Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT Oleh SAFINA RAMLI Mukhriz Mahathir bersalam dengan pemain Kedah pada satu majlis di Alor Setar semalam. KFA menjalinkan kerjasama dengan pendatang baharu EPL, Cardiff City yang diramal mampu menjulang semula bola sepak negeri itu. ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mencipta sejarah apabila menjalin kerjasama dengan kelab yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris (EPL), Cardiff City bagi membangunkan sukan bola sepak di negeri ini. Kerjasama itu diharapkan dapat menyuntik semangat pemain skuad Kenari yang akan memulakan kempen Piala Malaysia menentang juara Liga Super, Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 20 Ogos ini. Kerjasama yang meliputi aspek kemahiran pemain, kejurulatihan dan pengurusan kelab itu memberi lembaran baharu bola sepak Kedah yang kempunan sebarang trofi sejak muncul juara treble lima tahun lalu. Usahasama itu turut melibatkan cadangan penubuhan akademi bola sepak, berkemungkinan di Sungai Petani bagi membangunkan sukan itu peringkat akar umbi yang mampu memberi manfaat kepada pemain muda sekitar utara. Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara KFA dan Kelab Cardiff City itu berlangsung di Hotel Tabung Haji, Alor Setar, malam semalam. KFA diwakili Setiausaha Kehormatnya, Aminuddin Omar manakala Cardiff City diwakili Pengarahnya, Datuk Lye Ek Seang. Majlis turut disaksikan Menteri Besar Kedah yang juga Presiden KFA, Datuk Mukhriz Mahathir dan pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan. Pada majlis itu, Vincent yang juga Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Berjaya turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM2 juta kepada KFA. Mukhriz pada sidang akhbarnya berkata, pengalaman Vincent dalam menguruskan pasukan bola sepak akan digunakan bagi meningkatkan lagi pengurusan KFA. "Kerjasama ini akan dibuat dalam tempoh terdekat yang bukan sahaja untuk tempoh pendek sebaliknya dalam jangka masa panjang menerusi kerjasama yang menyeluruh berkaitan pengurusan bola sepak secara profesional. "Cabaran Liga Malaysia semakin sengit dan kerjasama ini diharap dapat meningkatkan kualiti pemain, pengurusan pasukan yang lebih mantap dan kaedah latihan terkini," katanya. Dalam pada itu Vincent memberitahu, pihaknya dan KFA akan mengadakan perbincangan lebih terperinci dan melihat bentuk kerjasama bagi membangunkan bola sepak di Kedah. |
Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT Oleh FERZALFIE FAUZI Ahmad Fallanie KUALA LUMPUR - Walau apa pun tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, pelumba Kuala Lumpur, Ahmad Fallanie Ali bertegas dia hanya mengambil ubat batuk ketika peringkat ketiga Jelajah Malaysia (JM) 2013 bukannya bahan terlarang walaupun ujian doping ke atasnya didapati positif. Bagaimanapun, pelumba berusia 30 tahun yang pernah beraksi di Le Tour de Langkawi (LTdL) itu tetap berkeras untuk tidak membuka sampel B walaupun mempunyai hak berbuat demikian. Fallanie, yang berasal dari Terengganu juga mengakui apa yang berlaku adalah disebabkan kesilapannya kerana tidak meminta nasihat Institut Sukan Negara (ISN) atau pengurus dan jurulatih pasukan. "Saya mengalami demam selama seminggu ketika itu, jadi saya mengambil ubat batuk, selesema dan demam. Saya tidak percaya dan terkejut selepas dimaklumkan oleh, Setiausaha Persatuan Basikal Kuala Lumpur (PBKL) Fidaus Arshad tentang perkara ini (positif doping)," katanya. Jelasnya, surat rayuan supaya hukuman diringankan selain menjelaskan perkara sebenar telah dihantar kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) 9 Ogos lalu, selepas diberi tempoh untuk menjawab pertuduhan itu sehingga Selasa minggu depan. "Memang saya bersalah, saya terima keputusan ini, tetapi saya berharap hukuman yang dikenakan terhadap saya dapat diringankan, kerana saya tidak tahu pengambilan ubat batuk, selesema dan demam mampu mengheret saya dengan masalah doping. "Saya mahu tegaskan bahawa apa yang saya lakukan memang tidak disengajakan. Saya cuma ke farmasi seperti biasa untuk mendapatkan semua ubat tersebut," katanya. Fallanie yang terkenal sebagai pelumba domestik, tidak menolak kemungkinan bahawa pengambilan secara berterusan mungkin menjadi faktor tercetusnya masalah tersebut. "Saya tiada niat untuk mengambil benda itu dan reda dengan keputusan yang akan dijatuhkan nanti," kata Fallanie, yang pernah terbabit dalam kemalangan menyebabkan dia patah tulang bahu. Tambahnya, apa yang berlaku terhadapnya bukan penamat kepada kariernya dan dia akan tetap meneruskan latihan seperti biasa. Fallanie bakal berdepan dengan hukuman pergantungan selama dua tahun selepas didapati positif. Ini merupakan kes ketiga isu positif doping melanda sukan berbasikal negara di mana sebelum ini melibatkan Razif Salleh pada 2006 dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi (2009). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |