Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Kenapa kes jenayah Israel ditangguhkan? Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT PROF. SALLEH BUANG ialah penganalisis undang-undang. SELEPAS Tun Dr. Mahathir Mohamad bersara daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat, beliau telah meneruskan khidmat baktinya di arena antarabangsa dengan menubuhkan dua Yayasan - pertama, Perdana Global Peace Foundation, PGPF (Yayasan Keamanan Global Perdana) dan kedua, Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War, KLFCW (Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur). Yayasan yang pertama (PGPF) sering mengadakan beberapa persidangan, forum, wacana, dialog serta pameran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi mencari penyelesaian konflik dan peperangan yang melanda dunia masa kini dan mewujudkan serta dan mengekalkan keamanan sejagat. Contoh terkini usaha sukar yang amat mencabar ini adalah "International Conference on Global Peace Efforts" (Persidangan antarabangsa mengenai Usaha Keamanan Sejagat) yang diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC) pada hari Ahad 25 Ogos 2013 yang lalu. Yayasan yang kedua (KLFCW) mengambil beberapa langkah berani lebih jauh lagi dari situ. Yayasan ini telah menubuhkan dua organ dalaman yang berasingan, iaitu pertama Kuala Lumpur War Crimes Commission, KLWCC (Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur) dan kedua Kuala Lumpur War Crimes Tribunal, KLWCT (Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur). Suruhanjaya berperanan sebagai satu badan penyiasat yang menerima aduan dari pelbagai pihak yang pernah menjadi mangsa jenayah perang dan selanjutnya mengumpulkan keterangan lengkap yang boleh dijadikan asas pertuduhan terhadap pihak tertentu (individu atau negara) yang melakukan jenayah perang tersebut. Apabila maklumat dan keterangan ini sudah dapat dikumpulkan dan dikira memadai untuk dijadikan asas pertuduhan, Ketua Pendakwa suruhanjaya ini akan memfailkan pertuduhan jenayah perang di Pejabat Pendaftar Tribunal. Sehingga awal tahun 2013 lalu, Tribunal telah bersidang sebanyak tiga kali. Kali pertama, pada 31 Oktober 2009, Tribunal mendengar permohonan Suruhanjya bagi mendapatkan Advisory Opinion sama ada (a) Tribunal ada bidang kuasa mendengar kes-kes jenayah perang, dan (b) sama ada seorang Ketua Kerajaan atau Ketua Negara boleh mengecualikan dirinya dari melaksanakan obligasi di bawah triti dan konvensyen antarabangsa. Tribunal memberi pendapatnya bahawa ia ada kuasa mendengar kes-kes jenayah perang di bawah Artikel 7(1) Piagamnya, manakala mengenai isu kedua, Tribunal menyatakan Ketua Kerajaan dan Ketua Negara mestilah melaksanakan segala kewajipannya di bawah konvensyen dan triti antarabangsa. Dengan bahasa mudah, Ketua Kerajaan dan Ketua Negara tidak menikmati imuniti atau kekebalan sekiranya mereka melakukan jenayah perang dan sebagainya. Kali kedua, pada 19-22 November 2011, Tribunal mendengar kes jenayah perang melibatkan George W Bush dan Anthony L. Blair. Kedua-dua mereka dituduh melakukan jenayah perang bila melancarkan peperangan secara tidak sah terhadap Iraq. Prosiding empat hari berakhir dengan sabitan, dan seterusnya nama mereka dimasukan dalam Daftar Penjenayah Perang. Rekod prosiding dan penghakiman Tribunal ini kemudian dikirim oleh Pendaftar Tribunal kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kepada beberapa ketua kerajaan asing untuk maklumat dan tindakan mereka seterusnya. Tribunal, yang hanya mempunyai status People's Tribunal atau Tribunal of Conscience, tidak ada kuasa menangkap atau memenjarakan kedua-dua tertuduh yang telah disabitkan kesalahan mereka. Kali ketiga, pada 7-11 Mei 2012, Tribunal mendengar pertuduhan baru (iaitu jenayah penyiksaan dan jenayah perang) melibatkan George Bush, Donald Rumsfeld, Dick Cheney, Albert Gonzales, David Addington, William Hanynes, Jay Byebee dan John Yoo (yang merupakan orang kanan dan penasihat Bush). Dalam prosiding selama empat hari ini, pasukan pendakwa telah memanggil beberapa saksi, antaranya Moazzam Begg (seorang bekas tahanan Guantanamo Bay), Ali Sh. Abbas dan Abbas Abid (kedua-duanya mangsa penyiksaan di penjara Abu Ghraib). Prosiding berakhir dengan sabitan kesemua tertuduh, dan nama mereka turut disenaraikan sebagai Penjenayah Perang. Salinan penghakiman Tribunal dikirimkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kepada ketua kerajaan asing. Terbaru, pada 21-24 Ogos 2013, Tribunal bersiap sedia mendengar dua pertuduhan yang telah difailkan oleh Ketua Pendakwa Suruhanjaya pada akhir Mei lalu. Kali ini, pihak tertuduh adalah Jeneral Amos Yaron dan Israel. Mereka dituduh melakukan pembunuhan warga Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila, di Jenin dan Nablus, dan Operasi Cast Lead 1 di Gaza pada Disember 2008, dan Cast Lead 2 di Gaza pada November 2012. Menyedari betapa penting dan rumitnya kes yang perlu didengar kali ini, Tribunal telah membariskan satu Panel Hakim terdiri dari 7 orang, iaitu lima hakim yang telah biasa bersidang dalam sessinya yang terdahulu (iaitu Tan Sri Lamin selaku Presiden, Datuk Tunku Sofiah Jewa, Prof Emeritus Shad Saleem Faruqi, Alfred L. Webre, dan Prof. Salleh Buang) dan dua Hakim yang baru dilantik, iaitu Michael Hourigan (warga Australia) dan Eric David (warga Belgium). Kesemua tujuh Hakim yang dilantik ini mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang antarabangsa, khususnya mengenai jenayah perang. Malangnya, mulai awal pagi hari pertama (21 Ogos), pasukan pendakwaan telah mempamirkan hasratnya untuk tidak meneruskan prosiding. Setelah permohonan mereka untuk menggugurkan Hakim Eric David atas alasan hakim baru ini mungkin bias (berat sebelah) ditolak sebulat suara oleh panel hakim disebabkan tidak ada alasan kukuh, pasukan pendakwa cuba berkali-kali selepas itu untuk menggugurkan hakim berkenaan. Mengikut prosedur biasa dan tatatertib peguam, apabila satu keputusan telah dibuat oleh Hakim, peguam hendaklah akur dengan keputusan itu dan tidak terus mempertikainya lagi. Prof. Boyle (yang turut menganggotai pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Prof. Gurdial Singh) secara salah dan melanggar peraturan serta tatatertib mahkamah kemudian telah melemparkan tuduhan liar di mahkamah terbuka, tanpa apa-apa bukti langsung, bahawa Eric David adalah ejen Mossad. Perbuatan Boyle ini telah ditegur oleh Tan Sri Lamin tapi dia terus berdegil dengan dakwaan liarnya. Pertikaman lidah berlaku seketika antara Boyle dengan Hakim Webre, sehingga prosiding ditangguhkan oleh Tan Sri Lamin untuk meredakan keadaan. Bila prosiding bersambung, Prof Gurdial menyatakan dia akur dengan perintah dan keputusan Panel Hakim yang menolak permohonan menggugurkan Eric David, namun dia tidak mahu meneruskan prosiding ini kerana saksi-saksi yang telah dipanggil hadir dari Palestin enggan tampil memberi keterangan mereka. Keengganan mereka ini, mengikut Gurdial, adalah disebabkan mereka "tidak yakin dengan keselamatan mereka" jika mereka dipaksa memberi keterangan di Tribunal ini di hadapan Hakim Eric David. Anehnya, sementara saksi-saksi tersebut merasa "rasa tidak yakin tentang keselamatan saksi-saksi" sekiranya mereka tampil memberi keterangan, mereka memohon dibenarkan hadir dalam dewan bagi membuat "satu kenyataan terbuka" kepada Panel Hakim. Walaupun permintaan mereka ini adalah luar biasa dan nyata menyalahi prosedur Tribunal (juga menyalahi amalan biasa di mahkamah kita), namun Tan Sri Lamin bersedia memberi kelonggaran dalam perkara ini dan membenarkan wakil saksi membuat kenyataannya. Pada satu ketika, sewaktu Prof. Gurdial (mewakili pasukan pendakwaan, tanpa kehadiran Boyle) dan Amicus Curiae (barisan peguam yang mewakili dua tertuduh) hadir dalam Kamar Hakim, pasukan pendakwaan ditanya apakah mereka bersedia meneruskan pendakwaan berasaskan keterangan dokumen yang telah banyak dikumpulkan sebelum ini? Dalam prosiding Tribunal yang pertama dan kedua dulu, banyak kali pasukan pendakwaan telah menggunakan keterangan dokumen dalam kes mereka. Namun begitu, pada kali ini Gurdial menyatakan dia tidak ingin meneruskan prosiding ini walaupun dengan keterangan dokumen. Dalam bahasa mudah, pasukan pendakwaan dan barisan saksi-saksinya memberi kata dua (ultimatum) kepada Panel Hakim - "Gugurkan Hakim Eric David ataupun kita akan boikot prosiding ini". Setelah mengambil kira semua perkara, Panel Hakim membuat keputusan adalah tidak wajar sama sekali ia tunduk kepada ugutan dan desakan Ketua Pendakwa serta saksi-saksinya. Dengan berat hati, Panel Hakim sebulat suara memutuskan prosiding jenayah terhadap Jeneral Amos Yaron dan negara Israel ditangguhkan sine die (tanpa tarikh). Mengikut rekod rasmi Tribunal, pertuduhan terhadap dua tertuduh masih kekal, tidak ditarik balik oleh Ketua Pendakwa. Hanya prosiding yang terpaksa ditangguhkan. Andainya satu hari nanti, KLFCW mampu mendapatkan khidmat satu pasukan pendakwaan yang baru, prosiding jenayah terhadap Amos Yaron dan negara Israel masih lagi boleh diteruskan. Itulah yang kita harapkan. |
Nama pejuang kemerdekaan diabadikan di tempat sewajarnya Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT OLEH ABDUL RAZAK IDRIS HANG TUAH, Mahsuri, Cik Siti Wan Kembang, Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung, Mat Salleh, Rosli Dhobi dan lain-lain lagi nama tokoh sejarah yang disebut semasa belajar subjek Sejarah sering bermain di fikiran dan dihafal sebagai wadah untuk berjaya dalam peperiksaan seperti Sijil Rendah Pelajaran (SRP, kini PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Selepas tamat belajar nama-nama tersebut terus dilupakan seolah-olah ia wujud hanya untuk menjadi input peperiksaan bukan untuk kita mengingati jasa dan sumbangan mereka hingga kita mampu tersenyum sambil memandu kereta Proton Suprima S. Semakin jauh kita memandu semakin jauh kita meninggalkan perkara-perkara yang berlaku di belakang. Namun kita perlu ingat tanpa sejarah kita tidak akan mampu memecut laju ke depan. Tokoh-tokoh sejarah yang dinyatakan adalah pemangkin kepada keberadaan dan kejayaan kita hari ini. Jangan sesekali kita melihat Hang Tuah tidak relevan dengan kemajuan kita hari ini, hingga ada yang menganggap wira negara yang menjadi pahlawan di Melaka pada kurun ke-15 adalah legenda semata-mata. Namun kata-kata keramat "Tak Melayu Hilang di Dunia" yang disebut oleh pahlawan tersohor itu menjadi azimat kepada perjuangan parti keramat orang Melayu, parti UMNO untuk menjadi tonggak pentadbiran negara dari selepas merdeka 31 Ogos 1957 hingga ke detik kini. Walaupun Melaka telah tidak mengamalkan sistem beraja namun nama pahlawan Melayu itu diabadikan di beberapa pusat beli-belah dan jalan di Melaka Bandar Bersejarah. Begitu juga tokoh- tokoh lain seperti Mat Kilau yang diabadikan namanya di sekolah rendah dan menengah di Pahang. Namun dalam kita menghargai perjuangan tokoh-tokoh bangsa dari zaman Melaka hingga selepas era Belanda dan British jangan kita lupakan nama-nama wira negara yang meninggal dunia kerana berjuang demi menjaga kedaulatan negara pada zaman Jepun dan darurat dari 1948 hingga 1960 serta era 1970-an dan hujung 1980-an. Nama seperti Leftenan Adnan Saidi, Sarjan Jamil Shah dan Pegawai Waran II Kanang Anak Langkau begitu dekat dengan kepahlawanan perang era moden. Nama-nama ini perlu diabadi di kem-kem tentera dan tidak sekadar menjadi watak dalam pentas hidup dan dalam filem semata-mata. Ini bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam diri anak-anak kita yang terlampau 'laju' dengan capaian internet hingga mereka lupa bagaimana teknologi tersebut bermula di negara ini. Tanpa adanya pahlawan yang sanggup bergadai nyawa dan darah untuk membasmi elemen negatif seperti anasir-anasir subversif komunis dan tali barut asing maka kita tidak dapat melakukan apa sahaja kegiatan ekonomi di bumi bertuah ini. Hari ini di Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita tidak dapat melihat suatu bangunan yang mempunyai nama pahlawan dan pemimpin negara yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang pesat membangun. Alangkah baik jika Menara Berkembar Petronas dinamakan Menara Berkembar Tun Mahathir, Muzium Negara dinamakan Muzium Hang Tuah, Pasar Seni dinamakan Pasar Seni Tun Seri Lanang dan Putra World Trade Centre (PWTC) dinamakan Menara Datuk Onn Jaafar. Bagaimana rakyat pada masa depan dapat menghargai pemimpin kerajaan yang ada jika kita gagal menghargai penyumbang kepada kejayaan dan kemajuan negara kita. Dalam dunia serba pantas hari ini, manusia sudah menjadi manusia hybrid iaitu bermutasi menjadi separuh elektronik separuh orang. Ini disebabkan manusia sudah menjadi hamba gajet hingga tanpa ada telefon tangan mahupun telefon pintar dibawa ke tempat kerja, hidup dirasakan tidak sah. Sekurang-kurangnya apabila rakyat negara ini melihat aplikasi telefon pintar seperti Google Maps mereka akan melihat nama bangunan yang tertera nama tokoh sejarah dan ini akan menyebabkan mereka terfikir, apakah sejarah di sebalik nama tersebut. Terutama dalam kalangan pelancong itu sendiri. Mesti mereka tertanya-tanya mengapa nama Hang Tuah diabadikan di muzium misalnya. Justeru, masih belum terlambat untuk kita mengabadikan nama-nama tokoh bersejarah di negara ini. Kerana di negara Barat ia penting sebagai menghargai jasa pemimpin dan sumbangan mereka. Mungkin bagi negeri Selangor pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) boleh mencadangkan nama Stadium Shah Alam menjadi Stadium Mokhtar Dahari sebagai simbol pemain yang hebat dan tangkas menggempur benteng lawan dan dijelmakan dalam diri mereka. Dalam keadaan prestasi pemain dan bola sepak negara hari ini cadangan tersebut amat relevan. Tepuk dada tanya selera, insya-Allah jika Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan majlis kerajaan tempatan menghargai tokoh sejarah, insya-Allah rakyat lebih menghargai kemerdekaan dan pengisiannya. Walau ada pujangga berkata, apa ada pada nama, jawapannya mudah sahaja tanpa nama siapalah kita. Tanpa tokoh sejarah yang sanggup berkorban untuk kejayaan bidang politik, ekonomi, sukan dan keselamatan tiadalah negara bernama Malaysia. Sesungguhnya tema "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" menggambarkan pengorbanan tokoh-tokoh yang sudah lama meninggalkan kita dengan legasi keamanan yang begitu berharga. Walau nama hilang di mata, namun di hati dihilangkan jangan. Merdeka! Merdeka! Merdeka. Al-Fatihah untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tokoh yang begitu sinonim dengan kemerdekaan negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |