{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Dua projek mega diteruskan

Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 22 Ogos - Majlis Perundingan Ekonomi Negeri Melaka (Mapen) memperakukan dua projek mega yang perlu diteruskan pembinaannya oleh kerajaan negeri dalam usaha memperkukuhkan industri pelancongan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, dua projek tersebut ialah The Melaka Gateway di Pulau Melaka dan Dinosaurs Park dan Underwater World di Klebang.

Menurutnya, hasil perundingan dan kajian daripada Mapen, kedua-dua projek tersebut wajar dilaksanakan dalam usaha menambah produk pelancongan baharu yang dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.

''Hasil kajian Mapen, dua projek tersebut memang wajar untuk diteruskan dan telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.

''Mapen yakin dua projek pelancongan baharu itu mampu melonjakkan Melaka sebagai negeri pelancongan yang perlu dilawati ramai pelancong dari dalam dan luar negara," katanya di sini hari ini.

Mohd. Ali berkata, The Melaka Gateway melibatkan pembinaan tiga buah pulau buatan yang dilengkapi dengan jeti cruise, pusat beli-belah, hotel, kondominium, apartmen lima bintang serta kompleks pertunjukan budaya.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan di kawasan seluas 207 hektar itu melibatkan kos sebanyak RM30 juta dan bakal memberi peluang pekerjaan kepada 15,000 orang.

Beliau berkata, turut dibina dikawasan tersebut ialah taman perumahan berkonsepkan perkampungan budaya, terdiri daripada rumah bandar, rumah teres, rumah berkembar dan banglo.

Bagi projek Dinosaurs Park dan Underwater World pula katanya, projek yang bernilai RM240 juta di kawasan seluas 14 hektar bakal membuka peluang 1,000 pekerjaan.

''Taman ini adalah produk paling menarik untuk dikunjungi dan mampu menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini," ujarnya.

Kawasan tersebut katanya akan turut dibangunkan dengan premis beli-belah, kedai cenderamata, restoran dan sebagainya.

Henti hantar pelajar ke Mesir

Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

MOHAMAD HASAN

SEREMBAN 22 Ogos - Ejen swasta yang masih berdegil mahu menghantar pelajar ke Mesir semasa negara itu sedang bergolak ketika ini, amat tidak bertanggungjawab, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, ejen sebegini hanya mementingkan komisen yang diperoleh daripada pihak universiti sedangkan aspek keselamatan pelajar langsung tidak diambil peduli.

"Saya nasihatkan ibu bapa tidak mendengar pujukan ejen swasta yang menjanjikan pelbagai perkara untuk membolehkan anak mereka meneruskan pelajaran di Mesir, sedangkan kerajaan ketika ini sedang berusaha membawa pulang pelajar di negara yang sedang bergolak itu," katanya di sini semalam.

Mohamad ditemui pemberita dalam majlis Aidilfitri anjuran Persatuan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti) yang turut dihadiri Yang Dipertuanya, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumudin.

Kata Mohamad, ejen-ejen terbabit sepatutnya mempunyai sikap peka berkaitan krisis di Mesir dan tidak menyogok ibu bapa dengan pakej yang kononnya 'selamat' untuk berada di negara itu.

"Kepada ejen ini, lihat dan kajilah keadaan huru-hara di Mesir dan isytihar darurat. Takkanlah kita masih hendak hantar pelajar tersebut. Kita tahu ejen swasta ini ada yang dilantik pihak universiti dan akan memperoleh komisen antara RM3,000 ke RM5,000 sebaik sahaja seorang pelajar mendaftar di universiti dalam negara tersebut," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa wajar mendengar nasihat kerajaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelbagai pihak lain supaya menangguhkan penghantaran anak ke Mesir kerana keadaan huru-hara itu tidak hanya berlaku di Kaherah tetapi merebak ke beberapa kawasan lain.

Mengenai keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa pulang kesemua pelajar dari negara itu ke tanah air, Mohamad berkata, langkah tersebut adalah tepat.

"Ada universiti, khususnya bagi pelajar bidang perubatan, peperiksaan akan diadakan juga. Oleh itu, saya kira eloklah diselesaikan baki peperiksaan ini dalam waktu terdekat ini di negara berkenaan dan segera kembali ke tanah air," katanya.

Dalam masa sama jelas beliau, lebih 700 pelajar tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) atau persendirian yang berada di Mesir telah kembali ke tanah air kerana cuti semester.

"MAINS telah menangguhkan penghantaran pelajar ke Mesir ketika ini. Kita akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pendidikan supaya pelajar ini dapat meneruskan pengajian mereka sama ada di Jordan, Maghribi atau universiti tempatan.

"Bagi pelajar bidang perubatan sesi tahun ini, kita juga mempunyai opsyen untuk menghantar mereka ke Jordan atau melanjutkan pelajaran dalam fakulti perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)," jelasnya.

Jalinan baik TNB, jabatan kerajaan bantu tingkat infrastruktur

Posted: 22 Aug 2013 12:14 PM PDT

Idris Haron (kanan) menunjukkan cenderamata berupa gambar beliau semasa mendaftar diri pada hari pertama sebagai jurutera Lembaga Letrik Negara yang disampaikan oleh Rozimi Remeli (dua dari kanan) di Melaka, semalam.

MELAKA 22 Ogos - Kerajaan negeri berharap hubungan baik antara agensi swasta seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan jabatan-jabatan kerajaan negeri akan membantu dalam usaha menaik taraf infrastruktur sedia ada di Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, kerjasama itu dilihat mampu membantu melancarkan semua projek yang sedang dan ingin dilaksana dengan lebih teratur.

Menurutnya, hubungan harmoni dalam kalangan semua pihak turut diharap dapat membantu Melaka menarik lebih banyak pelabur dan peniaga yang ingin memperkembangkan perniagaan mereka di negeri ini.

"Sehubungan itu, komitmen semua pihak amat penting dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk terus membangunkan Melaka yang kini sudah berstatus negeri maju," katanya.

Beliau berucap merasmikan Sesi Perbincangan Meja Bulat Antara PBT negeri dengan TNB di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman; Naib Presiden (Penghantaran) TNB, Datuk Rozimi Remeli dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu.

Sesi perbincangan meja bulat antara kedua-dua pihak itu berlangsung hari ini bagi membincangkan permasalahan termasuk berkaitan pengurusan rentis dan isu-isu berkaitan.

Jelas Idris, kesepakatan yang diperoleh melalui rundingan meja bulat itu diharap dapat membantu membincangkan banyak perkara serta permasalahan selain mengeratkan kerjasama kedua-dua pihak.

"Inisiatif TNB memberi penerangan kepada semua PBT di negeri ini juga diharap dapat membantu dalam menyelesaikan isu berkaitan tanah dan hak laluan membabitkan tanah milik penduduk setempat.

"Usaha tanggungjawab korporat ini juga akan memberi manfaat kepada pengguna di seluruh negeri dalam mengekalkan sistem bekalan elektrik yang berdaya saing dan berterusan tanpa gangguan," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat