Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Perbuatan Samy Vellu sia-sia - Ramanan Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT Oleh KASTHURI JEEVENDRAN Kiri R. Ramanan, G. Palanivel, Samy Vellu KUALA LUMPUR 27 Ogos - Datuk Seri S. Samy Vellu diminta supaya berhenti mencampuri urusan parti kerana era pemerintahan bekas Presiden MIC itu telah lama berakhir. Aktivis MIC, Datuk R. Ramanan berkata, tindakan Samy yang sering mengkritik secara terbuka kepimpinan Datuk Seri G. Palanivel sejak akhir-akhir ini mencetuskan keadaan 'huru-hara' dalam parti. Menurutnya, campur tangan Samy Vellu dalam hal parti juga menimbulkan tanda tanya sekiranya bermotifkan agenda tersendiri memandangkan pemilihan parti bermula bulan hadapan. "Saya mohon supaya Samy hentikan perbuatan sia-sianya dengan mengkritik kepimpinan Palanivel. Beliau telah lama mengundur diri daripada jawatan Presiden namun kadang-kadang tindak tanduknya seperti masih menguasai parti. "Palanivel baru sahaja mula menerajui parti tiga tahun ini manakala Samy sudah menjadi Presiden parti lebih 33 tahun. Sudah tentu Samy boleh bercakap seolah-olah beliau adalah pejuang sebenar," katanya di sini hari ini. Ramanan mengulas kenyataan Samy Vellu dalam temu bual khas dengan sebuah portal berbahasa Inggeris Ahad lepas yang menyifatkan Palanivel sebagai seorang pemimpin lemah dan tidak banyak berjuang untuk rakyat. Samy Vellu turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap berpeluk tubuh penggantinya itu dalam isu-isu membabitkan kaum India malah menuduh Palanivel seperti lupa diri. Ramanan turut mempersoalkan sikap Samy Vellu yang sengaja cuba memburukkan Palanivel pada saat-saat akhir pemilihan parti berikutan kekecewaan beliau ekoran pemecatan anak sulungnya, Vel Paari daripada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bulan lepas. "Sebenarnya, Samy bercakap seperti tidak waras, adakah kerana selama ini beliau sibuk berkempen untuk Datuk Seri S. Subramaniam untuk menggantikan Palanivel tidak kesampaian? Adakah juga kerana anaknya telah dipecat dari CWC? "Walau apapun alasan Samy, kami lebih memerlukan Palanivel daripada beliau. Samy harus sedar perkara ini sebelum terlambat. Janganlah merosakkan keharmonian yang telah terbina ketika ini dalam parti," tegasnya. Samy Vellu yang menjadi Menteri Kabinet sejak 1974, tewas dalam Pilihan Raya Umum 2008 apabila sokongan kaum India terhadap parti itu merosot di sebalik pelbagai tuduhan-tuduhan terhadap parti itu di bawah teraju beliau. Sungguhpun kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Samy Vellu masih dilihat mempunyai pengaruh kuat di dalam parti itu khususnya dalam kalangan 4,000 pengerusi cawangan MIC yang akan mengundi dalam pemilihan parti berkenaan. |
DAP 'panas punggung', sudah mula kempen CEC Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT KUALA LUMPUR 27 Ogos - Sesetengah pemimpin DAP yang bakal bertanding pada pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mula 'panas punggung' kerana kempen sudah bermula. Kelmarin, satu sesi dialog antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan ahli CEC lain serta perwakilan di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan diadakan di Hotel One World. Walaupun pada asalnya kehadiran dijangka lebih 500 perwakilan, apa yang mengejutkan hanya kurang 100 orang hadir. Seorang pemimpin parti yang enggan dikenali berkata, sesi dialog itu sebenarnya platform untuk pemimpin 'tertentu' meraih undi dan sokongan. "DAP mengambil serius terhadap pemilihan semula CEC. Ramai penyokong dan ahli keliru dengan apa yang berlaku ketika ini. "Sesi dialog ini dijangka diadakan di seluruh negara bagi menjelaskan kedudukan DAP, selain memberi gambaran bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah bertindak tidak adil terhadap parti ini," katanya di sini. DAP pada 15 Ogos lalu akhirnya akur untuk mengadakan pemilihan semula CEC selepas pemilihan tahun lalu itu didakwa wujud penyelewengan kerana parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 perwakilan yang merupakan ahli sah untuk mengundi. Keputusan mengadakan pemilihan semula itu dibuat tujuh bulan selepas pemilihan CEC 15 Disember lepas, yang diikuti siasatan ROS kemudiannya membuat ketetapan tidak memberi pengiktirafan kepada para pemegang jawatan CEC parti itu melalui notis yang dikeluarkan pada 17 April lalu. Sabtu lepas, Pengerusi DAP, Karpal Singh menyatakan pemilihan semula CEC parti itu pada November depan akan mengekalkan senarai calon CEC serta perwakilan yang sama seperti Disember tahun lalu. Dalam pada itu, DAP yang menganjurkan sesi dialog bersama Guan Eng itu didakwa bertindak 'pilih kasih' dengan memilih golongan tertentu sahaja untuk hadir ke program tersebut yang turut dihadiri oleh kesemua barisan CEC. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee mendakwa, sebanyak sembilan cawangan di bawah kelolaan beliau tidak dijemput. "Saya sendiri hanya tahu tentang sesi dialog ini selepas diberitahu orang, kami tidak tahu-menahu tentang perkara ini. Mengapa sembilan cawangan kami tidak dijemput? Tidak perlulah bersikap pilih kasih seperti ini. "Sembilan cawangan sekitar Teratai ini masih aktif, mengapa kami tidak dijemput? Adakah kerana kami tidak menyokong kumpulan 'tertentu'," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |