{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Peluang bersaing di peringkat global

Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan
Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia

Para perwakilan daripada 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam yang menghadiri Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) ketika mengadakan sidang media bersama di Sabah baru-baru ini. Malaysia diwakili oleh Pengarah Kanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri J. Jayasiri (lima dari kanan).- BERNAMA

PERJANJIAN Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) menjadi topik paling hangat diperkatakan ketika ini. Kritikan demi kritikan dilontarkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di negara kita. Ramai yang bimbang Malaysia akan terperangkap dengan jerat yang dipasang oleh Amerika Syarikat (AS).

TPP adalah satu instrumen perjanjian perniagaan tempias daripada fahaman globalisasi. Sememangnya setiap yang buruk pastinya ada baiknya.

Persoalan-persoalan mengenai sejauh manakah hak Bumiputera dapat dipertahankan jika kerajaan menandatangani TPP adalah perkara pokok yang sering diketengahkan oleh pihak-pihak yang kurang bersetuju dengan TPP. Begitu juga sama ada TPP akan melenyapkan sama sekali industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan yang telah banyak memberi sumbangan besar terhadap ekonomi domestik negara?

Kedua-dua persoalan ini sering menjadi kebimbangan dalam kalangan pengkritik TPP. Sebagai ahli akademik, penulis juga berkongsi kebimbangan tersebut.

Namun, apabila kerajaan bersungguh-sungguh mengatakan bahawa hak Bumiputera tetap dipertahankan di samping IKS tempatan diutamakan, ia menggambarkan bahawa kerajaan tidak meminggirkan hak rakyat Malaysia.

Walaubagaimanapun untuk memastikan kedua-dua isu ini tidak berpanjangan, kerajaan perlu untuk menerangkan kepada rakyat secara jelas terutamanya kepada kaum Bumiputera dan pemain IKS. Selama ini ramai rakyat yang tidak dapat gambaran sebenar apakah itu TPP dan kesannya kepada rakyat. Apabila ini tidak difahami oleh rakyat, maka timbullah pelbagai cerita negatif mengenai TPP.

Lagi pun sepengetahuan penulis, setakat mesyuarat terkini yang diperbincangkan di kalangan ahli-ahli peserta TPP, isu-isu sensitif sebegini belum lagi diperincikan. Dengan kata lain, kerajaan masih mempunyai masa untuk membuat keputusan sama ada benar-benar ingin menyertai TPP atau tidak selagi isu-isu sensitif ini tidak dimuktamadkan. Dalam konteks ini, kerajaan tentu sekali akan berhati-hati dan berwaspada sebelum bersetuju menandatangani TPP.

Mustahil kerajaan akan memberi keputusan yang tidak menguntungkan rakyat selepas rakyat sendiri memberi pelbagai pandangan dan pendapat mengenai TPP. Jika TPP benar-benar dapat memberi manfaat besar kepada rakyat, negara kita sewajarnya menandatangani TPP, namun, jika sebaliknya, pastinya kerajaan tidak akan meneruskan perjanjian tersebut. Apa yang penting, kepentingan dan kebajikan rakyat diutamakan.

Penulis berpendapat kerajaan perlu juga melakukan satu kajian lengkap untuk melihat apakah ekonomi kita akan lebih baik selepas TPP dilaksanakan dengan mengambil kira semua faktor yang berkaitan dengan rakyat. Kajian ini juga sebaik-baiknya dibentangkan kepada rakyat. Platform terbaik untuk dibentangkan adalah ketika pembentangan Bajet 2014 kelak.

Antara kebaikan yang diuar-uarkan ialah TPP pada asasnya memberi ruang kepada barangan dan perkhidmatan dieksport dengan lebih luas lagi. Pasaran ekonomi negara kita terlalu kecil berbanding negara lain. Dianggarkan penduduk Malaysia hanya sekitar 30 juta orang. Dengan adanya TPP, pasaran ekonomi kita akan lebih luas.

Barangan dan perkhidmatan negara kita tidak boleh berada dalam kitaran negara sahaja. Ia perlu "dijual" merentasi negara-negara lain. Sememangnya ekonomi domestik banyak membantu negara pada masa kini, namun pada suatu hari nanti, perniagaan kecil ini juga akan semakin menjadi perniagaan besar.

Tatkala itulah, perniagaan ini perlu mencari pasaran baru. Terlalu bergantung pada pasaran domestik akan membuatkan kita terpaksa bersaing sesama sendiri dalam pasaran yang kecil. Apabila ini berlaku, ada perniagaan yang tidak mampu memasarkan barangan mereka dengan jumlah yang banyak di pasaran tempatan.

Implikasinya, jualan oleh perniagaan tersebut kekal sama dan statik, keuntungan pula tidak mustahil semakin menurun akibat kos operasi semakin meningkat hari demi hari. Maka, jika ini berkekalan, banyak perniagaan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat besar seperti GLC dan akhirnya merugikan mereka. Dengan adanya TPP, syarikat-syarikat kecil mempunyai pasaran baru dan begitu juga bagi GLC. Saingan di Malaysia tidaklah begitu ketara di antara syarikat-syarikat tempatan.

Mungkin ada yang berpendapat kita terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat asing yang lebih besar dan akan kalah dengan mereka. Bagi penulis, selagi kerajaan boleh memberi jaminan hak Bumiputera dan IKS tetap dipertahankan, persaingan sihat di antara syarikat tempatan dan asing akan menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Tidak mustahil harga produk dan perkhidmatan akan semakin menurun dengan persaingan yang kompetitif.

Tatkala ini banyak produk dan perkhidmatan kita terlalu dimonopoli sesuatu pihak sehingga menekan pengguna dengan harga yang tinggi. Jaminan kerajaan bahawa harga produk seperti ubat-ubatan tidak naik jika TPP dilaksanakan juga memberi implikasi positif kepada pengguna untuk memilih produk dan perkhidmatan terbaik pada harga yang sama dan tidak mustahil lebih murah selepas TPP dilaksanakan.

TPP juga memberi ruang kepada rakyat kita untuk berkhidmat di luar negara. Itu adalah intipati utama TPP. Penulis mengambil contoh, dalam bidang perakaunan, akauntan Malaysia dibenarkan memberi perkhidmatan di negara-negara yang terikat dengan TPP. Begitu juga dengan akauntan-akauntan di negara berkenaan dibenarkan memberi perkhidmatan di Malaysia.

Pokok pangkalnya jika akauntan Malaysia berdaya saing dan diiktiraf kepakaran mereka, maka mereka mampu memberi perkhidmatan kepada negara-negara TPP. Selama ini banyak diskriminasi dilakukan terhadap pekerja kita yang ingin menawarkan perkhidmatan kepada negara lain.

Sebaliknya, kita sudah lama menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat asing. Sebagai contoh, dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pun terdapat warga asing yang bekerja dengan kita. Penulis difahamkan mereka ini dibayar dengan gaji yang tinggi. Kita telah lama memberi peluang pekerjaan kepada warga asing, namun, adakah rakyat Malaysia diberi peluang yang sama untuk memberi perkhidmatan di negara-negara asing.

Justeru, sudah sampai masanya kita diberi peluang seadil-adilnya untuk menjual kepakaran kita. Apa yang penting, kita perlu menyiapkan diri untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Bersediakah kita?

OIC sukar campur tangan Mesir

Posted: 21 Aug 2013 12:02 PM PDT

Oleh Azmi Hassan

Jemaah masjid bersama gambar bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi pada Perhimpunan Aman membantah kekejaman tentera Mesir terhadap penyokong Morsi selepas solat Jumaat di Masjid Al Fattah, Kuantan, Pahang, baru-baru ini. Kira-kira 500 orang berhimpun di hadapan masjid bagi mengutuk pemerintah Mesir membunuh penyokong bekas Presiden Mesir itu ketika mengadakan bantahan. - BERNAMA

KEPUTUSAN kerajaan untuk memulakan operasi membawa pulang kesemua 3,300 pelajar Malaysia di Mesir adalah manifestasi bagaimana pergolakan yang bermula 3 Julai lepas sudah mencapai kepada tahap yang begitu berbahaya dan tidak menentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan setelah mendapat laporan daripada pasukan pemantau Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang kini berada di bumi bergolak tersebut.

Saya sudah dapat laporan bahawa keadaan di sana menjurus kepada keadaan yang tidak menentu dan mungkin lebih buruk daripada keadaan pada masa ini.

``Oleh itu, pasukan MKN beri pandangan dan nasihat supaya kita mulakan operasi membawa balik pelajar-pelajar yang ingin kembali secara sukarela dan saya bersetuju dengan pandangan tersebut," tegas Najib.

Mungkin ramai rakyat Malaysia tertanya-tanya apakah sesuatu boleh dilakukan untuk sekurang-kurangnya meredakan keadaan supaya ia tidak menjerumus kepada perang saudara seperti yang sedang menimpa Syria.

Keadaan agak meruncing pada ketika ini kerana kedua-dua pihak yang bertembung iaitu tentera Mesir dan Ikhwanul Muslimin mempunyai pegangan pendirian yang begitu berbeza dan ekstrem.

Ikhwanul Muslimin tetap dengan prinsip supaya Mohamed Morsi yang digulingkan dikembalikan kepada jawatan Presiden. Sementara itu, tentera Mesir pula sudah begitu nyata dengan niat untuk menghapuskan Ikhwanul Muslimin sama sekali dengan melabelkan pertubuhan tersebut dan pengikutnya sebagai terlibat dalam aktiviti keganasan.

Mengharapkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melakukan sesuatu dianggap sebagai satu impian yang sukar dilaksanakan kerana kuasa besar seperti Washington, London dan Paris secara tersiratnya mahu melihat Ikhwanul Muslimin hilang pengaruh bukan sahaja di Mesir tetapi di kebanyakan negara Arab lain. Sementara itu, Moscow dan Beijing pula langsung tidak menzahirkan dasar luar mereka terhadap kemelut yang sedang melanda Mesir.

Ada yang menaruh harapan setidak-tidaknya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memanggil mesyuarat khas untuk membincangkan krisis Mesir. Tetapi OIC yang terdiri daripada 56 negara Islam dinilai begitu sukar untuk mencari jalan penyelesaian kerana beberapa negara berpengaruh dalam pertubuhan itu mempunyai pendirian yang agak berbeza di antara satu sama lain.

Negara terbabit telah mengamalkan dasar luar terhadap pergolakan Mesir secara ekstrem iaitu sama ada menyokong tentera Mesir atau Ikhwanul Muslimin.

Seperti mana Jeneral tentera Mesir dan pemimpin Ikhwanul Muslimin sukar untuk bersemuka di meja rundingan kerana mempunyai pendirian yang berbeza, serupa juga dengan beberapa negara ahli OIC sudah berada dalam situasi yang serupa.

Dalam hal ini Najib memberi reaksi bahawa belum ada persetujuan dicapai bagi mengadakan persidangan khas kerana keputusan itu dibuat oleh OIC selepas kerajaan sementara Mesir menyatakan pergolakan di negara itu sebagai isu dalaman mereka. Begitu nyata sekali OIC begitu terikat dan menghadapi kekangan akibat pertembungan dasar luar beberapa negara ahli.

Kemelut yang sedang melanda Mesir pada ketika ini dan juga Syria yang telah berlanjutan buat sekian lama adalah manifestasi kepada kesan perluasan pengaruh yang sedang menular dalam kalangan negara ahli OIC terutama sekali bagi mereka yang mempunyai kemampuan dana kewangan tanpa batasan yang diperolehi dari sumber minyak dan gas.

Seperti mana Tunisia dan Libya yang telah menjadi mangsa perluasan pengaruh, Mesir juga tidak terkecuali menerima kesan fenomena ini. Keadaan yang semakin buruk di Syria dan penyingkiran Morsi tidak keterlaluan jika diandaikan kerana dorongan yang disabitkan oleh beberapa negara ahli OIC.

Perebutan pengaruh dalam kalangan negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Kuwait, Qatar dan tidak ketinggalan juga Turki dan Iran sebenarnya telah merosakkan kestabilan rantau Arab.

Ketika satu tahun era pentadbiran Morsi, hanya Qatar dan Turki yang banyak menyalurkan bantuan kewangan kepada Mesir kerana Arab Saudi, UAE, Jordan dan Kuwait mentafsirkan kebangkitan Ikhwanul Muslim adalah ancaman kepada kerajaan mereka. Tetapi sebaik sahaja Morsi disingkirkan, negara Arab yang selama ini tidak membantu Mesir telah mengumumkan bantuan kewangan sebanyak AS$12 bilion disalurkan dengan segera kepada Kaherah sebagai membantu kerajaan sementara Mesir.

Malah Riyadh secara terbuka telah mengisytiharkan jika Washington atau negara Eropah lain menghentikan bantuan kewangan kepada kerajaan sementara Mesir, Arab Saudi akan menampung segala kekurangan tersebut. Malah jika hendak dibandingkan dengan AS$1.3 bilion yang disalurkan oleh Washington setiap tahun kepada tentera Mesir, apa yang dijanjikan oleh Riyadh kepada Kaherah adalah jauh lebih lumayan.

Pertembungan dasar luar oleh negara ahli OIC ini menyukarkan lagi Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu untuk mengadakan perbincangan khas mengenai Mesir walaupun banyak negara seperti Iran, Qatar dan Turki telah mengusulkan cadangan tersebut.

Pertembungan dasar luar anggota ahli OIC bukan sahaja memburukkan lagi keadaan di Mesir dan Syria tetapi yang lebih penting adalah perubahan pengimbangan kuasa di rantau Arab akan berlaku dan jika tidak ditangani dengan betul akan membabitkan kestabilan rantau tersebut secara keseluruhannya.

Menjadi harapan bahawa kelebihan yang dimiliki oleh beberapa negara OIC digunakan secara bersama untuk kebaikan dan kestabilan rantau Arab. Mesir dan Syria yang sedang bergolak adalah manifestasi jelas bagaimana bahayanya jika pertembungan ini melarat ke negara lain. Konflik Palestin-Israel juga tidak mungkin akan berjaya mencari penyelesaian jika status-quo Mesir berkekalan. Ini adalah kerana dalam keadaan sebegini hanya satu pihak yang akan menerima manfaatnya, iaitu Israel.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat