Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Pelajar NS di Mesir selamat
- Masyarakat Orang Asli teruja bertemu Tuanku Muhriz
- Empat lelaki leka main judi belangkas ditahan
Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI Mohamad Hasan (kiri) menikmati jamuan raya sementara Abd. Halim Abd. Latiff (berdiri) menghulurkan cendol kepada tetamu yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MPS di Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin. - UTUSAN Abd. Razak Aid SEREMBAN 18 Ogos - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan menangguhkan penghantaran para pelajarnya untuk melanjutkan pengajian mereka ke Mesir September ini ekoran pergolakan dan keadaan tidak stabil di negara berkenaan. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, penangguhan itu dibuat selepas mendapat maklumat situasi terkini di negara berkenaan dan pihak berwajib Malaysia di sana sedang memohon pihak universiti agar dilakukan penjadualan ekoran keadaan tegang di Mesir. ''Kita akan tangguhkan dahulu hantar pelajar ke sana. Sebaik sahaja keadaan kembali tenteram, MAINS akan menghantar mereka kembali untuk meneruskan pengajian di sana. ''Berdasarkan maklumat harian yang kita peroleh, kebanyakan universiti di Mesir sedang bercuti dan kita harapkan pada waktu itu suasana bergolak di negara terbabit akan kembali pulih," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di Dewan MPS dekat sini, semalam. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan serta Yang Dipertua MPS, Datuk Abd. Halim Abd. Latiff. Jelas Mohamad yang juga Pengerusi MAINS, berdasarkan maklumat yang diterima oleh wakil dari Rumah Negeri Sembilan di Mesir, lebih 100 pelajar dari negeri ini masih berada di sana dan sedang menduduki peperiksaan di Universiti Al Azhar. Katanya, perjalanan pengajian di sana berjalan seperti biasa, namun begitu pihaknya sentiasa memantau keadaan semasa dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) jika berlaku sebarang kejadian luar jangka di kawasan penempatan pelajar dari negeri ini. ''Kita ada rekod pelajar tajaan MAINS dan pelajar persendirian dari negeri ini. Kita akan menghubungi mereka segera jika keadaan semakin buruk. Rumah Negeri Sembilan di Mesir akan kita jadikan pusat pengumpulan pelajar jika krisis bertambah buruk. ''Bekalan makanan di situ boleh menampung keperluan untuk tempoh masa yang cukup panjang. Di situ juga disediakan pengawal keselamatan," tegasnya. Pada masa sama, Mohamad menasihatkan ibu bapa supaya tidak terlalu bimbang keadaan anak mereka di Mesir kerana MAINS sentiasa berhubung dengan sekretariat Rumah Negeri Sembilan untuk mendapatkan maklumat berhubung keselamatan pelajar. ''Kita harap juga kepada pelajar supaya mengelakkan diri dari melalui kawasan berlakunya pergolakan dan jangan menyertai secara langsung ayat tidak langsung dalam perhimpunan berkenaan," katanya. |
Masyarakat Orang Asli teruja bertemu Tuanku Muhriz Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz beramah mesra dengan kanak-kanak ketika jamuan Aidilfitri di padang Felda Sungai Lui, Jempol, Negeri Sembilan, semalam. JEMPOL 18 Ogos - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan hadir pada majlis jamuan Aidilfitri anjuran Istana Besar Seri Menanti yang diadakan di padang awam Felda Sungai Lui dekat sini hari ini. Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz. Majlis sambutan berkenaan turut dihadiri hampir 6,000 tetamu yang terdiri daripada penduduk sekitar yang gembira dapat bertemu secara lebih dekat dengan keluarga diraja Negeri Sembilan ini. Menurut penduduk Kampung Orang Asli Sungai Lui, Junus Tahir, 67, kehadiran Tuanku Muhriz serta keluarga baginda pada majlis sambutan Aidilfitri di padang awam itu menunjukkan rasa kasih baginda terhadap rakyat, sekali gus dapat bersama-sama beramah mesra. ''Kita berasa amat bertuah kerana dapat bertemu dengan Tuanku Muhriz dan ahli keluarga baginda. ''Baginda bersedia untuk bertemu rakyat, mengetepikan suasana di istana dan dapat bersama-sama menikmati hidangan dalam suasana paling ceria dan muhibah ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Tegasnya, putera baginda juga begitu mesra dengan penduduk serta mengetepikan hal berkaitan protokol istana dan sanggup melayan rakyat dengan baik. ''Jika tahun ini kawasan Felda ini menjadi pilihan Tuanku Muhriz untuk turun mencemar duli dalam majlis Aidilfitri, kita berharap suatu masa nanti, keluarga diraja dapat pula memilih perkampungan Orang Asli sebagai tempat sambutan perayaan ini," jelasnya. Sementara itu, Nor Hayati Abdullah, 20 berkata, dia berbangga kerana diberi peluang membuat persembahan pada majlis itu. ''Hari ini, seramai lapan belia dari Kampung Orang Asli Sungai Lui dipilih untuk membuat persembahan menyambut ketibaan rombongan diraja ini. Ini satu kebanggaan kepada kami," jelasnya. Bagi Rina Buta, 44, dari Kampung Orang Asli Batu 17, Jelebu pula, ini merupakan kali pertama dia dapat menatap wajah Tuanku Muhriz secara dekat. ''Sebelum ini, kita hanya melihat wajahnya daripada akhbar dan poster. Tetapi hari ini, kita bersama penduduk Orang Asli lainnya dapat beramah mesra dengan keluarga diraja. Baginda sekeluarga adalah raja yang baik," katanya. |
Empat lelaki leka main judi belangkas ditahan Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT TELOK KEMANG 18 Ogos - Sekumpulan lelaki yang sedang asyik bermain judi belangkas di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Pelanduk di sini, bertempiaran lari ketika diserbu polis malam tadi. Dalam serbuan pukul 11.15 malam itu, empat daripada mereka berjaya ditangkap setelah gagal meloloskan diri dari kepungan pihak berkuasa. Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Abd. Wahab Harun berkata, kira-kira 10 lelaki yang sedang leka berjudi dalam sebuah khemah bertempiaran lari sebaik sahaja menyedari kehadiran polis. "Dalam serbuan itu, kita telah menahan empat kaki judi berusia 23 hingga 56 tahun. "Keempat-empat mereka yang bekerja sendiri kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ketika ditemui selepas serbuan malam tadi. Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas sebuah meja, beberapa kerusi, peralatan perjudian dan wang tunai berjumlah RM78. Menurutnya, kegiatan perjudian haram itu disyaki sudah dijalankan di ladang tersebut sejak beberapa bulan lalu dan majoriti pelanggan adalah penduduk dari kawasan berkenaan. "Kita percaya kaki judi memilih kawasan ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan besar ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |