Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT Oleh Zulkiflee Bakar Anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah memeriksa kenderaan dalam sekatan jalan raya semasa Op Cantas Khas diadakan di sekitar Lembah Klang baru-baru ini. - Gambar Ihsan Polis Diraja Malaysia (PDRM) SEMEMANGNYA adalah sesuatu yang memualkan apabila ada pihak cuba menjadi 'wira songsang' kepada penjenayah-penjenayah yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kelompok ini sama sekali tidak pernah mahu mengkaji kenapakah polis terpaksa melakukan tindakan berkenaan dan kenapakah penjenayah tersebut perlu dihapuskan. Apa yang mereka tahu ialah mempersoalkan prosedur yang digunakan oleh PDRM dalam melakukan serbuan dan bercakap berdegar-degar soal hak asasi manusia. Berikutan itu, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mempertahankan tindakan polis dalam usaha membanteras jenayah khususnya jenayah berat tidak ada salahnya. Penulis pasti ramai yang menyokong kenyataan beliau kerana soal keselamatan dan ketenteraman awam terletak di tangan polis. Justeru tak kanlah dalam berhadapan dengan puak-puak yang 'sah-sah' penjenayah polis hendak berlembut lagi? Kenapa perlu bercakap soal prosedur? Apakah penjenayah yang terlibat memahami prosedur berkenaan? Tak kanlah bila berhadapan dengan kumpulan yang sudah dipastikan penjenayah berbahaya polis hendak menyanyi lagu P.Ramlee 'Aci-aci buka' pintu untuk penjenayah kaum India, kalau penjenayah Cina kena cakap 'hello siapa di dalam' atau penjenayah Melayu harus memberi salam? Mungkin hujah ini nampak 'melucukan' tetapi apakah ini yang dimahukan oleh kelompok-kelompok yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia. Atau apakah mereka mahu polis betul- betul ikut prosedur sedangkan pasukan itu berhadapan dengan kumpulan penjenayah yang sama sekali tidak ada belah ihsannya? Tidakkah mereka tahu, jika benarlah polis mengamalkan polisi menembak untuk membunuh sudah pasti tidak ada penjenayah yang akan menghuni lokap-lokap atau penjara. Tetapi serbuan yang menyaksikan penjenayah ditembak mati bukan dilakukan secara sebarangan tetapi mengikut prosedur dan kaedah yang ditetapkan. Pihak polis pasti sudah membuat tinjauan dan risikan sebelum serbuan dilakukan, polis bukannya melancarkan serangan membuta tuli. Oleh itu adalah lebih baik tidak kira siapa pun janganlah terlalu ghairah hendak mencari kesalahan polis, sebaliknya berfikir dengan waras dan terbuka apakah wajar polis harus berlembut dengan penjenayah bersenjata api? Kita harus ingat mereka yang memiliki senjata api atau terlibat dalam kumpulan gangster atau kongsi gelap sudah memahami bahawa mereka sengaja mencabul undang-undang. Justeru polis mempunyai tanggungjawab membanteras kelompok ini demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam. Kalaulah pihak polis mahu melayan hujah-hujah berunsur politik dan melihat tindakan polis dari segi perkauman, sampai ke bila pun perbuatan jenayah tidak dapat dibanteras. Sebab itulah penulis dan mungkin jutaan rakyat Malaysia lain bersetuju dengan kenyataan Khalid bahawa polis tidak akan mempedulikan apa juga 'wayang yang mereka mainkan', apa yang penting bagi polis ialah memastikan ketenteraman dan keselamatan awam terjamin. Ini memandangkan yang akan disalahkan jika jenayah meningkat ialah PDRM. Oleh itu apabila polis bertindak tegas janganlah pula mempertikaikan kewibawaan dan kemampuan pasukan berkenaan. Sememangnya kita tidak faham kenapakah setiap kali berlaku kes menembak mati penjenayah daripada kaum tertentu, maka akan muncul 'wira-wira songsang' untuk mempertahankan mereka. Pelbagai hujah dan desakan mereka buat termasuklah mahu inkues diadakan. Kalaulah begitu, berapa banyak inkues hendak dilaksanakan bagi semua kes jenayah yang melibatkan kematian penjenayah? Mungkin kerana wujudnya 'wira-wira yang tidak diundang' inilah, kumpulan samseng dan kongsi gelap semakin berani termasuk secara terbuka memaparkan lambang kumpulan mereka ketika pengkebumian ahli kumpulan berkenaan. Tindakan mereka melanggar undang-undang tetapi mereka seolah-olah tidak takut kerana pasti ada 'wira-wira songsang' akan tampil membela mereka jika polis mengambil tindakan. Berikutan keadaan itu, adalah wajar polis meneruskan ketegasan mereka membanteras kumpulan penjenayah tanpa mengira siapa pun mereka. Biarlah hanya segelintir sahaja kelompok di negara ini yang dilihat mahu menjadi 'pembela' tidak bertempat kepada kumpulan penjenayah tersebut, tetapi kita yakin terdapat jutaan rakyat berdiri di belakang polis. Oleh itu jangan ada sekelumit pun perasaan gentar untuk melaksanakan apa juga usaha bagi membanteras jenayah khususnya jenayah berat. Kepada puak-puak yang cuba menjadi 'wira-wira songsang' kepada penjenayah- penjenayah tersebut, berfikiran terbukalah, kalau pun hendak mencari populariti atau kepentingan politik. Perbuatan jenayah berat yang kini semakin meningkat bukan soal politik tetapi soal keselamatan dan ketenteraman awam. Hargailah pengorbanan dan kegigihan polis dalam membanteras jenayah, janganlah hanya pandai mencari salah pasukan itu sahaja. Daripada membuang masa mempertikaikan prosedur yang digunakan oleh polis adalah lebih baik bekerjasama dengan pasukan itu untuk membanteras jenayah. Hendak mengkritik, membidas dan mengecam pasukan polis dalam soal pembanterasan jenayah memang mudah tetapi tahukah kita betapa berat tanggungjawab pasukan itu dalam memastikan setiap malam rakyat Malaysia dapat tidur dengan lena tanpa rasa risau dan bimbang serta keesokkan kita boleh bangun menjalankan urusan harian dengan aman. Tidakkah semua itu kita nikmati kerana jasa anggota-anggota polis yang bertugas 24 jam demi memastikan negara ini terus aman dan tenteram. Janganlah kerana kematian individu yang sudah disahkan sebagai penjenayah, kita hendak meruntuhkan moral perjuangan anggota-anggota pasukan keselamatan. Kalau pun tidak mahu berterima kasih atau memberi pujian, cukuplah sekadar mendiamkan diri dengan membiarkan pihak polis menjalankan tanggungjawab mereka. Kita percaya dalam usaha membanteras jenayah, pihak polis mengamalkan pendekatan profesionalisme yang tinggi dan bukannya mengikut perasaan. Dan mereka sudah pasti tidak akan tergugat dengan kecaman kelompok yang seolah-olah tidak tahu menghargai pasukan keselamatan tersebut. Adalah diharapkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya akan terus berdiri teguh di belakang pihak polis kerana keselamatan dan ketenteraman kita berada di tangan mereka. Dan kita juga mengharapkan ketegasan pihak polis akan berterusan seperti mana jaminan yang diberikan oleh Khalid. Ia memandangkan misi polis seperti mana ditegaskan oleh Khalid ialah ''...kami akan teruskan dengan apa yang sedang dilakukan ketika ini asalkan negara kita selamat dan aman damai.'' Biarlah kelompok yang sengaja mahu mencari salah polis 'terjun dengan labu-labunya', pedulikan mereka dan bak kata orang, 'lantaklah apa pun mereka hendak kata,' apa yang penting kita tidak mahu keselamatan dan ketenteraman awam dipertaruhkan hanya semata-mata kononnya memperjuangkan hak asasi manusia. |
UMNO perlu diremajakan semula? Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT Oleh ABDUL RAZAK IDRIS SUDAH 67 tahun UMNO menjadi parti politik utama di negara ini. Bukan itu sahaja, UMNO telah menjadi parti tonggak kepada kemerdekaan dan pentadbiran negara. UMNO sebagai parti tertua di negara ini sudah melalui pelbagai kemelut dalaman dari zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj hingga ke kepemimpinan era ini. Maka, sudah sampai masa UMNO diremajakan semula, dengan mengangkat muka baru yang bukan sahaja berpelajaran, berketerampilan malahan mampu berpidato dengan begitu hebat sekali. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih ramai bakat baharu dalam UMNO harus diberi peluang mengisi jawatan penting dalam pemilihan parti Oktober ini. Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kombinasi bakat baharu di samping penyertaan muka-muka lama penting bagi memperkukuh dan memastikan parti itu terus kekal relevan. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, inilah saat sebenar untuk ahli-ahli UMNO yang berjumlah 3.2 juta menentukan saf kepimpinan mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kurang lima tahun lagi. Proses peremajaan UMNO sememangnya bukan suatu misi yang mudah tetapi tidak mustahil boleh dilaksanakan. Ahli-ahli UMNO dari pucuk sampai ke akar umbi diberi mandat untuk memilih pemimpin cawangan, bahagian malahan sampai ke peringkat pusat. Jika ini bukan dinamakan demokrasi terpimpin apakah ayat yang sesuai untuk kita gambarkan era Najib. Kita jangan jadi Melayu yang memandang sebelah mata kepada anak-anak kita yang kita curahkan ilmu dan kemajuan selama ini. Mereka kini sudah besar panjang dan mempunyai wibawa untuk menjadi pewaris kepimpinan negara yang semakin berkembang di segala segi. Sampai bila golongan muda terus tunduk kepada pengaruh pemimpin lama yang enggan melepaskan jawatan mereka di mana- mana peringkat sekalipun. Takut nanti bakat muda menjadi tukun politik semata- mata. Najib sendiri melahirkan kebimbangan jika tiada bakat baru dalam UMNO pasti satu hari nanti masalah hendak memilih calon berwibawa akan berulang. Jangan sampai masalah memilih calon yang dihadapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 bakal berulang. Dalam mana tamadun sekalipun, jika tiada pemimpin pelapis pasti tamaddun tersebut akan runtuh. Sekalipun ada pelapis sudah pasti yang mengganti tempatnya, merupakan pemimpin yang lemah sebagaimana yang dihadapi oleh Kerajaan Mesir Purba. Yang tinggal di Mesir kini adalah warisan dunia iaitu pyramid dan sphinx yang dibayangi sengketa antara penyokong Mursi dan puak Tamarod. Seharusnya pengorbanan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti dianggap suatu ketentuan qada dan qadar. Betapa mereka melihat UMNO perlu diremajakan semula dan bukan setakat dijenama semata-mata. Kepada pemimpin UMNO yang ingin bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) ukurlah baju di badan sendiri. Pastikan akar umbi memberi sokongan mantap dan ikhlas. Ini bagi memastikan peranan anda dalam saf kepimpinan pusat lebih berkesan hingga ke PRU-14. Sudah menjadi adat dunia pemimpin datang, pemimpin pergi. Namun biarlah pergi dalam jasa dirindui dan bakti diingati. Jangan ditewaskan oleh rasa yakin yang tinggi hingga melupakan bahawa dunia ini akan kita tinggalkan untuk generasi Y yang setiap hari akan lahir dari mana-mana rahim yang berisi jasad bernama bayi. Justeru, kepada pemimpin-pemimpin muda yang bersemangat waja, di tangan dan bahu anda UMNO bakal diwarisi perjuangannya untuk membela orang Melayu dan ahli-ahli dalam kalangan etnik di Sabah. Ia bukan diwujudkan untuk perjuangan individu semata-mata. Ia juga bukan alat mencari kekayaan tetapi wadah mensejahterakan rakyat Malaysia keseluruhannya. Kepada ahli-ahli UMNO semua, hargailah kepimpinan orang muda, wariskan kepimpinan sama ada di peringkat akar umbi atau di pucuk pimpinan dengan memberi mandat dan undi kepada mereka. UMNO yang remaja pasti akan menarik sokongan orang muda yang terlalu taksub dengan pemimpin pembangkang yang vokal tetapi entah untuk siapa dan apa sebenarnya. Melainkan untuk kepentingan individu semata-mata. Insya-Allah UMNO lebih muda pada hujung tahun ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |