Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Di mana pesan, ke mana kesan Ramadan? Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT Datuk A Aziz Deraman ialah Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia-Kelantan. Umat Islam menunaikan solat sunat tarawih pada bulan Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya baru-baru ini. SESUDAH satu bulan berpuasa dan mendirikan Ramadan, cuba tanyakan diri kita sendiri sebagai seorang Islam, sebagai ketua keluarga, ketua kampung, pemimpin masyarakat, pemimpin gerakan sukarela dan pemimpin politik (berjawatan atau tidak berjawatan), di manakah pesan dan ke manakah kesan Ramadan al-mubarak dan al-kareem itu kepada kita? Apakah kita berpuasa kerana hanya mentaati perintah Allah SWT seperti maksud firman-Nya "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Al-Baqarah 2: 183). Apakah puasa atas kewajipan fardu ain ke atas setiap individu akil baligh itu, akan menyebabkan kita peroleh lapar dan dahaga sahaja? Di manakah letak duduknya takwa? Berpuasa itu jalan mencapai matlamat darjah takwa. Orang yang bertakwa itu adalah mereka yang mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang Allah SWT termasuk perpecahan sesama sendiri. Maka darjah takwa itu boleh dicapai antara lain apabila setiap diri itu tidak melakukan maksiat terhadap Allah dan Rasul- Nya, tidak berulang kali melakukan dosa kecil dan dosa besar, termasuk dalamnya merompak, berzina, berjudi, minum arak, rasuah, bernujum, seksualiti bebas. Kononnya atas dasar hak asasi, maka berleluasalah pula faham pluralisme, seks bebas, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), homoseksual atau menabur fitnah dan khianat ke atas sesama Islam melalui media sosial. Ramadan sudah didik kita berbuat segala yang baik bukan dosa. Ramadan itu bulan ujian keimanan umat, berjihad lawan nafsu, maka Aidilfitri itu ialah hari kemenangan bagi meraikan kesempurnaan ibadat puasa selama sebulan. Ramadan itu bulan perpaduan ummah, kesatuannya wujud di seluruh dunia. Daripada sejumlah umat Islam di Jepun, Negara Matahari Terbit sehingga ke bahagian barat Amerika atau umat Islam di Asia, Eropah dan Afrika semuanya menunaikan fardu berpuasa ini. Pada bulan Ramadan, kesemua prinsip Rukun Islam tergabung melalui syahadah, solat, puasa Ramadan, zakat dan fitrah, melainkan haji dan umrah. Malahan ibadat umrah pun dikerjakan mereka yang mampu mengunjungi Masjidil Haram dan berpuasa di sana. Apakah kesan dan pesan daripada perpaduan umat itu? Ramadan lazimnya disyarahkan seolah- olah institusi pendidikan berupa madrasah atau universiti yang mendidik dan mengasuh setiap Muslim ke jalan takwa. Ketakwaan itu hanya boleh datang daripada orang yang beriman. Betapa ramai orang yang beriman tetapi tidak mencapai darjah takwa, yakni secara total melakukan suruhan Allah meninggalkan apa yang dilarang. Bulan Ramadan disebut sebagai bulan keberkatan, bulan keampunan dan bulan rahmat. Ramadan bulan nuzul al-Quran, sebuah kitab suatu mukjizat saintifik yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah peradaban manusia sejak awal kejadian Adam hingga ke akhirat. Bagi orang yang beriman kedatangan Ramadan disambut gembira, penuh kesyukuran menghayati nikmat Tuhan yakni nikmat iman dan nikmat Islam. Orang yang beriman akan menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai pedoman selaras dengan tuntutan syahadah 'Tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah'. Seseorang Muslim selain Rukun Islam yang lima, mengimani Rukun Iman, dan perintah berpuasa wajib itu merupakan salah satu rukunnya. Ramadan itu bulan muhasabah diri, mengukuhkan Tauhid dan akidah, melakukan amal makruf nahi munkar. Ramadan berjaya memaut kasih dan sayang umat seagama. Silaturahim dan ukhuwah sambung menyambung. Perpaduan umat sangat nyata sewaktu solat jemaah di serata masjid dan surau, ratusan ribu jemaah mengerjakan umrah, melunaskan tanggung jawab zakat dan fitrah, bersedekah, infak kebajikan, menggembirakan anak yatim, menjaga kebajikan fakir miskin dan sebagainya. Apakah gambaran jasmaniah dan rohaniah itu tidak mampu menginsafkan kita untuk muafakat, kerjasama dan bersatu hati secara rohaniah, bahkan terus mengekalkannya sehingga ke Ramadan tahun hadapan. Apakah solat berjemaah dan solat tarawih, tahajud, berzikir, tadarus, tadabbur, tazkirah dan majlis-majlis ilmu dan sebagainya itu akan hanya tinggal kenangan tetapi bukan titik tolak perubahan dan pembaharuan hidup? Mari kita rasai kenikmatan dan kesyukuran serta memperkukuh tradisi keilmuan. Ramadan seharusnya menginsafkan kita agar tidak meneruskan perbuatan dan percakapan keji dipenuhi maksiat, menabur fitnah, berbohong, melakukan rasuah, umpat keji caci orang. Kita perlu tahu membezakan amalan nilai-nilai terpuji (mahmudah) dengan nilai-nilai terkeji (mazmumah). Ramadan membawa pesan selain beramal ibadat, umatnya tidak akan maju sekiranya perpecahan umat menjadi jurang perpaduan. Perpecahan lambat laun akan membawa keruntuhan. Maksud firman Allah: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai…"( Ali-Imran 3:103). Atau "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasara) yang telah bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan- keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh nabi-nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar". (Ali-Imran 3:105). Umat Islam sedang diancam dari segala penjuru tamadun manusia abad ke-21 ini. Apakah perpaduan umat tidak boleh dijadikan contoh dan ia bermula di Malaysia. Manusia pelbagai kaum dan penganut agama selain daripada Islam di Malaysia tidak akan mengerti kesyumulan Islam, sekiranya tidak didedahkan faham ilmunya. Status Islam akan bertambah parah kalau umatnya berpecah belah. Dengan mengambil iktibar Ramadan, umat Islam sepatutnya sudah berupaya melangkah sederap serentak mencipta kejayaan (al-falah) dan kemenangan dalam semua bidang kehidupan. Gerakkanlah langkah bersama demi kebangkitan keagungan Islam dengan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, pendidikan, kebajikan sosial, budaya keilmuan dan pelbagai lagi. Sejak kemerdekaan, Malaysia sudah membuktikan dirinya cemerlang memajukan pentadbiran agama, pembangunan infrastrukturnya, memperkenalkan sistem Islam seperti perbankan Islam yang kejayaannya sedang dikaji Barat. Gerakkan upaya kebangkitan bangsa- bangsa Islam di seluruh dunia abad ke-21 ini boleh dijayakan sekiranya pimpinan politik terlebih dahulu bersatu dan cuba merangka program yang khusus. Buangkan perangai berkelahi tanpa berkesudahan, bukannya patuh dan taat kepada golongan kafirun, munafiqun dan musyrikun yang kita tahu ada di Malaysia ini, kecuali golongan yang boleh diajak bersama terdiri daripada golongan yang setia kepada negara dan patuh akan ikatan kontrak yang sudah lama dipersetujui bersama. Pertelagahan politik dan idealogi yang tidak bertempat mengakibatkan munculnya keserongan persepsi politik atau agama dalam politik. Jadikan fajar 1 Syawal 1434 Hijrah tahun ini, fajar yang membawa sinar cahaya harapan baru kesatuan umat. Umat Islam di Malaysia seharusnya mendepani kebangkitan semula tamadun Islam. Orang bukan Islam sudah tidak gerun atau gentar lagi dengan kepemimpinan Islam. Jadikanlah Syawal bulan langkah baru yang membawa pesan muhasabah, untuk dikukuhkan semula ikatan tali persaudaraan Islam. Gesaan ini sudah lama datangnya dari banyak pihak, kerana kesan tanpa kekukuhan kesatuan dan perpaduan umat, dibimbangi nasib Pak kadok yang hilang kampung halaman itu boleh berulang. Salam dan Selamat menyambut Aidilfitri. Maaf Zahir Batin. |
'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT Gerbang Global oleh Azmi Hassan MEMANG menarik sekali tema sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini kerana sejak kebelakangan ini rakyat amat begitu resah dengan kemelut yang melanda negara akibat terhakisnya perasaan hormat menghormati antara sesama sendiri. Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku kena pada masanya sebagai memberi peringatan dan iktibar bahawa tiada siapa yang akan mempertahankan maruah negara kecuali rakyat Malaysia sendiri. Jika diteliti tema tersebut ia membawa maksud untuk menyemai sifat perpaduan yang berpaksikan kepada ungkapan patriotik dan kesatuan negara bangsa. Harapannya adalah tidak berlaku lagi peristiwa di mana sambutan Hari Kemerdekaan dicemari oleh kerana perbezaan ideologi politik seperti yang telah menimpa pada tahun lepas. Terdapat segelintir kelompok masyarakat yang tidak mahu turut serta merayakan sambutan kemerdekaan kerana tidak sehaluan fahaman politik dan fenomena keengganan menyambut kemerdekaan kali ke-55 tahun lepas sudah mencapai tahap merunsingkan. Mempertikaikan logo, tema dan lagu kemerdekaan walaupun dianggap satu isu remeh dan agak lucu, tetapi hakikatnya adalah satu usaha untuk memperkecilkan dan seterusnya merosakkan sambutan kemerdekaan yang telah disusun pada ketika itu. Berbeza pula dengan jiran Malaysia iaitu Singapura, suasana menyambut hari kemerdekaan ke-47 dengan sambutan perarakan dan diikuti dengan ucapan rapat umum pada tahun lepas, tidak timbul langsung isu parti pembangkang pulau tersebut yang cuba memboikot atau menjejaskan sambutan Hari Kemerdekaan mereka. Mengambil pendekatan untuk tidak mahu turut serta dalam acara sambutan kemerdekaan akan hanya memberi modal politik yang cetek dalam jangka masa pendek. Tetapi apa yang lebih membimbangkan lagi adalah ia bakal memberi kesan kepada aspirasi negara Malaysia yang berdaulat dan merdeka. Tanah Tumpahnya Darahku membawa maksud yang begitu dalam dan penuh bermakna. Sebab itu tema sambutan kali ini boleh dirangkumi kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan negara yang amat begitu kritikal untuk dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia. Patriotisme rakyat Amerika Syarikat (AS) terhadap tentera dan sejarah negara mereka sememangnya sukar ditandingi oleh rakyat negara lain. Walaupun Presiden George Bush dikritik hebat kerana polisi beliau berkeras mahu mengekalkan tentera AS di Iraq pada ketika itu, tetapi rakyat beliau tetap memberi sokongan padu kepada anggota tentera melalui peruntukkan kewangan pertahanan yang lumayan. Begitu juga dengan semangat patriotisme selepas serangan 11 September 2001 mempamerkan bagaimana rakyat AS yang berbagai-bagai keturunan dan asal usul mampu bersatu mempertahankan kedaulatan negara mereka. Sebab itu pada tarikh 4 Julai setiap tahun, iaitu sambutan Hari Kemerdekaan AS, rakyat mereka begitu mudah menunjukkan sikap cintakan negara dan patriotisme secara spontan di mana tidak timbul elemen paksaan untuk melakukan sesuatu. Singapura juga diandaikan mempunyai rakyat yang mempunyai semangat patriotik yang agak tinggi. Ada pihak yang membuat telahan semangat luar biasa cintakan negara ini timbul kerana pemerintah Singapura bijak mengatur strategi seolah-olah negara mereka perlu sentiasa berwaspada. Tetapi satu hakikat yang sukar ditolak ialah pada setiap sambutan Hari Kemerdekaan yang jatuh pada 9 Ogos, rakyat Singapura bersama-sama menyertainya dengan penuh ikhlas tanpa ada unsur paksaan atau berpura-pura. Pada hari yang mulia ini ada baiknya rakyat Malaysia tidak kira anutan agama, bangsa atau fahaman ideologi politik menilai kembali tahap patriotisme mereka atau dengan lebih mudah di mana letaknya jati diri mereka. Ketika kemuncaknya peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini, majoriti rakyat telah mempamerkan semangat patriotik dan jati diri yang agak tinggi dengan memberi sokongan padu kepada anggota polis dan tentera yang dikatakan bersabung nyawa berhadapan dengan pengganas. Jika sebelum ini mungkin ada segelintir yang sangsi dengan kekentalan jiwa rakyat Malaysia apabila berhadapan dengan isu yang berkait rapat dengan kemerdekaan dan kedaulatan negara, sudah pasti akan membuat tafsiran bahawa jika berdepan dengan ancaman, rakyat Malaysia akan bersatu teguh di belakang pemerintah. Tidak dapat dihindari bahawa terdapat rakyat Malaysia yang merasa begitu selesa dengan keadaan aman pada masa sekarang sehingga langsung alpa dengan patriotisme mereka. Mungkin ada yang merasakan apa perlu menunjukkan semangat patriotik pada Bulan Kemerdekaan kerana negara bukannya berada di rantau yang penuh dengan ancaman. Lagi pun, ada yang berpendapat Hari Kemerdekaan sudah menjadi perkara lazim kerana disambut pada setiap tahun. Jangan pula kita menjadi seperti rakyat Britain yang tidak mempunyai satu kaedah untuk mempamerkan semangat patriotisme kerana negara tersebut tidak mempunyai sambutan Hari Kemerdekaan atau pun sambutan yang selari dengan kedaulatan sesebuah negara. Bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown menyedari akan kepincangan tersebut dan berusaha dengan keras untuk mewujudkan satu hari ala Hari Kemerdekaan. Beliau pernah memberi hujah; "Jika rakyat Perancis mempunyai Bastille Day dan rakyat Amerika pula begitu bangga dengan Independence Day, maka tiada sebab rakyat Britain tidak mempunyai mekanisme yang serupa untuk meraikan kedaulatan negara mereka". Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Kemerdekaan tidak lama lagi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |