{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Tindakan tegas penerima rasuah

Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

KUBANG PASU 18 Ogos - Kerajaan negeri memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil jika terbukti ada kakitangan yang terjebak dalam gejala rasuah.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, disebabkan mahu membersihkan Kedah daripada gejala itu, beliau sendiri memulakan usaha mencegah rasuah dengan cara memastikan ketelusan apabila tidak membenarkan keluarganya memohon atau terlibat dalam projek kerajaan negeri.

"Saya telah nyatakan tidak benarkan ahli keluarga terlibat dalam memohon projek atau terlibat dalam tender peringkat kerajaan negeri.

"Maksud saya ialah kalau saya sendiri boleh mulakan dengan keluarga saya maka secara keseluruhan pun amalan rasuah tak akan diterima. Sekiranya terbukti mana-mana pihak di peringkat kerajaan negeri terjebak dalam gejala tersebut tindakan tegas akan diambil," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Padang Sera di sini semalam.

Mukhriz juga mahu Exco sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mendahului kepentingan peribadi dalam setiap keputusan yang dibuat.

"Exco adalah mereka yang memegang jawatan eksekutif dan sentiasa terdedah kepada tanggungjawab untuk membuat keputusan berhubung sesuatu perkara. Saya mahu supaya setiap satu keputusan dibuat dengan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata, integriti merupakan isu yang sering dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN) dan perkara tersebut sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan kemarahan rakyat kepada BN.

"Mungkin selepas ini isu ini akan ditimbulkan di Kedah, jadi saya ambil pendekatan untuk jelaskan kepada rakyat mengenai pendirian kami terhadap isu ini," jelasnya.

Sementara itu Mukriz memberitahu, kerajaan negeri akan melancarkan satu program untuk mitigasi banjir iaitu bukan hanya untuk membaik pulih sungai, tapi pada waktu sama untuk mengindahkan sungai di negeri ini.

"Projek tersebut memerlukan dana yang besar dan kita akan mohon bantuan daripada Kerajaan Pusat, kalau kita berjaya dalam projek pengindahan sungai ini saya yakin ia akan jadi satu faktor tarikan pelancong ke Kedah khususnya Alor Setar," ujarnya.

Pertandingan kraf cari produk unik identiti Perlis

Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT

Abdul Jamil Saad (lima dari kanan); Mohd. Noor Effendy Abdul Karim (empat dari kiri) beramah mesra bersama penerima sijil di Majlis Penyampaian Sijil Latihan Jangka Pendek Batik di Kraftangan Perlis, Kuala Perlis, kelmarin.

KANGAR 18 Ogos - Kerajaan negeri bercadang menganjurkan satu pertandingan kraf supaya dapat diketengahkan sejenis produk unik yang boleh melambangkan identiti Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Abdul Jamil Saad berkata, ini memandangkan sehingga kini Perlis masih ketandusan dalam mengeluarkan produk milik sendiri.

''Daripada pertandingan ini kita berharap akan dapat mencungkil produk yang benar-benar sesuai untuk diiktiraf sebagai kraf negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Sijil Latihan Jangka Pendek (LJP) dan Jamuan Aidilfitri di Kraftangan Batu 5, Jalan Kuala Perlis, dekat sini semalam.

Beliau juga turut menyampaikan sijil kepada enam peserta yang menjalani kursus batik selama tiga bulan di bengkel batik di Pauh, Arau, dekat sini.

Yang turut hadir Pengarah Kraftangan Negeri Perlis, Mohd. Noor Effendy Abdul Karim.

Abdul Jamil berkata, pihaknya juga berharap pengusaha kraf di negeri ini akan mengambil kesempatan dengan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis pada tahun depan.

Katanya, inilah masanya pengusaha kraf mula menghasilkan kraf dan juga membuka gerai perniagaan untuk menjana ekonomi masing-masing.

''Jika ada yang berminat untuk mencadangkan sesuatu berkaitan dengan kraf diminta berhubung dengan sekretariat Sukma kerana ini antara tujuan temasya sukan terbesar negara dianjurkan di Perlis," katanya.

Beliau berkata, pengusaha kraf tempatan perlu lebih giat menghasilkan produk untuk dikomersialkan kepada pengunjung luar yang ingin membawa pulang cenderamata yang menarik dari negeri ini.

Abdul Jamil berkata, ada baiknya negeri ini menghasilkan kraf sendiri yang unik serta tidak akan diperoleh di luar Perlis dengan dengan keistimewaan itu akan menarik pelancong luar untuk datang membeli lagi produk itu selain melawat tempat menarik di Perlis.

Boboiboy, Gopal meriahkan Fiesta Riuh! Sakan

Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT

Watak dan maskot Boboiboy bakal memeriahkan Fiesta Riuh Sakan! di Jitra, Kedah, September ini.

ALOR SETAR 18 Ogos - Kemunculan watak animasi terkenal, Boboiboy dan Gopal dijangka memeriahkan lagi Fiesta Riuh! Sakan anjuran Utusan Malaysia dan Kosmo! pada 5 hingga 7 September ini di Taman Tasik Darul Aman, Jitra dekat sini.

Penolong Pengurus Pengurusan Jenama Utusan Melayu (M) Berhad, Hazura Ahmad Halil berkata, watak-watak animasi itu dijangka menghiburkan para pengunjung khususnya kanak-kanak dengan pelbagai telatah dan celoteh mencuit hati khususnya bagi para peserta pertandingan mewarna pada 6 September ini.

"Dengan yuran serendah RM3, peserta bagi pertandingan mewarna yang akan diadakan pada 6 September ditawarkan hadiah seperti basikal dan hamper selain bakal dihiburkan oleh watak animasi terkenal, Boboiboy dan Gopal.

"Pertandingan mewarna itu terbuka kepada 300 peserta dan 150 peserta awal akan menerima pensil warna," katanya di sini baru-baru ini.

Hazura berkata, lebih 30,000 pengunjung dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak dijangka hadir pada program berkenaan.

Katanya, antara aktiviti yang diadakan ialah pertandingan memancing, mewarna, cabaran mini explorace, pertandingan karaoke dan lain-lain lagi.

Menurutnya, bagi pertandingan karaoke yang akan diadakan pada 6 dan 7 September pula, hadiah pertama bernilai RM1,000 menanti peserta, RM800 tempat kedua dan RM500 bagi tempat ketiga.

"Yuran penyertaan sebanyak RM5 dikenakan dan individu yang membeli produk Kumpulan Utusan bernilai RM5 ke atas juga layak menyertai pertandingan ini.

"Mereka yang berminat perlu segera mendaftar memandangkan penyertaan terhad kepada 140 peserta," ujarnya.

Selain itu, menurutnya, bagi peminat aktiviti memancing, satu pertandingan memancing akan diadakan pada 7 September dan pemenang bakal membawa pulang RM3,000 bagi tempat pertama, RM2,000 tempat kedua serta RM1,500 untuk tempat ketiga.

Hazura memberitahu, pertandingan memancing itu terbuka kepada semua dan yuran pendaftaran RM15 dikenakan untuk satu joran/ dua mata dan pertandingan akan dimulakan pada pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.

"Kawasan ini merupakan lokasi memancing popular dan orang ramai dijemput untuk memeriahkan acara ini.

"Selain itu antara aktiviti yang dijangka menarik perhatian dalam fiesta ini ialah cabaran mini explorace yang akan diadakan pada 6 September dan hadiah RM2,000 bakal menanti pemenang," katanya.

Orang ramai diharap tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang telah dirancang dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi urus setia 03-9232 4439.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat