC di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Setelah mendapat tekanan daripada pelbagai pihak termasuk ahli akar umbi serta segelintir pemimpin parti, DAP akhirnya akur dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Tindakan DAP itu secara tidak langsung mengakui siasatan dan ketetapan ROS pada 17 April lalu bahawa pemegang-pemegang jawatan yang dibentuk oleh CEC pada 15 Disember lepas adalah tidak sah.

Keputusan drastik DAP itu dibuat dalam mesyuarat CEC di Jalan Pudu di sini malam tadi, selang sehari selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) membincangkan isu yang sama Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, parti itu membuat keputusan mengadakan pemilihan semula CEC bagi menyelamatkan DAP daripada dibatalkan pendaftaran.

Keputusan itu dibuat tujuh bulan selepas pemilihan CEC 15 Disember lepas, yang diikuti siasatan ROS yang kemudian membuat ketetapan tidak memberi pengiktirafan kepada para pemegang jawatan CEC parti itu melalui notis yang dikeluarkan pada 17 April lalu.

Sehubungan itu, Karpal berkata, parti itu akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini bagi membincangkan persediaan mengadakan pemilihan semula CEC.

"Kami telah mengadakan mesyuarat CEC malam tadi dan sebulat suara bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula demi kepentingan jangka panjang parti," katanya.

Tambah Karpal, DAP terpaksa mengalah walaupun merasakan arahan ROS tidak mengikut lunas undang-undang.

"Setiausaha Agung, Lim Guan Eng telah beberapa kali 'merayu' kepada ROS untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan kemelut yang melanda parti namun usaha tersebut sia-sia.

"Setelah mengambil kira semua aspek, kami dengan berat hati membuat keputusan untuk akur dengan arahan ROS," tegasnya.

Isu pemilihan CEC DAP tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 perwakilan yang merupakan ahli sah untuk mengundi dalam pemilihan tersebut.

Keputusan pemilihan itu yang diadakan pada 15 Disember tahun lalu menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih.

Bagaimanapun selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari sebagai ahli CEC.

Insiden itu membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong selain beberapa ahli parti membuat aduan kepada ROS berikutan bimbang terdapat unsur-unsur manipulasi dalam keputusan tersebut.

Pada bulan Jun lalu, Ketua DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asogan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk mengetepikan surat pemecatan kepada beliau dengan alasan CEC tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berkenaan.

Harap pemilihan lebih 'telus' dan bersih

Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dalam masa terdekat ini diharap dapat dijalankan dengan lebih 'telus' dan bersih dengan kehadiran pemerhati bebas serta pengaudit antarabangsa.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, sebelum ini parti itu telah banyak mengeluarkan arahan serta permintaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya pilihan raya diadakan secara adil.

"Mereka telah minta macam-macam dengan SPR sebelum ini demi memastikan pilihan raya diadakan secara adil dan telus. Saya minta mereka lakukan semua itu dalam parti dahulu.

"Segelintir pemimpin dalam DAP perlu 'ubah' dari segi moral dan etika sebelum menuding jari kepada pihak lain, sekiranya parti itu benar-benar telus, slogan ubah perlu bermula daripada parti itu dulu," katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendirian terbaharu DAP yang akhirnya mengalah dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula CEC setelah mendapat tekanan daripada pelbagai pihak, khususnya ahli parti itu sendiri.

Dalam pada itu, Tunku Aziz turut menempelak 'sandiwara' DAP yang berterusan apabila parti tersebut memberi alasan terpaksa membuat keputusan demi kepentingan parti untuk jangka panjang.

"Selama tujuh bulan ini, segala macam drama telah dibuat oleh DAP, mengapa tidak diadakan sahaja pemilihan semula sebelum ini?

"Cukuplah, hentikan manipulasi dan pembohongan. Saya gembira dengan keputusan ini, DAP mengalah kerana sedar mereka salah. Itu realitinya, rakyat bukan bodoh," tegasnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, Seremban, A. David Dass menyifatkan keputusan untuk mengadakan semula CEC adalah paling 'waras' pernah diambil oleh parti itu.

"Akhirnya saya dan teman-teman lain dalam parti dan serta bekas DAP boleh menarik nafas lega kerana pemimpin parti akhirnya akur terdapat unsur 'manipulasi' pemilihan lepas.

"Sekurang-kurangnya pemilihan semula dapat membersihkan nama parti yang telah tercemar dengan pelbagai dakwaan oleh ahli DAP sendiri," ujarnya.

Beliau turut berharap kepemimpinan tertinggi parti akan mengadakan pemilihan semula CEC mengikut lunas perlembagaan parti.

"Saya harap semua perwakilan dan cawangan yang dinafikan hak untuk mengundi dijemput tanpa prejudis. Betulkan apa yang salah sebelum ini. Ini bukan parti sendirian berhad," katanya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Cawangan Taman Sri Sg. Pelek, Tan Tuan Tat mendakwa, keputusan pemilihan kali ini berkemungkinan besar akan mencatatkan sedikit perubahan.

"Saya harap semua 'pihak' akan menerima keputusan itu dengan baik, janganlah ada sebarang unsur manipulasi kerana kuasa terletak di tangan ahli akar umbi, bukannya pada 'segelintir' pemimpin yang tamak kuasa," tegasnya.

Beliau turut melahirkan rasa hairan mengapa keputusan mengadakan pemilihan semula itu tidak diumumkan oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, sebaliknya diserahkan kepada Karpal Singh.

"Saya hairan kerana selama ini, hanya Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang yang 'enggan' sebarang pemilihan semula CEC. Adakah mereka masih tidak bersetuju dengan keputusan ini?" soalnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat